|
|
“Assalamualaikum, Rin...” sapanya
lembut dan mesra. Agak lama juga Sharina tidak menelefonnya.
“Waalaikumussalam, bang. Abang
sihat tak? Abang kat mana ni?” Suara Sharina agak ceria.
“Alhamdulillah. Sihat. Abang di
pejabat ni. Rin sihat? Dah lama tak telefon abang. Mentang-mentanglah dah ada
tempat bermanja yang lain,” jawab Hisham merajuk.
“Abang jugak yang paksa,” balas
Sharina cuba berseloroh. Benar, pada awalnya memang dia rasa keputusan Hisham
memaksanya berkahwin dengan Kamal sebagai satu kezaliman tetapi kini dia
bersyukur. Kamal telah menjadi seorang yang penting di dalam hatinya.
“Memanglah abang yang paksa,
tetapi sekarang Rin langsung tak boleh nak berjauhan dengan Kamal tu, kan?
Cinta Rin kepada Kamal dah berlautan, betul tak?” soal Hisham sambil ketawa.
Sharina turut ketawa.
Sesungguhnya cintanya kepada Kamal melebihi seluruh lautan yang ada di bumi.
“Rin telefon abang dari mana ni?”
tanya Hisham apabila tawa mereka reda.
“Dari rumahlah, bang. Rin rasa
sunyi. Rin dah telefon mak. Rin dah telefon Abang Kamal. Tapi takkan semua
orang nak layan Rin sepanjang hari. Berbual dengan abang pun mesti tak lebih
dari lima minit, sebab abang pun sibuk jugak,” adu Sharina dengan suara sedih.
“Abang... boleh tak abang pujuk Abang Kamal benarkan Rin kerja.”
“Kenapa pulak Rin kalut-kalut nak
kerja ni? Abang tengok Kamal layan Rin elok aje. Semua dia belikan. Barang-barang perhiasan lengkap. Rumah dah
selesa. Kalau Rin nak kereta pun abang rasa nanti Kamal akan belikan untuk
Rin,” ujar Hisham.
“Abang tak rasa yang Kamal akan
benarkan Rin bekerja. Dia tu, cemburunya boleh tahan. Tambahan pula,
isterinya..adik abang ni cantik. Nanti Kamal tak senang hati kalau Rin berada
di luar rumah,” sambung Hisham lagi.
Sharina yang mendengar kata-kata
abangnya itu berasa kecewa. Karakter abang dan suaminya sama saja.
“Rin nak minta tolong sikit pun
tak mau! Dah tak sayang pada Rinlah tu... sebab tu abang suka Rin susah hati,”
balas Sharina perlahan.
“Bukan begitu, Rin. Rin tu dah
jadi isteri orang. Kamal yang bertanggungjawab penuh kepada Rin. Nanti kalau
abang beritahu Kamal, mesti dia terasa hati. Nampak macam abang nak campur
tangan dalam hal rumah tangga dia pulak. ”
Sharina kehilangan kata-kata
untuk memujuk Hisham supaya menurut kehendaknya. Takkan dia hendak menceritakan
keburukan emak mertuanya pula?
“Kalau abang masih anggap Rin
sebagai adik, abang mesti pujuk Abang Kamal,” desak Sharina mula menangis.
“Yalah... tapi, abang mesti tahu
sebabnya. Rin ada berhutang tanpa pengetahuan Kamal ke? Takkanlah..,” ujar
Hisham lagi. Dia mesti memaksa Sharina untuk memberitahu perkara yang sebenar.
“Kalau Rin cerita, nanti Rin
aibkan orang lain. Rin tak nak...” Bukankah dulu abang selalu menasihatinya
supaya tidak sesekali membuka keaiban orang nanti di akhirat ALLAH akan membuka
keaiban kita. Lebih baik dirahsiakan keaiban orang supaya ALLAH menyembunyikan
keaiban kita pada hari akhirat kelak.
Hisham terdiam seketika.
“Rin ceritalah pada abang. Abang
kena tahu sebabnya supaya ada alasan yang kukuh untuk pujuk Kamal.” Hisham cuba
berdiplomasi dengan adiknya itu.
“Emak mertua Rin...” jawab
Sharina dengan suara sebak. Dia mula bercerita kepada Hisham sambil menangis.
“Sedihlah Rin kalau dia selalu
hina-hina Rin begitu. Macam Rin ni tak ada harga walau satu sen pun. Macam Rin
ni anak orang miskin sangat! Walhal dulu waktu belum kahwin dengan Abang Kamal,
semua yang Rin nak, abang atau emak akan adakan,” tangis Sharina.
“Okey, okey... Insya-ALLAH...
abang cuba. Rin sabar, ya? Jangan ceritakan hal ini kepada Kamal. Nanti mereka
bergaduh anak-beranak. Abang akan simpan cerita Rin ni. Kalau emak mertua Rin
telefon jangan pula Rin bergaduh dengan dia. Dengar aje...” nasihat Hisham. Perkahwinan
bagi seorang wanita memang menuntut pelbagai pengorbanan.
“Rin kena sayangkan emak mertua
Rin macam Rin sayangkan Kamal,” pujuk Hisham lagi. Baru dia tahu yang selama
ini Sharina tidak disukai oleh emak mertuanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan