Hari ini, Kamal
terpaksa ke Kuala Kangsar. Kerja-kerja pembinaan kompleks Kolej Islam Perak
Darul Ridzuan di Chandan Putri sudah dimulakan hampir tiga bulan. Jadi, dia
perlu membuat pemeriksaan terhadap kerja-kerja awal yang sedang dilakukan.
Assalamualaikum.Boleh kita
berjumpa.
Mesej pesanan ringkas tertera di
telefon bimbit Kamal. Dia yang sedang membawa kereta segera membalas mesej
daripada abang iparnya itu.
Aku ada urusan di Kuala Kangsar.
Dalam perjalanan. Hendak jumpa di mana? Bila?
Matanya terus memerhati kereta di
hadapannya. Dia yang sedang melalui pondok tol di Lebuhraya Utara Selatan,
sebelum susur keluar ke Kuala Kangsar.
Secara kebetulan aku pun ada urusan
di Kuala Kangsar. Kita jumpa di Resort Sungai Perak. 1.30 tengah hari.
Aku solat zuhur di Masjid
Ridzuaniah dulu. Lepas itu, aku ke RSP.
Tiada lagi balasan mesej daripada
abang iparnya itu. Dia menekan butang-butang di telefon bimbit sekali lagi.
Rin sayang, tengah hari ni abang
tak balik. Abang ada kerja di Kuala Kangsar. Sayang tak payah masak. Malam
nanti, kita pergi makan di luar. Jaga diri.
Tidak sampai satu minit, Sharina
telah membalas mesejnya.
Okey.I love you.
Kamal tersenyum. Dia meneruskan
perjalanan dengan tenang sambil memerhati kiri dan kanan jalan. Cahaya panas
terik sebaik sahaja Kamal sampai ke tapak pembinaan itu.
Setelah segala urusan di tapak
projek selesai, Kamal sampai di Resort Sungai Perak. Hisham sedang menunggunya
dan tersenyum lebar apabila melihat kedatangannya.
“Assalamualaikum...” sapa Hisham
sambil bersalaman. Mereka berpelukan beberapa ketika.
“Apa kabar Hisham? Makan berisi
pulak badan kau,”kata Kamal sambil menarik-narik daging yang timbul di pinggang
sahabatnya itu.
Hisham menyeringai. Dia pula
menggosok-gosok perut Kamal sambil ketawa.
“Jangan risau… Masih terjaga
dengan baik. Belum boroi,” kata Kamal sambil menumbuk kecil dada Hisham.
Kemesraan mereka berdua tidak pernah luntur walaupun status perhubungan telah
bertukar.
“Rin pandai jaga aku,” sambungnya
lagi.
“Tengoklah adik siapa,” balas
Hisham sambil menjongketkan keningnya.
“Nak duduk di sini ke nak duduk
di dalam?” soal Hisham. Restoran di resort itu memang ada menyediakan beberapa
tempat makan untuk pengunjungnya. Sama ada di luar atau di dalam bangunan.
“Dekat sini memanglah dapat
tengok Sungai Perak tu, tapi tengah hari ni panas. Jom kita duduk di dalamlah!
Ada penghawa dingin. Selesa sikit nak berbual,”cadang Kamal.
Mereka sama-sama beredar ke dewan
makan.
“Dulu, masa kita bersekolah di
sini, resort ni tak wujud pun lagi. Tepi sungai ni dipenuhi semak aje,” ungkap
Hisham sebaik sahaja duduk.
“Yalah! Ingat dulu sewaktu kita
belajar di MCKK, hari Sabtu kita dapat keluar ke pekan, ramai berhimpun di
Restoran Hilmi di tepi sungai dekat lembah tu,” sampuk Kamal pula. Nostalgia
zaman persekolahan sentiasa manis dalam ingatan.
“Sekarang, restoran tu ada lagi!
Cuma di tepi sungai tu dah banyak
perbezaan. Jeti bot ke Sayong pun sudah dibuat baru. Aku sempat juga ke situ
tadi. Banyak perubahan bandar diraja ni sekarang. Yalah, kita pun dah
tinggalkan MCKK lebih kurang 13 tahun dulu,” balas Hisham. Fikirannya masih
berputar-putar mencari idea bagaimana hendak memulakan topik yang ingin
disampaikannya kepada Kamal.
“Sham... maaf, aku nak telefon
Rin sekejap,” beritahu Kamal lalu meninggalkan Hisham seketika.
Sepeninggalan Kamal, Hisham terus
memerah mindanya mencari cara untuk menunaikan janji kepada adiknya itu.Tidak
sampai dua minit, Kamal kembali ke sisinya.
“Okey! Baru aku lega sikit.
Setiap hari aku balik ke rumah untuk makan tengah hari! Hari ini, aku tak dapat
balik risau pulak Rin tak makan sebab aku tak ada,” cerita Kamal tanpa dipinta
lalu duduk di kerusinya semula.
“Aku telefon sebab nak suruh dia
makan” beritahu Kamal tanpa berselindung.
Hisham ketawa mendengar cerita
adik iparnya itu. “Kau ni macam orang bercinta aje. Takkan tak balik makan
tengah hari hati jadi libang libu,” perli Hisham sambil ketawa.
Kamal turut ketawa.
“Hisy, aku tak boleh tak tengok
wajah Rin lebih dari lima jam! Boleh jadi sasau.Tak tahu kenapa! Agaknya aku
sayang sangat kat dia. Kalau boleh nak berdua aje,” cerita Kamal senang.
“Oh, patutlah kau tak nak anak
lagi?” tebak Hisham. Hatinya mula menguak lapang. Lorong untuknya berbicara
tentang kesunyian yang dialami oleh Sharina dan keinginan untuk bekerja sudah
mulai terbuka.
“Kasihan Rin, Kamal. Kalau ada
anak sementara tunggu kau balik, ada jugalah teman untuk mencurah kasih
sayang.Terisi sikit masanya. Taklah dia sunyi sangat,” ujar Hisham tenang.
“Aku tahu Rin sunyi. Dia pun ada
beritahu aku. Cuma aku belum bersedia. Aku takut dia keguguran macam dulu. Aku
bimbang aku akan terabai. Dia akan terabai! Mungkin empat atau lima tahun lagi
baru aku bersedia untuk menimang cahaya mata...” jawab Kamal sambil
menggaru-garu keningnya.
“Hah! Baik kau kata tunggu umur
kau 70 tahun... atau tunggu kau pencen,” tukas Hisham sambil ketawa.
“Kalau macam tu takut aku pula
yang pencen segala,” gurau Kamal. Mereka ketawa sama-sama.
“Beginilah, Kamal. Sementara
belum ada anak ni, baiklah kau suruh Rin tu kerja. Biar dia berdikari sikit.
Aku tahu, kau menjalankan tanggungjawab dengan baik. Taburkan kemewahan kepada
dia. Aku berterima kasih dan bersyukur,” ujar Hisham dengan berhati-hati.
“Tapi, Rin tu manusia macam kita
jugak. Mungkin dia ada impian sendiri. Bagi dia peluang untuk tengok dunia
luar. Merasai alam pekerjaan dan tahu cabaran bagaimana untuk memperoleh
pendapatan,” sambung Hisham lagi.
“Dulu, aku dan emak manjakan dia.
Manja sangat-sangat! Bila kahwin dengan kau, dia dimanjakan berlebih-lebih
lagi. Aku bimbang juga. Maklumlah, kata orang langit tak selalunya cerah...”
Kata-kata Hisham terhenti di situ. Dia melihat air muka Kamal sudah berubah
serius seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Kau ni, Sham... macam tak
percaya pada aku aje. Aku tak ada penyakit kroniklah. Alhamdulillah.
Rasa-rasanya aku masih mampu tanggung Rin dan penuhi segala kehendaknya. Aku
tak pernah abaikan dia. Zahir atau batin. Tapi, kata-kata kau tu ada
kebenarannya. Lagipun sewaktu kami duduk di Melaka, dia sempat sambung belajar
ambil diploma perakaunan. Aku jugak yang suruh,” beritahu Kamal pula.
“Jadi?” sampuk Hisham. Pelik juga
memikirkan pandangan adik iparnya. Sharina boleh menyambung pelajaran di kolej,
tetapi tidak dibenarkan bekerja.
“Kau ni macam mendesak aku aje.
Rin ada telefon kau cerita apa-apa ke?” tebak Kamal. Hatinya mula berasa kurang
senang.
“Hah! Hidangan pun dah sampai.
Alhamdulillah,” kata Hisham membiarkan pertanyaan Kamal tidak berjawab. Dia
membantu pelayan resort menghidangkan makanan di atas meja. Perbualan mereka
tentang Sharina terhenti begitu sahaja. Bagaimana pun Hisham bersyukur kerana
dia berpeluang menyampaikan keinginan hati adiknya itu walaupun tidak pasti
sama ada Kamal dapat menerimanya atau tidak.
Selesai menikmati juadah tengah
hari, mereka berpisah di tempat parkir kereta.
“Sham... sampaikan salam aku
kepada emak, ya?” bisik Kamal.
“Ya, insya-ALLAH. Sampaikan salam
aku kepada Rin jugak.”
“Aku nak terus balik ke Gopeng,
kau?” tanya Hisham.
Kamal yang sudah membuka pintu
keretanya menoleh kepada Hisham. “Aku kalau sempat nak singgah ofis, lepas tu baru
nak balik ke rumah,” jawab Kamal sambil mengenakan kaca mata hitamnya. Dia
masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin kereta. Kamal membiarkan kereta
Hisham bergerak dahulu barulah dia mengekori kereta abang iparnya itu.
Kamal terus mengenangi kata-kata
abang iparnya tadi. Perasaannya mula rasa tidak selesa. Kalau benar Sharina ada
bercerita kepada Hisham tentang hal rumah tangga mereka, hatinya begitu kecewa.
Sharina sudah
menunggu kepulangan Kamal di ruang tamu. Berkali-kali dia melihat pintu pagar
rumah. Ulas bibirnya melebar sebaik sahaja melihat Toyata Camry warna hitam
milik suaminya sudah berada di situ. Dia cepat-cepat membuka pintu pagar dengan
menggunakan alat kawalan jauh. Sharina menanti Kamal sambil tersenyum manis.
“Assalamualaikum,” kata Kamal
sebaik sahaja sampai di muka pintu. Kamal hanya tersenyum hambar dan
menghulurkan tangannya untuk dijabat dan dicium oleh Sharina. Setelah itu, dia
terus meninggalkan Sharina seorang diri di muka pintu tanpa kucupan dan pelukan
mesra seperti selalu.
Perubahan sikap suaminya itu
menyebabkan Sharina terasa sesuatu. Air mukanya mula berubah.
“Abang... Rin dah bawa air
minuman abang ke sini,” beritahunya kepada Kamal dengan suara lembut dan manja.
Kamal yang nampak seolah-olah
hendak ke dapur tidak mempedulikannya. Dia mengubah haluannya dan menaiki
tangga ke tingkat atas pula.
“Abang...” panggil Sharina. Kamal
tidak menjawab bahkan langsung tidak menoleh kepadanya. Hatinya yang mula
dikepung duka.
Sharina berdiri tercegat pada
anak tangga yang pertama. Hampir lima
minit dia menunggu, Kamal tidak turun-turun. Titisan air matanya mulai mengalir
di pipi. Apa salah dan dosa Rin? Kalbunya dibeliti lara.
“Abang...” tangisnya sambil
menaiki tangga untuk menjenguk suaminya itu. Pintu bilik terkunci dari dalam.
Batin Sharina rasa terseksa menghadapi situasi itu. Manisnya percintaan mereka
selama ini seolah-olah mula dihujam pahit dan getir.
“Abang, buka pintu! Kenapa dengan abang ni?”
tanyanya agak kuat dan terus menangis. Berkali-kali daun pintu diketuk, namun
Kamal menyepikan diri.
~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan