Isnin, 26 Ogos 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 12)


Malam itu selepas solat maghrib, Sharina terpaksa bersilat lagi di dapur. Lauk-pauk yang dimasaknya tengah hari tadi sudah habis. Hatinya berasa puas apabila melihat semua orang makan dengan penuh berselera. Hilang rasa penatnya. Ada saki-baki di dalam periuk pun habis disedekahkan oleh emak mertuanya kepada jiran. Sharina tidak berasa apa-apa. Bersedekah bukankah amalan mulia? Emaknya pun suka bersedekah.
“Rin nak abang tolong ke?” tanya Kamal.
Tersentak Sharina. Tiba-tiba sahaja Kamal berada di sisinya yang sedang memotong ayam.
“Kasihan Rin...” bisik Kamal. Dia berasa geram juga melihat emaknya mendesak Sharina memasak berkali-kali. Walaupun sudah diajak untuk makan di luar, emaknya tetap menolak. Bermacam alasannya. Sakit perutlah. Sakit kakilah. Sekarang ini, emaknya sedang asyik berbual dengan kak ngah di ruang depan. Ketawa mereka berderai-derai sedangkan isterinya dibiarkan memasak seorang diri di dapur tanpa dibantu.
“Ayam ni, Rin nak masak apa?” tanya Kamal.
Sharina sudah selesai memotong ayam dan sibuk membersihkan ayam-ayam itu pula.
“Emak nak makan kari ayam,” jawab Sharina sepatah-sepatah.
 Kamal tersentak. Setahunya, emaknya tidak suka makan kari. Kamal menjeling ke dalam besen di dalam singki pula.
“Daging tu nak buat apa pula?” tanyanya hairan.’
“Kak ngah dan Abang Zarif nak makan daging masak kicap,” jawab Sharina lembut dan meneruskan kerjanya. Sebagai menantu dan ipar, dia harus menghormati mertua dan kakak iparnya.
“Hai, laki sendiri nak makan suruh bini orang masak pulak!” rungut Kamal perlahan menyembunyikan perasaan geram. Meradang betul melihat isterinya dibabukan di rumah itu.
“Rin... ikutkan hati, abang nak makan telur dadar aje. Tak payah masak lagi. Biar kak ngah masak untuk suami dia,” beritahu Kamal dengan nada perlahan.
Kata-kata Kamal membuatkan Sharina berasa serba salah. Pesan emak jangan bantah cakap suami, tapi...
“Sesekali,” jawab Sharina  lembut. Mustahil dia membantah kehendak emak mertuanya. Nanti macam-macam pula cerita buruk yang timbul. Emak mertua dan menantu perempuan kerap ada krisis seperti yang selalu dibacanya dalam majalah.
“Sesekali?” soal Kamal pula. Dia bimbang kelembutan Sharina membuka ruang untuk emak dan kak ngahnya mengambil kesempatan. Mentang-mentanglah isterinya masih muda remaja lagi.
“Tak apa, bang. Kalau boleh, abang tolong keluarkan pinggan mangkuk. Rin segan nak geledah almari mak,” beritahu Sharina perlahan.
Dia menjeling periuk di atas dapur yang sudah panas minyaknya. Kuali untuk memasak daging masak kicap pun begitu juga. Sharina cepat-cepat mencapai hirisan bahan tumisan yang telah disediakan tadi. Dia mula menumis untuk kedua-dua jenis masakan.
Kamal hanya memerhati. Dia kagum dengan kecekapan Sharina di dapur. Dalam tempoh  sejam, makanan malam sudah tersaji di atas meja.
Mak Cik Mariah, Ainun dan suaminya, Zarif Afandi tidak sabar-sabar hendak mencedok nasi.
Kamal pun makan dengan penuh berselera. Hanya selera Sharina yang layu. Dia runsing apabila mendengar suara Ainun yang asyik berceloteh sambil makan. Emak mertuanya begitu juga. Di ruang dapur bising bagaikan pasar malam walaupun yang bersembang hanya dua orang. Zarif Afandi pula asyik merenungnya sambil tersenyum-senyum.
“Sedapnya! Pandai Rin masak,” pujinya berulang kali.
Sharina menundukkan mukanya tanpa menjawab apa-apa. Dia menyuap nasi perlahan-lahan. Kamal pun makan dengan senyap.
“Rin, cedokkan nasi untuk abang...” pinta Zarif Afandi kepada Sharina yang berada di depannya sedangkan mangkuk nasi tambah hampir dengan isterinya.
Sharina terpaksa bangun dan mencedokkan nasi untuk Zarif Afandi. Kamal sempat menjeling, namun tidak bersuara. Maklumlah, di meja makan. Di depan rezeki harus bersabar dan makan dengan tertib.
“Rin, boleh ambilkan daging masak kicap ni lagi tak?” pinta Zarif Afandi lalu menuangkan baki daging masak kicap itu ke dalam pinggannya. Mangkuk yang kosong dihulurkannya kepada Sharina.
Kamal yang sedari tadi menahan perasaan radang bingkas bangun dan mengambil mangkuk yang dihulurkan oleh Zarif Afandi.
Sharina melihat wajah Kamal kelat. Perasaannya mulai kecut. Dia cepat-cepat menghabiskan nasi dan mengekori Kamal ke dapur sambil membawa pinggannya yang sudah kosong.
“Rin dah habis makan?” tanya Kamal yang sedang mencedok daging masak kicap dari kuali.
“Dah,” jawab Sharina sepatah. Sebenarnya perutnya masih lapar lagi. ‘Ragam keluarga Abang Kamal betul-betul membantutkan selera Rin,’ bisik hatinya.
“Rin, bagi abang bekas garam tu,” kata Kamal.
Sharina terkejut dengan permintaan Kamal itu, namun dia menghulurkan bekas garam kepada Kamal.
“Bak sini!” kata Kamal. Mangkuk yang sudah berisi dengan daging masak kicap diletakkannya di atas meja.

“Rin, pergi masuk bilik. Jangan keluar! Tak usah tayang muka dekat buaya darat tu!” 


                          ~ ~ bersambung ~ ~. 

Tiada ulasan: