Khamis, 10 Oktober 2013

Redha TakdirMU(Bab 37)


PAGI-pagi lagi aku telah bersiap untuk ke pejabat.  Idham selepas sembahyang subuh kelihatan berlengah-lengah, tidak menyiapkan dirinya seperti biasa untuk menghantar aku ke pejabat. Aku takut untuk bertanya.
“Lidya, mulai hari ini Lidya drive sendiri ke pejabat!  Abang tak dapat hantar. Abang rasa abang tak boleh memandu lagi kerana mata ni dah semakin kabur.” Idham bersuara perlahan.
“Yalah!” Aku menyetujui sambil mengenakan tudung.  Aku takut untuk bertanya lebih, bimbang akan dimarahi Idham.
“Balik nanti singgah bank, tolong keluarkan duit.”  Idham meletakkan kad ATMnya berhampiran kunci kereta yang telah diletakkan di atas meja. Aku terkejut dan teruja.  Demi ALLAH, hampir sepuluh tahun usia perkahwinan kami, Idham tidak pernah memberi aku memegang kad ATMnya. Aku tidak pernah tahu tentang wang simpanannya.
“Eh! Tak apalah, duit tu. Esok hari minggu, kan? Kita keluar, biar abang pergi ambil sendiri wang tu.” Idham mengambil semula kad ATM di meja dan menyimpannya di dalam dompet. 
Aku lihat Idham teraba-raba sewaktu membuka dompetnya. “Bang! Kita pergi hospital, periksa mata abang!  Kena pakai cermin mata agaknya.” Sambil menghirup Milo panas dan menjamah sekeping roti putih aku menyuarakan hasrat hati kepada Idham. Idham telah tua. Dia pun sudah tamat perkhidmatan dari sektor pekerjaan hampir tiga tahun. Mungkin matanya telah rabun dan perlu disokong oleh cermin mata untuk melihat.
“Tak... tak payah!” suara Idham keras. Muncung bibirnya.
“Okey, kalau tak mahu tak apa, tapi nanti bila abang rasa nak pergi, abang beritahu Lidya, kita pergi!” Aku masih memujuk.
“Eh! Tak faham ke? Abang kata tak payah, tak payahlah!  Bukannya aku menyusahkan kamu!” Idham, semakin tua semakin cepat barannya.
“Suka hati abanglah!” Malas bertekak pagi-pagi hari aku cepat-cepat beredar daripada dapur. Aku syak, Idham mengalami katarak kerana dia seorang pengidap diabetes.  Pesakit yang tidak mahu mendengar nasihat doktor. Doktor hospital mengarahkannya mengambil darah untuk ujian setiap dua bulan sekali, tetapi Idham berdegil. Sebaliknya Idham membeli ubat di farmasi dan menggunakan ubat itu tanpa nasihat doktor. Makan minum langsung tidak berpantang.  Membujur lalu, melintang patah. Semuanya ditelan.
“Lidya pergi kerja ni! Minta maaf bang! Assalamualaikum.”  Seperti hari-hari biasa aku akan mencium tangan, memeluk dan mencium Idham sebelum keluar dari rumah.
“Sampai ofis, call abang.” Idham berpesan. Itupun sememangnya menjadi kebiasaanku. Setiap pergerakan mesti dilaporkan kepada Idham. Bagiku tidak menjadi apa mungkin kerana telah biasa, tetapi bagi orang lain, amalan itu amat merimaskan.
Sampai di pejabat, aku terus menghubungi Idham, memberitahu yang aku telah selamat sampai di pejabat.  Aku juga menelefon Syamil setiap hari untuk bertanya khabar tentangnya. Setiap Isnin sehingga Khamis aku akan menghubungi Syamil antara 10.00-10.15 pagi. Aku tidak menghubungi Syamil pada hari-hari tertentu kerana aku tahu dia di rumah Norshakila. Syamil telah berpesan kepadaku begitu. Lalu aku memenuhi keinginannya kerana faham akan situasinya.
‘The number you have dial cannot be reached.’ Aku selalu berasa hampa jika mendengar pesanan ini dari telefon bimbit Syamil. Seperti biasa aku akan menghantar pesanan ringkas pula. Sebenarnya aku ingin memastikan yang Syamil selamat, sihat. Selebihnya aku tidak mahu terputus hubungan dengannya kerana Syamil masih belum melunaskan segala hutangnya kepadaku. Aku tidak mahu menuntut kerana aku mahu Syamil menunaikan tanggungjawabnya dengan rela hati, ikhlas. Bukan kerana dipaksa dan terpaksa. 
Aku melihat pesanan ringkas yang terpapar di skrin telefon bimbitku. Sangkaku Syamil membalas pesananku. Namun, apabila kotak pesanan itu aku buka dan baca kandungannya, hatiku berkocak.

Hani! Janganlah berhubung dengan suami akak lagi.  Kasihanlah kepada kami. Kita sama-sama perempuan. Takkan tak faham perasaan sesama perempuan. Janganlah ganggu keluarga kami lagi.

Nombor telefon aku amati. Siapa lagi kalau bukan perempuan biadap yang pernah mengutusi e-mail kepadaku itu. “Ah, perempuan ini, bagaimanakah aku dapat memutuskan perhubungan dengan Abang Syamil? Hutang beribu ringgit, nak lepaskan begitu sahaja? No way!
Terkejut dengan kehadiran pesanan ringkas daripada Noshakila, aku tidak segera membalas. Sebenarnya aku sendiri tidak pernah berniat untuk mengganggu, tetapi segala hutang segera jelaskan supaya aku tidak menghubungi Syamil selalu.  Aku memikirkan pesanan yang harus dikirimkan kembali kepada wanita yang telah merobekkan hatiku itu.

Hani sangat menyintai Abang Syamil, bagaimana Hani  harus pergi dari dirinya? Kami saling menyintai.

Itulah jawapanku terhadap pesanan ringkas yang diterima daripada Norshakila.

Hani. Abang Syamil ada bersama akak sekarang ni. Kak Ina pun ada bersama. Abang Syamil telah bersumpah dengan al-Quran yang dia tidak ada apa-apa perhubungan dengan Hani. Tolonglah.  Jangan ganggu keluarga kami.

Berdebar jantungku apabila membaca SMS ini. Aku terasa diperbodohkan oleh Syamil. Aku terus memikirkan jawapan untuk membalas SMS itu. Perempuan itu benar-benar telah mencabar aku. Aku rasa terhina dengan perkataan ‘mengganggu’ itu. Seolahnya aku pengganggu bagi keluarga mereka. Tidak tahukah dia yang suaminya selalu meminta bantuanku sewaktu di dalam kesusahan?

Hani tidak pernah berniat mengganggu. Tetapi Abang Syamil banyak berhutang dengan Hani.

Aku terpaksa memungkiri janjiku dengan Syamil untuk merahsiakan tentang hutangnya itu. Isteri keduanya itu telah mencabar aku.

 BERAPA? CAKAP! BERAPA BANYAK YANG ABANG SYAMIL BERHUTANG DENGAN AWAK!  BIAR SAYA BAYAR DENGAN CARA BERSEMUKA DENGAN AWAK. 

Amboi! Kekasaran bahasa yang digunakan oleh Norshakila sewaktu menghantar pesanan ringkas kepadaku dengan abjad huruf besar, jelas menunjukkan kekerasan hatinya. Sombong.  Aku tersenyum sinis apabila membaca balasan SMS daripada Norshakila. Lalu aku membalas SMS daripada Norshakila dengan harapan perempuan itu sedar yang mereka sekeluarga telah banyak terhutang budiku. Sepatutnya, Norshakila yang membantu kesulitan Syamil kerana perhubungan mereka sebagai suami isteri.  Namun sebaliknya, Syamil asyik menagih bantuan daripadaku.

Adalah beberapa ribu wang dan emas. 

Aku memberitahu sejujurnya kerana itulah kenyataannya.

Abang Syamil kata dia telah bayar semua hutang.

Begitu jawapan daripada Norshakila. Langsung tak mahu mengalah. Abang Syamil telah bayar semua hutang konon, jadi seolahnya aku ini perempuan gila yang mengejar suaminya.  SMS yang memperlekehkan maruahku, tidak boleh dibiar atau didiamkan begitu saja, lalu aku terus membalasnya.

Sampai begitu sekali dia menganiayai Hani. Sehingga kini satu sen pun Abang Syamil belum bayar. Pantang Hani jika orang menipu Hani walaupun sebesar kuman. Abang Syamil berhutang wang dan emas dengan Hani. Dia mesti selesaikan hutangnya.

Puas hatiku apabila Norshakila tidak lagi membalas SMS daripadaku. Mungkin perempuan itu berasa tidak selesa.  Namun seketika kemudian, barulah Norshakila membalas balik.

HUTANG ABANG SYAMIL ITU, BIARLAH DIA YANG SELESAIKAN


Aku tertawa di dalam hati dengan gelagat perempuan ini.  Tadi beria-ia ingin bersemuka denganku untuk membayar hutang suaminya, seolah-olah ingin menonyoh aku, kini menghantar pesanan dengan kata-kata yang menunjukkan dirinya seorang wanita dan isteri yang tidak bertanggungjawab.  Tidak peduli kepada maruah dan harga diri seorang suami.  Rela suaminya meminjam wang daripada isteri orang lain daripada dirinya sendiri membantu.  Padaku, dia juga seorang wanita yang tidak kisah soal maruah.


                                        ~ ~ BERSAMBUNG~~

Tiada ulasan: