Sebelum tengah hari, Mak Cik Mariah, Ainun,
Rita dan Zarif Afandi beredar dari rumah Mak Leha. Mak Leha dan Sharina
menghantar mereka sehingga ke kereta.
“Terima kasih
mak sebab datang jenguk Rin,” kata Sharina berbahasa Dia bersalaman dan mencium
tangan emak mertuanya.
“Eh, Rin... kamu
tak risau ke biarkan Kamal keseorangan lama-lama sangat! Sepatutnya tempat
seorang isteri di sisi suami, walau dalam keadaan apa pun! Kau ni sakit
sikit,manjanya berlebih sangat emak tengok.” Akhirnya terhambur kata-kata
berbisa itu daripada mulutnya.
Sharina
terkesima. Dia hanya mampu menelan liurnya dan merenung ke mata emaknya. Mak
Leha mengurut dadanya sendiri memberi isyarat kepada Sharina supaya bersabar.
“Cik Mariah...
kalau Rin dah betul-betul sihat dua, tiga hari lagi, kami hantar dia balik
kepada suaminya. Cik Mariah jangan risau. Kamal tu pentingkan kesihatan
isterinya daripada diri sendiri.” Lembut kata-kata Mak Leha.
“Kak ngah balik
dulu, Rin,” celah Ainun untuk mengelakkan perbalahan antara besan itu.
Sharina
mengangguk dan tersenyum pahit. Tangan Kak ngahnya juga disalam dan diciumi.
Apabila Rita menghulurkan tangan kepadanya,Sharina menyambutnya lambat-lambat.
Rita mengukir senyuman hambar, namun Sharina membalasnya dengan senyuman manis.
“Terima kasih,
Kak Rita...” ujar Sharina dengan perasaan terbuku. Status Rita sebagai tunangan
suaminya seperti yang dikatakan oleh kak ngah menjadi tanda tanya. Batinnya
rasa terseksa. Dia ingin meraung, tapi bimbang pula akan menyusahkan hati emaknya.
“Dengan Abang
Zarif... Rin tak nak bersalam ke?” usik Zarif Afandi.
Sharina
menggeleng. Dia berasa kurang senang dengan gurauan seperti itu. Peristiwa
hitam setahun dulu masih segar di dalam ingatan. Pesanan Kamal supaya dia
sentiasa berhati-hati dengan birasnya itu terikat kukuh di sanubarinya.
“Terima kasih
sebab sudi datang jenguk Rin,” kata Sharina dengan perasaan yang tidak selesa
apabila melihat renungan birasnya itu.
“Kami beredar
dulu,” kata mereka semua sambil memasuki kereta.
“Geram betul mak dengan Kamal ni. Kita nak
ambil Rin bawa balik ke rumah pun tak bagi,” rungut Mak Cik Mariah di dalam
kereta.
“Kamal tu sayang
sangat pada isteri dia, mak. Dia rasa tak percaya Rin duduk dengan kita.”
Zarif Afandi
yang membisu sejak dari rumah Mak Leha tadi pun berasa kecewa juga. Kalau Sharina mengikut mereka tanpa Kamal
terbukalah peluang untuknya. Keinginannya yang dulu belum lagi terhakis.
“Sharina tu
pandai masak. Lembut. Manja pulak tu,” komennya lagi. Matanya terbayangkan
wajah birasnya yang cantik dan memiliki kulit yang halus dan gebu.
“Yalah mak cik,
Rita tengok isteri Kamal tu manja betul. Muda benar lagi, ya?” sampuk Rita
pula. Sedikit sebanyak hatinya berasa cemburu. Patutlah Kamal menolaknya tanpa
pertimbangan lagi dan terus menikahi gadis itu.
“Entahlah
Zarif... Rita, mak tak tahulah kenapa. Tapi, mak cik rasa tak berkenan sangat
pada budak Rin tu sejak mereka kahwin.”
“Apa istimewanya
dia sampai Kamal gila bercempera nak nikah cepat-cepat. Bukannya pernah
berkenal mesra pun. Baru jumpa dua kali terus nak dipinangnya budak itu.
Walhalnya dengan Rita ni bertunangnya dah hampir setahun. Bila kita cerita bab
menikah, dia buat dak... macam tak ada telinga mendengar kata-kata kita,” leter
Mak Cik Mariah.
“Itu yang emak
nak sangat Rin duduk dengan emak. Kalau dia duduk di rumah kita sehari dua
tanpa Kamal senang sikit mak nak ajar dia,” sambungnya lagi. “Emak nak selidik
di mana keistimewaannya sehingga Kamal jadi angau dan mabuk tak menyempat nak
menikah!”
Sepanjang jalan
itu, Mak Cik Mariah asyik berleter memarahkan Kamal yang tiada di hadapan
matanya.
“Perkara tu
senang sangat nak diuruskan! Serahkan kepada Nun,” beritahu Ainun sebaik sahaja
tiba di rumah.
“Malam ni, emak
tidurlah dengan lena. Malam esok, Nun bawa menantu emak tu tidur di sini,”
pujuk Ainun. “Sekarang ni, Nun nak pergi hantar Rita balik ke rumah dia!Mak ada
nak kirim apa-apa tak? Nanti Nun belikan di pekan,” kata Ainun.
“Beli lauk-pauk
untuk kau dengan Zariflah! Emak malas nak memasak malam ni,” beritahu Mak Cik
Mariah. Rita yang hanya mendiamkan diri dari tadi menghulurkan tangannya kepada
Mak Cik Mariah.
“Sebab tulah Nun
nak bawa Rin balik ke sini. Biar dia masak untuk kita selama Nun ada di sini,”
jawab Ainun.
Mak Cik Mariah
mengangguk menyetujui kata-kata Ainun itu. Dia bukannya tidak perasan
keistimewaan yang dimiliki oleh menantunya itu, namun kalau hatinya sudah
meluat apa juga keistimewaan yang dipunyai oleh Sharina pun tidak akan memberi
makna lagi. Rasa bencinya tidak akan terpadam.
Keesokan paginya selepas sarapan, Ainun
bertolak ke kampung adik iparnya. Jarak antara Kampung Sungai Tapah dan Gopeng
lebih kurang 35 batu. Mak Leha terkejut dengan kehadiran Ainun.
“Saya datang nak
ambil Rin, mak cik,” beritahu Ainun sebaik sahaja turun dari kereta sesampainya
ke halaman rumah. “Kamal suruh ambil,” beritahunya kepada Mak Leha.
“Semalam Kamal
telefon pada emak. Dia menyesal sebab halang emak membawa Rin balik ke sana,”
cerita Ainun sambil menaiki tangga. “Sebab itulah saya datang ni! Nak ambil Rin. Kasihan emak, mak
cik. Sepanjang perjalanan balik semalam dia menangis. Sayu hatinya kerana
terlepas peluang menjaga menantu. Kalau Kamal tak telefon semalam memberitahu
emak yang dia sudah ubah fikiran, mahu emak tak makan dua tiga hari,” bohong
Ainun selamba.
“Kalau Kamal dah
suruh, mak cik pun tak boleh nak tahan. Duduklah dulu, Ainun. Biar mak cik
suruh Rin bersiap,” kata Mak Leha. Ingin sahaja hatinya menghubungi Kamal untuk
mengesahkan perkara itu, tetapi akalnya menghalang. Bimbang tindakannya itu
disalah anggap dan akan mengeruhkan perhubungan kekeluargaan pula.
“Apa mak? Abang Kamal suruh Rin duduk dengan emak dia?”
soal Sharina dengan dahi berkerut. Bukankah semalam Kamal melarangnya?
“Rin tanya abang
Kamal dululah, mak.” Sharina terus mengambil telefon bimbitnya. Dia rasa tidak
percaya kepada kenyataan kakak iparnya itu.
“Tak usah,
Rin... nanti Kamal ingat kita tak percayakan keluarganya. Tak baik,” nasihat Mak
Leha pula.
Sharina lambat-lambat memasukkan pakaiannya ke
dalam beg. Hatinya benar-benar serba salah dan berat untuk menurut kehendak
emaknya itu.
“Nah, ambil duit
ni. Hari tu Kamal bagi untuk perbelanjaan Rin. Emak dan abang kau kata tak
payah, dia bagi jugak.” Mak Leha memasukkan segumpal duit kertas ke dalam
genggaman Sharina.
“Jaga diri
elok-elok,Rin. Tak usah berjalan banyak-banyak,” pesan Mak Leha sambil memeluk
dan mencium Sharina. Dia menghantar Sharina sehingga ke pintu kereta Ainun.
“Dah sampai ke
sana nanti, Rin telefon emak.”
“Mak kirim salam
pada Abang Hisham, ya?” pesan Sharina dengan nada sebak. Dia merenung wajah Mak
Leha lama-lama. Wajah emaknya yang muram dan sugul seolah-olah berat untuk
melepaskannya pergi.
“Tak
usah menangis, Rin. Dah jadi bini orang pun perangai macam budak kecik,” perli
Ainun sambil menggerakkan keretanya meninggalkan halaman rumah Mak Leha.
.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan