Khamis, 3 Oktober 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 23-sambungan)




Tersenyum lebar Zarif Afandi sebaik sahaja kereta memasuki halaman rumah emak mertuanya apabila melihat kereta Kamal terparkir di bawah porch. Ada Kamal pasti ada Sharina.
“Duduklah, Zarif, Ainun,” pelawa Mak Cik Mariah. “Macam mana rumah yang kau orang beli tu? Okey tak?” Lembaran geran yang sedang diteliti digulung lalu disimpannya di dalam almari. Perkara yang diberitahu oleh Kamal harus disembunyikan daripada pengetahuan Ainun.
“Hmm... okeylah,” jawab Ainun ringkas, terus duduk di sebelah Kamal yang sedang minum.
Kamal menghulurkan gelas minuman kepada Ainun dan Zarif Afandi tanpa berkata apa pun. Setelah itu, dia cepat-cepat menghabiskan sisa minumannya dan segera bangun.
Mata Zarif Afandi melilau ke sana sini mencari Sharina. “Rin tak ikut ke Kamal?” tanyanya dengan suara tegang. Dia masih lagi teringatkan kata-kata Kamal yang memarahinya suatu ketika dulu. Namun, jika tidak bertegur sapa dengan adik iparnya itu terasa segan pula kepada emak mertuanya.
“Tak ikut! Sengaja I tak bawak dia,” jawab Kamal tanpa memandang ke wajah abang iparnya. Kamal menghantar gelas yang digunakannya ke singki lalu membasuhnya.
“Kau nak ke mana tu, Kamal” tanya Mak Cik Mariah apabila melihat Kamal sudah mengambil kunci kereta yang diletakkannya di atas peti ais.
“Saya nak baliklah, emak. Dah lama saya di sini. Nanti Rin risau,” jawab Kamal tergesa-gesa. Dia bersalam dengan Ainun dan Zarif Afandi selepas itu baru dia bersalaman dengan emaknya. Kamal menarik tangan emaknya supaya orang tua itu mengikutnya keluar pintu.
“Emak, ni wang belanja emak untuk bulan ni,” kata Kamal sambil memasukkan segumpal wang kertas di dalam genggaman tangan emaknya.
“Berapa ni?” tanya Mak Cik Mariah.
Kamal melarik senyuman. Sikap emaknya memang difahami benar. “Seribu, emak. Sebab saya dah duduk dekat dengan emak, saya tambah duit belanja emak lagi dua ratus.Insya-ALLAH... kalau ada rezeki lebih, saya beri lebih.” Selama ini dia tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap emak yang telah melahirkannya.
“Kamal... nanti emak nak ubah suai dapur! Emak nak buat dapur macam rumah Kamal tu. Kabinet dapur yang Kamal buatkan untuk Rin tu, mak berkenan sangat. Boleh Kamal buatkan untuk emak?” tanya Mak Cik Mariah lalu menyorot ke wajah anak bongsunya itu. Wajah tenang Kamal tiba-tiba bertukar corak menjadi kelat.
“Dapur kat rumah ni kan elok lagi, mak? Baru lagi saya buat! Belum sampai tiga tahun lagi,” dalih Kamal dengan lembut. Sikap emaknya yang suka membazir tidak begitu disenanginya. “Takkan nak roboh dapur tu sekali lagi, mak! Membazirlah,” tukas Kamal.
“Kau ni dengan emak sendiri pun nak kedekut. Emak ni yang lahirkan kau, ingat sikit!” marah Mak Cik Mariah. “Bila dah dapat bini, jadi hamba bini. Semua cakap dia kau ikut! Eeii... mak tak suka betul dengan bini kamu tu,” leter Mak Cik Mariah tiba-tiba.
“Yalah, emak! Nanti saya buatkan. Tapi, ambil masa sikit. Tahun ni duit saya dah banyak keluar. Insya-ALLAH... tahun depan.” Perasaannya mula rasa terhimpit. Kalau emak asyik mencemburui isterinya pasti dia akan terus tersepit.





                                                               ~ ~ bersambung ~~

Tiada ulasan: