SEHARIAN Kamal dicengkam kesibukan di pejabatnya. Pagi-pagi lagi, dia pergi memantau ke tapak projek pembinaan stadium di Air Keroh. Tugasnya sebagai jurutera awam yang memainkan peranan penting di atas kejayaan pada setiap pembangunan atau infrastruktur memang perlukan komitmen yang maksima. Dia perlu kerap memantau kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan oleh pekerja syarikat yang mendapat tender sesuatu projek pembangunan. Kerja-kerja yang mereka lakukan mesti mengikut spesikasi dan rangka pelan yang telah disediakan oleh arkitek yang telah diluluskan oleh penguasa tempatan. Kamal ingin menggali pengalaman dalam bidang ini sebanyaknya. Mungkin tiga atau empat tahun lagi, dia akan membuka syarikatnya sendiri. Syarikat yang menawarkan khidmat perundingan kejuruteraan serta bidang-bidang yang berkaitan dengannya. Sudah dua minggu dia berjauhan dengan isterinya. Perasaan rindu mula membanjiri hatinya. Kali terakhir dia menghubungi Sharina ialah pada dua hari lepas. Selepas subuh sahaja, dia terus menelefon untuk menyatakan perasaannya yang tidak keruan sejak perpisahan mereka. Sharina yang asyik merengek sepanjang perbualan menyebabkan hatinya gelisah. Dia meraba-raba telefon bimbit dari dalam poket seluarnya. Dia tersenyum dan beristighfar sendiri. “Patutlah telefon ni tak berbunyi dari semalam,terlupa nak on.” Kamal bercakap sendiri di dalam pejabatnya. Getaran isyarat mesej terus menjengah gegendang telinganya sebaik sahaja telefon diaktifkan. Sayangku Rin. Nama manja isterinya terpapar di skrin. Serta-merta ada isyarat mesej pesanan ringkas memasuki telefon bimbitnya.
Abang tolong
Kamal tersentak membaca mesej
itu. Timbul pelbagai tanda tanya di benaknya. Dengan rakus, dia menekan
punat-punat di telefon dan cuba menghubungi isterinya itu. Berkali-kali.
Berulang-ulang.
“Kenapa Rin tak jawab telefon
ni?” tanya Kamal apabila berulang kali mendail, tetapi panggilannya tidak
dijawab oleh isteri tercinta. Akhirnya, dia menelefon talian tetap ke rumah
emak mertuanya.
“Assalamualaikum, mak...” kata
Kamal sebaik mendengar suara emak mertuanya yang lembut dan mesra.
“Waalaikumussalam. Kamal
sihat?Dah makan tengah hari?” tanya emak mertuanya.
Terasa damai hati Kamal mendengar
suara emak mertuanya itu. Mungkin Sharina mengikut acuan emaknya yang lemah
lembut.
“Dah mak,” jawab Kamal ringkas.
“Rin tak ada, kenalah saya makan di kedai. Tapi, tak berapa lalu nak makanlah
mak,” adunya perlahan. “Air tangan tukang masak kedai, tak sama dengan air
tangan Rin,” beritahunya lagi sambil ketawa.
Mak Leha yang
mendengar turut ketawa. “Kamal
tu kerja jauh sangat! Kalau tak... emak dah suruh orang hantarkan makanan yang
Rin masak ke pejabat!” usik Mak Leha.
“Insya-ALLAH,mak... saya dalam
proses nak berpindah balik ke sana,” jawab Kamal dengan perasaan
senang.Perancangan hidupnya, rumah tangga dan keluarganya sudah diatur dengan
teliti. Dia sudah berjaya membeli tanah yang sesuai untuk membina rumah di Ipoh
dan kontraktor yang diupah sedang menjalankan kerja-kerja membuat rumah yang
diidami. Sebuah rumah yang akan dihadiahkan kepada isteri tercinta. Sementara
rumah siap, dia akan berikhtiar untuk memohon bertukar ke negeri kelahirannya
di Ipoh.
“Emak... boleh panggilkan Rin.
Saya telefon ke telefon bimbitnya, tak berjawab. Entah-entah bateri telefonnya
dah habis,” pinta Kamal.
Mendengarkan permintaan
menantunya, Mak Leha tersentak. “Kamal ni baru dua minggu berpisah dengan
Rin, dah jadi mamai ke? Bukan ke semalam Kamal suruh Ainun datang ambil Rin
bawa ke rumah emak Kamal?” t
Kamal yang mendengar terperanjat
besar. Namun, dia cuba menenangkan hati. Dia menelan air liur berkali-kali.
Jika diberitahu kepada emak mertuanya hal yang sebenar, pasti dia juga akan
berasa malu dengan perangai emak dan kak ngahnya. Hatinya benar-benar rasa
geram.
“Oh ya, mak... Saya terlupa,”
jawab Kamal cuba melindungi perkara yang sebenar. “Saya dah rindu sangat pada
Rin, tu yang jadi mamai,” sambung Kamal lagi sambil ketawa kecil. “Bila kak
ngah saya datang ambil Rin, mak?” tanya Kamal cuba mengorek rahsia.
“Dalam pukul 11.00 pagi semalam,”
jawab Mak Leha.
“Tak apalah emak, saya cuba
telefon rumah emak saya pulak,” katanya lagi lalu menamatkan perbualan dengan
segera. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi ingin mendengar berita tentang
isterinya. Perasaannya meronta-ronta. Dia tahu emaknya tidak begitu berkenankan
isterinya. Begitu juga dengan kak ngahnya. Untuk apa mereka membawa Sharina
balik ke rumah jika tidak ada niat buruk?Fikir Kamal.
Talian telefon tetap rumah di
kampungnya juga tidak berjawab. Hari itu hari Rabu. Jumaat lagi dua hari.
Bermacam kemungkinan akan terjadi. Lebih bimbang lagi Sharina baru lepas
keguguran. Kamal mengambil keputusan untuk balik ke kampung pada malam itu
juga. Mesej pesanan ringkas daripada Sharina yang baru dibacanya tadi semakin
meresahkan hatinya.
“Encik Kamal ada faks untuk
encik..”
Kerani yang bekerja di unitnya
menjenguk di muka pintu. Kamal menyuruhnya masuk. Lembaran faks diletakkan di
atas meja Kamal. Kamal membaca dengan teliti.
Tiga tiang konkrit di stadium
yang sedang dibina runtuh. Mesyuarat akan diadakan pada pagi esok. Pejabat
Ketua Menteri perlukan laporan lengkap.
Dia mengeluh kuat sambil menampar
permukaan meja
“Mereka kata dah cuba hubungi
telefon bimbit Encik Kamal, tapi tak dapat,” beritahu keraninya lagi.
“Baru berapa jam lalu saya pergi
tengok kerja-kerja pembinaan di stadium ni. Dah beritahu dah tadi. Perkara ini
pasti berlaku,” rungut Kamal kepada keraninya yang masih berada di situ.
“Tolong dapatkan saya kontraktor
syarikat yang menjalankan kerja-kerja pembinaan di situ, sekarang juga!” arah
Kamal tegas. Dia terduduk di kerusi. Mesej pesanan ringkas daripada Sharina
bermain-main di fikiran. Mahu tidak mahu, rancangannya untuk balik kampung
terpaksa ditunda sekurang-kurangnya seminggu. Kamal sudah faham sangat, jika
ada projek besar kerajaan dilanda masalah, dia akan terikat dengan tugasnya
sehingga masalah yang sedang dihadapi ada jalan penyelesaiannya. Berkali-kali
dia kena melawat tapak projek dengan bermacam-macam orang. Tambahan pula projek
pembinaan stadium itu sebagai persediaan untuk kerajaan negeri untuk
menganjurkan sukan peringkat negara.
“Agaknya aku boleh minta tolong
Hisham.”
Teringat pula kepada abang
iparnya yang masih menetap di Ipoh. Mahu tak mahu, dia menelefon abang iparnya
untuk meminta bantuan. Hatinya berasa tidak enak apabila mengenangkan
isterinya.
“Insya-ALLAH. Tapi, aku dalam
perjalanan ikut bos nak ke Putrajaya ni... dah sampai Sungai Buloh,” beritahu
Hisham.
“Okeylah, kalau begitu. Aku
selesaikan sendiri! Aku ingatkan kau di Ipoh,” jawab Kamal. Dia menghela nafas
perlahan dengan hati kecewa.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan