Hari itu tanggal satu Muharam. Kamal dan Sharina sibuk
melayani tetamu yang datang ke rumah mereka. Mereka mengadakan kenduri
kesyukuran kerana masuk ke rumah baru. Kamal juga telah ditukarkan tempat
bertugas dari Melaka ke Ipoh. Majlis kesyukuran di adakan selepas solat isyak.
Kamal turut mengadakan majlis tahlil untuk arwah ayah dan adik-beradiknya yang
telah meninggal dunia. Setelah majlis selesai dan tetamu beransur pulang,
barulah Hisham dan Mak Leha tiba.
“Tahniah Kamal, Sharina...” ucap
Hisham. Dia tersenyum lebar melihatkan kemesraan Kamal dan Sharina.
Kedua-duanya nampak girang.
“Alhamdulillah. Semuanya rezeki
daripada ALLAH,” jawab Kamal sambil tersenyum.
Sharina segera memeluk Mak
Leha dan mencium pipi emaknya
berkali-kali.
“Berseri-seri anak mak,” puji Mak
Leha melihatkan Sharina yang anggun
dalam busana Muslimahnya yang berwarna hijau serindit sedondon dengan baju
Melayu yang dipakai oleh Kamal. Mak Leha memerhati sekitar rumah yang sederhana, tapi terhias
cantik.
“Macam mana, mak? Okey tak ruang
ni? Reka bentuknya?” soal Sharina sambil memeluk manja lengan emaknya.
Mak Leha
mengangguk-angguk. “Siapa yang reka pelannya, Rin?” tanya Mak
Leha terus memerhati setiap sudut.
Rumah banglo dua tingkat itu amat menarik perhatiannya.
“Menantu kesayangan emaklah.
Semua dia yang buat. Perabot-perabot pun Abang Kamal yang pilih. Langsir tu,
abang Kamal jugak yang reka bentuknya,” cerita Sharina dengan bangga.
“Oh... semuanya Kamal, Rin buat
apa?” usik Mak Leha sambil menarik tangan anaknya untuk melawat ruangan
dapur pula.
“Rin? Rin hanya tahu cakap...
cantik kata abang, cantik jugalah pada pandangan Rin. Baik kata abang, baik
jugalah pada Rin. Rin tak kisah,” jawab Sharina sambil ketawa riang.
Mak Leha pun
melambakkan tawanya juga. Mereka terus berjalan ke dapur.
“Pandailah, Rin. Tapi baguslah
kalau Rin bersikap begitu, nak! insya-ALLAH rumah tangga sentiasa rukun dan
damai. Tidak ada perbalahan dan pertengkaran kalau suami isteri sudah bersatu
hati.” Sempat Mak Leha menasihati anaknya.
“Jom, mak... kita pergi ke depan
semula,” ajak Sharina. Kamal sedang berbual dengan Hisham dan beberapa tetamu
lain yang masih belum pulang.
“Abang... tu emak baru sampai,”
beritahu Sharina sambil menunjukkan ibu jarinya ke pagar. Emak mertuanya datang
bersama kak ngah, Zarif Afandi dan anak-anaknya.
“Amboi, cantiknya rumah Kamal,”
komen Ainun sebaik sahaja turun dari kereta. Bola matanya menjalar ke sana dan
ke sini. Mata Mak Cik Mariah pun hampir terjojol kerana dijolok oleh perasaan
sakit hatinya.
Mak Leha
menghulurkan tangan kepada besannya.
“Berapa ribu harga rumah ni,
Rin?” tanya Mak Cik Mariah sambil tertoleh ke sana dan ke sini.
“Rin tak tahu, mak. Maaf...”
jawab Sharina lambat-lambat. Sejujurnya, dia tidak pernah bertanya kepada Kamal
tentang harga rumah itu. Walau Kamal sangat menyayangi dan mencintainya, tetapi
ada perkara-perkara yang tertentu, Kamal tetap merahsiakan daripadanya.
“Kamal, berapa harga rumah ni?”
Gagal mendapat jawapan daripada
menantu, Mak Cik Mariah bertanya kepada anaknya pula.
“Ikut harga sekarang... hmm...
dalam 400 ribu, mak!” jawab Kamal perlahan dan serba salah.
“Hai... dah nak setengah juta
tu,” sampuk Ainun dari jauh.
Zarif Afandi yang ada di situ
hanya membisu. Sedari tadi matanya masih belum lekang mengekori birasnya. Sharina begitu
anggun pada pandangannya. Tubuh Sharina yang sedikit berisi menyebabkan pipinya
semakin gebu.
“Untunglah bini kamu,” sinis
suara Mak Cik Mariah.
Kamal tidak menjawab dan
berpura-pura tidak mendengar. Dia meneruskan perbualan dengan Hisham. Tetamu
yang terdiri daripada jiran-jirannya semua sudah beredar.
“Rin... pergi buatkan hidangan.
Boleh kita makan sekeluarga. Bukan senang nak berkumpul sama-sama begini,”
suruh Kamal.
Mak Cik Mariah pun mengekori
Sharina ke dapur. Mak Leha pula menyediakan tempat untuk jamuan keluarga di
ruang tamu.
“Rin... kenapa suruh Kamal buat
rumah sampai beratus ribu? Rin tu tak kerja... kenapa nak susahkan Kamal?”
tanya Mak Cik Mariah sebaik sahaja dia berada di sisi menantunya itu. Suaranya
lembut, lunak dan manis, namun nada sinisnya begitu menikam.
Sharina tersentak. “Rin tak
suruh, mak.” Sharina cuba membela dirinya. Bukankah menyediakan tempat tinggal
itu menjadi kewajipan bagi seorang suami?
“Kamu jangan nak jadi permaisuri
duduk-duduk di rumah ni goyang kaki! Lepas tu semuanya dilambakkan kepada kamu!
Mak tak suka!” Bisikannya keras.
Sharina terus mendiamkan diri.
Hanya tangannya yang menggeletar sewaktu memegang pinggan mangkuk. Dia faham
maksud kata-kata emak mertuanya itu.
“Mak tak suka Kamal habiskan
duitnya untuk Rin. Mak yang mengandung dan melahirkan dia! Tak pernah pun dia
dirikan emak rumah banglo harga beratus ribu,” kata Mak Cik Mariah.
“Kamu kena bayar balik duit yang
Kamal belanja untuk kamu kepada emak,” beritahunya lagi.
Sayu benar rasa hati Sharina
mendengar kata-kata emak mertua yang menghiris hatinya itu. Walau cuba ditahan,
namun air matanya menitis juga. Sharina menundukkan wajahnya.
“Hidangan dah siap Rin?”
Muncul Mak
Leha untuk mengambil hidangan.
Sharina menghulurkan dulang kepada emaknya tanpa bersuara. Dia hanya
menundukkan wajahnya. Mak Leha perasan mata Sharina yang berkaca merah.
“Kenapa ni, Rin?” soal Mak Leha terus merapati Sharina.
“Menangis tak tentu pasal, kenapa nak?” ulang Mak Leha dengan suara memujuk.
“Kenapa pula dengan Rin?” soal
pula Mak Cik Mariah pura-pura tidak tahu sebab Sharina menangis.
Sharina tidak menjawab. Dia
mengesat hidungnya yang mula berair.
“Mata Rin terkena cili ke?” soal
emak mertuanya pura-pura mengambilkan air bersih dan menghulurkan kepada Sharina.
“Rin tak baik menangis begini.
Bukankah hari ini hari yang menggembirakan Rin dan Kamal? Baru sahaja selesai
majlis kesyukuran,” nasihat Mak Leha terus menyoroti wajah anak kesayangannya.
“Tak apa-apa, mak! Rin terharu
sebab malam ni kedua-dua emak, ada di sisi Rin,” jawab Sharina sambil teresak.
Air mata yang gugur dikesatnya dengan telapak tangan. Sejenak wajah ditundukkan
menyembunyikan kesedihan.
“Jomlah, kita ke depan. Dah lewat
ni. Sekejap lagi mak nak balik, kan?” soal Sharina kepada emaknya. Emak
mertuanya sudah meninggalkan ruangan dapur. Pedih luka yang dirasa biarlah
tiada orang yang tahu.
~~ bersambung~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan