Khamis, 22 Ogos 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 11-sambungan)



Deru enjin kereta yang menjentik gegendang telinga menggamit Mak Cik Mariah supaya menjenguk ke halaman rumah. Hampa. Sudah dua, tiga kali dia berulang ke pintu mengintai kereta yang lalu-lalang. Namun, dia terus dihuni rasa kecewa. Kamal sudah berjanji akan balik pada hari itu setelah menghantar emak mertuanya ke lapangan terbang. Setelah menunggu beberapa minit di muka pintu akhirnya Mak Cik Mariah kembali ke dapur.
Mak Cik Mariah membasuh pinggan mangkuk yang bertimbun di dalam singki sambil merungut. “Si Ainun ni, pemalas betul. Balik sekali-sekala ke rumah bukannya tahu nak mengemas rumah. Yang dia tahu longgok pinggan mangkuk di dalam singki”
Baru semalam Ainun sampai. Kali ini, dia balik bersama suaminya sahaja. Zarif Afandi masih berkubang di tempat tidurnya, sebaik sahaja lepas sarapan tadi. Ainun pula melesap entah ke mana. Jangan-jangan dia pergi membeli-belah di bandar Ipoh.
“Asyik shopping aje. Entah apa yang tak cukup!” rungut Mak Cik Mariah lagi. Sambil membasuh kuali matanya sempat melirik jam yang diletak di atas peti ais.
“Dah 12.30 tengah hari. Mana Kamal ni?” omelnya. Dari semalam lagi Kamal sudah sampai ke Ipoh. Minggu lepas pun Kamal ada balik ke Ipoh, tetapi tidak sempat ke rumahnya. Dia bermalam di rumah emak mertuanya kerana ada kenduri doa selamat.
“Takkan dah dapat bini, lupakan emak sendiri,” rungut Mak Cik Mariah.
‘Kamal ni, kalau ikut ragam budak kecik tu, hancurlah. Jangan-jangan budak tu yang ajak Kamal balik tiap-tiap minggu. Habislah duit anak aku dikerjakannya nanti,’ Tuduh Mak Cik Mariah. Hatinya mula diasak cemburu dan perasaan tamak. Dia terbayangkan wajah Sharina. Menantunya yang baru habis sekolah.
‘Cantik! Tapi cengeng! Hancur! Jangan-jangan masak pun tak reti,’ teka Mak Cik Mariah dalam hati. ‘Hmm... kalau budak tu susahkan anak aku, tahulah aku nak ajar dia nanti.’ Mak Cik Mariah terus bermonolog.
Rungutan hatinya terhenti apabila mendengar enjin kereta di depan rumah. Dia sempat menjenguk  melalui celah langsir. Kamal sedang memarkirkan keretanya. Dia terus mengintai gelagat anak menantunya. Hatinya terbakar apabila melihat Kamal membukakan pintu kereta untuk Sharina. Kamal memegang tangan Sharina sewaktu isterinya itu keluar dari kereta. Sharina memakai baju kurung biru sedondon dengan warna baju Kamal. Apabila Sharina sudah berdiri di sisinya, Kamal memeluk bahu isterinya pula dan bergerak perlahan menuju ke boot kereta.
“Eeii... berbulu mata aku. Asyik nak berkepit aje!” Kamal masih memeluk bahu Sharina walaupun sewaktu membuka penutup boot kereta. Muka Kamal yang terlalu rapat dengan wajah isterinya menyebabkan Mak Cik Mariah yang melihat, tambah meluat.
“Hai, beg baju pun nak suruh anak aku bawa! Melampau!” Mak Cik Mariah bercakap sendiri. Perasaannya terus mendidih. Tidak tahu selama mana dia boleh bersabar.
“Assalamualaikum!” laung Kamal sebaik sahaja sampai di muka pintu.
Mak Cik Mariah menjawab salam dan segera membuka pintu hadapan. Kamal tersenyum di muka pintu. Sharina pun turut tersenyum apabila melihat wajah emak mertuanya. Cepat-cepat dihulurkan tangan kepada emak mertuanya sambil membongkokkan sedikit tubuhnya. Salamnya tidak disambut sebaliknya emak mertuanya terus menyambar tangan Kamal.
Sharina terpempan dan rasa tersinggung.
“Hah! Tau pun kamu pakai baju kurung!” perli emak mertuanya lalu menghulurkan tangannya kepada Sharina.
Hati Sharina terpujuk kembali. Namun, sindiran emak mertua menyentakkan hatinya. Dia memandang Kamal mengharapkan Kamal menjawab bagi pihaknya.
“Eh, mak ni! Apa pulak tak tahunya? Isteri saya ni orang Melayu. Islam. Waktu sekolah dulu, tiap hari dia pakai baju kurung, kan Rin?” tanya Kamal kepada Sharina sambil mengangkat keningnya. Kamal memang perasan air muka isterinya berubah mendengar sindiran emaknya tadi.
“Emak sihat?” tanya Kamal sambil melangkah masuk.
Mak Cik Mariah memegang-megang lehernya yang suam-suam kuku. Setelah itu, dia memegang dahinya beberapa kali. Dia berpura-pura mengerutkan dahinya pula.
“Entahlah, Kamal. Dah dua, tiga hari emak tak berapa sihat! Rasa sakit kepala.” Mak Cik Mariah mereka cerita sambil melirik kepada menantunya yang masih berdiri di sisi Kamal.
“Sayang... pergi hantar beg ni ke bilik. Lepas tu, rehatlah. Abang nak berbual dengan mak,” bisik Kamal kepada Sharina sambil menghulurkan beg di tangannya.
“Aduh, sakitnya kepala mak ni! Semakin tinggi matahari semakin kuat pula denyutannya.” Dia merenung ke wajah Sharina yang selamba dan tenang. Wajah menantunya yang manis memang menyejukkan. Tetapi hatinya tetap tidak boleh menerima jodoh Kamal yang bukan pilihannya. Jika boleh biarlah jodoh mereka rapuh seperti daun kering di musim kemarau.
“Kamal, makanan tengah hari mak tak masak lagi,” beritahu Mak Cik Mariah. Suaranya semakin perlahan dan lemah. Semakin hebat pula lakonannya.
“Tak masak? Tak apa! Kita makan aje apa yang ada. Kalau tak pun, nanti saya pergi beli lauk yang dah siap masak di kedai,” balas Kamal. Kasihan pula dia hendak menyuruh Sharina memasak. Sharina masih belum bergerak dari sisinya.
“Untuk kita bertiga, tak banyak mana kalau nak beli pun,” sambung Kamal lagi.
“Ainun ada balik! Dengan suaminya. Abang Zarif kau masih berdengkur lagi. Ainun pulak entah merayap ke mana. Dari tadi tak balik-balik,” beritahu Mak Cik Mariah. Terlupa pula dia hendak mengerutkan dahinya.
Sharina yang memerhatikan gelagat emak mertuanya menyimpan ketawa di dalam hati.
“Suruh bini kamu masak,” arah Mak Cik Mariah.
Kamal sempat menggenggam tangan Sharina dan memberi isyarat dengan memicit perlahan ibu jari Sharina, beberapa kali. Kamal mengerti yang emaknya ingin menguji isterinya. Sharina hanya mendengar dengan sabar.
“Tak apalah, emak. Biarlah Rin masak. Tapi... Rin masak tak sedap,” kata Sharina selamba dan perlahan. Dia cuba meleraikan genggaman tangan Kamal, namun Kamal tidak melepaskannya.

Mak Cik Mariah menjeling, meluat.



              ~ ~ bersambung ~~

Tiada ulasan: