Hari ini cuaca terang-benderang. Langit membiru. Selepas
Kamal keluar ke pejabat, Sharina membasuh kain. Sementara menunggu kain siap
dimesin, Sharina membaca novel. Pukul 11.00 pagi nanti barulah dia akan mula
memasak untuk makan tengah hari. Setiap hari Kamal akan balik makan tengah hari
pada pukul 1.00 petang.
Deringan telefon rumah mengganggu
kosentrasinya pada novel yang sedang dibaca. Baru sahaja dia menghayati watak
heroin di dalam novel Redha Takdir-MU terbitan ALAF 21 itu. Bimbang Kamal
menunggunya lama, Sharina segera menyambar gagang telefon. Biasanya, sebaik
sampai di pejabat, Kamal pasti akan menelefonnya.
“Assalamualaikum,” ucapnya manja.
“Waalaikumussalam!”
Sharina terpempan. Bukan
panggilan daripada suaminya, tapi suara
emak mertuanya.
“Kamal dah pergi kerja?” tanya
emak mertuanya garang.
“Dah, mak. Dalam setengah jam
tadi,” jawab Sharina lembut. “Kalau emak nak cakap dengan abang, emak telefon handphone
dia,” jawab Sharina dengan suara lembut sebagai tanda menghormati emak
mertuanya itu.
“Emak memang nak bercakap dengan
kau!”
Sharina tersentak. Tak
pernah-pernah emak mertua menelefonnya. Pasti ada perkara penting yang hendak
diperkatakannya.
“Ada apa emak?” balas Sharina.
Kelembutan suaranya tidak berubah walaupun hati mula disapa gundah.
“Sebenarnya macam ni. Emak ada
hal nak bincang dengan Rin, tapi tak seronok nak bercakap di telefon ni. Boleh
tak Rin datang ke rumah emak?” tanya Mak Cik Mariah dengan gaya memujuk.
“Dekat rumah pun Rin goyang kaki
saja, kan?” tekanya pula dengan suara yang menyakitkan hati.
Sharina terdiam. Sudah banyak
kali emak mertuanya mengungkapkan kata-kata itu. Hatinya terhiris. Pedih.
“Rin tengah basuh kain, mak!”
Sharina menahan sebak. Alangkah hina dirinya pada pandangan emak mertuanya.
“Alah... duduk dua orang tak
banyak mana kain yang kau basuh pun,” sindir Mak Cik Mariah lagi. Hari ini, dia
berpeluang menyakiti hati menantunya kerana Kamal tidak ada di rumah.
“Sekejap lagi mak suruh Abang
Zarif datang ambil ya? Rin ikut dia! Secara kebetulan, dia nak datang ke rumah
emak. Sekarang ni, dia ada urusan di bandar Ipoh tu,” beritahu Mak Cik Mariah.
Mendengar kata-kata emak
mertuanya, perasaan Sharina semakin tertekan. Zarif Afandi! Biras yang
menakutkan itu.
“Mak... abang tak izinkan Rin
keluar ke mana-mana!” jawab Sharina perlahan. Memang itulah kenyataannya. Dia
harus meneruskan ketaatan kepada suaminya itu tanpa disuruh oleh sesiapa dan
dihalang oleh mana-mana pihak.
“Hai, takkan nak datang ke rumah
emak sendiri pun, Kamal nak marah?” sanggah Mak Cik Mariah. Keengganan Sharina
menurut telunjuknya mencetuskan api kemarahan di hatinya.
Sharina diam tidak menjawab. Dia
tidak mahu dikatakan sebagai menantu derhaka jika hendak menjelaskan segalanya.
“Rin ikut perintah ALLAH, mak.”
Mendengar kata-kata Sharina, hati
Mak Cik Mariah bertambah geram. “Pandailah kamu! Merengek-rengek. Manja-manja
dengan anak aku sepanjang hari. Semua kata kamu dia ikut!” gumam Mak Cik Mariah
di hujung telefon.
Telinga Sharina bertambah pedih
mendengar kata-kata emak mertuanya yang kesat itu.
“Gelang kamu yang emak ambil,
Kamal dah ambil balik,” beritahu emak mertuanya pula.
Sharina terkejut. Sungguhpun
begitu dia mengucapkan kesyukuran kepada ALLAH. Terlalu lama dia merahsiakan
hal itu daripada pengetahuan suaminya. Semalam apabila Kamal memakaikan gelang
itu di lengannya semula, dia tidak bertanya apa-apa kerana takut.
“Kamal sangka kamu tertinggal
gelang itu di rumah ni. Sekarang ni, emak nak kamu pujuk Kamal belikan emak
gelang macam tu, tujuh utas,” arah Mak Cik Mariah.
Sharina menelan air liurnya
berkali-kali. Arahan emak mertuanya sangat sukar untuk dilaksanakan.
“Sekarang ni emak nak tanya, kamu
betul tak mahu datang ke rumah ni?” soal Mak Cik Mariah lagi. Sebenarnya Rita,
bekas tunangan Kamal akan datang ke rumah untuk makan tengah hari bersama suami
dan anaknya serta Mak Cik Rokiah, emaknya. Kalau Sharina datang, boleh
menantunya itu menolong memasak. Air tangan Sharina memang sedap.
“Minta maaf, mak. Kalau emak
mendesak juga, Rin kena tanya Abang Kamal dulu. Minta keizinan daripada dia,”
jawab Sharina perlahan.
“Sudahlah, Sharina! Tak mahu
datang sudah. Kamu tu daripada membuang masa di rumah tunggu Kamal balik, lebih
baik cari kerja! Belajarlah berdikari sedikit!!” sindir Mak Cik Mariah sambil
menghempas gagang telefon dengan perasaan sebal.
Mak Cik Mariah
berkali-kali menelefon Kamal. Hampir berputus asa barulah Kamal menjawabnya.
“Assalamualaikum, mak...” sapa
Kamal mesra. Beberapa perkara yang muncul di benaknya sebaik sahaja menerima
panggilan daripada emaknya itu.
“Kenapa mak?” soalnya apabila
mendengar emaknya menghembus hingus seperti lepas menangis. Jarang-jarang
emaknya menangis kalau hatinya tidak benar-benar terluka.
“Mak sedih, Kamal...” cerita Mak
Cik Mariah dengan suara sebak. Fikirannya mula mereka-reka skrip yang ingin
diperdengarkan ke telinga Kamal.
“Ada saudara kita meninggal dunia
ke, mak?” tebak Kamal. Hati Kamal mulai resah. Dia belum menghubungi isterinya
lagi untuk memberitahu yang dia sudah sampai ke pejabat. Tadi, dia cuba
menelefon talian tetap di rumahnya, tetapi talian sedang digunakan.
“Tak, Kamal! Sebenarnya macam
ni...” Kata-kata yang terungkap oleh bibir Mak Cik Mariah terhenti sejenak. Dia
pura-pura batuk.
“Apa halnya, emak? Ceritalah...”
gesa Kamal.
“Mak minta maaflah kalau apa yang
emak cakapkan ni mengecilkan hati Kamal,” sambung Mak Cik Mariah lagi.
Fikirannya terus berputar.
Kamal menunggu dengan penuh sabar
sambil mencapai telefon bimbit di atas meja kerjanya.
Sayang,abang dah sampai ke ofis.
Kamal sempat menekan
butang-butang di telefon bimbit untuk menghantar sms buat isterinya yang sedang bersendirian di rumah.
Okey.I love you.
“Mak, ceritalah! Tak apa..,”
desak Kamal.
“Baru sekejap ni, mak telefon ke
rumah Kamal,” cerita Mak Cik Mariah dengan suara sedih dan perlahan.
Kamal diam. Pertanyaan hatinya
tadi sudah dijawab. Patutlah sewaktu dia menelefon Sharina tadi, talian tetap
rumah sedang digunakan.
“Apa yang menyedihkan emak?” soal
Kamal lembut. Dia tidak sabar untuk mendengar cerita yang seterusnya.
“Rin...” jawab Mak Cik Mariah
sepatah. Nada suaranya bertambah sebak.
“Kenapa dengan isteri saya, mak?”
soal Kamal pula. Fikirannya mula melayang. Dia cuba meneka cerita emak yang
selanjutnya.
“Rin tak mahu cakap dengan mak!
Sampai hati dia, Kamal...” adu Mak Cik Mariah bersungguh-sungguh.
“Apa mak? Rin tak mahu cakap dengan
mak?” soal Kamal dengan nada terkejut. Sukar dia hendak mempercayai kata-kata
emaknya itu. Sharina tidak pernah bersikap kurang ajar dengan sesiapa pun.
“Ya Kamal! Dia cakap macam ni.
Rin tak sukalah mak ganggu Rin! Terus dia hempaskan gagang telefon. Hancur
luluh rasa hati mak ni. Tak sangka bini manja kau sanggup bercakap dengan emak
mertuanya macam tu,” adu Mak Cik Mariah dengan suara sedih yang teramat.
“Tak sangka sampai begitu sekali
Rin benci pada mak,” ceritanya lagi. “Dari awal lagi, mak dah larang kamu
kahwin dengan dia. Setahun, dua tahun... dia hormatlah pada emak! Lama-lama
pecah juga perangai buruknya tu,” kata Mak Cik Mariah. Semakin banyak pula
ilham yang datang ke dalam fikirannya untuk memburukkan Sharina.
“Kalau kau kahwin dengan Rita
kelmarin, Rita takkan layan emak macam ni!” rengek Mak Cik Mariah dengan suara
bergetar.
Mendengarkan nama Rita, Kamal
mula rasa tidak selesa. “Mak! Boleh tak kita sambung hal ni lain kali. Saya ada
mesyuarat di SUK dalam sejam lagi. Kalau betul Rin berkasar dengan emak, saya
minta maaf bagi pihaknya. Agaknya dia datang bulan. Anginnya jadi tak betul,”
ujar Kamal tenang.
Mak Cik Mariah merengus lalu
menghempas telefon. Kamal menghela nafas panjang-panjang cuba mententeramkan
hatinya. Dia tidak boleh mendengar cerita daripada sebelah pihak. Emak dan
isteri. Kedua-dua orang wanita itu amat penting di dalam hidupnya.
Kamal mendial nombor telefon
pejabat Telekom. Secara kebetulan, dia ada seorang kawannya di situ. Pasti
kawannya dapat membantu untuk menyemak panggilan yang masuk ke talian tetap di
rumahnya dan berapa lama perbualan yang dilakukan mereka. Kamal menunggu hampir
lima minit untuk mendapatkan maklumat itu. Maklumat yang diperoleh, talian
tetap dirumahnya dihubungi oleh telefon talian tetap dari rumah emaknya di
Kampung Sungai Tapah. Tempoh panggilan 22 minit. Macam mana pula emaknya boleh
bercerita yang Sharina tidak ingin melayan panggilan telefonnya?
Kamal mendial nombor telefon
rumahnya pula.
“Assalamualaikum, bang...” ucap
Sharina dengan suara serak dan sengau. Tangisannya yang masih berlarutan cuba
dikekang dan disembunyikan daripada pendengaran suaminya. “Abang dah sampai ke
pejabat?” tanya Sharina dengan suara perlahan dan terbatuk-batuk.
“Ya, sayang. Abang dah lama
sampai ke pejabat.” Telinganya dapat mendengar sedu-sedan Sharina yang
jarang-jarang dan perlahan.
“Tadi kan abang dah sms. Tapi hati abang rasa tak puas
selagi tak mendengar suara, Rin.” Kamal masih menunggu-nunggu isterinya
bercerita tentang panggilan yang diterima daripada emaknya, namun Kamal hampa.
“Sayang... tengah hari nanti
buatkan abang sambal belacan ya? Dah lama abang tak makan sambal belacan,”
beritahu Kamal spontan.
“Baik, bang... Nanti Rin
buatkan,” janji Sharina. Sedu-sedan yang tertahan terlepas pula ke pendengaran
telinga suaminya.
“Kenapa sayang menangis ni?”
tebak Kamal setelah kecewa menanti Sharina berterus terang kepadanya.
“Mana ada Rin menangis? Rin
selesemalah bang. Pagi ni rasa sejuk sikit.” Sharina memberi alasan. Hatinya
bertambah sebak apabila Kamal yang sedang berada di pejabat dapat meneka
situasi dirinya pada saat itu. Mungkin kerana kasih sayangnya yang amat dalam.
Kamal tersenyum sendiri
mengenangkan isteri yang menyembunyikan kesedihannya. “Selesema? Pagi tadi elok
aje. Kalau tak, abang dah bawa Rin pergi jumpa doktor,” balas Kamal. “Atau
abang balik sekejap ambil Rin bawa ke klinik,” sambung Kamal lagi.
Sharina yang mendengar kata-kata
itu ketawa kecil. Aduhai, penyayang betul suaminya itu. Langsung tak sama
perangai dengan emaknya.
“Tak payahlah, bang! Petang nanti
kalau Rin masih selesema baru kita pergi klinik, ya..” pujuk Sharina pula.
“Baiklah, sayang... Tengah hari
nanti kita jumpa lagi. Duduk di rumah, jaga diri elok-elok. Kunci pintu ya?”
pesan Kamal.
~ ~ bersambung ~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan