Malam telah larut benar. Burung pungguk berbunyi
merayu-rayu di atas pokok mempelam di belakang rumah. Burung pungguk yang terus
melagukan kerinduannya yang tidak pernah luntur kepada rembulan. Hanya rembulan
yang buat tidak peduli terus menunjuk wajah di langit yang tinggi kadangkala
pula menyembunyikan diri. Pungguk terus merindu sehingga dinihari.
Kamal sampai ke halaman rumah emaknya
kira-kira pukul 2.00 pagi. Syukurlah salah seorang pegawainya telah sanggup
untuk menyediakan laporan lengkap berkenaan dengan keruntuhan tiang konkrit
yang terjadi pada stadium yang sedang dibina itu. Sebaik sahaja selesai waktu
pejabat petang tadi, dia balik ke rumah untuk mandi, solat dan terus bertolak
balik ke Perak. Walaupun dirinya dibelenggu keletihan dan rasa lesu, demi
mengenangkan isteri yang dikasihi, dia sanggup meredah malam dan memandu
keseorangan.
Beberapa kali Kamal memberi
salam, namun tiada jawapan. Porch kereta pun kosong. Sepatutnya kereta
abang iparnya ada terparkir di situ kerana menurut kak ngah, mereka bercuti
seminggu. Kamal mencari akal bagaimana cara untuk dia memasuki rumah. Dua tiga
kali dia mengelilingi rumah mengintai kalau-kalau ada tingkap yang tidak
berkunci.
Akhirnya, dia masuk rumah melalui
pintu bilik air bawah rumah yang secara kebetulan selaknya longgar. Apabila
digoyang-goyangkan beberapa kali, engselnya terus tercabut. Kamal menarik nafas
lega. Dia terus naik ke rumah dengan berjengkit-jengkit. Televisyen di ruang
tamu masih terbuka dan siarannya pun sudah habis. Zarif Afandi tidur
terbongkang di depan televisen dan berdengkur bagai kerbau hendak disembelih.
Kamal mengetuk pintu biliknya
perlahan-lahan. Dia pasti Sharina ada di dalam.
“Rinn...” panggilnya lembut. Dia
terdengar bunyi terbatuk-batuk dari dalam biliknya. Beberapa kali dia mengetuk
pintu bilik dengan sabar.
Sharina yang asyik terbatuk terus
terjaga. Tekaknya berasa pedih dan sakit. Dia bangun perlahan dan mendengar
bunyi ketukan di pintu biliknya. Dada Sharina berdebar-debar. Jam di atas
almari solek menunjukkan angka 2.30 pagi
‘Ya ALLAH... Ya TUHANKU...
hindarkanlah aku daripada sebarang bencana,’ rintih hatinya.
Sejak dari pagi tadi, birasnya
berusaha untuk memasuki biliknya, tetapi dia masih selamat kerana sentiasa
mengunci pintu bilik itu. Beberapa kali Zarif Afandi mengetuk pintu bilik dan
memujuknya keluar untuk makan dan ingin membawanya ke klinik, tetapi Sharina
hanya mendiamkan diri. Apabila emak dan kakak iparnya balik petang tadi,
barulah dia keluar dari bilik kerana disuruh memasak untuk makan malam. Dengan
keadaan yang tidak berdaya,dia terpaksa akur kepada perintah emak mertuanya.
Emak mertua dan kakak iparnya
tiba-tiba mendapat panggilan kecemasan selepas isyak tadi. Salah seorang
keluarga mereka terlibat dengan kemalangan jalan raya di Tanjung Malim. Emak
mertuanya yang melalak mendengar perkhabaran itu serta-merta mengajak kakak iparnya
pergi ke Hospital Tanjung Malim pada waktu itu juga.
Apabila emak mertua dan kakak
iparnya tak ada di rumah, Sharina cepat-cepat mengunci pintu bilik. Kini hanya
tinggal dia dan Zarif Afandi di rumah itu. Hatinya sentiasa dicengkam oleh
perasaan takut yang menggila.
Sharina terbatuk-batuk dengan
keras. Mahu tak mahu, dia terpaksa juga keluar dari bilik pada waktu itu untuk
mencari segelas air buat membasahi tekaknya yang gatal dan perit. Baru sahaja
dia membuka engsel pintu, dia terhidu bau tubuh Kamal. Dada Sharina berdebar.
Daun pintu ditolak dari luar. Sharina terkejut, hampir sahaja tubuhnya rebah.
“Rin...” Pelukan Kamal terus
hinggap di tubuh isterinya. Bahang panas tubuh Sharina seolah-olah meresapi ke
tubuh Kamal.
“Rin...” bisik Kamal di telinga
Sharina. Sharina yang menangis masih mendakap kuat tubuhnya.
“Abang... bawalah Rin pergi...
tolonglahh,” bisik Sharina dalam tangisan.
Kamal membawa Sharina ke katil
dan mendudukkan isterinya di birai katil. Pipi Sharina diciumnya puas-puas.
“Abang rindu sangat pada Rin,”
bisik Kamal. Sharina memegang tangan Kamal dan mengucupnya berulang kali dengan
deraian air mata. TUHAN telah membawa Kamal untuknya. Sharina bersyukur di atas
rahmat dan belas kasihan ALLAH kepadanya.
“Rin pun rindu. Rasa nak mati, bang...
Rin nak telefon tapi telefon Rin, kak ngah pinjam,” cerita Sharina. “Telefon
rumah pula rosak,” bisiknya lagi. Sedu-sedannya masih berpanjangan.
“Emak pergi ke mana Rin?” soal
Kamal sambil mengusap-usap pipi Sharina.
“Emak dan kak ngah pergi ke Tanjung
Malim.”
“Pergi sana buat apa?” tanya
Kamal lagi dengan perasaan kesal. Isterinya yang sedang demam ditinggalkan
dengan Zarif Afandi. Lelaki buaya darat itu! Perasaan Kamal rasa terbuku.
Sharina hanya menggelengkan
kepalanya. Dia sudah tidak berdaya hendak bercerita. Air mata semakin lebat
membanjiri pipinya.
“Bawalah Rin pergi dari sini,
bang...” rengek Sharina sambil melentokkan kepalanya ke bahu Kamal. Dia
benar-benar rasa tidak berdaya lagi.
“Rin lapar,” adu Sharina. Dari
pagi tadi, dia tidak menjamah walau sebutir nasi. Walaupun dia sempat memasak
untuk mereka petang tadi, dia tidak sempat untuk makan. Zarif Afandi yang asyik
berlegar-legar di dapur menyebabkan hatinya berasa tidak selesa dan takut.
Lantas, sebaik selesai memasak, dia terus mengunci dirinya di dalam bilik.
“Lapar?” tanya Kamal dhairan.
Hatinya semakin pilu dan keliru. Mengapa isterinya dibiarkan kelaparan? Apa
yang telah berlaku sebenarnya?
“Okey...
okey, sayang... kita pergi sekarang! Perlahan-lahan, jangan bising! Jangan
sampai Abang Zarif terjaga,”~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan