Isnin, 30 September 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 22-sambungan)




Hampir pukul 11.30 malam baru emak dan emak mertuanya beredar dari rumah mereka. Sharina dan Kamal menghantar keluarga mereka sehingga ke hadapan pagar rumah.
“Emak nak balik, Kamal. Terima kasih. Dah duduk di Ipoh ni, rajin-rajinlah jenguk emak! Tak usah nak mengadap muka isteri aje,” sindir Mak Cik Mariah dalam nada bergurau.
“Insya-ALLAH mak, tak usah bimbang,” jawab Kamal sambil bersalam dan mencium tangan emaknya. Dia lambat-lambat berjabat salam dengan Zarif Afandi. Perhubungan dengan abang iparnya masih lagi keruh. Perangai biadap Zarif Afandi terhadap isterinya sukar dilupakan begitu sahaja.
“Dah ada rumah sendiri ni eloknya ada cahaya mata. Rin tu kalau tak boleh beranak, tak boleh nak datangkan hasil, baiklah suruh dia kerja daripada bergoyang kaki kat rumah..,” sindir Mak Cik Mariah sebelum masuk ke dalam kereta. “Baik kamu cari bini lain yang boleh mendatangkan anak!”
Kamal tersentak mendengar kata-kata emaknya. Hatinya tersiat. Dia menjeling Sharina yang berada di sisi. Kamal meramas-ramas jari-jemari Sharina yang di dalam genggaman memberi isyarat supaya isterinya itu berdiam.

“Insya-ALLAH, mak... ada rezeki saya takkan ke mana! Lagipun saya belum puas bermanja dengan Rin.” Kamal terus memeluk bahu Sharina dan mencium ubun-ubun isterinya itu di hadapan emaknya yang sudah duduk di dalam kereta Zarif Afandi. Ainun yang melihat menoleh ke lain. Berbulu hatinya melihat kemesraan Kamal dan isterinya yang semakin romantis dari hari ke hari. Zarif Afandi pula berasa cemburu. Dia dan Ainun asyik bertekak 24 jam.
“Kami balik dulu, Kamal... Rin,” sampuk Ainun lalu mencubit paha Zarif Afandi mendesak suaminya itu supaya cepat-cepat beredar dari pekarangan rumah Kamal.
Setelah bersalaman dengan anak menantu, Mak Leha memasuki kereta Hisham yang sudah terbuka pintunya dari tadi. “Jaga diri baik-baik Rin, Kamal. Assalamualaikum,” kata Mak Leha.
“Rin, abang balik! Jaga diri... dengar kata Kamal,” pesan Hisham sambil ketawa. Keretanya bergerak perlahan-lahan meninggalkan banglo dua tingkat itu.
“Rin... abang minta maaf pasal emak abang tadi! Rin jangan ambil hati ya?” kata Kamal sebaik menutup pintu dan lampu pagar. Suasana rumah kembali menyepi.
“Tak apa, bang. Asalkan abang terus ingin bermanja dengan Rin, biarlah emak nak cakap apa pun. Walaupun hati Rin diracik-racik, Rin rela.” Sharina menggeliat membetulkan urat-uratnya. Badannya sudah kepenatan kerana sibuk melayani tetamu yang datang tadi.
“Betul?” tanya Kamal seolah tidak percaya sambil merapati isterinya.
Sharina sudah faham dengan corak langkah suaminya itu. Jika menghampirinya sambil tersenyum-senyum kalau terlambat mengelakkan diri, Kamal akan mengangkat dan mendukungnya membawa ke bilik mereka.

“Lari!” pekik Sharina, namun Kamal sempat memegang tangannya. Sederas kilat tubuhnya diangkat oleh Kamal lalu dipikul atas bahunya menuju ke bilik.

Tiada ulasan: