Khamis, 3 Oktober 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 24-sambungan)




Selepas makan malam, Kamal duduk bersantai di luar rumah sambil mengelamun. Dia terkenangkan emaknya yang siang tadi berkali-kali menghubunginya. Lemas. Nafasnya terasa sesak apabila mengenangkan permintaan emaknya yang berbagai-bagai. Emaknya tamak dan materialistik. Emak yang tidak menyukai isterinya walaupun usia perkahwinan mereka sudah hampir tiga tahun.
Astaghfirullahalazim. Apa salah dan dosa isteriku? tanyanya kebingungan pada malam yang syahdu itu. Dia masih berada di luar rumah menghirup angin malam. Matanya terus meliar ke sana dan ke sini melihat alam yang diselubungi tabir hitam. Namun bulan sedang bermesra dengan awan. Sudah pasti di dalam kemesraaan itu mereka bertasbih memuji ALLAH.
“Abang... fikiran abang sedang runsing ya?” tanya Sharina lalu duduk di sebelah Kamal. Sejak petang tadi, dia melihat suaminya berkeadaan begitu.
“Tak, sayang... cuma abang rasa penat sikit,” jawab Kamal cuba berahsia. Kalau diceritakan tentang hal emaknya, diri sendiri juga yang akan malu. Tambahan apabila mengenangkan cerita yang diada-adakan oleh emaknya pagi tadi.
“Kalau abang ada masalah apa-apa, abang mesti ceritakan kepada Rin. Mesti nak berbagi rasa dengan Rin,” pesan Sharina dengan suara manja sambil melentokkan kepalanya di atas bahu Kamal.
Terasa damai hati Kamal mendengar ungkapan isterinya itu. “Tak ada apalah. Rin jangan bimbang.”
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa abang nampak muram? Ceritalah...” pujuknya lagi.
Kamal masih membisu.
“Abang ni, janganlah buat Rin risau. Atau abang susah hati sebab Rin? Rin banyak susahkan abang, ya?” duga Sharina.
“Bukan pasal Rin...” jawab Kamal perlahan.
“Habis tu?” soal Sharina sambil menepuk-nepuk kecil telapak tangan Kamal.
“Pagi tadi ada tak emak abang telefon Rin?” Sejak petang tadi, dia menunggu-nunggu isterinya bercerita tentang panggilan telefon yang diterima daripada emaknya.
Sharina menundukkan mukanya. Hatinya mulai resah. Pertanyaan Kamal menyebabkan dia berasa serba salah. “Ada bang. Tak lama selepas abang pergi tadi, emak telefon,” beritahu Sharina lembut dengan jujur. Terngiang-ngiang kata-kata kesat emak mertuanya.
“Emak abang cakap apa pada Rin sampai Rin menjeruk rasa dan makan hati?” duga Kamal.
Sharina tidak segera menjawab sebaliknya dia meramas-ramas tangan suaminya. “Mana ada,” nafi Sharina.
“Alah... jangan nak sorokkan daripada abang. Abang ni suami Rin. Rin tu isteri abang. Yang telefon Rin pagi tadi, emak abang. Kata-kata emak abang, dah buat Rin menangis, kan?” kata Kamal lagi.
“Emak tu dah tua... dah banyak pengalaman hidup, bang...Biarlah dia nak cakap apa pun!” Bicara Sharina terhenti sejenak. Dia menghela nafas perlahan. Memang hatinya tercalar, tetapi mana mungkin dia melukakan hati suaminya dengan bercakap ikut sedap mulutnya.
“Selagi abang mengasihi Rin seikhlas hati, Rin boleh terima segalanya. Rin tahu, abang boleh berlaku adil kepada emak dan Rin,” jawab Sharina dengan suara sebak.
“Rin tak akan berdendam pada emak atau kak ngah,” kata Sharina walau hakikat hatinya memang selalu terluka.
“Kalau abang utamakan emak lebih daripada Rin pun Rin tak marah. Rin tak kecil hati.” Sebagai orang Islam, dia harus bersikap tawaduk.
“Rin...”
Hanya itu yang mampu diungkapkan oleh Kamal kerana terharu mendengar kata-kata yang dilafazkan oleh isterinya.
“Rin tak nak sebab Rin abang derhaka kepada emak abang. Abang tu lelaki, hak emak abang terhadap abang tak gugur walaupun abang dah ada Rin,” sambung Sharina lagi. “Sebagai anak lelaki, syurga abang di bawah telapak kaki emak abang,” ungkapnya tenang sambil menghela nafas perlahan. Dia sudah semakin matang dalam kata-katanya.
Kamal rasa bertuah kerana memperisterikan Sharina. Kedewasaannya semakin dirasai. “Tapi apa-apa hal pun,Rin kena beritahu abang. Jangan pendam rasa sendiri. Abang tak mahu Rin derita selama hidup dengan abang,” kata Kamal seolah berbisik.

Sharina mencium hujung jari Kamal sebaik sahaja mendengar ungkapan itu. Hatinya berasa tersentuh dengan pengakuan suaminya itu.


                                              ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: