Khamis, 12 September 2013

Sana Menanti,sini Merindu (Bab 19)


Sharina mula terbatuk-batuk. Dia menggigil-gigil kesejukan walaupun badannya panas membahang. Sejak semalam dia berkeadaan begitu. Sudah dua hari dia berada di rumah emak mertuanya. Sudah dua hari dia tidak mendengar suara Kamal. Telefon bimbit yang dipinjam oleh kak ngah masih belum dikembalikan kepadanya. Talian tetap di rumah emak mertuanya juga tidak berbunyi-bunyi. Semalam Sharina cuba menghubungi Kamal dengan menggunakan talian tetap secara curi-curi, tetapi apabila gagang telefon diangkat tiada nada dialnya. Dia hampa dan kecewa. Mungkinkah ini dugaan ALLAH untuknya?
Semalam dia terpaksa berjalan kaki mencari perhentian bas untuk ke pekan bagi membeli sekampit beras dan beberapa keperluan dapur. Peluang yang ada dia berusaha mencari telefon awam untuk menghubungi Kamal atau abang dan emaknya, tetapi semua telefon awam rosak!
Beras 10 kilo terpaksa dijinjit. Ditambah dengan barang-barang lain lagi. Cuaca yang panas terik semakin menyeksanya. Balik dari pekan, dia terpaksa pula berendam di dalam bilik air untuk membasuh kain. Batinnya rasa menderita. Bukannya dia tidak boleh melakukan kerja-kerja yang dikerah oleh emak mertuanya itu, tetapi bukankah dia masih lemah lagi? Dia baru lepas keguguran, tidakkah emak mertua dan kakak iparnya mengerti kesakitan yang baru sahaja ditanggungnya? Ya ALLAH... tolonglah hamba-Mu ini.
“Rin...”
Terdengar suara kak ngahnya. Sharina bangun perlahan-lahan dan menghampiri pintu. Dia berjalan dengan langkah longlai. Kalau dia berada di samping Kamal sewaktu dirinya sakit begitu, Kamal pasti akan memanjainya. Membelainya dengan penuh kasih dan sayang. Bahkan tidak berenggang dengannya walau satu minit. Kesedihan yang dirasa semakin bermaharajalela apabila dia teringatkan suaminya. Kasih dan belaian hangatnya sentiasa dirindukan.
“Kak ngah...” sapa Sharina sebaik sahaja membuka pintu.
Ainun tercegat di depan pintu. Mata Ainun sempat singgah ke rambut Sharina yang terdedah. Baru pertama kali dia dapat melihat rambut adik iparnya itu. Rambut Sharina panjang dan berombak cantik. Hitam serta berkilat. Rupa paras adik iparnya itu begitu cantik dengan keadaannya yang tidak bertudung itu. Matanya juga singgah pada pipi Sharina yang masih ada kesan air mata. Sharina mengesat pipinya dengan belakang tangan setelah perasan yang kakak iparnya sedang memerhatikan air matanya.
“Kak ngah nak bawa emak ke Taiping. Rin tinggal di rumah ya,” beritahu Ainun.
Zarif Afandi tiba-tiba menghampiri mereka dan berdiri di sebelah Ainun. Matanya terus menumpu kepada Sharina yang masih di ambang pintu. Dadanya berdebar dan terpukau seketika. ‘Cantiknya Rin,’ bisik hati Zarif Afandi. Bola matanya terus terlontar kepada rambut Sharina yang hitam dan leher birasnya itu. Berderau darah Zarif Afandi tatkala matanya yang nakal terpandangkan leher Sharina yang halus mulus kulitnya. Bulu romanya jadi merinding. Perasaan cemburunya kepada Kamal semakin meruap.
Sharina berpura-pura tidak melihat Zarif Afandi kerana dia tidak sempat menyembunyikan dirinya yang tidak bertudung daripada pandangan lelaki itu. Apabila melihat lelaki itu dia berasa takut. Dia masih trauma kepada peristiwa yang pernah berlaku dulu.
“Yalah,” jawab Sharina ringkas. Mungkin ketiadaan mereka di rumah itu lebih baik. Dia akan berusaha untuk menghubungi abangnya, atau Kamal. Sharina masih berfikir-fikir. Mungkin lebih baik dia menghubungi abangnya terlebih dahulu. Jika dia memberitahu Kamal hal yang telah berlaku pasti perhubungan antara suami dan emak serta kakaknya akan menjadi keruh.
“Rin demam ke?” tanya Zarif Afandi apabila melihat birasnya itu berbaju tebal.
Sharina hanya mengangguk. Benar dia sedang demam kuat. Jika diturutkan hati, dia ingin meraung dan menangis. Entah-entah dia mengalami jangkitan kuman pada rahimnya. Bukankah sepatutnya dia kena pergi mendapatkan rawatan susulan di hospital selang sehari untuk menjalani pemeriksaan?
“Emak, Rin demam ni,” beritahu Ainun apabila emaknya datang ke sisi mereka.
Mak Cik Mariah yang sudah bergaya dengan baju kurung sedondon memegang dahi Sharina.
“Hmm... demam sikit aje. Nanti baiklah,” kata Mak Cik Mariah acuh tak acuh.
“Tak boleh membawa sampai mati kalau demam sikit macam ni... biasalah,” sambungnya lagi dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Agaknya Sharina demam kerana berpanas selama dua hari. Kelmarin terpaksa ke pekan di tengah hari rembang untuk membeli beras. Semalam pula berpanas kerana menjemur kain. Maklumlah, selama ini selalu dimanjakan. Getus hatinya.
“Kau orang berdua pergi tunggu emak di kereta,” suruh Mak Cik Mariah kepada Ainun dan Zarif Afandi.
Anak dan menantunya segera beredar dari situ. Mak Cik Mariah menunggu sehingga kelibat anak menantunya hilang daripada pandangannya.
“Rinn... emak nak minta tolong sikit,” kata Mak Cik Mariah lembut. Dia masuk ke bilik diekori oleh menantunya itu. Mak Cik Mariah duduk di birai katil dan mengajak Sharina duduk di sebelahnya.
“Kamal ada bagi Rin duit tak?” tanyanya perlahan.
Sharina mengangguk-anggukkan kepalanya. “Ada mak! Abang Kamal ada bagi duit untuk Rin,” jawab Sharina lurus dengan suara serak. Pada anggapannya tidak perlulah dia hendak berahsia kepada emak mertuanya itu. Suaminya anak lelaki kepada wanita itu.
“Boleh mak minta siki. Duit yang Kamal bagi pada emak tiap-tiap bulan tu dah habis,” cerita Mak Cik Mariah. 
Sharina terdiam. “Tiap-tiap bulan Kamal ada bagi Rin nafkah?” soal Mak Cik Mariah sambil mengorek rahsia.
Sharina mengangguk lagi.
“Maksud mak, duit,” jelas Mak Cik Mariah lagi. Bimbang menantunya tidak faham. Maklumlah perkara nafkah itu ada bermacam-macam cabangnya.
Sharina mengangguk sekali lagi. Kepalanya terasa berat sekali dan dia tidak berdaya untuk melayan perbualan emak  mertuanya.
“Kamal bagi berapa?” tanya Mak Cik Mariah lagi. Hatinya tidak sabar mendengar jawapan daripada menantunya. Tekadnya setiap sen duit Kamal yang mengalir kepada isterinya akan dikutipnya balik dengan apa juga cara. Kamal anaknya. Dia yang melahirkannya. Dia yang bersusah payah menyekolahkan sehingga Kamal menjadi seorang yang berjaya. Masakan untuknya Kamal hanya memberi RM800 sebulan? Perasaan tamak terus menguasai hati Mak Cik Mariah.
“Rin tak tahu, mak sebab abang Kamal masukkan dalam akaun Rin,” beritahu Sharina sejujurnya. “Tapi, duit tunai pun ada juga dia bagi,” cerita Sharina tanpa berselindung.
“Mana duit tu? Emak dah nak pergi ni,” kata Mak Cik Mariah.
Sharina segera mengambil beg duitnya di dalam almari. Dia mengambil dua keping not 50 dan menyerahkan kepada emak mertuanya.
Mak Cik Mariah mengambilnya dan terus simpan ke dalam tas tangannya.
“Kamal bagi banyak ni aje?” tanyanya lalu mengambil beg duit di tangan Sharina. Dia mengeluarkan semua duit di dalam dompet itu.
Mendidih darah Sharina melihat sikap emak mertuanya. Namun, dia terpaksa bersabar. Wanita itu emak suaminya. Kalau dia mencintai Kamal sepenuh hati, mustahil dia tidak boleh mengasihi emak yang telah melahirkan lelaki yang dicintainya itu.
“Semua ni duit Kamal,kan? Rin bukannya ada pendapatan sendiri,” sinis ungkapan bibir mertuanya tanpa mempedulikan perasaan orang yang mendengarnya.
Sharina menahan air mata. Nafasnya tertahan-tahan.
“Emak nak ambil semualah. Mak nak beli mesin basuh,” beritahu Mak Cik Mariah. Matanya sempat menjeling ke lengan Sharina. Ada sepasang gelang emas yang berkilauan dan cantik rekaannya. Hatinya tertarik.
“Tak apa. Emak ambillah...” suruh Sharina sambil tersenyum pahit. ‘Ya ALLAH... limpahkanlah kesabaran ke dalam tasik hatiku ini,’ doanya di dalam hati. Tangisan hatinya mulai meledak.
“Cantik gelang! Kamal beli ke atau memang Rin yang punya?” soal Mak Cik Mariah. Perasaan tamak mula menjalari hatinya.
Sharina terdiam. Gelang itu baru dihadiahkan oleh Kamal untuk hari lahirnya dua bulan yang lalu. Perasaan Sharina semakin terhimpit. Emak mertuanya sudah memegang lengan dan membelek-belek gelang yang dipakai.
“Cantik gelang tangan Rin,” ulang emak mertuanya lagi.
Hati Sharina berdebar-debar. Dia dapat merasakan sesuatu.
“Kamal beli?” soalnya lagi.
Sharina mengangguk. Untuk apa dia berbohong kepada emak mertuany? Lagipun sedari kecil, emak, ayah dan abang telah mendidiknya agar selalu berkata benar. Seorang pendusta akan dilaknat oleh ALLAH. Di dalam al-Quran banyak disebutkan tentang perkara itu.
“Berapa ribu ni? Mesti mahal..” tukas Mak Cik Mariah. Harga emas kini sudah melambung. Gelang tangan yang sedang dipakai oleh menantunya itu paling kurang pun harganya lebih RM2000.
“Gelang ni, emak nak. Emak berkenan.”
Tanpa disuruh, Sharina terus melurutkan gelang itu dari lengannya dan menyerahkan kepada emak mertuanya.
Mak Cik Mariah tersenyum lebar. ‘Sedar pun diri kamu.Semua barang yang ada pada kamu, anak aku yang beli,’ bisiknya dalam hati.
“Kalau emak nak, ambillah...” kata Sharina dengan suara sebak. Gelang itu sangat disayanginya. Namun, bukankah menggembirkan hati emak mertua menjadi kewajipannya sebagai menantu?
Mak Cik Mariah tersenyum lebar lalu mengambil gelang yang dihulurkan Sharina kepadanya.
“Emak pergi dulu. Duduk di rumah ni jangan nak tidur saja. Dalam bilik emak tu ada kain cadar yang nak dibasuh. Dah tertumpah minyak angin. Hari ni cuaca panas. Eloklah basuh kain awal-awal,” kata Mak Cik Mariah sebelum meninggalkan Sharina seorang diri di dalam biliknya.

Sharina menyembamkan tubuhnya di atas tilam sebaik sahaja emak mertuanya keluar dari bilik. Dia menangis teresak-esak. Lontaran lembing yang berterusan seolah-olah sedang menghujam hatinya. Sharina berasa sakit. Terlalu sakit.Ya ALLAH. Hatinya dihimpit perasaan pilu.


                                                               ~ ~ bersambung~~

Tiada ulasan: