Khamis, 10 Oktober 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 26)


Langit yang cerah dan luas terbentang seolah-olah sedang jatuh menghempap kepala. Zarif Afandi memegang dan memicit-micit dahinya berkali-kali. Dia tersandar di kerusi di ruang tamu di rumahnya sebaik sahaja sampai ke rumah.
“Nun!” panggil Zarif Afandi.
Ainun yang sedang sibuk membelai pokok-pokok orkid di sebelah kiri rumah mereka segera masuk ke dalam rumah.
“Ambilkan saya air. Bawa Panadol dua biji,” arah Zarif Afandi tanpa melihat wajah isterinya itu.
Ainun sempat menjeling suaminya sebelum beredar ke dapur.
“Kenapa dengan abang ni? Monyok saja!” soal Ainun sambil duduk di sisi Zarif Afandi yang masih berkerut-kerut dahinya. Air dan Panadol diletakkannya di hadapan suaminya.
“Projek yang awak dapat dibatalkan ke?” tebak Ainun.
Zarif Afandi tidak menjawab. Dia rasa serba salah untuk bercerita kepada Ainun. Perasaan marahnya terhadap Kamal pula tiba-tiba meluap.
“Bukannya projek dibatalkan!Tetapi kredibiliti dan reputasi saya telah dijatuhkan. Semua kerja yang sedang dijalankan sebanyak 60% kena dibuat semula. Rugi! Rugilah saya!” bentak Zarif Afandi. Apabila dicongak-congak secara kasar, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM80,000.
“Ya ke, bang?” soal Ainun teruja ingin tahu cerita seterusnya.
“Betullah! Awak ingat saya nak mereka cerita? Kan saya baru balik dari bertemu dengan ketua kontraktor yang sub kerja-kerja membina tandas sebanyak 80 unit di kompleks sukan baru MBI tu. Selain tu, saya dapat projek dirikan surau di situ serta longkang,” cerita Zarif Afandi dengan nafas sedikit mencungap.
“Dah tu, kenapa pula awak terpaksa tanggung kerugian?” soal Ainun tidak faham. Sebelum ini kerja-kerja yang dijalankan oleh suaminya tidak pernah ditolak.
“Ketua kontraktor kata, dua hari lepas ada jurutera datang memeriksa kerja-kerja pembinaan.” Kata-kata Zarif Afandi terhenti seketika. Di matanya terbayang wajah ketua kontraktor yang masam dan serius sewaktu memberi penerangan kepadanya tadi.
“Bila jurutera tu buat pemeriksaan di tapak kerja saya, dia terus tidak bersetuju dan tidak puas hati! Semua kerja kena buat semula. Yang dah siap tu kena robohkan! Geram betul saya!” Zarif Afandi menepuk meja sehingga tangannya sendiri yang berasa pedih.
“Rugilah! Batu-bata nak kena beli. Pasir nak kena beli! Simen nak kena beli! Upah pekerja nak kena bayar! Melampau! Memang melampau engineer tu! Ketua kontraktor tu tak hulur ke sikit kat engineer tu?” tanya Ainun kuat. Sewaktu di Johor, suaminya merasuah pegawai yang bertugas untuk menyelia kerja-kerja pembinaan yang dijalankan oleh syarikatnya untuk mendapatkan kelulusan.
“Dah! Saya dah cakap kepada dia. Hulur-hulurlah sikit kepada engineer tu buat tutup mulut. Bukannya bangsa lain. Bangsa kita jugak. Takkan nak berkira sangat,” cerita Zarif Afandi. Kalau bangsa sendiri tidak mahu sama-sama membantu macam mana kita nak maju?” kata Zarif Afandi lagi.
“Habis tu?”
“Dulu kat Johor boleh jugak saya sogok-sogok. Tapi engineer yang kat sini tak makan suap!” kata Zarif Afandi dengan sisa marahnya.
“Ketua kontraktor kata dia takut jerat lehernya sendiri nanti. Silap-silap engineer tu buat laporan ke SPRM, tak pasal-pasal kena dakwa...” Sekali lagi Zarif Afandi mengeluh.
“Siapa engineer tu?” soal Ainun sambil membeliakkan matanya. Mustahil ada orang yang menolak rezeki.
“Adik awaklah! Geram betul saya ni. Rasa nak cekik-cekik dia!” beritahu Zarif Afandi dengan nada geram.

Selepas solat asar petang itu, Sharina terus mengaji al-Quran. Baru sahaja membaca satu muka surat, dia mendengar orang memberi salam. Sharina turun ke tingkat bawah. Dia  mengintai tetamu yang datang di sebalik hujung langsir. Emak mertuanya, kak ngah dan Zarif Afandi tercegat di depan pintu. Mahu tak mahu, Sharina terpaksa membuka daun pintu dan menjengukkan mukanya tanpa membuka kunci gril.
“Waalaikumussalam, mak...” jawabnya lembut. Emak mertuanya mencebik dengan muka masam. Dia berkipas-kipas kerana kepanasan.         
“Bukalah pintu ni!” jerkah  Mak Cik Mariah. Geram pula melihat menantu yang masih menjengukkan muka di sebalik daun pintu dengan kepalanya masih diselubungi telekung tetapi tidak membuka kunci gril.
“Emak! Abang Kamal tak ada di rumah,” beritahu Sharina. Suaranya lembut dan manja. Seorang isteri tidak boleh membenarkan sesiapa pun masuk ke dalam rumahnya tanpa keizinan suami. Dia takut membantah, bimbang kemarahan Kamal akan berulang kembali.
“Hei, Rin! Aku ni bukan ke emak laki kamu?” soal emak mertuanya dengan nada kasar.
Sharina menggaru-garu kepalanya. “Rumah ni anak aku yang buat. Dia yang punya! Apa pasal pulak kau tak benarkan emak masuk?” soal Mak Cik Mariah dengan nada geram.
Sharina terkebil-kebil di pintu. Nafasnya terasa sesak menghadapi kerenah emak mertua yang seolah-olah tidak tahu hukum dan peraturan ugama. Lagak sombongnya tak pernah habis.
“Bukalah kunci gril ni Rin, takut sangat pada Kamal tu. Buka...”desak Ainun pula.
“Nanti Rin telefon abang, tanya dia dulu. Emak dan kak ngah tunggu sekejap. Kunci pun ada kat bilik atas,” beritahu Sharina. Dia beredar dari pintu dan berlari naik semula ke dalam biliknya. Tercungap-cungap dia menelefon Kamal.
“Okey.. .Okey. Rin buka pintu. Abang izinkan mereka masuk. Sementara abang balik, Rin layan mereka dulu,” beritahu Kamal dengan lemah lembut.
“Rin buatkan mereka air ya, bang,” beritahu Sharina dengan perasaan lega.
“Mestilah buat, sayang! Rin tu nanti jaga aurat. Pakai tudung walaupun itu rumah kita. Rin kena ingat sikit yang datang tu salah seorangnya buaya darat,” pesan Kamal lalu menamatkan perbualan mereka.
Selepas menyalin telekung dan bersolek ala kadar, Sharina pun turun semula. Dia membuka kunci gril dan menjemput emak mertua, kakak ipar dan birasnya masuk ke dalam rumah.
“Apa yang kamu kelebek di atas tu lambat sangat nak bukak pintu ni?” sergah emak mertuanya lalu masuk ke dalam rumah sambil menghentakkan kakinya.
“Minta maaf, emak. Rin salin baju. Lagipun Rin telefon abang dulu,” beritahu Sharina terus terang.
“Silalah duduk, emak, kak ngah, Abang Zarif...” pelawa Sharina berbasa-basi. Emak mertuanya terus menghenyakkan tubuhnya yang rendang di atas sofa.
“Kamal selalu balik pukul berapa, Rin?” soal Ainun sambil mundar-mandir di ruang tamu.
“Biasanya dalam 5.30 petang, dia dah sampai ke rumah,” jawab Sharina sambil memerhati jam di dinding. “Tapi hari ni abang balik lambat sikit sebab dia nak singgah di pasar,” sambung Sharina lagi.
Zarif Afandi yang duduk di hadapannya masih belum bersuara dari tadi. Air muka birasnya pun nampak sugul.
“Duduk dan berbuallah dulu. Rin pergi buatkan air,” beritahu Sharina.
“Buatkan emak air limau,” arah emak mertuanya sebelum Sharina beredar dari ruang tamu.
“Selesa rumah ni kan, mak?” kata Ainun lalu mencapai alat kawalan jauh televisyen.
Zarif Afandi mula nampak resah. “Saya nak kencing sekejap. Bilik air rumah ni kat mana, Nun?” tanyanya kepada Ainun.
“Pergilah tanya Rin kat dapur tu,” jawab Ainun acuh tak acuh. Matanya sudah terlekat di kaca televisyen yang sedang menayangkan drama bersiri Korea.
Zarif Afandi pun menuju ke dapur. Mula-mula dia mengintai Sharina dari jauh. Perasaan geram terhadap birasnya memuncak.
“Rin, abang nak tumpang bilik air,” beritahunya dan berdiri terlalu rapat dengan Sharina. Sebelah tangannya sempat singgah di pinggang wanita itu.
Sharina terkejut. Jantungnya seolah-olah mahu gugur ke lantai. Perasaannya terbakar. “Eh! Apa ni?” tanya Sharina lalu secara tidak sengaja, dia tersimbah air panas ke tubuh Zarif Afandi. Sebelah kakinya sempat menendang betis lelaki biadap itu.
Zarif Afandi terkejut dengan tindakan drastik birasnya itu. “Hisy!” rengusnya lalu berlari masuk ke dalam bilik air. Tidak berapa lama kemudian, dia keluar dari bilik air dan menuju ke ruang tamu semula.
Sharina pura-pura tidak melihatnya. Perasaan radangnya terpaksa dipendam.      
“Rinnn... lama sangat kamu buat air! Emak dah haus ni!” laung emak mertuanya dari ruang tamu. Sharina segera membawa dulang hidangan ke ruang tamu.
“Dah siap, mak! Maaf lambat sikit. Ni air limau yang emak nak tu,” kata Sharina sambil menghidangkan minuman kepada mereka semua termasuk birasnya dengan perasaan tertekan. Bunyi enjin kereta Kamal yang tiba di bawah porch melegakan perasaannya.
“Assalamualaikum...”ucap Kamal lalu masuk ke dalam rumah.
Sharina terus menyambar tangan Kamal dan menciumnya. Kamal mencium dahi isterinya seperti selalu walaupun di hadapan emak dan kakak serta iparnya. Mak Cik Mariah menjeling dengan perasaan meluat.
“Sayang, bawa ni ke dapur, lepas tu hidangkan,” kata Kamal lalu menghulurkan beg-beg plastik yang dibawanya. Setelah itu, Kamal bersalaman dengan keluarganya.
“Kamal,mak datang ni ada nak berbincang sikit.”
“Boleh, mak. Tapi, tunggu saya mandi dulu. Badan saya ni dah melekit! Sekejap aje. Sementara tu, emak, kak ngah dan Abang Zarif minumlah dulu,” ujar Kamal. Mahu tak mahu terpaksalah juga dia memaniskan lidah kepada abang iparnya itu sebagai tanda menghormati tetamu yang datang ke rumahnya.
“Saya ada beli murtabak dengan sate tadi,” beritahu Kamal lagi. “Sekejap lagi Rin hidangkan,” katanya sebelum  beredar dari situ dan naik ke bilik.

Kamal mendengar cerita yang disampaikan oleh emaknya dengan teliti. “Memanglah saya ada memantau kerja-kerja yang sedang dijalankan di kompleks sukan tu, mak. Dah memang tanggungjawab saya. Kerja-kerja yang tak mengikut spesifikasi, memang wajib ditolak,” beritahu Kamal dengan suara tenang.
“Tak patutlah Kamal buat kepada Zarif begitu,” kata emaknya.
“Apa yang saya buat, mak?” tanya Kamal.           
“Kerja-kerja yang dijalankan oleh syarikat Abang Zarif kamu pun kamu nak tolak juga!” sampuk Ainun bernada sesal.
“Sebenarnya, saya tak tahu pun syarikat Abang Zarif yang jalankan kerja-kerja tu,” terang Kamal. “Mesti projek membina tandas dan musola tu syarikat Abang Zarif yang dapat,” tebaknya. Kamal.
Ainun dan Zarif Afandi menganggukkan kepala mereka.
“Saya berjumpa dengan ketua kontraktornya sahaja.  Dia yang sub kerja-kerja tu kepada kontraktor kecil macam Abang Zarif ni,” jelasnya lagi supaya emak dan kakaknya tidak salah faham.
“Sekarang ni Kamal, you dah tahu... kenalah tolong I,” sampuk Zarif Afandi pula.
“Apa yang saya boleh tolong? Kerja pembinaan tu tak mengikut spesifikasi. Kena sepak sikit aje, dinding dah bersepai. Macam mana nak terima kerja-kerja begitu! Sekarang ni, kita nak bina tempat untuk kegunaan orang awam. Esok-esok bila dah siap, guna tak berapa minggu runtuh pulak. Naknya ada pula nyawa yang melayang kerana terhempap tembok atau dinding tandas yang runtuh. Siapa yang dipersalahkan? Bahagian kejuruteraan yang bertanggungjawab sebab tak periksa betul-betul kerja-kerja yang dijalankan oleh kontraktor,” tegas Kamal. Perkara pertolongan yang diminta oleh emak, kakak dan abang iparnya bukanlah perkara kecil dan boleh diambil mudah.
“Habis tu, sekarang ni macam mana? Abang Zarif kau kena keluar duit lagi berpuluh ribu sebab kena ulang kerja. Rugilah!” tingkah Ainun pula. Ketegasan Kamal itu menyakitkan hatinya.
“Mana ada orang berniaga untung sepanjang masa, kak ngah? Minta maaflah, saya tak dapat nak tolong. Kalau lepas buat semula, prestasi kerjanya masih serupa juga.. saya tetap mengambil keputusan yang sama,” balas Kamal. Jawatan yang dipegangnya satu amanah. Segala kerjanya menjadi ibadah. Mustahil dia melupakan segala-galanya kerana ingin menjaga hati emak, kakak dan abang iparnya.
“Alah... bukannya masalah besar pun. Kalau tampal simen lain kat luar, tak boleh? Lepas tutup dengan jubin takkan tak kukuh lagi?” soal Ainun.
Kamal ketawa sinis penuh bermakna. “Kalau buat begitu, lepas ni langsung tak dapat projeklah suami kak ngah,” jawab Kamal sambil menggaru-garu kepalanya.
“Nun, tak apalah. Jom, kita balik! Kamal tak nak tolong, kita nak buat macam mana,” kata Zarif Afandi seolah-olah berjauh hati. Air mukanya pun keruh dan kusut. Dia dari awal lagi sudah menjangka keputusan Kamal itu. Maklumlah, dia percaya adik iparnya itu masih berdendam dengannya kerana peristiwa dulu.
“Kamal, tolonglah Abang Zarif kamu tu...”desak Mak Cik Mariah. Matanya merenung Kamal dengan pandangan mengharap.
“Astaghfirullahalazim. Nak tolong macam mana, mak? Pekerja-pekerjanya bancuh simen macam nak buat putu kacang. Mak faham tak? Putu kacang? Nampak keras dari luar, tapi bila masuk ke dalam mulut berdebu keluar,” jelas Kamal kepada emaknya.
“Kan Kamal yang beri kata putusnya. Kamal yang akan tandatangan surat kelulusannya,” pujuk Mak Cik Mariah lagi. Sedikit sebanyak dia memahami juga selok-belok tugas anak lelakinya itu.        
“Betul tu, mak. Tapi, saya kena jaga kerja saya, mak. Amanah. Tanggungjawab yang saya pikul,” terang Kamal lagi. Naik kering tekak menerangkan kepada emaknya sedari tadi.Tugasnya sebagai jurutera awam memainkan peranan yang begitu besar. Mustahil dia mengambil mudah pada tugasan yang telah diserahkan kepadanya?
“Macam mana nak jawab dengan bos saya nanti,” katanya lagi dengan suara yang mulai kendur.
“Alah, bodek-bodeklah sikit bos tu,” kata emaknya belum berputus asa untuk memujuk.
“Emak! Bos saya yang kat pejabat tu, saya tak kisah sangat, tapi bos saya yang kat atas sana, saya takut,” jawab Kamal lembut sambil tersenyum. Jari telunjuknya ditunjukkan ke atas berkali-kali.
“Hisy, kamu ni tak habis-habis. Asyik ulang cakap yang begitu aje! Modal lain tak ada. Meluat aku!” kata Mak Cik Mariah meradang. Cepat-cepat beredar ke pintu dengan rungutan.
“Tidur sinilah, emak...” pelawa Kamal. Dia sempat menyambar tangan emak dan menciumnya. Mak Cik Mariah cepat-cepat menarik tangannya daripada pegangan Kamal.
“Saya minta maaflah, emak... Tak dapat nak tolong menantu emak yang seorang tu,” kata Kamal lagi. Dia tahu emaknya berasa tidak puas hati dengan keputusannya itu.
“Kamu tu memang, kalau kata bini kamu, kamu ikut aje..” Sempat lagi emaknya menyindir sambil berjalan laju menuju ke kereta.
“Rin tu, suruh kerja! Jangan nak jadi permaisuri duduk bersenang-senang kat rumah ni!”

                                 ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: