Mak Leha berjalan dari satu gerai ke satu gerai di tapak pasar
Sabtu, Pekan Gopeng. Hari ini dia berbelanja lebih daripada biasa kerana anak
dan menantunya akan balik. Mungkin mereka bermalam di rumahnya.
“Sham teringin makan apa hari
ni?” soalnya kepada Hisham yang sentiasa ada di sisinya.
“Kita cari siput sedut, mak. Buat
masak lemak dengan pucuk paku. Sedap, Rin pun suka,” beritahu Hisham. Dia juga
sudah lama tidak menikmati masak lemak siput sedut.
Mata Mak Leha terus singgah
kepada longgokan pucuk paku yang nampak segar. “Sham, ambil pucuk paku tu. Beli
dua ikat,” suruh Mak Leha. Matanya terus meliar ke seluruh meja yang terlambak
sayur segar untuk mencari terung bulat hijau. Terung bulat akan dimasak kari
bersama ikan sembilang.
“Mak tunggu sekejap. Saya dah
nampak siput sedut tu.. Saya pergi beli sekejap. Mak pilihlah buah-buahan ni
dulu, ya?” kata Hisham segera beredar dari sisi emaknya.
Sepeninggalan Hisham, Mak Leha
memilih buah mempelam yang masak ranum. Hatinya terkenangkan Sharina yang sudah
menjadi isteri orang. Sepanjang perkahwinan, Sharina nampak bahagia dan ceria.
Namun dalam perbualan mereka di telefon semalam nada suara Sharina macam
bersedih. Seperti ada yang cuba disembunyikan.
“Jom mak, kita balik. Dah banyak
dah ni,” ajak Hisham.
Mak Leha mengangguk setuju.
“Kamal ada telefon Sham?” soal Mak Leha
sewaktu hendak menyeberangi jalan.
“Ada juga, tapi jarang-jarang.
Kami sama-sama sibuk, mak. Kamal sekarang ni sibuk dengan projek kompleks sukan
di MBI tu,” jawab Hisham tenang.
“Sham... Kamal dan Rin tak ada
masalah, kan?”
Hisham kebingungan dengan
persoalan itu. “Kenapa mak? Rin ada mengadu apa-apa ke?” soal Hisham pula
sambil membuka boot lalu memasukkan bakul dan barang-barang yang dibelinya tadi. Setelah
itu, dia membukakan pintu kereta untuk emaknya.
“Semalam Rin ada telefon mak.
Suaranya tak ceria macam selalu,” kata Mak Leha menyambung perbualan mereka
yang terputus tadi. “Dia minta mak pujuk Kamal supaya benarkan dia bekerja,”
cerita Mak Leha lagi.
“Sharina tu muda lagi, emak. Saya
faham perasaan dia. Mesti dia rasa bosan duduk di rumah. Anak pun belum ada,”
balas Hisham sambil mengundurkan keretanya.
“Nanti Sham boleh tak beritahu
Kamal?” pinta Mak Leha lembut. Walaupun Kamal itu sangat menghormatinya, tetapi
dia berasa segan pula untuk menyatakan keinginan Sharina itu. Bimbang Kamal salah faham.
“Insya-ALLAH, emak. Nanti saya beritahu
Kamal dengan cara yang baik supaya dia tidak syak yang Rin ada meminta emak
memujuknya,” janji Hisham.
Mak Leha tersenyum lebar
mendengarkan janji anaknya itu. Malam nanti, dia akan menunaikan solat sunat
hajat memohon kepada ALLAH supaya melembutkan hati menantunya itu.
Suara dan aksi
pelakon-pelakon drama yang sedang ditayangkan di televisen tidak menarik minat
Kamal. Fikirannya terus berputar-putar memikirkan perkara yang datang
bertandang di mindanya. Minggu lepas sewaktu bertandang ke rumah emak
mertuanya, emak mertuanya ada menyebut tentang keinginannya untuk menimang
cucu. Kamal berasa tidak selesa jika menyentuh tentang persoalan anak.
Petang minggu itu sewaktu dia
duduk beristirehat
dengan Sharina, Sharina pun menyuarakan perkara yang sama.
“Kalau kita ada baby,
taklah Rin bosan sangat di rumah. Rin sunyilah, bang,” luah Sharina.
Kamal menggosok-gosok bahu
Sharina yang sedang berbaring di atas pangkuannya.
“Kalau dah ada anak, tak dapatlah
kita nak bermanja-manja macam ni! Abang risaulah, sayang. Nanti kita akan
mengabaikan antara satu sama lain. Abang lebih bahagia kalau kita terus
begini,” pujuk Kamal.
Sharina kecewa mendengar kata-kata suaminya itu.
“Lagipun abang jadi trauma
selepas Rin keguguran tempoh hari. Abang bimbang hal yang sama berulang. Rin
tahu tak betapa risaunya hati abang melihat Rin dalam kesakitan?” soal Kamal.
Sharina terdiam. Dia kebingungan
mendengar kata-kata Kamal.
“Apatah lagi kalau nak tengok Rin
sakit untuk melahirkan anak kita. Abang ngeri, takut, bimbang..” Luahan hati
Kamal itu semakin mengusutkan fikiran Sharina.
“Kalau begitu, abang izinkan Rin
kerja,” kata Sharina. Dia memberi kata dua kepada suaminya itu. Dia masih
terkenangkan kata-kata emak mertua yang menyuruhnya bekerja kalau tak ada
cahaya mata.
“Rin nak kerja?” tanya Kamal.
Permintaan itu semakin menyesakkan dadanya. “Tak bolehlah, sayang. Abang masih
mampu tanggung Rin,” jawab Kamal. Hatinya mulai runsing dengan permintaan
isterinya itu. Anak atau kerja? Kerja atau anak? Kedua-duanya berat untuk ditunaikan.
Dia juga tidak ingin mempamerkan rasa hatinya yang terlalu cemburu jika mereka
berjauhan dan Sharina menjadi tatapan dan igauan mana-mana lagi lelaki di luar
sana.
“Rin... petang ni jom ikut abang.
Ada perlawanan tenis,” kata Kamal cuba mengalih tajuk perbualan mereka.
“Okey,” jawab Sharina terus
bangun dari pangkuan Kamal. Perbincangan tentang anak dan kerja mati
serta-merta.
“Pukul berapa nak pergi? Rin
siapkan pakaian sukan untuk abang,” kata Sharina lagi sambil mengukir senyuman
manis. Isi perbualannya dengan Kamal tadi tersimpan di dalam hati. Dia faham
dan mengerti Kamal terlalu menyayanginya sehingga tidak ingin dia berasa susah
atau sakit walaupun sedikit, namun dia bertekad akan terus memujuk hati
suaminya itu.
PUKUL
5.30 petang, mereka sudah sampai ke gelanggang tenis yang terletak berhampiran
Jalan Tan Sri Ghazali Jawi. Cuaca mulai meredup diiringi tiupan angin
sepoi-sepoi bahasa sewaktu mereka keluar dari kereta.
“Abang dah janji dengan kawan
abang,” beritahu Kamal sambil melambai kepada kawan-kawannya. Dia meletakkan
beg raket di atas riba Sharina sementara membetulkan tali kasut sukannya.
“Sayang duduk kat sini saja ya?
Kat tepi gelanggang tu panas,” kata Kamal lalu mengambil raket. Dia cuba
menggenggam raket satu per satu dan mengayun beberapa kali sehingga berpuas
hati. Agak lama juga dia menggantung raket tenisnya kerana kesuntukan masa
untuk bermain.
“Alah, jauh sangat... macam mana
nak nampak,” balas Sharina sambil mencebir.
“Tak usah duduk dekat sangat
dengan gelanggang tu. Rin nampak tak lelaki-lelaki tu? Yang perut gendut! Yang
kepala botak! Mereka semua tu buaya darat. Ulat bulu. Tak boleh tengok
perempuan cantik,” kata Kamal sambil mencuit hidung Sharina.
Sharina tergelak. Dia memang
sudah sedia maklum Kamal seorang yang kuat cemburu.
“Isteri abang ni, cantik
orangnya. Abang tak suka nanti mereka tak boleh nak main sebab asyik tengok
Rin. Kalau abang pulak nampak mereka asyik tengok Rin, abang pulak tak boleh
nak main,” kata Kamal sambil ketawa. “Silap-silap hari bulan, raket abang yang
menghala kepada mereka, bukannya bola,” seloroh Kamal lagi sambil tersenyum
meleret.
“Alah... mereka semua tu Rin
tengok macam dah tua aje! Jangan-jangan ada anak-anak yang sebaya kita,” tukas
Sharina sambil menghulurkan sehelai tuala kepada Kamal untuk mengelap peluhnya
nanti.
“Dah tua pun mereka suka minum
air Tongkat Ali, Misai Ali, Tali pinggang Ali. Tak boleh tengok perempuan
cantik. Nanti jadi biang!” balas Kamal sambil senyum meleret.
“Hoi, Kamal!” Terdengar laungan dari jauh
memanggil Kamal yang belum masuk-masuk ke gelanggang sejak dari tadi.
“Kalau rasa sayang nak tinggalkan
jantung hati, baik main tenis kat rumah aje!” sampuk pula suara yang lain.
Kamal melambaikan tangannya sekali lagi.
“Tuuu... kawan-kawan abang dah
bising,” beritahu Sharina. “Ni air 100 plus ni bawa,” kata Sharina sambil
menghulurkan botol air. “Good luck!” katanya lagi lalu bersalam dan
mencium tangan suaminya itu.
Kamal berlari perlahan-lahan
memasuki gelanggang. Sharina terus menyaksikan perlawanan itu dari kejauhan.
Apabila berasa bosan dia membaca novel yang dibawanya tadi. Akhirnya, dia leka
dengan pembacaan.
“Assalamualaikum. Boleh saya
duduk kat sini?” tanya seorang anak muda lalu duduk di sebelahnya.
Sharina yang sedang ralit dengan
novelnya terpempan. Ucapan salam pemuda itu dijawab dalam hati. Matanya
memerhati ke arah gelanggang. Bimbang jika Kamal sedang melihatnya. Mujur
suaminya itu sedang bermain dan membelakangkan mereka. Akhirnya, Sharina cepat-cepat
mengambil beg sukan Kamal dan berjalan menuju ke gelanggang dengan rasa serba
salah. Terdengar bunyi tepukan dari gelanggang. Mungkin perlawanan sudah tamat.
“Tahniah, Kamal. Hebat betul!
Kata dah lama tak main...”
Sharina mendengar ucapan tahniah untuk
suaminya berulang kali. Kamal yang melihatnya sudah berada di tepi gelanggang
terus menghampiri Sharina. “Buat apa datang kat sini sayang...” bisik Kamal
sambil menghulurkan tangannya kepada Sharina.
“Tu ada budak muda datang duduk
dekat Rin, Rin datanglah ke sini,” adu Sharina.
Kamal menoleh ke tempat duduk
Sharina tadi. Memang ada seorang pemuda sedang duduk di situ. Alasan Sharina
boleh diterimanya.
“Siapa ni Kamal?” tanya salah
seorang kawan Kamal yang datang ke situ untuk mengambil minuman. Matanya
memerhati wajah Sharina yang mulus keanak-anakan, cantik dan menawan.
“Tunang ke kekasih?” soalnya lagi
sambil membuka penutup botol minuman.
Kamal tergelak. “Ini, isteri
aku,” jawab Kamal perlahan. Mahu tak mahu, dia terpaksa kenalkan Sharina kepada
semua kawan-kawannya yang ada di situ. Kembang hati Kamal apabila mereka memuji
kecantikan isterinya.
“Asal memang orang sini ke?”
tanya kawan Kamal yang berperut gendut.
Sharina melarik senyuman paksa.
“Saya orang Gopeng.”
Kamal yang asyik berbual dengan
kawan-kawannya tentang perlawanan tadi sempat menjeling.
“Dah lama kahwin dengan Kamal?T
ak ada anak lagi ke?” soal lelaki tadi lagi. Matanya terus meratah wajah bujur
sirih yang mempesonakan itu. Ulas bibir Sharina mendebarkan hatinya.
Sharina diam seketika. “Hampir
tiga tahun. Belum ada rezeki untuk ada anak,” jawabnya lurus.
“Suruh Kamal tu minum air tongkat
Ali!”
Gurauan lelaki itu tidak
menyenangkan Sharina.Dia tidak menjawab dan cepat-cepat beredar dari situ lalu
menghampiri Kamal. Perbualan Kamal dengan kawan-kawannya terhenti.
“Rin dah habis sembang dengan
dia?” tanya Kamal dengan nada sinis. Perasaan cemburunya mula meruap.
Sharina terdiam.
“Jom!” ajak Kamal lalu berjalan
laju menuju ke parkir kereta. Sampai sahaja di kereta, Kamal membukakan pintu
kereta untuk Sharina seperti selalu.
“Cepat masuk!” Setelah itu pintu
kereta dihempasnya.
Sharina kecut perut. Dia tidak
pernah melihat Kamal marah begitu. Jika benar Kamal sedang marah, suaminya itu
sedang memarahi siapa? Setahunya, dia tidak berbuat apa-apa kesalahan pun!
Sepanjang perjalanan menuju ke
rumah, Kamal tidak bersuara. Wajahnya serius. Dia memandu lebih laju dari
biasa. Hati Sharina menikus. Sampai sahaja ke rumah, Kamal terus mengheretnya
masuk ke dalam rumah. Air mata ketakutan mula bertakung di kolam mata Sharina.
Tubuhnya menggeletar.
“Duduk sini!” arah Kamal kasar.
Dia menghenyakkan tubuhnya di sebelah Sharina. Tangan Sharina dicengkamnya
kuat-kuat. Wajah Sharina ditenung dalam-dalam. Kamal bernafas deras.
“Buat apa Rin layan orang tua
tadi? Abang tak suka tau tak? Buat apa Rin sembang-sembang, senyum-senyum
dengan dia?” marah Kamal.
Sharina serba salah untuk
menjawab dan tidak pasti sama ada pertanyaan Kamal itu perlukan jawapan ataupun
tidak. Tidak pernah Kamal memarahinya sebelum ini. Dia ditatang bagai minyak
yang penuh,dibelai dengan kasih dan sayang. Namun riak Kamal seolah-olah
menanti jawapan.
“Abang... Rin minta maaf! Rin...
Rin... takut nanti kawan-kawan abang mengata Rin tak tahu nak hormat pada orang
tua. Orang tanya pun tak mahu jawab,” jawab Sharina tergagap dengan suara
menggeletar sambil menangis.
“Rin jangan ulang lagi! Kalau
orang lain nak menggatal dengan Rin, jangan pula Rin nak ikut mengelenyar!
Abang tak suka! Ini amaran! Pertama dan terakhir!”
~ ~ BERSAMBUNG ~ ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan