Selasa, 1 Oktober 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 23)


Zarif Afandi tercegat di hadapan rumahnya. Rumah batu dua tingkat itu baru dibeli daripada seorang kenalan yang ingin balik ke negeri kelahirannya di Sabah setelah lama berkhidmat di Semenanjung Malayisa.
“Banyak juga yang kita kena ubah suai, ya bang?” ujarAinun yang turut bersama suaminya pada petang itu.
Zarif menganggukkan kepalanya. “Banyak juga. Mungkin kosnya lebih banyak daripada kita membina rumah baru,” jawab Zarif Afandi.
Ainun menjeling tajam. “Kenapa abang cakap macam tu? Pada pendapat saya, beli rumah dan ubah suai sedikit lebih menjimatkan. Kalau nak buat rumah, saya rasa kosnya dalam 200 ke 230 ribu ni. Nak beli tanah lagi,” balas Ainun.
“Kawan abang dah terdesak. Dia jual rumah ni pun murah! RM180 ribu sekali tanah. Berbaloilah!” ungkap Ainun lagi sambil matanya terus meliar ke sana dan ke sini.
“Rumah ni lebih besar daripada rumah Kamal. Lebih cantik lagi apabila kita dah buat pengubahsuaian. Kita cat baru, tukar pagar depan tu, tukar gril, tambah dengan kolam renang! Hmm... baru nampak mewah,” Sambungnya lagi. Terasa kembang hatinya apabila membayangkan keadaan rumah itu apabila dipinda mengikut impiannya.
“Kamal tu tak besar hati macam awak! Sebab tu rumah yang dibuat sederhana sahaja, tetapi cantik. Lebih damai lagi kalau ada isteri yang mendengar kata. Tak banyak mulut,” jawab Zarif Afandi sempat menyindir sambil melangkah ke pintu rumah. Hatinya terus mengenang birasnya. Wajah ayu Sharina bagaikan berada di pelupuk matanya.
“Saya beli rumah ni sebab awak yang tak sabar nak pindah duduk di Ipoh ni, kan? Secara kebetulan, saya dah terbuka pintu hati hendak duduk berdekatan dengan emak awak,” sambungnya lagi. Menyembunyikan rasa hatinya yang turut berasa senang kerana Kamal pun sudah berpindah ke Ipoh. Jika begitu peluangnya untuk mendekati Sharina lebih banyak.
“Alah... kalau begitu bukanlah salah saya mendesak awak pindah ke sini!” tukas Ainun lalu mengekori Zarif Afandi untuk melihat-lihat bahagian dalam rumah pula.
“Wah, boleh tahan juga dalam rumah ni. Siling tu kita tak payah ganti! Saya suka!” jerit Ainun teruja. Siling yang berkerawang warna putih gading itu memukau hatinya. Ainun tersenyum lebar. Lampu candelier yang tergantung di siling pun mempesonakan hatinya.
“Tapi, siling di rumah Kamal lagi cantik! Yang ni fesyen lama,” komennya pula.
Zarif Afandi ketawa mendengar rungutan isterinya itu. Lidahnya cepat sahaja menukar kata-kata.
“Hai... kalau setiap kali ada fesyen baru, tuan rumah kena tukar siling, letihlah cik kak oi!” sanggah Zarif Afandi. Perangai materialistik isterinya itu memang difahami. Namun kerana sayang, dituruti segala kemahuannya itu.
“Lampu pun fesyen lama jugak ni. Buatan tempatan. Saya nak tukarlah, bang,” rengek Ainun.
Zarif Afandi tidak menjawab. Masalah kewangannya yang semakin mencekik, Ainun tidak pernah ambil peduli. Hampir sejam mereka melawat di rumah itu, Zarif Afandi dan Ainun pun balik ke rumah emak mereka di Kampung Sungai Tapah.
     
Mak Cik Mariah sibuk memerhatikan geran tanah yang terbentang di atas meja di ruang tengah. Kamal yang ada bersamanya diam membisu. Dia balik ke rumah emaknya untuk membincangkan tentang tanah milik mereka yang ingin diambil alih oleh kerajaan untuk membina jalan raya.
“Tanah yang bertanda kuning tu memang arwah ayah dah wasiatkan untuk saya, kan mak?” tanya Kamal meminta kepastian. Jika benar, dia akan mendapat durian runtuh.
Mak Cik Mariah cuba memerhati. “Rasa-rasanya memang tanah ni milik kamu! Tapi...” Lembaran geran dan peta lokasi tanah diangkat lebih rapat kepadanya.
“Emak tak berapa nampaklah Kamal, halus sangat tulisannya,” kata Mak Cik Mariah sambil menyorot ke wajah Kamal.
“Cermin mata mak mana? Biar saya ambilkan.” Cepat-cepat Kamal bangun dari kerusi. Hampir 45 minit dia berada di rumah emaknya tanpa Sharina. Hatinya sudah resah. Dia bimbangkan Sharina yang tinggal sendirian di rumah. Jika boleh hari itu juga dia ingin mendapatkan kepastian daripada emak. Bukannya dia tidak tahu hendak menyemak sendiri tentang urusan itu, namun sebagai tanda menghormati emaknya, apa salahnya dia bertanya. Emak yang lebih tahu tentang tanah-tanah pusaka milik arwah.
“Ada atas almari dalam bilik mak!” beritahu Mak Cik Mariah. Kamal berjalan cepat-cepat menuju ke bilik emaknya. Bibirnya tersenyum sebaik sahaja masuk ke dalam bilik, matanya terus terpandang cermin mata di atas almari solek antik yang berada di bilik itu. Tangannya pantas mencapai cermin mata berbingkai tebal.
“Eh, mak ni... Letak barang emas merata-rata!” rungut Kamal sebaik sahaja melihat selonggok barang kemas emaknya turut berada di atas almari. Matanya terpaku kepada sepasang gelang. Deras tangannya mengambil gelang tangan dan membelek di bahagian bawah lengkungannya. ‘Sayangku Rin.’ Ukiran nama manja Sharina yang terukir di kedua-dua utas gelang itu menyebabkan Kamal tersentak.
“Mesti Rin tertinggal gelang ni,” tekanya lalu mengambil gelang itu dan membawanya ke ruang tengah semula.
“Nah... ni cermin mata mak. Emak... gelang tangan Rin yang tertinggal ni saya ambil balik ya? Agaknya dia tertinggal masa duduk kat sini,” beritahu Kamal. Emaknya kelihatan tersentak.
Bulat mata Mak Cik Mariah melihat Kamal memasukkan gelang ke dalam poket seluarnya. Hatinya membara. “Macam mana pulak kamu tahu gelang tu bini kamu punya?” soalnya sambil memakai cermin mata. Menyesal pula menyuruh Kamal memasuki biliknya. Nampak gayanya hari itu dia telah mengalami kerugian.
“Alah... mak! Gelang tu memang saya tempah khas untuk Rin, lepas saya tengok gambar dalam internet. Saya suruh tukang emas buatkan untuk Rin dan ukirkan nama Rin,” beritahu Kamal. Gelang yang disimpan di dalam poket seluar diambilnya semula.
“Cuba emak baca ini..” suruh Kamal sambil menunjukkan bahagian bawah gelung gelang.
‘Sayangku Rin’
Hati Mak Cik Mariah semakin berbulu membaca ukiran nama itu. “Dah kamu bawa lari bini kamu subuh-subuh buta, macam mana tak tertinggal segala barang kemasnya!” Mak Cik Mariah menyembunyikan kebenaran. Ternyata menantunya tidak menceritakan sikap buruknya itu kepada Kamal.
“Macam mana tak bawa lari, mak!” Kata-kata Kamal tersangkut disitu. Dia bimbang apa yang akan dikatakannya nanti akan melukakan hati emaknya. Emaknya telah melayan isterinya bagaikan abdi.
“Bawalah balik! Pulangkan semula pada Rin, tapi kamu kena belikan emak tujuh utas gelang yang sama macam tu!” beritahu Mak Cik Mariah.
“Barang kemas emak dah banyak!” jawab Kamal cuba berdalih. Hairan dengan sikap emaknya yang semakin tua semakin tamak. Sifat tamak adalah kefakiran. Begitulah kalau orang telah dijajahi oleh hawa nafsu. Tidak mengira usia atau jantina. Mereka akan menjadi hamba kepada keinginan hawa nafsunya.
“Kalau saya beli, bukannya emak pakai pun. Dah banyak dah saya tengok. Dah wajib zakat tu,” sambung Kamal lagi.Walau tahu pandangannya itu tidak mungkin diterima oleh emak,bibirnya terpaksa menuturkannya juga. Sekadar menasihati.
“Amboi... untuk Sharina tu semua boleh! Untuk emak yang melahirkan kamu ni, kenapa nak berdalih? Emak tak peduli! Emak nak jugak!” desak Mak Cik Mariah dengan suara kuat. Sesungguhnya pada saat itu dia berasa rugi kerana barang kemas koleksinya telah menyusut jumlahnya.
“Harta dunia aje tu, mak,” ujar Kamal perlahan cuba mengingatkan emaknya, emas, berlian dan wang ringgit tidak boleh dibawa sehingga ke hari akhirat.
“Harta dunia. Harta dunia. Untuk isteri kamu, boleh pula.Kalau boleh seluruh isi dunia ni, kamu nak beli dan kalungkan ke lehernya!” tempelak Mak Cik Mariah.

Kamal menggaru-garu telinganya. Leteran emaknya itu tidak dijawab. Kalau berbahas dengan emaknya itu, sehari semalam pun, dia tetap tertewas.


                                                   ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: