Rabu, 4 September 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 15-sambungan)




Lewat pagi itu, Mak Cik Mariah terkejut apabila melihat kereta Ainun memasuki halaman rumah mereka. Ainun keseorangan. Dia yang baru hendak memasak untuk makanan tengah hari terus menyonsong Ainun di keretanya.
“Balik seorang saja? Zarif dan anak-anak mana?” soal Mak Cik Mariah. Matanya menjengah ke dalam kereta Ainun.
“Abang Zarif sibuk, mak. Anak-anak saya pun tak mahu ikut. Sibuk dengan kerja sekolah! Kan dah dekat peperiksaan hujung tahun ni,” beritahu Ainun sambil berjalan menghampiri emaknya. Anaknya ada dua orang. Fakhirul dan Atilia.
“Emak apa kabar?” tanya Ainun pula sambil bersalam dan mencium tangan emaknya. “Menantu emak lagi seorang tak balik?” tanyanya lagi sekadar menduga.
“Lama dah tak balik. Yang balik, Kamal seorang,” beritahu Mak Cik Mariah.
“Kamal balik seorang? Biar betul, mak. Takkan dia nak tinggalkan bini dia di Melaka sorang-sorang?” sanggah Ainun. Setahunya, Kamal dan Sharina asyik berkepit ke hulu dan ke hilir macam belangkas.
“Takkan Kamal nak tinggalkan bantal peluk dia tu! Kau pun satu hal jugak, Ainun. Dia bawak balik, tapi dia hantar Rin ke rumah emaknya di Gopeng. Lepas tu, baru Kamal balik ke sini,” jelas Mak Cik Mariah sambil menghela nafasnya seketika.
“Tapi Kamal tu, kalau balik sorang-sorang ke rumah ini, sekejapan aje dah macam cacing kepanasan! Asyik menelefon bini dia aje. Kalau tak telefon, asyik bermesej...” leter Mak Cik Mariah.
Ainun ketawa mendengar luahan hati emaknya itu. “Saya singgah di rumah Kamal semalam.” Ainun memulakan cerita. “Agaknya Rin sedang belajar di kolej,” sambung Ainun sambil melunjurkan kakinya yang terasa lenguh.
“Apa? Rin belajar di kolej?” tanya Mak Cik Mariah dengan kuat.
Ainun mengangguk berkali-kali. “Saya agak saja. Sebab bila saya di rumah mereka, saya tengok buku melambak-lambak atas meja. Nampak gaya macam ada seseorang yang sedang belajar di rumah tu,” cerita Ainun lagi.
“Ni mesti Rin yang desak-desak Kamal tu. Ada aje cara dia nak habiskan duit anak aku. Sebelum kahwin tak nak belajar. Gatal nak kahwin. Dah kahwin gatal pulak nak belajar,” rungut Mak Cik Mariah.
“Mesti Kamal ikut telunjuk Rin, mak!” Rasa dendamnya kepada Sharina masih belum selesai walaupun Kamal sudah berkahwin dengan Sharina hampir setahun. Rasa dendam dan bencinya itu tumbuh kerana dua perkara. Pertama kerana Kamal memutuskan pertunangan dengan Rita disebabkan hendak berkahwin dengan Sharina dan sanggup bertengkar dengannya. Kedua kerana Zarif Afandi selalu sangat memuji-muji adik iparnya itu. Nampak suaminya itu macam berkenan sangat dengan birasnya. Hatinya mula dibenihi rasa cemburu.
“Saya dengar Kamal ada membeli sekeping tanah di kawasan Ipoh ni,” kata Ainun. Sesekali bertemu dengan emaknya, seronok juga jika bercerita tentang adiknya itu.
“Beli tanah untuk apa?” soal emaknya pula cuba mengorek rahsia. Manalah tahu cerita Ainun berbeza daripada mulut Kamal.
“Nak buat rumah untuk bini dialah, mak,” jawab Ainun sambil menjuihkan bibirnya.
Hati Mak Cik Mariah semakin membara. Dia ada juga mendengar cerita itu daripada mulut Kamal sendiri. Kamal sedang mencari tanah untuk dibuat rumah. Tetapi tidak pula dinyatakan untuk membuat rumah Sharina. Tanah milik Kamal yang dicadangkan sebagai tapak rumahnya telah dibeli oleh kerajaan kerana menjadi laluan jalan kereta api eletrik. Projek terbaru kerajaan itu menelan beratus juta ringgit. Kamal juga mendapat pampasan dalam jumlah yang besar.
“Hai, dulu dia janji nak duduk dengan emak kalau dapat bertukar bertukar balik ke sini,” beritahu Mak Cik Mariah.
“Itu janji orang bujang, mak. Sekarang ni, dia dah ada isteri takkanlah nak duduk dengan emak?” soal Ainun.
“Eeii... meluat aku!” jawab Mak Cik Mariah. Entah mengapa sehingga hari itu, dia tidak boleh menerima Sharina sebagai menantunya. Malah, dia terlalu benci dengan sikap Sharina yang manja dan kebudak-budakan itu.
“Bila-bila emak jumpa Kamal jangan ceritakan kepada dia apa yang saya ceritakan ni,” kata Ainun.
“Tak, janganlah kau risau.”
Ainun tersengih-sengih.
“Kalau dia berlebih-lebih, emak paksa saja Kamal ceraikan dia, apa susah?” cucuk Ainun.
“Rita ada datang tak mak? Lama saya tak jumpa dengan dia...” Ainun tiba-tiba teringatkan bekas tunang Kamal. 
“Ada. Dua tiga hari lepas. Katanya dah nak kahwin. Dia ada bertanyakan kamu! Nak telefon... nombor telefon kamu dia tak ingat simpan di mana,” cerita Mak Cik Mariah.
“Telefon yang dulu dah hilang. Dia dah guna telefon baru. Nombor telefon kamu, dia simpan dalam telefon yang lama tu,” terang Mak Cik Mariah. Dia berasa terkilan juga kerana Rita tidak menjadi menantunya. “Emak ada bagi nombor telefon kamu kepada dia. Nombor telefon dia ada pada mak ni! Kamu nak?” soal Mak Cik Mariah.
“Naklah. Nanti Nun telefon dia. Bulan depan Nun balik lagi. Boleh ajak dia makan tengah hari di sini,” kata Ainun. “Kasihan Rita, elok-elok bertunang dengan Kamal, putus pulak,” keluh Ainun.
“Semua ni Sharina punya pasal. Kalau Kamal tak berkenalan dengan Sharina, emak rasa Kamal tidak akan membuat keputusan tergempar begitu,” komen Mak Cik Mariah.
“Mak gunalah kuasa yang mak ada kalau nak Rita jadi menantu emak jugak. Tak dapat tahun ini tahun depan. Tak dapat tahun depan, tahun satu lagi! Kamal tu anak lelaki. Dia kena dengar cakap emak. Kalau emak suruh dia ceraikan isteri dia pun, dia kena ceraikan. Kalau tidak jadi anak derhakalah dia.” Panjang berjela Ainun memberi buah fikiran yang dirasakannya paling bernas itu.
“Hal itu mak dah memang faham, Ainun.Tahulah emak nanti nak buat macam mana,” jawab Mak Cik Mariah. “Jadi kamu nak pergi melancong tu?” Dia tidak mahu lagi membicarakan tentang Kamal dan isterinya kerana dadanya seolah terasa sesak.
“Insya-ALLAH, mak... Abang Zarif nak bawa anak-anak pergi bercuti. Dah cuti sekolah, kan! Kasihan budak-budak tu lama tak pergi melancong,” jawab Ainun.
“Nak ke mana?” soal Mak Cik Mariah ringkas. Tabiat Ainun dan Zarif Afandi yang pemboros difahaminya sangat.
“Paris.” Kembang kempis hidungnya sewaktu menjawab. Tercapai juga impiannya untuk memijak kaki di kota Paris. Menara Eiffel yang dibina pada 1889 oleh Gustave Eiffel terbayang-bayang di matanya.
“Baiklah kamu pergi buat umrah. Pahala pun dapat,” nasihat Mak Cik Mariah perlahan. Dia sendiri pun sudah tiga kali buat umrah. “Manalah tahu kalau-kalau kamu boleh berubah. Tak jadi pemboros lagi,” sambung Mak Cik Mariah.

“Hmm... nanti saya pergilah emak,” jawab Ainun acuh tak acuh. Emaknya yang sudah berulang kali menunaikan umrah pun hatinya masih diselimuti perasaan benci dan cemburu. Sikap tamak halobanya pun tak pernah berubah sebaliknya bertambah-tambah.


                                       ~ ~ bersambung~~

Tiada ulasan: