Khamis, 5 September 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 16)


Ombak menderu dan bergulung putih menyambut kehadiran Kamal dan Sharina di Pantai Cenang. Pasir halus dan memutih nampak dari kejauhan. Pasir halus bak debu, tetapi tiada tangan manusia pakar yang dapat menghasilkan pasir itu. Segalanya ALLAH cipta dan jadikan dengan sebab yang tertentu. Sekiranya telinga manusia dapat mendengar ucapan tasbih dari seluruh pasir di tepi pantai, ombak, burung-burung, dedaunan pasti di telinganya sentiasa bergema dengan ucapan subhanallah. Alhamdulillah. ALLAHuAKBAR.
“Wah, nyamannya bayu laut ni!” kata Sharina dengan gaya teruja. Tangannya memegang tudungnya yang terselak-selak ditiup angin. Matanya terus memandang ke lautan yang luas terbentang. Ombak memutih berkejar-kejaran.
“Memanglah nyaman, masih awal pagi...” jawab Kamal dengan suara yang agak kuat. Dia gembira melihat isterinya riang. Alhamdulillah... Sharina tidak muntah-muntah lagi.
“Kalau dah tengah hari sikit lagi, panas,” beritahu Kamal sambil tersenyum.
Sharina tidak membalas kata-kata Kamal kerana asyik melihat ombak yang datang dan pergi. Pantai dan ombak yang selalu menjadi sumber ilham pada manusia. Tambahan kepada pasangan yang sedang berkasih.
“Jaga Rin... jangan ke sana. Nanti basah seluar!” Kamal terpekik kecil apabila melihat ombak besar datang melanda pantai.
Mendengar kata-kata suaminya, Sharina ketawa. “Tadi nak ajak Rin datang pantai... nak main jet skilah... nak naik speed boatlah... kalau tak nak seluar Rin basah... kita memerap kat bilik hotel sajalah,” ejek Sharina langsung memasukkan kakinya ke air laut.
Ketawa Kamal kuat apabila mendengar kata-kata yang terlontar daripada bibir isterinya itu. Ada sesuatu yang lucu dalam kepalanya. “Rin tak takut naik jet ski? Kalau berani. jom...” pelawa Kamal sambil menarik tangan Sharina.
“Dengan abang, ya,” pinta Sharina. Tidak tersedar mereka sudah sampai ke tempat sewaan jet ski.
“Mestilah,” Jawab Kamal sambil memakaikan Sharina jaket keselamatan.
“Takkan Rin nak suruh mamat bangla tu bawa Rin!” gurau Kamal. Dia sempat membetulkan anak-anak rambut Sharina yang terkeluar daripada tudungnya.
Sharina tersenyum-senyum. Saat suaminya memanjainya begitu,terasa dirinya terlalu disayangi dan dihargai.
“Eeii... Rin pun tak ingin,” sanggah Sharina dengan suara manja. Dia sempat memegang lengan Kamal yang sedang sibuk membetulkan jaket keselamatannya.
“Abang jangan bawa laju tau,” pesan Sharina sebaik jet ski yang disewa sudah berada di hadapan mereka. Kamal ketawa sambil mencubit manja pipi Sharina. Dia segera naik ke jet ski. Jet ski sudah teroleng-oleng dimain ombak laut.
“Kalau tak nak laju, baik bawa rakit. Hmm... cepat naik. Peluk abang kuat-kuat!” ajak Kamal.
Sharina berasa serba salah. Dia terasa gayat, tetapi tidak mahu memberitahu Kamal.  Waktu percutian mereka biarlah suaminya bergembira sepuas hatinya.
“Okey, Rin... ready! 1 2 3...”
Jet ski meluncur laju membelah ombak yang berkejaran. Sharina terjerit kuat, namun semakin kuat dia menjerit semakin laju Kamal memecut. Air laut menyimbahi tubuh mereka berdua apabila Kamal membelok tajam dan deras. Jet ski yang dibawa melambung-lambung mengikut alunan ombak. Akhirnya, Sharina diam. Pandai pula Kamal memperlahankan kelajuan jet ski.
“Abang tipu...” kata Sharina geram lalu mencubit kecil perut Kamal sebaik sahaja mereka tiba di pantai.
Kamal ketawa kuat sambil mengusap perutnya dan pipi Sharina. “Jom, balik hotel salin baju dulu.”
Sharina mengangguk. Sebenarnya perutnya sudah mula rasa bergelodak. Kamal menghulurkan kain tuala untuk menutup tubuhnya yang lencun disimbah air laut.

Mak Leha masih tertunggu-tunggu kepulangan anak dan menantunya. Semalam Sharina menelefon memberitahu dia dan Kamal akan singgah dalam perjalanan balik ke Melaka dari Pulau Langkawi.
“Assalamualaikum, mak...” Suara Hisham pula yang menjengah ke telinganya. Hisham yang baru pulang dari pejabat terus menghampiri emaknya.
“Jadi Rin balik mak?” tanya Hisham selepas bersalaman dengan emaknya.
“Ni yang emak tunggu ni! Tak sampai-sampai lagi, risau jugak,” beritahu Mak Leha.
“Sekejap lagi sampailah tu. Mungkin mereka berhenti singgah berehat di mana-mana dulu! Maklumlah,perjalanan jauh. Dari Langkawi, kan?”
Mak Leha terdiam.
“Sham nak pergi mandi dulu, mak. Belum solat asar lagi ni. Sekarang waktu asar pun masuk lewat,” beritahu Hisham.
Bunyi hon di depan rumah menyebabkan perasaan Mak Leha lega. Hatinya menguak lapang apabila melihat kereta Kamal yang sudah terparkir di sebelah kereta Hisham. Sharina pun sudah menjengukkan mukanya di tingkap kereta yang sudah diturunkan cerminnya.
“Emak...” Sharina terus menerkam emaknya di muka pintu.
Kamal pula selepas bersalam dengan emak mertuanya terus masuk ke bilik mereka.
“Rin sihat? Macam mana percutian?” soal Mak Leha sambil memeluk anak kesayangannya itu. Lama mereka berpelukan.      “Alhamdulillah, mak. Seronok,” jawab Sharina riang sambil menyembunyikan rasa sakit perutnya. Sebenarnya perutnya rasa memulas sejak dalam perjalanan tadi.
“Rin pergi berehat, ya. Nanti emak siapkan minuman,” kata Mak Leha. Gembira benar hatinya menyambut kepulangan anak kesayangan.
“Yalah,mak” jawab Sharina lalu beredar dari situ.
Sampai ke dalam bilik, Sharina terus meniarap di atas tilam. Perutnya benar-benar rasa sakit. Lebih sakit daripada rasa sakit senggugut yang selalu dialaminya. Sharina mula menangis perlahan-lahan. Mukanya berkerut-kerut.
“Rin... kenapa ni?” soal Kamal yang baru keluar dari bilik mandi. Dia terus duduk di sisi Sharina yang meniarap. Sharina yang mula tidak keruan. Bergulung-gulung di atas tilam sambil menangis dan merintih.
“Sakit. Abang... perut Rin sakit sangat ni. Tolong...” adu Sharina. Kakinya mula mendingin. Dia tercungap-cungap.
Kamal cemas melihat keadaan Sharina lantas memegang perut isterinya itu. “Tadi Rin ada makan rojak buah sewaktu kita singgah makan di Changkat Jering, kan?” tanyanya sambil cuba menggosok-gosok perut Sharina.
Sharina yang masih menahan kesakitan hanya merintih dan mengangguk. Memang benar tadi, dia makan rojak buah yang sengaja dilebihkan potongan nanasnya.
“Tahan sikit, ya. Abang nak sembahyang! Lepas tu, kita pergi klinik,” beritahu Kamal. Walaupun hatinya tidak tergamak melihat isterinya dalam keadaan begitu, etapi tanggungjawab kepada ALLAH perlu diutamakan. Terlupa pula  yang dia sudah menyentuh Sharina dalam keadaan dirinya berwuduk.
“Sakit... tak boleh tahan. Abang tolong panggilkan emak..tolong,” ungkap Sharina dengan bibir yang terketar. Seluruh isi perutnya terasa hendak luruh. Sharina bangun dan cuba turun dari katil. Sewaktu dia berdiri, dia terasa ada cecair panas mengalir di celah pahanya meleleh laju sehingga ke betis terus ke kakinya.
 “Ya ALLAH, Rin turun darah ni.” Kamal terjerit. Hatinya dijerut bimbang.  Dia terus menyambar tubuh Sharina yang hendak rebah. “Mak!” pekik Kamal memanggil emak mertuanya. Dia pula terasa hendak menangis melihat keadaan Sharina begitu.
“Mak, tolong tengok Rin,” beritahunya sebaik sahaja Mak Leha muncul di dalam bilik.
Mak Leha terus menerkam Sharina yang tidak keruan di atas tilam yang sudah bertompok-tompok merah. Mak Leha cemas. Hatinya diratah perasaan bimbang. Dia terus meraba punggung Sharina dengan tapak tangannya. Punggung Sharina basah dan tangan Mak Leha pula disaluti darah.
“Ya ALLAH! Rin keguguran ni, Kamal. Cepat! Bawa dia ke hospital,” beritahu Mak Leha dengan suara kuat. Jantung Mak Leha pun berdegup kencang lebih dari biasa.
“Rin keguguran?” tanya Kamal terkejut. Bulat matanya merenung emak mertuanya yang nampak gelisah. Pantas tubuh Sharina dirangkulnya dengan tangisan bimbang.
“Kamal tak tahu Rin mengandung ke?” soal Mak Leha dengan suara agak kuat.
“Mengandung? Kenapa Rin tak beritahu abang? Ya ALLAH...” keluh Kamal dengan deraian air mata. Batinnya terus meronta. Dia bimbang melihat wajah Sharina yang semakin pucat dengan mata terpejam. Nafasnya semakin  perlahan. Wajahnya tampak tidak bermaya lagi.

Malam itu, Kamal terpaksa bermalam di Hospital Pantai Puteri, Ipoh. Sharina terpaksa ditahan di wad sehari dua. Usia kandungannya baru enam minggu. Doktor kata, Sharina mungkin keguguran kerana rahimnya tidak cukup kuat untuk aktiviti lasak. Kamal terduduk mendengar kenyataan daripada doktor itu. Sharina pula terus meraung.
“Abang... Rin minta maaf!” tangis Sharina terus memeluk Kamal. Sedu-sedannya bertali-tali. Kamal mengusap-usap kepala Sharina perlahan dan mencium tangan isterinya itu.
“Maafkan Rin, bang...”  Berulang kali Sharina mengucapkan kata-kata itu di telinga Kamal. Tangisannya tiada berhenti. Apabila Sharina menangis, Kamal pun turut menangis. Dia menangis kerana bimbangkan keselamatan isterinya. Air mata mereka bersatu apabila Kamal merapatkan pipinya dengan pipi Sharina.
“Abang yang kena minta maaf daripada Rin. Sepatutnya bila Rin dah muntah-muntah sewaktu di Langkawi, abang terus bawa Rin pergi check-up! Ni abang pergi bawa Rin buat aktiviti lasak pulak,” keluh Kamal dengan suara perlahan.  Dadanya terasa sesak dihempas gelombang kedukaan.
“Memang abang ada cakap, abang tak nak anak lagi. Tapi, kalau ALLAH nak bagi kita anak, abang terima. Abang akan jaga Rin betul-betul kalau abang tahu Rin mengandung. Ya ALLAH...” keluh Kamal sambil menekan-nekan dahinya. Kesedihan Kamal tidak terungkap dengan kata-kata lagi.
“Rin lagi tak tahu, bang...” rintih Sharina. Air mukanya  kusut dan sugul. Dia masih terlalu mentah dalam persoalan sebegitu. Mereka berpelukan sambil menangis.
“Sudahlah tu, Kamal, Rin... tak usah memprotes kehendak ALLAH. Belum sampai ketikanya lagi kalian berdua memiliki cahaya mata.” Tiba-tiba menjengah suara Hisham di antara mereka. Mereka baru sampai untuk melawat.
“Betul kata Hisham tu. Jangan sedih sangat. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Sama-samalah kita bersabar menghadapi ujian ni,” sampuk Mak Leha pula.
“Saya faham, mak! Tapi, saya kasihan pada Rin. Bila tengok dia dalam kesakitan, saya tak sampai hati, mak! Kalau boleh biar saya yang tanggung segala kesakitan Rin tu,” jawab Kamal prihatin.         
“Kamal, sementara kesihatan Sharina pulih kembali, mak nak minta izin Kamal, tinggalkan Rin dengan emak sebulan. Perempuan keguguran ni nak kena berpantang macam perempuan lepas bersalin jugak,” beritahu Mak Leha.
Sharina yang mendengar terkulat-kulat. Sebulan berpisah dengan suaminya terasa bagai 1000 tahun. Tidak tertahan hatinya menanggung rindu. Hati Sharina dibeliti oleh perasaan sebak pula. Dengan nama ALLAH, dia tidak sanggup berpisah dengan Kamal walaupun sedetik.
“Hah? Nak tinggalkan Rin di sini?” soal Kamal tidak percaya. Dia merenung ke dalam anak mata Sharina mencari jawapan dan persetujuan.
“Tak lama mana pun. Kalau dah rindu nanti, telefonlah 24 jam,” cadang Mak Leha. Dia faham benar perasaan anak menantunya. Mereka berdua pasangan yang sedang bercinta. Asyik berkepit macam belangkas. Maklumlah, sebelum bernikah langsung tak pernah berkenal mesra.
“Macam ni, Kamal... bila kesihatan Rin dah pulih nanti, aku dan emak pergi hantar dia ke Melaka.” Akhirnya, Hisham menyampuk.

“Baiklah, mak. Saya tinggalkan Rin di rumah emak,” kata Kamal dengan suara sedih. Walaupun dia tahu keputusan yang dibuat mengecewakan hatinya sendiri dan Sharina. 

                              ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: