Isnin, 12 Ogos 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 9)




Mak Cik Mariah mengira-ngira duit yang berlambak di atas tilamnya. Pada majlis kenduri kahwin Kamal yang baru berlangsung minggu lalu, ramai juga saudara-mara dan kawan-kawan Kamal mengisi salam mereka dengan wang. Kata orang, rezeki jangan sesekali ditolak.

“Wah, banyaknya duit mak!” sergah Ainun yang tiba-tiba masuk ke dalam bilik.
Mak Cik Mariah tersentak. Dia menyembunyikan sebahagian wang di bawah pahanya.
“Banyak pun bukannya nak bagi kamu!” tempelak Mak Cik Mariah sambil menjeling tajam. Ainun sudah duduk di atas tilam bersama dengannya.
“Alah, mak... Nanti kita bagi dua, mak ya?” pujuk Ainun sambil sama-sama mengeluarkan duit-duit yang masih berada di dalam sampul kecil berwarna-warni.
“Nun pun penat jugak uruskan kenduri Kamal tu! Dari mula meminang sehinggalah soal-soal kenduri-kendaranya,” ungkit Ainun.
Mak Cik Mariah diam sejenak kerana dia sedang mengira kepingan not-not yang terkumpul. “Alah... Kamal minta tolong kamu pun bukannya dengan air liur! Dia ada bagi duit, kan? Silap-silap kamu kebas duitnya. Bukannya emak tak tahu,” balas Mak Cik Mariah dengan suara perlahan. Kata-kata emaknya itu dibalas dengan tawa.
“Emak jangan beritahu Kamal, mak,” pesannya sambil menepuk paha emaknya.
“Kamu ingat adik kamu tu apa, Nun? Dia bukannya orang tak sekolah! Esok-esok dia minta bil-bil perbelanjaan yang kamu dah belanjakan untuk majlis kahwinnya, macam mana?” soal Mak Cik Mariah. Matanya sempat memerhati lengan Ainun.
“Waktu dia suruh kamu belikan barang-barang kemas untuk hantaran isterinya pada majlis nikah kelmarin, kamu beli untuk diri sendiri juga, kan?” tebak Mak Cik Mariah.
Ainun terus ketawa mengekek sambil menayangkan gelang emas di lengannya.
“Ha’ah... mak! Apa salahnya. Sebelum isterinya kikis duit dia, biar saya kikis dulu. Emak tak risau ke?” tanya Ainun pula.
“Nak risau apa?” tanya Mak Cik Mariah. Duit-duit yang sudah siap dikira dimasukkan ke dalam tas tangannya. Jumlahnya RM3200. Tidak berbaloi jika dibandingkan jumlah wang yang telah dikeluarkan untuk majlis kenduri dan menjamu orang makan. Tidak semena-mena hatinya berasa tidak tenteram. Walhal wang untuk segala perbelanjaan kenduri-kendara sudah diberi oleh Kamal kepadanya sebanyak RM50 ribu termasuk untuk duit hantaran serta lain-lain hal.
“Kalau-kalau Kamal menghabiskan duit ringgitnya pada isterinya yang cantik tu?” soal Ainun sambil menyorot ke wajah emaknya yang selamba. “Nanti dah dapat isteri, duit belanja untuk emak, dia kurangkan. Selalu jadi begitu, mak!” hasut Ainun.
“Emak fikir sendirilah. Bayaran mas kahwin pun dia sanggup berhabis sampai berbelas ribu ringgit. Biasa kat negeri Perak ni, bukan ke mas kahwinnya hanya RM101? Tapi Kamal bayar untuk Sharina sampai RM11 111.11.”
“Siapa yang lebih berkuasa kepada Kamal? Isteri dia ke, mak?” Pertanyaan Ainun dijawab dengan pertanyaan oleh Mak Cik Mariah.
“Maklah powerrr!” jawab Ainun.
“Tahu pun! Eh, Nun... tak payahlah nak sebut-sebut pasal isteri Kamal tu, hati emak jadi mendidih!” beritahu Mak Cik Mariah sambil menggosok-gosok dadanya.
“Kenapa pulak mak?” tanya Ainun lagi. Nampaknya emak betul-betul tidak menyukai menantu barunya. Mungkin emak betul-betul patah hati kerana tidak dapat bermenantukan Rita.
“Bukan kau tak tahu, selepas hari kenduri kelmarin, budak tu langsung tak balik ke sini! Macam manalah emak tak geram!” cerita Mak Cik Mariah. “Macam tak hormat pada orang tua,” komennya pula.
“Kamal aje yang balik seorang semalam! Hari ini mereka dah bertolak balik ke Melaka,” sambungnya lagi.
Ainun mengangguk-anggukkan kepalanya. Soal Kamal atau Sharina, bukan penting. Yang penting baginya, duit.
“Mak... duit yang Kamal bagi mak tu ada baki lagi tak?” tanya Ainun cuba membodek.
“Tak ada. Kamu ni asyik kemaruk duit aje kenapa?” soal Mak Cik Mariah lagi. Memang sahlah Ainun mengikut perangainya yang selalu tamakkan duit ringgit dan harta dunia.
“Kalau ada baki, Nun nak mintalah sikit. Nun nak pergi melancong ke Beijing. Mak, bolehlah ya?” pujuk Ainun sambil menggeleser pada tubuh emaknya.
“Lima puluh ringgit bolehlah emak bagi! Yang selebihnya emak nak beli gelang tangan,” jawab Mak Cik Mariah. Di matanya sudah terbayang gelang emas yang akan dibeli nanti. Bulan lepas dia membeli dua utas gelang dengan duit hasil kebun getah. Pada hari itu, dia sudah ternampak gelang rekaan terbaru yang menarik hatinya. Tetapi duit yang dibawa tidak mencukupi. Apa salahnya pada bulan ini dia membeli gelang dengan wang hasil sedekah orang dan baki duit Kamal.
Ainun merenung emaknya dengan perasaan tidak puas hati. “Emak... duit yang tu, kenapa mak tak simpan?” tanya Ainun sambil mencapai sekeping not RM5 yang tertinggal di atas tilam, di hujung lutut emaknya.
“Hmm... yang ini, mak nak sedekahkan ke masjid! Esok Zarif pergi sembahyang Jumaat, minta tolong dia masukkan ke tabung masjid,” jawab Mak Cik Mariah lalu mengambil duit itu daripada tangan Ainun.
Ainun menyimpul senyuman. “Mak tak rasa rugi ke duit tu nak hantar masjid?” perli Ainun sambil tergelak-gelak.
Mak Cik Mariah pura-pura tidak mendengar.

Cahaya matahari mulai menjingga sewaktu kereta yang dipandu oleh Kamal tiba di pekarangan rumahnya. Rumah batu dua tingkat berwarna kuning air. Rekaan binaan rumah nampak seperti rumah orang Inggeris pada zaman dahulu. Rumah itu memang rumah kediaman pegawai kerajaan yang berjawatan sepertinya untuk daerah itu.
Tempat parkir betul-betul di hadapan pintu rumah. Sharina memerhati keliling apabila turun dari kereta. Keluasan halaman rumah dalam lapan meter persegi. Ada beberapa biji pasu yang ditanam dengan pokok orkid yang sedang berbunga.
‘Rajin pulak mamat ni tanam pokok orkid,’ puji Sharina di dalam hati. Dia terus memerhati sekeliling rumah yang bersih dan cantik.
“Masuklah, Rin. Ini rumah kita,” pelawa Kamal sambil menarik tangan Sharina supaya mengikutnya.
“Buat masa ini, abang duduk di rumah yang kerajaan sediakan.  Nanti kita akan ada rumah sendiri, okey,” beritahu Kamal mesra.
Sharina meleraikan tangannya daripada pegangan Kamal.Namun, bibirnya tetap terkunci. Kamal membuka kunci pintu. Lagi sekali tangannya memegang tangan Sharina dan menariknya supaya masuk ke dalam rumah.
“Buatlah macam rumah sendiri.”
Sharina hanya tercegat di muka pintu. Dia memerhatikan seluruh ruang depan itu. Nampak kemas dan cantik. Di ruang tamu ada set sofa kayu jati yang sederhana reka bentuknya. Jendela dihiasi langsir berwarna hijau muda. Sejuk mata memandang dan ruang tamu  itu begitu mendamaikan. \
‘Nampaknya Abang Kamal ni seorang pembersih dan rajin,’ bisik hati Sharina. Dia tersenyum di dalam hati. Kamal sudah dua, tiga kali berulang ke kereta kerana mengambil beg-beg di dalam boot.
“Bilik tidur kita di atas,” beritahu Kamal apabila dilihatnya Sharina masih tercegat macam anak patung.
‘Sunyinya rumah ini! Emak, Rin nak balik. Rin tak mahu tinggal di sini. Bolehlah, emak.’ Jiwa Sharina terus meratap. Kolam matanya masih digenangi air mata.
‘Hai... kenapalah isteri aku ni macam budak-budak tadika. Asyik menangis dari tadi. Tapi, dia tetap comel. Semakin nampak seksi dengan matanya yang basah. Walaupun berseluar jean dan berkemeja lengan panjang yang besar. Tapi sampai hari ini, abang kecewa kerana belum berpeluang melihat walau sehelai rambut Rin,’ rungut hati Kamal.
“Rin pergi mandi. Lepas tu, kita solat asar sekali. Dah seminggu jadi suami isteri, kita belum berjemaah lagi,” ujar  Kamal perlahan.
“Rin dah boleh sembahyang, kan?” tanya Kamal pula.
Sharina takut-takut menganggukkan kepalanya. Dadanya berdebar. Dia bimbang kalau-kalau pertanyaan suaminya itu ada maksud lain. Selama tempuh pertunangan dengan Kamal, emak sudah memberitahu tentang tanggungjawab seorang isteri. Banyak perkara yang menakutkannya. Dan sehingga saat itu hatinya belum bersedia dan tidak boleh menerima lagi beberapa perkara yang tertentu.
“Rin...” panggil Kamal lembut apabila Sharina masih belum berganjak dari tempatnya. Wajah Sharina disoroti dengan ekor matanya.
Sharina mencapai beg pakaiannya untuk dibawa ke bilik.
“Tak apa, Rin. Biar abang bawak. Berat beg tu. Nanti Rin jatuh tangga,” larang Kamal. Beg di tangan Sharina diambilnya kembali.
“Dalam almari tu, barang-barang keperluan Rin, semua abang dah sediakan. Rin guna yang itu dulu. Tak payah nak susah-susah bongkar beg ni,” terang Kamal sambil tersenyum. Memang benar sebaik sahaja pinangannya diterima oleh abang dan emak Sharina, boleh dikatakan setiap hari dia pergi ke gedung membeli-belah yang ada di bandar itu mencari barang-barang yang dirasakan sesuai untuk bakal isterinya itu. Walau hanya dapat melihat Sharina dua kali sahaja sebelum mereka bernikah, tetapi dia dapat mengagak ukuran tubuh bakal isterinya itu.

Masuk ke dalam bilik utama sekali lagi matanya terpukau. Bilik terhias cantik dengan cadar warna hijau lumut dan beropol lace. Langsirnya juga warna senada dan ada sedikit percikan warna beige. Sharina tersenyum sekali lagi. Suasana di bilik tidur juga begitu nyaman. ‘Pandai mamat ni menghias rumah dia. Mesti orangnya cerewet ni.’ Sharina cuba meneka karakter suaminya. Selalu orang cakap, kaum lelaki kalau dah pembersih, rajin berkemas dan menghias rumah, cerewet orangnya. Kaki berleter juga.
Sharina menggaru-garu keningnya sambil matanya mengitari seluruh ruang bilik itu.
Isteriku, selamat datang ke syurga kita.
Ada sekeping banner tergantung di dinding bilik.
‘Astaghfirullahalazim! Kenapa Abang Kamal susah-susah hiaskan bilik ini untuk sambut Rin? Hati Rin tak akan terpikatlah...’ Sharina masih berdegil. Dia duduk di birai katil sambil berfikir.
Tiba-tiba Kamal muncul di muka pintu bersama dua buah beg di tangannya. Perasaan Sharina tiba-tiba menjadi tidak tentu arah.
“Mengapa muram dan sugul lagi ni? Rin tak suka tinggal dengan abang ke?” soal Kamal secara tiba-tiba lalu duduk rapat di sebelah Sharina. Tangan Sharina digenggamnya seketika.
Sharina tidak menjawab. Tubuhnya menggigil. Dia menelan air liur berkali-kali.
“Sementara Rin nak sesuaikan diri dengan abang, Rin gunalah bilik ini. Abang guna bilik sebelah,” beritahu Kamal sambil merenung ke wajah Sharina yang muram dan berduka. 
“Abang suka warna hijau. Hijau warna syurga tau! Tapi kalau Rin tak suka warna hijau dan nak tukar cadar ke warna kesukaan Rin, malam nanti kita pergi beli. Hmm... warna merah jambu.” Dia teringat warna merah jambu menghiasi  bilik tidur Sharina di kampung.
Sharina masih membisu.
“Rin suka tak bilik ni? Suka tak tinggal sini dengan abang?” tanya Kamal lagi masih memancing reaksi isterinya itu.
“Kalau ada apa-apa yang tak cukup, Rin beritahu abang. Malam ni juga kita pergi cari,” ujar Kamal dengan nada perlahan. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman. 
‘Alahai... kasihannya dia. Kalau Rin geleng kepala mesti dia rasa kecewa. Ikut mana pun, dia telah jadi suami Rin,’ bisik hati kecil Sharina memujuk dirinya sendiri.
“Macam mana? Rin suka tak?” ulang Kamal lagi.
Sharina melarik senyuman nipis sambil merenung ke dalam mata Kamal. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan dan tersenyum manja.
Kamal membalas senyuman itu dengan perasaan senang hati. “Kalau Rin nak mandi, tuala dan barang-barang keperluan Rin ada dalam almari,” beritahu Kamal lembut.
Sharina diam tidak menjawab. Dia bangun dari sisi Kamal untuk ke bilik air. Sebelum itu, dia mengambil tuala dari dalam almari. Lagi sekali matanya terpukau.
Nampaknya, Kamal bersungguh-sungguh ingin mengambil hatinya. Di dalam almari sudah dipenuhi pakaian untuknya. Abang Kamal ni baik sangat! Sesuai ke untuk Rin? Nak terima ke tak nak? Soalan itu bertubi-tubi mengasak fikirannya sewaktu tubuhnya disirami air. 
‘Mana boleh terus terima begitu aje? Rin nak uji dia sebulan dua. Rin nak buat-buat diam dan tak mahu cakap dengan dia walaupun sepatah. Rin tak mahu bagi dia sentuh Rin. Tak boleh tengok aurat Rin walaupun sehelai rambut. Tentu dia tak boleh sabar dan hantar Rin balik kampung. Kembalikan Rin kepada emak!’ Hati Sharina merintih lagi.
‘Tapi, nanti berdosa pulak!’ bisik hati kecilnya. Bukannya dia tidak tahu hukum hakam agama. Abang Hisham dan emaknya boleh dikatakan hari-hari menghidangkannya dengan ilmu agama. ‘Sharina terus bermonolog untuk menenangkan diri sendiri. Air matanya berderai bercampur dengan siraman pancuran di atas kepala. Air dari pancuran tiba-tiba berhenti. Sharina membuka matanya dan membuka paip disingki pula. Tak ada setitik air pun yang keluar. Matanya pedih kerana dimasuki buih syampu.
‘Alamak, tak ada air pulak! Macam mana ni? Nak tanya Abang Kamal, malulah pulak!’ rungut hati Sharina. Hampir lima minit dia duduk dan memikir. Tiba-tiba tubuhnya kembali disirami air. Cepat-cepat dia membasuh rambutnya dan mengambil wuduk. Selepas dia memakai baju, seluar dan tudungnya kembali baru dia keluar dari bilik itu.

“Hai, lama permaisuri abang bersiram!” tegur Kamal yang sudah mandi dan bersedia di atas tikar sejadah. Kamal berbaju Melayu dan berkain pelekat.
Sharina tidak menjawab. Dia terus mengambil telekung yang diletakkan Kamal di atas tilam. Kamal menekup mulutnya untuk menyembunyikan ketawa. Sengaja dia mengunci paip air yang menghala ke bilik air di bilik tidur utama itu tadi apabila Sharina mandi hampir 20 minit. Sangkanya isterinya itu akan keluar dari bilik air dan meminta bantuannya, rupa-rupanya tidak. Keras hati Sharina membuatkan dia mengalah lalu membuka semula kunci paip itu.
Selesai solat, perasaannya terasa damai dan indah. Dia mengangkat kedua-dua belah tangannya dan berdoa.
“Ya ALLAH, Ya TUHANKU... seandainya telah kau catatkan dia milikku, tercipta untukku, dekatkanlah dia kepadaku, satukanlah hatinya dengan hatiku, titipkanlah kemesraan antara kami agar kebahagiaan itu kekal abadi. Seiringkan kami dalam bahtera perkahwinan. Jadikanlah kami pasangan yang bahagia dan berkekalan buat selama-lamanya hingga akhir hayat dan kurniakanlah kami zuriat yang sempurna beriman dan beramal soleh. Sesungguhnya KAU berkuasa atas segala segalanya. Amin Ya Rabbal Alamin.”
Selesai berdoa, dia menghulurkan tangannya kepada Sharina. Mahu tak mahu, Sharina terpaksa menyambut dan menciumnya. Sharina menahan nafas sewaktu bibir Kamal menyentuh dahinya. Kucupan Kamal lembut dan hangat. Kedua-dua tangan Kamal memegang bahunya. Lembut sentuhan itu menggetarkan seluruh tubuhnya.
“Rin... minta maaf, abang nak tanya ni!”
Sharina masih bertelekung dan duduk bersimpuh di hadapan suaminya. Dia diam sambil memintal-mintal hujung telekung. Dia menanti kata-kata seterusnya yang akan diungkapkan oleh Kamal dengan perasaan yang gelisah dan berdebar. Jiwanya dipalu debaran lagi. Bulu romanya tiba-tiba merinding. Seram sejuk tubuhnya.
“Sebelum ni, Rin ada tinggal solat tak?” soal Kamal dengan nada ikhlas.
Sharina menggeleng laju.
“Al-quran... Rin dah khatam?”
Sharina mengangguk pula.
“Alhamdulillah... Hmm... puasa dah ganti?”
Sharina mengangguk lagi.
Senyuman Kamal semakin lebar. Alhamdulillah. ALLAH telah mengurniakan pasangan yang baik buatnya. Mudah-mudahan tidak sukar mendidik isterinya itu.
“Alhamdulillah, Rin. Abang bersyukur sangat sebab dijodohkan dengan Rin. Moga rumah tangga yang baru kita bina ini mendapat berkat daripada ALLAH, memperoleh sakinah sehingga ke hujung hayat,” ungkap Kamal dengan nada lembut dan perlahan.
“Kalau ada apa-apa masalah, Rin cerita pada abang ya? Jangan segan-segan, berterus terang dengan abang. Rin dah jadi isteri abang. Abang bertanggungjawab di atas diri Rin,” terang Kamal lagi. “Kalau ada apa-apa yang Rin tak tahu, abang akan ajar. Kalau abang pulak yang tak tahu, kita sama-sama pergi belajar,” sambung Kamal lagi sambil memandang Sharina yang menundukkan mukanya merenung sejadah.
“Setiap hari kalau abang ada di rumah, mesti kita solat berjemaah,” beritahu Kamal lagi. Impiannya ingin mendidik Sharina supaya menjadi Muslimah yang solehah. Mudah-mudahan mereka menjadi pasangan yang penuh keimanan dan ketakwaan.

‘Tegaslah pulak mamat ni! Macam mana nak sesuaikan diri dengan dia ni?’ soal hati Sharina. Bibirnya masih terkunci.




                                                            ~ ~ bersambung~ ~

**  Penulis hanya memuat naik sebahagian sahaja. Untuk membaca novel ini keseluruhannya sila dapatkan ia di pasaran atau beli on line di http://mall.karangkraf.com/

Tiada ulasan: