Khamis, 22 Ogos 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 11)


Suasana alam masih lagi sepi. Kebanyakan penghuni masih lagi diulit mimpi kecuali hamba-NYA yang tidak lupa kepada sang pencipta. Berjuta kesyukuran terbisik di hati Mak Leha setiap kali mencelikkan mata kerana disambung lagi hayatnya oleh ALLAH.
Selesai solat subuh, Mak Leha membaca al-Quran. Sisa-sisa usianya kini ingin dihabiskan dengan mengabdikan diri dan beribadah kepada Allah. Hari itu, dia tinggal bersendirian sahaja di rumah. Hisham sudah tiga hari bertugas di luar daerah.
‘Rin...’ Tidak semena-mena air mata mengalir apabila teringatkan anak gadisnya. Hatinya diperangkap rindu. Namun kerinduan yang tidak pernah bertepi itu disimpannya rapat-rapat dalam sanubari.
“Entah apa yang dibuat Rin sekarang ni,” ungkap bibirnya perlahan. Pertemuan terakhir mereka pada hari raya puasa yang lalu. Baru sangat lagi. Dia tidak pasti sama ada anak bongsunya itu sudah boleh menerima Kamal sebagai suami ataupun tidak. Apa yang dia nampak, Kamal melayan Sharina dengan baik dan penuh kasih sayang. Namun kemesraan mereka masih terbatas. Lebih-lebih lagi Sharina, nampak kekok apabila berdekatan dengan suaminya itu.
Di depan Kaabah nanti, dia akan mendoakan anak menantunya. Biar ALLAH mencipta kasih di dalam hati Sharina untuk suaminya.
Lagi dua minggu, dia dan Hisham akan berangkat ke tanah suci. Syukur kerana dia dan anak bujangnya telah dipilih untuk menjadi tetamu ALLAH pada tahun itu. Selesai membaca al-Quran, Mak Leha menghubungi menantunya. Hajat di hati ingin menyuruh anak menantunya balik. Cadangnya kenduri kesyukuran dan doa selamat akan diadakan pada hari Sabtu seminggu sebelum dia berangkat.
“Insya-ALLAH, mak. Nanti saya balik. Secara kebetulan saya memang nak balik minggu depan. Rin tu dah rindu sangat pada mak,” beritahu Kamal dengan nada lembut. Kelmarin sewaktu hari raya puasa, dia hanya bercuti dua hari sahaja.
“Rin macam mana, Kamal? Cengeng lagi tak?” tanya Mak Leha.
Kamal ketawa kecil. Dia faham maksud pertanyaan emak mertuanya. “Alhamdulillah, mak... dia layan saya dengan baik. Pandai memasak dan rajin uruskan rumah tangga. Jaga makan minum saya. Gosokkan pakaian saya. Segala-galanya dia jaga dengan baik, mak...” puji Kamal.
“Alhamdulillah. Terima kasih, mak sebab terima pinangan saya dan beri peluang saya jadi suami Rin,” jawab Kamal. Rasa kasihnya semakin menyubur setiap hari.
“Betul ke Kamal?” tanya Mak Leha tidak percaya kata-kata menantunya itu. Bukankah Sharina membantah pernikahannya itu? Sharina pernah mengugut yang dia akan membuat perangai supaya Kamal membencinya.
“Alhamdulillah, mak! Rin seorang isteri yang baik. Dia hantar saya sehingga ke muka pintu sewaktu saya hendak keluar bekerja. Waktu saya balik, dia tunggu saya di muka pintu,” cerita Kamal dengan senang hati.
Memang benar Sharina melayaninya begitu baik. Hanya satu tanggungjawabnya yang belum terlaksana. Namun, perkara itu tidak boleh diberitahu kepada emak mertuanya. Segala rahsia rumah tangganya harus disimpan rapi. Sehingga malam tadi, dia masih tidur sendiri. Memeluk bantal guling sehingga ke pagi.
Kamal kena banyak bersabar dengan Rin tu...maklumlah, anak manja. Perangai budak-budaknya tu tak tahu bila nak habis,” rungut Mak Leha. Kadangkala dia pun tak tahan dengan kerenah anak bongsunya itu.
“Kamal bimbinglah Rin tu. Perhatikan solatnya..,” nasihat Mak Leha dengan lembut.
Sejuk hati Kamal mendengar kata emak mertuanya itu.
“Alhamdulillah, mak. Rin senang dididik. Tiap hari kalau saya di rumah, kami solat dan mengaji bersama, mak...” cerita Kamal dengan sopan.
“Cuma dia tak berapa nak berbual mesra dengan saya. Dia masih malu, tapi tak apa. Saya faham dengan dia mak. Mak jangan risau.” Kata-kata Kamal diselingi ketawa kecil. Wajah isterinya yang lembut dan manis terbayang di mata.
“Kalau cepat ada anak mungkin dia berubah agaknya.”
Kamal terdiam sejenak. Dia belum bersedia untuk menimang cahaya mata. Sharina terlalu muda apatah lagi untuk menimang cahaya mata.
“Tak apa, mak. Biarlah dia macam mana pun. Asalkan dia bahagia dengan saya. Saya terima seadanya. Lama-lama nanti matanglah Rin tu,” ujar Kamal lagi. Harapannya tidak pernah pudar. Satu hari nanti, pintu hati Sharina pasti akan terbuka untuknya. Bukankah ALLAH sentiasa menyertai orang-orang yang sabar? DIA telah menjodohkan mereka berdua, pasti DIA juga akan menciptakan kasih sayang dan cinta di hati isterinya itu agar terjalin kukuh dengan cintanya.
“Nanti balik ke sini, Kamal tolong belikan emak cencalok ya. Mak cadang nak buat ikan bakar waktu kenduri nanti. Tambah cencalok sikit dalam air asam tu, berselera sikit!” beritahu Mak Leha.
“Baik. Baik, mak! Yang lain-lain mak tak nak? Belacan?” soal Kamal mesra. Selain cencalok, belacan Melaka pun agak popular juga di kalangan rakyat negara ini.
“Tak apa, Kamal. Beli cencalok aje. Belacan di rumah ni dah banyak.” Senang hatinya mendengar kata-kata yang lembut daripada bibir menantunya itu. Sentiasa teratur, lembut dan tenang. Mak Leha percaya sangat-sangat yang Kamal dapat membimbing Sharina. Dapat menjadi suami yang baik buat anak kesayangannya itu.
“Baiklah, Kamal. Sampaikan salam mak kepada Rin. Mak tak mahu telefon dia sebab tak lalu nak dengar dia merengek, menangis,” kata Mak Leha sambil ketawa.
“Insya-ALLAH, mak. Sampaikan salam saya kepada Hisham jugak! Kalau tak ada aral,insya-ALLAH Jumaat nanti saya balik,” beritahu Kamal sebelum memberi salam dan menekan butang merah di telefon bimbitnya.

Terminal Lapangan Terbang Ipoh sesak dengan orang.Ramai juga jemaah haji menaiki penerbangan dari situ untuk ke KLIA sebelum berangkat ke Mekah. Sejak dari rumah tadi, Kamal mengagak tisu yang digunakan oleh isterinya untuk mengelap air mata hampir dua kotak.
“Selamat jalan, mak...” ucap Sharina dengan linangan air mata. Hatinya dikepung perasaan hiba yang tidak terungkap.
Mak Leha memeluk anak kesayangannya kuat-kuat sambil menangis. Hisham yang berada di situ tersenyum lebar lalu memandang wajah Kamal yang tenang.
“Emak, anak sama aje!” kata Hisham sambil ketawa. Terdengar pengumuman dari pembesar suara mengarahkan semua penumpang bakal haji supaya segera beratur untuk pemeriksaan pasport sebelum menaiki kapal terbang. Sekali lagi Sharina memeluk dan mencium emaknya. Kamal pun turut memeluk emak mertuanya serta Hisham.
“Selamat tinggal,” ucap Mak Leha. ‘Aku serahkan anak menantuku kepada ALLAH, yang penyerahan itu tidak akan sia-sia,’ doa Mak Leha di dalam hati.
“Selamat jalan, emak. Semoga ALLAH pelihara emak dan Sham. Selamat sampai di sana dan selamat kembali ke sini. Emak jangan bimbang, saya akan jaga Rin,” beritahu Kamal.
“Doakan saya dan Rin, mak,” pesan Kamal agak sebak. Hatinya berasa sedih menghadapi perpisahan itu. “Sampaikan salam saya kepada rasulullah... sewaktu emak pergi menziarahi makamnya nanti, mak.” Suara Kamal semakin sayu. Hatinya tiba-tiba berasa pilu.
“Terima kasih, Kamal. Rin jaga diri elok-elok. Jangan meragam. Dengar kata Kamal,” pesan Mak Leha lalu beredar meninggalkan anak menantunya cepat-cepat. Bayangan Kaabah menari-nari di hadapan matanya. Tidak sabar dia hendak menjejakkan kakinya di tanah suci.
Sharina terus melambai emak dan abangnya dengan deraian air mata. Dia tercegat di posisinya tadi tidak bergerak. Sehingga terminal mulai lengang dengan orang, Sharina masih mematung di situ. Sayang rasa hatinya untuk meninggalkan bekas tapak kaki emaknya itu.
“Rin nak ganti kerja pak guard tu ke? Tak nak balik?” gurau Kamal. Secara kebetulan seorang pengawal keselamatan sedang berkeliaran memeriksa jika ada jemaah haji yang tertinggal beg mereka.
Sharina menjeling tajam. Kamal menyeringai kepadanya.
“Emak tu kan nak menjadi tetamu ALLAH, sepatutnya Rin gembira dan bersyukur,” pujuk Kamal.
“Jom!” ajak Kamal lalu menggenggam jari-jemari Sharina dan meninggalkan tempat itu perlahan-lahan.
Sharina menurut tanpa kata. Kamal tidak melepaskan tangan Sharina sehingga mereka sampai ke kereta.
“Kita pergi rumah emak abang, ya? Esok baru balik Melaka,” beritahu Kamal sebaik sahaja mereka sudah berada di dalam kereta.
Sharina tersentak lalu menoleh. “Err... err... Rin tak bawa baju.” Sharina sengaja memberi alasan. Sebenarnya, dia tidak begitu selesa dengan emak mertuanya. Sikap emak mertuanya tak sama macam emak yang lembut dan penyayang. Emak mertuanya bermulut lepas. Kakak iparnya pun sama. Birasnya pula agak menakutkan dengan pandangan yang tajam seolah-olah hendak menelan tubuhnya.
“Apa susah? Baju emak abang ada. Kalau tak, pakai baju abang aje,” jawab Kamal selamba. Sengaja dia menyakat untuk memancing Sharina supaya terus berbual dengannya.
Sharina mengenyutkan mukanya. ‘Baju yang diluar tak apalah. Yang di dalam?’ “Yalah,” jawab Sharina sepatah. Tiba-tiba dia teringat pada pesanan emaknya tadi.
Kamal melirik ke wajah Sharina sambil mengundurkan keretanya dari medan parkir. Kasihan pula hatinya melihat wajah Sharina yang muram.
“Abang dah bawak semua keperluan Rin. Ada dalam boot,” Sebelah tangannya sempat mengusap pipi Sharina manakala tangan kanannya memegang setereng.
Sharina menjeling lagi.
“Kan abang dah kata, abang akan jaga Rin,” beritahu Kamal sambil mencubit manja hidung Sharina.
Sharina akhirnya mengukir senyuman manis. Sebagai tanda terima kasih, dia mengusap-usap paha Kamal, mesra. Kamal menyeringai. Perasaannya menggebu. Apatah lagi apabila melihat Sharina tidak lagi bersedih, hatinya berbunga bahagia.


                                    ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: