Riuh kicauan burung murai yang duduk bertenggek di atas
pokok jambu bertih yang sedang lebat berbuah di tepi rumah. Walaupun burungnya
hanya seekor, namun kicauannya begitu kuat dengan irama dan melodinya yang
tidak tentu hala. Mak Leha ketawa sendiri. Dia terkenangkan peribahasa orang
Melayu, ‘Bagai murai tercabut ekor.’
Sambil melayan bunyi kicauan,
matanya terlontar pula ke arah jalan yang menghala ke rumah. Tersenyum lebar Mak
Leha apabila melihat kereta
menantunya masuk ke halaman rumah.
“Kamal,” sapanya dengan suara
agak kuat.
Kamal sedang membuka pintu kereta
untuk Sharina. Apabila Sharina keluar dari kereta, baru mereka sama-sama
menghampiri Mak Leha lalu berjabat salam. Sharina berpelukan dengan
emaknya.
“Bila Kamal balik, ni? Hari ini
tak kerja ke?” Soalan daripada Mak Leha bertalu-talu.
“Subuh tadi, mak! Saya dah tak
tahan rindu pada Rin,” jawab Kamal sambil ketawa.
“Jomlah masuk,” pelawa Mak
Leha sambil menarik tangan Sharina
dengan kasih sayang.
“Emak, saya minta maaf. Kami tak boleh nak berlama-lama ni. Saya nak
bertolak balik ke Melaka dah,” beritahu Kamal sambil mengekori emak mertuanya.
“Hai... takkan tak sempat minum
secawan air dulu,” kata Mak Leha memujuk.
“Abang, kita minum dulu, ya?
Kasihan mak,” pujuk Sharina pula sambil merenung manja suaminya itu.
“Okey, sayang...” jawab Kamal.
“Mak... saya nak bawa Rin balik
ke sana,” beritahu Kamal.
Mak Leha
sedikit tersentak.
“Emak Kamal tak jauh hati ke
nanti? Katanya nak menjaga Rin seminggu dua. Baru tiga hari rasanya.”
Sharina merenung ke wajah Kamal.
Menunggu jawapan yang akan keluar daripada bibir suaminya itu.
“Tak apa, mak,” jawab Kamal
ringkas. Dia yakin emak dan kakak serta abang iparnya mesti sedang kalut
mencari Sharina yang hilang dari rumah mereka.
“Emak dah jaga Rin. Emak saya pun
dah jaga Rin. Biar giliran saya pulak,” sambung Kamal lagi.
“Rin dah betul-betul sihat ke
ni?” soal Mak Leha sambil
menyorot ke wajah anak kesayangannya itu.
“Alhamdulillah, mak... Rin dah
sihat. Emak Abang Kamal jaga Rin dengan baik. Macam puteri raja! Macam mana
Abang Kamal manjakan Rin, begitulah jugak dengan emak mertua Rin,” jawab
Sharina lembut.
Mendengar kata-kata itu, Mak
Leha tersenyum lebar. Kamal sempat
menjeling ke wajah isterinya itu.
“Alhamdulillah kalau macam tu,
Rin. Lega hati emak,” tukas Mak Leha.
Selesai minum, mereka pun
beredar. Jam sudah menunjukkan angka 11.30 pagi.
“Bawa kereta elok-elok, Kamal!”
pesan Mak Leha
sewaktu menantunya itu bersalaman dengannya.
“Rin jaga diri baik-baik. Jaga
pantang larang yang emak dah ajar tu! Ubat kena makan,” pesannya lagi.
“Tak usah risau, mak! Saya jaga
Rin elok-elok! Ubat-ubat jamu pun saya dah belikan. Ada sekotak besar kat rumah
tu,” sampuk Kamal sambil ketawa.
“Kalau emak nak suruh saya
carikan tukang urut untuk Rin, nanti saya carikan,” sambung Kamal sambil
mengenyitkan mata kirinya apabila Sharina merenung dan menjeling kepadanya.
Mak Leha sempat
berbisik sesuatu di telinga Sharina sebelum anaknya itu memasuki kereta.
Zarif Afandi
berasa bosan dan kecewa. Tambahan pula apabila emak mertua dan isterinya
berleter kerana dia tidak menyedari kehilangan Sharina. Lantaran itu, dia ke
bandar untuk meredakan hati yang runsing. Bunyi deruman kenderaan yang bertali
arus tidak dihiraukan. Dia terus melangkah dari satu kedai ke satu kedai yang
lain. Sengaja dia melawat-lawat sekitar bandar Ipoh sebelum balik ke Johor
esok.
“Zarif Afandi! Ini Zarif Afandi,
kan?”
Tiba-tiba satu suara yang sudah
terlalu lama tidak terdengar menembusi telinganya. Zarif Afandi terkejut.
Wanita itu tersenyum lebar kepada Zarif
Afandi. Bagaikan ingin dipeluknya insan yang sedang berdiri di hadapannya.
Dadanya berdegup kencang. Tiba-tiba saja dia bertemu dengan orang yang tak
disangka-sangka di hadapan kedai emas.
Orang yang amat dirinduinya selama ini. Orang
yang menyebabkan dirinya rela kesepian dan bersendirian. Dia benar-benar yakin
yang penantian yang penuh dengan penyeksaan itu akan berakhir dengan
kebahagiaan.
“Nora! Apa khabar? Lama sungguh
kita tidak jumpa.” Zarif Afandi lalu menjabat tangan Nora dan menggenggamnya
erat.
Nora yang terharu bergenang air
matanya. Kelu lidahnya seketika. Tangannya terus menggenggam tangan Zarif
Afandi. Bibirnya tersenyum, namun pipinya dibasahi air mata.
“Lima belas tahun Abang Zarif,
lima belas tahun Nora mencari abang! Syukurlah... akhirnya dapat bertemu juga,”
kata Nora dengan perasaan yang terharu.
“Ya ke? Nora memang bertugas di
sini ke? Sudah berapa orang anak?” soal Zarif Afandi lagi. Tidak sabar untuk
mengetahui perkembangan diri bekas teman wanitanya itu. Nora ialah teman
wanitanya sewaktu mereka sama-sama belajar di UiTM, Kelantan. Setelah tamat
pengajian, Zarif Afandi bertugas di Shah Alam. Setelah itu, dia menceburkan
diri di dalam bidang perniagaan. Perhubungan mereka terputus begitu sahaja.
“Nora studi lagi. Secara
kebetulan datang melawat emak saudara di Ipoh ni,” terang Nora sambil mengesat
air mata dengan hujung lengan baju kurung yang dipakainya.
Wanita berusia lewat tiga puluhan
itu berkulit hitam manis, bertubuh gempal dan berwajah sederhana. Matanya agak
besar dengan kening yang tidak begitu lebat. Di wajahnya ada kesan parut-parut
jerawat yang agak lama dan menipis. Berkali ganda, lebih cantik lagi
Sharina. Rasa rindu kepada birasnya
itu menggebu-gebu. Hatinya berasa tidak puas selagi tidak dapat mencapai apa
yang diimpikannya.
“Bekerja sambil belajar ke? Ambil kursus apa
lagi ni? Ijazah?” soal Zarif Afandi lagi.
Nora mengangguk perlahan.
Keterujaannya bertemu dengan bekas kekasih hati menyebabkan lidahnya kelu untuk
berkata-kata.
“Nora, jom kita singgah di
restoran sana. Boleh bercerita panjang! Lama tak bertemu,” pelawa Zarif Afandi
dengan senyum lebar. Lama tidak bertemu mungkin banyak kisah yang dapat
dikongsikan bersama.
“Jadi, sampai sekarang Nora tak
kahwin-kahwin lagi? Semata-mata mencari abang?” soal Zarif Afandi. Dia terkejut mendengat
pengakuan yang dibuat oleh Nora. Terputik rasa simpati dan terharu di hatinya.
‘Alangkah setianya wanita ini.’
“Nora duduk di mana sekarang?”
“Penang! Nanti abang datang ke
sana, ya?” jawab Nora.
“Tapi, tak lama lagi Nora nak
bekerja di Ipoh ni semula,” jawab Nora. “Abang kerja di mana sekarang ni?”
tanya Nora. Maklumlah, sudah lama terputus hubungan membuatkan dia begitu teruja hendak mengetahui perkembangan
karier bekas kekasihnya itu.
“Abang kerja di Johor. Dah lama
abang duduk di sana,” jawab Zarif Afandi sambil menyengih.
“Kerja apa?” Matanya terus
menatap ke wajah Zarif. Kerinduan yang terpendam selama ini tidak puas dengan
hanya melihat wajah lelaki itu. Dia terus menggenggam-genggam tangan Zarif
Afandi dengan mesra.
“Abang kerja sendiri. Jadi
kontraktor,” beritahu Zarif Afandi sambil matanya melirik kepada Nora.
“Abang ada syarikat sendiri,”
jelasnya lagi. Entah di mana silapnya, ZA Construction Sdn Bhd, syarikat
miliknya sudah tinggal nyawa-nyawa ikan.
“Wah, banyaklah duit abang,”
gurau Nora sambil tergelak.
“Mestilah! Kalau tidak boleh
mendatangkan duit banyak buat apa abang menceburkan diri dalam bidang ini.
Baiklah abang kerja makan gaji dengan kerajaan,” tukas Zarif Afandi pula sambil
ketawa.
“Mesti abang banyak dapat
projek,” sampuk Nora pula. Bangga rasa hatinya mendengarkan kejayaan kekasih
lama.
“Mestilah!” Kata Zarif Afandi
sambil bernafas kuat.
Pertemuan mereka itu berakhir
lewat tengah hari. Mereka bertukar-tukar alamat dan nombor telefon.
“Nanti abang telefon Nora, ya?”
pesan Nora.
“Telefon tau,” suruh Nora lagi
dengan suara yang dimanja-manjakan.
“Tak
usah bimbanglah, sayang! Abang pasti telefon. Hari ini tak puas untuk
melepaskan rindu,” jawab Zarif Afandi sambil tersengih-sengih.
~ ~ bersambung ~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan