Zarif Afandi teragak-agak memarkirkan keretanya di bawah pokok
rambutan. Dia tidak pasti sama ada rumah yang tersergam di hadapannya itu rumah
birasnya. Baru sekali dia datang ke rumah itu pada waktu majlis perkahwinan
Kamal dan Sharina. Sudah lebih setahun, banyak perubahan di sekeliling rumah
itu.
“Betul ke rumahnya ni, emak!
Ainun?” soalnya sambil meninjau sekitar rumah itu. Emak mertua dan isterinya
juga tertinjau-tinjau melalui tingkap kereta.
“Betullah,” jawab Mak Cik Mariah
lalu membuka pintu dan turun dari kereta. Mereka bertandang ke situ kerana
hendak menziarahi Sharina. Mereka datang berempat termasuk Rita.
“Turunlah, bang. Yang
teragak-agak lagi kenapa? Jom, kita pergi tengok budak tu,” ajak Ainun pula.
Dia cepat-cepat mengekori emaknya yang sudah sampai ke kaki tangga.
Belum sempat mereka memberi
salam,Mak Leha sudah
membuka pintu.
“Oh Cik Mariah. Silalah naik,”
jemputnya sambil tersenyum mesra. Mereka bersalam-salaman.
“Rin macam mana, Cik Leha? Dah
sihat ke dia?” soal Mak Cik Mariah dengan suara ramah. Senyuman kepura-puraan
terlukis di bibirnya. Jika tidak didesak Kamal, tidak ingin dia datang
menjenguk menantunya itu.
“Alhamdulillah! Dah banyak hari
dia keluar wad,” jawab Mak Leha. Kalau masih berlaku pendarahan, Sharina perlu ke
hospital lagi untuk dicuci rahimnya.
“Rin di mana, mak Cik?” soal
Ainun pula. Matanya mengitari rumah papan itu. Rumah kampung, tetapi elok
buatannya. Bersih dan luas anjungnya. Ainun berjalan mengekori Mak
Leha.
“Yang ini siapa?” tanya Mak
Leha kepada Rita yang membisu sejak
tadi.
“Saya Rita, mak cik. Saudara
angkat Kak Ainun ni,” beritahu Rita sambil tersenyum. Dia memberi isyarat mata
kepada Ainun supaya merahsiakan perhubungannya dengan Kamal daripada
pengetahuan Mak Leha.
“Masuklah ke bilik dia. Saya
buatkan air,” beritahu Mak Leha lantas membukakan pintu bilik Sharina.
Sharina sedang berbaring
menelentang di atas katil sambil membaca novel.
“Rin... ni emak mertua dan kakak
ipar Rin datang ni,” beritahu Mak Leha dengan lembut.
Sharina yang sedang berbaring
bingkas duduk dan menghulurkan tangan kepada emak mertuanya.
“Emak, kak ngah, apa khabar?
Hmm... duduklah, Eh... jomlah kita duduk di ruang tamu aje,” kata Sharina
tergagap-gagap. Dia berasa gugup kerana tidak menyangka yang emak mertuanya
akan datang melawat. Sharina merenung pula ke arah wanita muda yang turut
bersama emak mertua dan kakak iparnya itu. Bibirnya melarik senyuman.
“Oh ya... terlupa pulak kak ngah
nak kenalkan! Yang ni, Rita... tunangan Kamal,” kenal Ainun kepada Sharina
sambil mengangkat keningnya.
“Oh...” Bagaikan terhenti detakan
jantungnya. Sharina bungkam dan tidak mampu berkata lagi. Hatinya bagai dicarik. Kakinya
yang sedang memijak lantai terasa lembik. Tasik air matanya tiba-tiba terasa
tepu.
“Marilah kita berbual di luar ni,
Cik Mariah, Ainun... ” pelawa Mak Leha yang kembali ke bilik itu. Kedukaan yang sedang
merebak di lautan hati Sharina terpasung.
“Rin tinggal dalam bilik ni, tak
usah berjalan ke sana sini,” kata Mak Leha kepada Sharina apabila melihat anaknya itu sudah
turun dari katil dan mengekori mereka ke ruang tamu.
Mak Cik Mariah sempat menjeling.
Kemanjaan yang ditaburkan oleh Mak Leha kepada Sharina seolah-olah mencubit hatinya. Cubitan
itu menimbulkan sangka buruk di sudut hatinya.
Mahu tak mahu sebagai tetamu, dia
mengekori juga Mak Leha ke ruang tamu.
“Siapa yang jaga makan minum
Kamal kalau Rin dah duduk di sini?” soal Mak Cik Mariah sebaik saja punggungnya
mencecah sofa.
Mak Leha
terdiam seketika. Dia menghidangkan cawan kopi di hadapan besannya itu. Dia
tahu besannya itu sedang menyindirnya.
“Kamal yang izinkan Rin tinggal
dengan saya,” jawabnya perlahan setelah berfikir seketika.
“Berapa lama Rin nak duduk kat
sini?” soal Mak Cik Mariah lagi dengan suara tegang.
“Sebulan, Cik Mariah Sehingga dia
betul-betul pulihlah!” jawab Mak Leha.
“Habis tu, makan minum Kamal
sebulanlah tak terjaga!” balas Mak Cik Mariah dengan suara tak puas hati.
“Umur Kamal tu dah 28 tahun, mak!
Takkanlah tak tahu cara hendak mengisi perut sendiri,” sampuk Ainun pula cuba
meredakan perasaan dan hati tuan rumah.
“Tapi mak, sementelah Rin duduk
di kampung ni selama sebulan, apa salahnya emak bela dia selama seminggu!”
cadang Ainun. Dia sempat mengutil-ngutil kecil paha emaknya yang duduk rapat di
sisinya memberi isyarat supaya emaknya menyetujui cadangan spontannya itu.
“Betul juga kata Ainun tu. Rin
menantu saya. Kamal tu anak bongsu saya. Teringin juga saya hendak menjaga Rin.
Yalah, dia pun keguguran kerana mengandungkan anak Kamal... cucu saya jugak!”
sambung Mak Cik Mariah.
“Minta maaflah, Cik Mariah...
perkara itu saya tak boleh buat keputusan. Kena minta izin daripada Kamal,”
jawab Mak Leha.
Sharina bukan lagi hak mutlaknya apabila telah menjadi isteri Kamal.
“Bila Kamal balik ke sini
semula?” tanya Mak Cik Mariah. “Insya-ALLAH... Jumaat ni,” beritahu Mak
Leha. “Dia nak balik Jumaat lepas
,saya yang larang. Kasihan pulak! Melaka dengan Ipoh ni bukannya dekat,” cerita
Mak Leha lagi.
“Silalah minum, Ainun... Rita,”
pelawanya kepada dua orang wanita itu apabila melihat mereka masih membiarkan
cawan kopi yang berada di hadapan mereka tanpa disentuh.
“Ainun, kenapa tak ajak suami
naik ke rumah sekali?” Tiba-tiba Mak Leha teringatkan Zarif Afandi yang masih berada di luar
rumah.
“Abang Zarif tu memang macam tu.
Suka duduk di luar tengok suasana kampung,” jawab Ainun. Dia lebih suka kalau
Zarif tidak ikut serta dalam perbualan mereka.
“Macam mana Cik Leha, boleh kami
ambil Sharina? Biar saya yang jaga dia dulu. Minggu depan giliran Cik Leha
pulak,” tanya Mak Cik Mariah lagi.
Bibir Mak Leha bagaikan terkunci. Dia pasti Sharina enggan tinggal
di rumah emak mertuanya. Walaupun Sharina tidak pernah bercerita, namun dia
tahu anaknya itu tidak begitu selesa dengan keluarga suaminya.
“Tak apa, mak. Mak Leha. Biar Nun
telefon Kamal,” ujar Ainun lalu mengeluarkan telefon bimbit dari beg tangannya.
“Kak ngah nak
bawa Rin balik ke rumah kita?” tanya Kamal. Hatinya sudah menjangka sesuatu
yang buruk akan berlaku.
“Kak ngah balik berapa lama ni?”
soal Kamal pula.
“Seminggu,” jawab Ainun sepatah.
“Abang Zarif pun ikut sekali,” sambungnya lagi.
Mendengar nama Zarif sahaja hati
Kamal mulai membara. Kamal dapat meneka tujuan emak dan kakaknya hendak membawa
Sharina balik ke rumah. Pasti isterinya itu akan dijadikan tukang masak mereka.
Keselamatan Sharina pun tidak pasti akan terjaga kerana Zarif Afandi di rumah
itu.
“Kak ngah, bagi saya cakap dengan
Rin.”
“Sharina ada di bilik dia.
Maklumlah orang dalam pantang tak boleh banyak berjalan. Nanti bentan,” jawab
Ainun.
“Tak apalah. Saya telefon dia
sekarang,” kata Kamal lalu menghentikan perbualannya dengan Ainun. Dia terus
menghubungi Sharina.
“Abang...” tangis
Sharina sebaik sahaja mendengar suara Kamal. Kehadiran Rita benar-benar telah
meruntun hatinya. Mengapa kak ngah memperkenalkan wanita itu sebagai tunangan
suaminya? Mengapa?
“Abang, Rin... Rin...” Sharina
tergagap-gagap dan teresak-esak. Dia serba salah sama ada hendak bertanya
kepada Kamal ataupun tidak. Luluh hatinya apabila mendengarkan kenyataan
daripada kakak iparnya tadi.
“Rin... janganlah menangis. Sabar
ya?” pujuk Kamal. Tangisan Sharina melontarkan perasaan Kamal di lautan
kesedihan.
“Nanti kalau emak dengar Rin
nangis, susah pulak hati dia. Abang pun akan susah hati. Rin jangan menangis
lagi. Abang tak ada nak kesat air mata di pipi Rin,” bicara Kamal semakin
perlahan di telinga Sharina.
Sharina faham pada waktu yang
sama, suaminya juga sedang bersedih dan menangis.
“Rin faham, bang.” Sedu-sedan
Sharina mulai reda. Mungkin hari itu bukan saat yang sesuai untuk dia
bertanyakan tentang Rita kepada Kamal.
“Rin, emak abang nak bawa Rin balik,”
beritahu Kamal di celah-celah sedu-sedan isterinya itu.
Sharina yang mendengar terus
tersentak. Duduk dengan emak mertua tanpa kehadiran suami di sisi sesuatu yang
tidak diingini. Sharina gelisah untuk mendengar perkataan seterusnya yang akan
keluar daripada bibir Kamal.
“Abang tak izinkan Rin pergi ke
sana.”
Sharina berasa lega. “Baik, bang!
Rin ikut cakap abang!” jawab Sharina lembut.
“Nanti abang beritahu emak. Abang
tak izinkan Rin pergi ke rumah sana,” beritahu Kamal.
“Assalamualaikum. Jaga diri,
sayang! I love you...”
~ ~ bersambung ~ ~
.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan