Dalam kereta,
Mak Cik Mariah duduk bersandar dengan perasaan puas. Duit seribu dalam tas
tangannya akan dibeli barang emas. Sekurang-kurangnya dapat juga sebentuk
cincin. Dua utas gelang emas yang diambil daripada Sharina akan menambah
koleksi barang kemas miliknya yang banyak tersimpan.
“Apa yang emak sembangkan dengan
Rin tadi?” tanya Ainun setelah lama berdiam diri.
Zarif Afandi hanya memberi
tumpuan kepada pemanduannya. Dia membisu kerana hatinya asyik teringat kepada
birasnya yang begitu menawan hati. Dia memang sukakan wanita berambut panjang
seperti itu.
“Mak suruh dia basuh cadar,”
beritahu Mak Cik Mariah. Sengaja dia menumpahkan minyak angin di atas cadarnya
supaya dia dapat menyusahkan menantunya itu.
“Rin kan demam?” tanya Zarif
Afandi. Kasihan juga hatinya melihat emak mertua dan isterinya sengaja hendak
menyusahkan wanita muda itu.
“Alah, demam sikit aje! Macam
mana tak demam. Simpan rambut panjang berjela! Runsing emak tengok,” jawab Mak
Cik Mariah.”
“Betul tu,mak! Sekarang ni kan
cuaca panas. Nak simpan rambut panjang lagi. Macam mana panas nak keluar? Balik
nanti saya nak potong rambut dia,” kata Ainun. Hatinya berasa cemburu kerana
rambut panjang yang dimiliki oleh adik iparnya itu telah menjadi santapan mata
suaminya pagi tadi.
Zarif Afandi tiba-tiba brek
mengejut dan berhenti di tepi jalan. Dia menyalakan signal dan merenung
cermin pandang belakang dan bersedia untuk membuat pusingan U.
“Eh, awak ni kenapa? Nak bunuh
orang ke? Tiba-tiba aje berhenti!” pekik Ainun sambil mencubit paha suaminya.
Zarif Afandi yang kesakitan berkerut mukanya. “Entah. Saya sakit perut
ni... memulas-mulas,” jawab Zarif Afandi dan terus membuat pusingan U lalu
memecut balik ke rumah.
Sampai ke rumah, Zarif Afandi
terus berkejar ke tandas. Dua, tiga kali dia berulang-alik ke tandas.
“Bagi sini kunci kereta. Macam
mana nak pergi orang kenduri kalau dah cirit-birit macam ni?” sergah Ainun
sambil membeliakkan matanya.
“Ya... awak pergilah. Saya tak
larat...” beritahu Zarif Afandi sambil
menekan perutnya berulang kali. Kunci kereta diserahkan kepada Ainun.
Ainun cepat-cepat masuk ke dalam
kereta dan menghidupkan enjinnya.
Zarif Afandi naik
ke rumah sebaik sahaja kereta yang dipandu Ainun meninggalkan halaman rumah.
Dia terus menuju ke bilik Sharina. Beberapa kali dia cuba menolak daun pintu
bilik birasnya itu, namun hatinya kecewa. Sharina menguncinya dari dalam. Zarif
Afandi mengintai melalui lubang kunci. Dia dapat melihat Sharina yang sedang
menyisir rambutnya. Wajah cantik Sharina dan segala pergerakan birasnya itu
ditatap dengan nafas yang tertahan-tahan. Sharina yang diintai melalui lubang
kunci pintu begitu mengiurkan.
Hampir waktu
asar, barulah Ainun dan emaknya balik ke rumah. Suasana rumah hening tanpa satu
suara. Mak Cik Mariah merenung ampaian kain yang masih kosong. Perasaan marah
mula menjalari hatinya.
“Aik, budak Sharina ni... aku dah
suruh basuh cadar, tak berbasuh lagi!” rungutnya kuat. Mak Cik Mariah
cepat-cepat naik ke rumah.
Zarif Afandi sedang tidur di atas
sofa hanya berkain pelekat dan tidak berbaju. Tidak berapa lama kemudian, Ainun
pula naik ke rumah. Dia menegur Zarif Afandi yang terpisat-pisat bangun apabila
mendengar suara riuh emak mertua dan isterinya.
“Abang cirit-birit lagi?” soal
Ainun. Sambil itu matanya menjalari pintu bilik adik iparnya yang masih
bertutup.
Zarif Afandi menggelengkan
kepalanya.
“Tadi abang geledah dapur mak,
jumpa Panadol! Lepas makan Panadol tu, abang lega sikit,” cerita Zarif
perlahan.
“Abang dah makan? Rin ada
masakkan untuk abang?” tanya Ainun sambil duduk di sebelah suaminya itu.
Telinganya tiba-tiba mendengar suara emaknya menjerit memarahi Sharina di dalam
bilik. Ainun pun bangun menuju ke bilik Sharina.
“Rin tak larat nak bangun
emak...” adu Sharina sambil menangis. Sebenarnya, dia berasa takut untuk keluar
dari biliknya kerana mendapati Zarif Afandi ada di rumah. Sepanjang hari dia
berkurung di dalam bilik menahan lapar dan dahaga.
“Mengada-ngada... Demam sikit pun
tak mahu bangun. Kalau kamu terus manjakan diri macam ni lambatlah sembuh
penyakit!” herdik Mak Cik Mariah.
Sharina tidak menyangka emak
mertuanya akan memarahinya begitu. Dia sakit bukan emak mertua atau kakak
iparnya hendak menolong, sebaliknya menyuruhnya membuat itu dan ini di dalam
rumah itu. Emak kandungnya pun tidak pernah melayannya begitu seumur hidup.
Sharina terus teresak-esak.
~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan