Isnin, 9 September 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 18)


Pagi itu selepas solat subuh, Mak Cik Mariah terus berbungkus di dalam kain selimutnya.     Bukannya dia tidak sihat, tetapi hatinya berasa sakit mengenangkan menantunya. Menantu yang tidak disukai telah berada di rumahnya. Bermacam-macam rancangan bertandang ke lubuk hatinya yang berlumut. Walaupun baru sahaja menunaikan ibadah kepada ALLAH, solatnya itu tidak pernah memberi kesan kepada hatinya.
“Rin...” panggilnya dengan suara perlahan dan lemah.
Sharina yang secara kebetulan datang menjenguk emak mertuanya itu terus menghampiri. Mak Cik Mariah melihat Sharina ke atas dan ke bawah apabila Sharina berada di sisi katilnya. Menantunya itu berbaju kurung lengkap bertudung. Hatinya mengakui yang menantunya itu memang seorang yang sangat cantik. Bibir Sharina mengukirkan senyuman manis apabila perasan yang emak mertua sedang memerhatikannya.
“Mak...” kata Sharina lembut sambil menyoroti ke seluruh tubuh emak mertuanya yang diselubungi gebar.
Mak Cik Mariah mengerutkan dahinya. Tubuhnya digoyang-goyang perlahan seolah-olah sedang menggeletar kesejukan.
“Kenapa mak? Emak tak sihat ke?” tanya Sharina apabila melihat keadaan emak mertuanya.
“Mak sakit lutut,” beritahu Mak Cik Mariah sambil meraba-raba lututnya.
Sharina terus duduk di birai katil dan memegang-megang lutut emak mertuanya. Dia mengusapnya perlahan-lahan. “Mak nak Rin sapukan minyak ke?” soal Sharina lurus manja. Selalu juga emaknya sakit lutut kalau berdiri lama-lama. Emaknya akan menyuruh dia menyapu minyak panas sahaja.
Mak Cik Mariah tidak menjawab. “Kamal dah telefon Rin?” tanya Mak Cik Mariah cuba mengorek rahsia.
Sharina menggeleng. Sejak semalam, dia menunggu Kamal menelefonnya, tetapi dia kecewa. Apabila dia menelefon,Kamal pula tidak menjawab panggilan telefonnya. Dia sempat mengirimkan sms kepada Kamal sebelum tidur. Sehingga pagi ini,Kamal belum membalas pesanannya lagi.
“Agaknya Abang Kamal sibuk, mak. Selalu dia telefon Rin sebelum tidur. Agaknya dia letih dan tertidur..kalau dia terjaga, mungkin dia ingat Rin pulak yang tidur dan tak mahu ganggu,” jawab Sharina panjang lebar.
“Sekejap lagi Rin telefon,” beritahu Sharina lagi. Hatinya sudah tidak tertahan merindui suaminya itu. Sejak berjauhan dengan Kamal, tidurnya selalu terganggu. Dia rasa aneh tidur tanpa pelukan suaminya itu.
“Mak!” panggil Ainun dari muka pintu.
Perbualan Sharina dan emak mertuanya terganggu. Ainun masuk ke dalam bilik dan duduk di sisi emaknya.
“Nun dan Abang Zarif nak pergi ke rumah kawan di Kampar. Tak apa ya, Nun tinggalkan emak di rumah,” kata Ainun perlahan sambil melirik ke wajah adik iparnya.
Mak Cik Mariah mengangguk lemah. “Pergilah,” kata Mak Cik Mariah perlahan dan menggeletar suaranya macam orang demam kura-kura.
“Mak belum makan, kan?” soal Ainun pura-pura prihatin. Sekali lagi dia melirik ke wajah adik iparnya yang sedang menundukkan mukanya.
“Tak apa! Rin ada,” jawab Mak Cik Mariah. Bermacam rancangan sudah ada di dalam fikirannya. Harap-harap segala yang akan dilakonkan menjadi.
“Rin... boleh tak kak ngah nak pinjam telefon bimbit Rin. Telefon kak ngah dah pecah. Entah macam mana terjatuh pulak di dalam bilik air pagi tadi,” kata Ainun kepada Sharina.
“Abang Zarif memang dah tertinggal telefon bimbitnya,” cerita Ainun  seolah-olah dapat membaca fikiran adik iparnya itu. “Nasib baik sim kad kak ngah tak rosak,” beritahunya lagi.
Sharina berasa serba salah. Dia baru bercadang hendak menelefon suaminya sebentar nanti.
“Rin risau Kamal cari Rin ke?” soal Ainun apabila melihat wajah Sharina yang tidak gembira dengan permintaannya itu.
“Kak ngah nak pinjam telefon tu Rin, bagi ajelah. Telefon tu Kamal yang beli, kan?” tanya Mak Cik Mariah dengan nada sinis. Pertanyaannya itu walaupun perlahan amat menikam hati siapa yang mendengarnya.
Sharina menelan tangisan. “Nanti kalau Kamal telefon ke telefon bimbit tu tak dapat jawapan, taulah dia nak telefon ke rumah ni,” sambung Mak Cik Mariah lagi. “Pergi ambil cepat! Bagi pada kak ngah!” arah Mak Cik Mariah.
“Yalah... kak ngah tunggu sekejap,” jawab Sharina sambil beredar keluar dari bilik itu menuju ke biliknya. Masuk ke dalam bilik, Sharina mengunci pintu. Dia mengambil telefon bimbit di dalam beg kainnya dan cuba menghubungi Kamal. Beberapa kali dia mencuba, tetapi tiada jawapan. Perasaannya mula meronta. Tasik matanya mulai bertakung.
‘Abang... jawablah panggilan Rin,’ tangisnya dalam hati. Baru dia tertekan-tekan butang di telefon untuk menghantar sms kepada Kamal, kak ngahnya memekak di depan pintu bilik.
“Cepat sikit Rin! Akak dah nak pergi ni. Abang Zarif kau dah bising!” pekik Ainun dari luar sambil mengetuk pintu bilik berkali-kali.
Sharina hanya sempat mencatat dua patah perkataan sahaja kepada Kamal.
“Tunggu sekejap kak ngah, Rin tengah keluarkan sim kadnya,” beritahu Sharina lalu membuka pintu dan menghulurkan telefon bimbit kepada Ainun. Setelah itu, dia masuk ke bilik emak mertuanya semula bersama dengan Ainun.
“Emak... Ainun dah dapat telefon ni,” beritahu Ainun sambil menunjukkan telefon bimbit kepada Mak Cik Mariah. Dia tersengih-sengih.  
“Menantu emak ni memang bertuah dapat kahwin dengan anak emak tu,” kata Ainun sambil membelek-belek iPhone milik Sharina.
“Kenapa pulak?” soal Mak Cik Mariah. Matanya merenung ke wajah Sharina yang selamba.
“Telefon ni, mak... dekat 2 ribu harganya,” beritahu Ainun dengan suara kuat.
Mata Mak Cik Mariah membesar sewaktu mendengar kata-kata itu. Hatinya bertambah sakit. Sakit lutut yang sengaja dibuat-buat telah menjalar ke kepalanya pula. Sahlah, Kamal terlalu memanjakan isterinya itu.
“Okey, mak... Nun pergi dulu. Rin, nanti tolong masak untuk emak ya? Kain dalam bilik air tolong basuh,” pesannya sambil keluar dari pintu bilik emaknya.
Sampai di ruang tamu, Ainun sempat mencabut soket kabel telefon tetap yang tersorok di belakang almari perhiasan. Bibirnya tersenyum simpul dan berasa bangga dengan perbuatannya itu. Harapannya biarlah Kamal tidak dapat menelefon ke rumah dan Sharina pula tidak dapat menghubungi Kamal di Melaka.
“Pergilah Rin masak dulu,mak dah lapar,” arah Mak Cik Mariah sambil terbatuk-batuk pula.
Sharina mengangguk-anggukkan kepalanya. Inikah maksud ‘emak pun nak bela menantu’ yang dikatakan oleh emak mertuanya kelmarin?
“Rin, mesin basuh dah rosak. Nanti Rin basuh kain dengan tanganlah ya, nak...” Sempat Mak Cik Mariah memberitahu Sharina sebelum menantunya itu beredar dari sisinya.
Sharina berjalan perlahan-lahan menuju ke dapur. Emaknya sudah berpesan macam-macam. Perempuan yang baru keguguran tidak boleh bergerak aktift. Tidak boleh mengangkat barang-barang berat. Jangan berendam di dalam air lama-lama. Elakkan kaki daripada kesejukan.
“Alamak, beras mak dah habis! Macam mana ni?” Hendak menyelongkar di dapur emak mertuanya, dia berasa segan, lantas dia kembali ke bilik emak mertuanya.
“Emakk... beras dah habis!” beritahunya lembut.
Mak Cik Mariah menepuk dahinya. “Allahuakbar! Mak terlupalah, Rin. Kalau macam tu, Rin tolong emak pergi kedai beli beras,” kata Mak Cik Mariah sambil duduk di birai katil. Pergerakan Mak Cik Mariah perlahan seolah-olah sedang sakit teruk.
“Kedai di mana?” tanya Sharina pula. Dia menggaru-garu keningnya. Dia sudah menjangka kesulitan yang bakal dialaminya.
“Di pekanlah. Dekat-dekat sini tak ada kedai runcit,” beritahu Mak Cik Mariah lagi. “Rin pergi beli barang-barang keperluan dapur sekali. Minyak masak, gula, tepung... Tapi perut emak dah lapar sangat ni!” beritahunya pula sambil merenung Sharina.  Wajah menantunya masih tenang.
“Tak apalah, mak. Tadi Rin tengok ada mi dalam peti sejuk. Rin masakkan mak mi goreng dulu, lepas tu baru Rin pergi pekan,” cadang Sharina dengan ikhlas. Kasihan juga dia melihat emak mertuanya yang terlantar di atas katil itu. Tetapi, bukankah dua hari lepas emak mertuanya sihat walafiat?
“Yalah. Masak cepat sikit. Lepas tu, bersihkan dapur tu semula,” arah Mak Cik Mariah.
Sharina berjalan menuju ke dapur semula dengan langkah lemah-longlai.
“Rin...” panggil Mak Cik Mariah lagi.
Sharina menoleh. “Dalam rumah bukak tudung tu! Kau tak panas ke?” soalnya. Rimas dia melihat Sharina asyik berkelubung kepala tak mengira waktu.
“Abang Kamal dah pesan, mak. Di dalam rumah kami sahaja Rin tak payah pakai tudung. Lagipun, tadi Abang Zarif ada di rumah,” jawab Sharina.
Dia harap emak mertuanya memahami maksud kata-katanya. Kecantikan seorang wanita yang sudah bersuami hanyalah untuk suaminya sahaja. Apatah lagi dengan ratahan mata Zarif Afandi sewaktu merenungnya,dia rasa hendak berkelubung sahaja pada setiap saat.
“Rin pergi masak dulu, mak...” beritahu Sharina sambil berlalu dari situ.

Mak Cik Mariah mencebik. ‘Sayang benar kamu pada Kamal. Kamal pun cinta sangat kepada kamu, ya. Aku nak tengok sekuat mana kasih sayang dan cinta kamu berdua,’ bisik hati jahatnya.


                                                                                 ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: