Khamis, 10 Oktober 2013

Redha TakdirMU(Bab 37-sambungan)



BEBERAPA bulan selepas meminjam barang kemasku, Syamil seakan menjauhkan dirinya dariku. E-mail kepadaku sudah tidak sekerap dulu. Panggilan telefon pun tidak segalak sebelumnya. Hatiku diburu rindu. Antara keraguan dan kebimbangan, aku terus bersabar. Aku mula ragu dengan sikap amanah yang ada pada Syamil. Aku tidak bimbang semua wang dan barangan yang berharga itu lesap, tetapi  aku bimbang Syamil meneruskan sikap tidak beramanah dan tidak bertanggungjawabnya.
Dia pun tidak pernah memberi tanda-tanda untuk segera melunaskan semua pinjaman yang dibuat kepadaku. Tempoh perjanjian sering kali dilupakan, sebaliknya Syamil terus memberi alasan. Setiap bulan, Syamil menyuarakan masalah kewangannya kepadaku.  Bil letrik, bil internet, sewa kedai dan seribu satu macam jenis masalah kewangan yang lain. Boleh dikatakan setiap bulan, Syamil ingin meminjam daripadaku. 
Namun, untuk memenuhi keinginannya aku perlu berfikir beribu kali.  Simpananku sudah mulai menyusut. Idham pun mulai mengalami masalah kesihatan yang membimbangkan.  Sekiranya terjadi sesuatu masalah kepadaku, mungkinkah Syamil sanggup berkorban untuk membantuku sebagaimana aku melepaskannya daripada kesempitan.  Sanggupkah isterinya yang dua orang itu membiarkan suaminya membantuku?
Segala apa layanan atau sikap Syamil terhadap diriku selepas ini akan membuktikan keikhlasan dan kejujurannya kepadaku. Begitu juga dengan kedua isterinya, sejauh mana mereka mengenang budi yang telah aku taburkan kepada suami mereka. Segala-galanya ALLAH akan menjelaskannya, seperti mana peristiwa aku bersama Wahid, aku yakin ALLAH akan menunjukkan kebenaran kepadaku.
Pada suatu malam sedang aku sibuk mengadap komputer kerana meneruskan karangan bagi sebuah manuskripku,
“Pranggg!!!” Aku terdengar bunyi sesuatu dari arah dapur. Aku tergesa dan berjalan cepat ke arah dapur. Paling menyedihkan di dalam hidupku, aku sedang melihat Idham sedang melutut di atas lantai dan meraba-raba taburan kaca di atas lantai. Aku memerhatikannya dengan perasaan sebak. Suamiku sedang cuba mengumpulkan kaca dalam keadaan meraba-raba seolah seorang yang telah dicabut penglihatannya.
“Bang! Tak apa! Biar-biar! Nanti Lidya bersihkan. Abang bangun dan berdiri di sana, jangan bergerak ke mana-mana! Luka nanti!” Aku bersuara dengan nada lembut dan segera menghampirinya. Tidak seperti selalunya, kali ini Idham menurut kataku,
“Abang nak minum, mug tu memang abang dah letak di situ, abang tertepis... tak nampak!” Idham menceritakan. 
Aku mendiamkan diri sambil membersihkan kaca-kaca yang berada disekeliling Idham. “Dah... Abang bolehlah bergerak sekarang! Lidya dah bersihkan semuanya, tapi Lidya rasa lebih baik abang pakai selipar ni!” Aku meletakkan sepasang kasut yang memang disediakan untuk kegunaan dalam rumah.   
Seterusnya begitulah kehidupan yang dilalui oleh Idham setiap hari. Aku benar-benar risau meninggalkannya sendirian di rumah sewaktu aku bekerja. Keadaannya semakin hari semakin parah sehinggakan antara kek dan belacan pun Idham sudah tidak nampak dan kenali lagi jika tidak berbeza baunya.  Sebagai seorang isteri aku melayaninya dengan tanggungjawab yang tidak berbelah bahagi walaupun sepanjang perkahwinan kami, aku tidak pernah berhenti dikasari.

“MATA pak cik mengalami katarak! Yang sebelah kiri ni dah kritikal. Nasib baik pak cik cepat datang, walaupun dah agak terlambat.  Jika tidak pandangan mata pak cik yang kiri ni akan gelap terus. Urat-urat di belakang mata tu dah hampir rosak! Pak cik ada kencing maniskan?” Begitulah kata pakar mata di sebuah hospital. 
Idham terdiam apabila mendengar kata-kata daripada doktor yang memeriksanya. 
Aku telah membawa Idham ke hospital apabila penglihatannya semakin kabur. Setiap hari Idham melalui kehidupannya seolah seorang yang sudah kehilangan pancainderanya itu. Akhirnya perkara yang amat aku takuti itu hadir juga dalam hidupku. Idham disahkan menghadapi penyakit mata yang mulai kronik dan mungkinkan mengalami kebutaan mata jika tidak dilakukan pembedahan dengan segera.  Itulah yang aku dengar dari mulut pakar optometrik yang merawat dan memeriksa Idham. Berita sedih itu aku terima sewaktu wang simpananku hanya tinggal RM250 dan barang kemas di tubuhku hanya ada seutas rantai emas dan sebentuk loket berbentuk buluh yang tidak aku korbankan bagi keperluan membantu Syamil.
“Lidya!”
Tersentak lamunanku dengan panggilan dari Idham. Idham yang turut bersedih dengan berita yang didengarnya.  Berat mata yang memandang, berat lagilah bahu yang memikul.  Aku pasti dan yakin, Idham amat menderita dengan apa yang dialaminya itu. Daripada seorang yang cergas bergerak dan melakukan apa saja kerja yang disukainya, kini Idham tidak boleh berbuat demikian. Namun begitu, keegoannya tidak pernah rebah. Kebengisannya semakin bertambah, mungkin kerana tekanan-tekanan pemikiran yang dialaminya.
“Macam mana ni Lidya? Abang nak kena buat operation.  Apa pendapat Lidya?” Begitulah kata Idham sambil memandang ke arahku. 
“Lidya setuju tak, abang nak operation mata. Doktor kata abang kena operation, kalau tidak abang…” Aku lihat ada air mata yang terkumpul di penjuru mata Idham.
“Tak apalah. Kalau tak buat operation, nak buat apa lagi!”  jawabku kepada Idham sambil mataku memandang ke arah doktor yang merawat Idham. Doktor itu hanya menunggu persetujuan daripada kami.
“Kalau pak cik dan isteri dah setuju, saya nak masukkan nama pak cik dalam jadual. Paling awal pun dua bulan lagi!  Yang lebih awal daripada itu, semua dah penuh! Sementara menunggu hari pembedahan, pak cik kawallah gula dalam darah tu, makan pantang ya pak cik!” Doktor pakar itu bercakap dan menasihati Idham dengan lembut dan membujuk.  Satu persoalan yang menghantui fikiranku, dimana aku mendapatkan wang untuk membiayai kos pembedahan mata itu.  Walaupun tidak sebanyak mana tetapi wangku tidak mencukupi. Wang gajiku yang tidak seberapa itu telah habis untuk menyara dan membiayai kos rumah tangga kami. Idham hanya mengeluarkan wang simpanannya untuk membayar ansuran rumah yang tidak sampai pun 300 ringgit. 
Lain-lain perbelanjaan, akulah yang menanggungnya. Dan aku melakukannya dengan redha. Aku seboleh-bolehnya tidak mahu menggunakan wang simpanan Idham. Aku bimbang terjadi sesuatu kepadaku, dicabut nyawaku oleh ALLAH mendahului Idham,  Idham langsung tidak mempunyai wang untuk menanggung dirinya.  Aku benar-benar tersepit. Setiap hari aku memikirkan cara untuk menyediakan wang bagi kos rawatan Idham. 
“Lidya, gunalah duit simpanan abang tu!” Idham meraba-raba tanganku dan meletakkan kad ATMnya dalam genggamanku. Aku serba salah untuk menerimanya. Idham kembali duduk di atas kerusi rotannya.

“Abang, kalau boleh Lidya tidak mahu usik wang simpanan abang! Biar Lidya usahakan.” Aku mengembalikan kad itu kepada Idham. “Maaf, kerana menyusahkan Lidya! Abang telah banyak buat silap! Tapi sekarang nak cakap pun tak ada guna lagi!” Idham seakan mengeluh dengan nada suara yang sedih dan perlahan. Sesungguhnya aku tidak tahu apakah kesilapan yang telah dilakukannya. Bolehkah aku bertanya atau menasihatinya? Sama ada dulu atau sekarang?

Tiada ulasan: