Jumaat, 20 September 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 20-sambungan)



Sharina yang demam kuat disertai dengan batuk terpaksa dibawa ke klinik. Nasib baik ada klinik yang beroperasi 24 jam. Sharina terpaksa menerima suntikan dan disuruh berehat. Mahu tidak mahu, subuh itu Kamal terpaksa membawa Sharina menginap di Hotel Seri Malaysia. Setelah didesak oleh suaminya, Sharina terpaksa bercerita kepada Kamal.
“Rin... sebenarnya abang tak suruh pun emak atau kak ngah pergi ambil Rin bawa balik ke rumah! Sumpah, Rin!” beritahu Kamal dengan suara sebak. Tangannya terus mengusap pipi isterinya itu. Air mata Sharina dikesat dengan pipinya. Dia pun turut menangis. Tergamak emak kandungnya memperlakukan isterinya begitu.
“Sudahlah, abang... abang jangan marah pada mak atau kak ngah. Rin tak nak nanti abang bergaduh dengan emak dan kak ngah,” kata Sharina sambil tersedu-sedan.
“Abang minta maaf, sayang...” balas Kamal terus meraba-raba belakang leher, rambut Sharina. Usapan tangannya tiba-tiba terhenti.
Dada Sharina terus bergemuruh. Tangan Kamal sudah menyusup ke bawah tudung dan meraba-raba rambutnya.Tangan Kamal yang sebelah lagi terus menyingkap tudung sehingga tertanggal dari kepalanya dan meletakkan kain tudung itu di atas tilam.
“Astaghfirullahalazim...” ucap Kamal sebaik sahaja dia mengirai rambut Sharina. Rambut isteri yang selalu dibelai, dikucup dan dirindu tinggal separas bahu. Sudahlah begitu, potongannya panjang pendek bagai kain buruk dicabik anjing.
“Abang... Rin minta maaf,” raung Sharina lalu menyembamkan mukanya di dada Kamal semula. Puas dia menangis dan merayu kepada kak ngah,namun kakak iparnya itu tetap memotong rambutnya tanpa belas kasihan.
Kamal menelan perasaan geramnya berkali-kali .Tak perlu Sharina bercerita, dia sudah tahu siapa yang memotong rambut isterinya itu.
“Abang tak usah marah kak ngah! Rambut Rin boleh tumbuh balik! Rin tak kisah... tapi Rin tak suka kalau sebab Rin abang bergaduh adik-beradik! Tolong abang... jangan ungkit hal ini lagi.”
Kamal terdiam dan bernafas deras kerana menahan perasaan marah. ‘Astaghfirullahalazim...’ bisik hati Kamal terus menyabarkan hatinya. Kesabaran yang mula tercalar.
“Ini dugaan yang ALLAH bagi untuk rumah tangga kita,untuk Rin,” sambung Sharina lagi. Kesedihan hatinya kerana keguguran belum lagi terusir tiba-tiba emak mertuanya memperlakukan dirinya begitu pula.
“Rin sanggup terima segalanya asalkan abang ada di samping Rin.”
“Kenapa Rin sabar sangat ni? Ya Allah, tak patut betul kak ngah lakukan semua ni. Kenapa dia nak sakit hati sangat pada Rin?”
“Tak apa, bang! Rin boleh sabar. Insya-ALLAH... Lagipun dulu abang dah pernah cakap pada Rin, jika ALLAH inginkan hamba-NYA menjadi baik, ALLAH akan duga dengan macam-macam perkara.”
Air mata Sharina yang mengalir perlahan semakin menghumbankan jiwanya di dalam lara. “Okey, Rin... selepas ni satu hari pun abang tak benarkan Rin berjauhan daripada pandangan mata abang,” ujar Kamal terus membelai tubuh Sharina.
Sharina terus menangis. Ada satu lagi perkara yang membuat hatinya bercerai dengan jantung. Rita. Haruskah persoalan Rita dibangkitkan pada saat itu. Di saat mereka berdua ingin meleraikan rasa rindu yang bertakhta di hati sejak beberapa hari ini? Namun jika dia terus mendiamkan diri persoalan itu akan terus memamah hatinya yang dahagakan kasih serta cinta suaminya itu.
“Abang... boleh tak Rin nak tanya satu perkara?” soal Sharina apabila tangisannya reda.
“Tanyalah...” bisik Kamal.
“Kak ngah ada bawa Rita jumpa dengan Rin.”
Kamal tersentak. Dia terus mengucup kening isterinya.
“Rita tak ada apa-apa hubungan dengan abang, Rin. Dulu kami pernah bertunang atas desakan emak dan kak ngah, tapi abang langsung tak cintakan dia,” terang Kamal.
“Waktu abang pergi ke rumah Rin untuk makan tengah hari tu, abang memang dah putus tunang dengan Rita,” jawab Kamal sejujurnya.
“Tapi...” Sharina menatap mata Kamal.
“Rin tak usah ragui cinta abang pada Rin. Rin yang pertama dan yang terakhir,” ikrar Kamal.
“Kalau abang mampu rangkaikan kata-kata cinta yang ada di dalam dunia ini, abang akan rungkaikan. Biar ia menjadi jambangan bunga yang indah untuk menghiasi taman hati Rin. Biar hati Rin tidak meragui cinta abang lagi,” bisik Kamal lalu menarik tubuh Sharina supaya rebah di sisinya.
“Jom, kita tidur. Esok tengah hari kita balik ke rumah kita,” bisik Kamal lalu memeluk Sharina kemas-kemas. Rasa tenang kembali bersemadi di dalam tasik hatinya apabila isteri yang dicintai berada di sisinya semula.

PUKUL 6.00 pagi, Sharina terjaga dan mengejutkan Kamal untuk solat subuh. Kamal tersedar dan terus melemparkan senyuman kepada isterinya.
“Alhamdulillah... demam Rin dah kebah,” katanya lalu bangun perlahan-lahan. Apabila isterinya sakit, hatinya diselubungi perasaan bimbang.
“Abang... nanti sebelum kita balik, abang beritahulah emak abang!” kata Sharina lalu bangun dan melipat kain selimutnya. Bimbang juga jika emak mertuanya menyangka dia melarikan diri dari rumah.
“Nak buat apa beritahu mak?” tanya Kamal sambil mencuit manja pipi Sharina. Setelah itu, dia meninggalkan Sharina untuk ke bilik air.
“Abang beritahulah emak, ya...” pujuk Sharina apabila Kamal selesai solat subuh.
Kamal buat acuh tak acuh. Dia berbaring semula dan menarik Sharina supaya berbaring di atas dadanya. Sharina terpaksa menurut.
“Abang penatlah, sayang. Tak mahu fikir tentang itu lagi. Kepala abang jadi pening. Abang memang tak suka emak dan kak ngah buat tak tentu pada Rin,” kata Kamal sambil memejamkan matanya. Sakit hatinya bila kak ngah tergamak memotong rambut isterinya itu.
“Paling penting sebelum kita balik ke Melaka nanti kena singgah salun dulu. Lepas tu, kita jenguk emak Rin sekejap. Biar emak tak susah hati lagi. Abang tahu emak Rin mesti susah hati waktu kak ngah datang ambil Rin di rumah,” rungut Kamal.
“Rin nak telefon abang, tapi emak tak bagi.” Dia pula tidak boleh membantah percakapan emaknya pada hari itu.
“Abang tahu, Rin. Emak Rin tu orangnya lembut dan mulia hati. Dia tidak suka timbulkan kekeruhan di dalam keluarga. Dia tak mahu kecilkan hati abang dan hati semua orang. Abang dah faham hati emak mertua abang tu.” Sharina terdiam. 


                                                                            ~ ~ bersambung ~!

Tiada ulasan: