URAT-urat di kepalaku seakan
putus. Resit pengeluaran wang dari
bank yang digunakan oleh Idham tergenggam di dalam tanganku. Aku telah
menjumpainya secara tidak sengaja pada pagi itu. Mungkin kerana matanya sudah tidak boleh lagi
membaca butiran pada kertas itu, Idham mengabaikannya dan meletakkannya di atas
almari solek dan terlupa. Biasanya dia amat cerewet dengan perkara-perkara
seperti ini.
Baki RM 3103.83, itulah
tulisan yang tertera. Aku menelan air mata duka. Kesedihanku bukannya kerana
sedikitnya jumlah wang yang dimiliki oleh Idham, tetapi aku bimbang,
benar-benar bimbang kerana memahami kuasa wang pada ketika ini. Tambahan pula
Idham sedang sakit.
Pada suatu hari aku
menghubungi Syamil melalui telefon. “Helo, bang! Abang sihat tak?”
Seperti biasa aku bersuara mesra.
“Alhamdulilah! Hani bagaimana, sihat ke?” Mujur aku masih dilayaninya
dengan baik dan mesra.
“Sihat bang! Bang, minta
maaf, Hani nak tanya sikit!.” Aku masih
bersuara mesra dan lembut seperti selalunya.
“Tanyalah, sayang,
apanya?” Syamil berlagu-lagu suaranya
menjawab.
“Bila abang nak selesaikan
hutang Hani? Hampir empat tahun dah!” Aku berterus terang dengan harapan Syamil
tidak berkecil hati.
“Hmm...
ada nanti abang bayarlah!” Syamil menjawab acuh tak acuh. Jawapannya langsung
tidak memberikan harapan.
“Bila? Hani nak guna duit!
Hubby nak operation mata!”
Tanpaku sedari air mataku menitis di pipi. Aku berasa sedih dan malu.
Aku berasa seolah pengemis yang terpaksa meminta-minta, sedangkan apa yang aku
pinta adalah hakku yang harus dikembalikan.
“Nak tempah lense pun
hampir RM 1500. Abang usahakan, ya! Bayar
seberapa segera.” Aku memujuk dengan suara yang lembut. Harapanku setinggi
gunung agar Syamil dapat mengerti keadaanku sebagaimana aku memahaminya sewaktu
dia di dalam kesempitan suatu waktu dahulu.
“Hani, nanti bila abang ada cukup duit abang bayar ya! Okey, bye.”
Syamil terus mematikan talian telefon bimbitnya. Aku cuba menghubunginya kembali, namun apa
yang aku perolehi ialah kekecewaan. Aku menangis di dalam hati.
Rahsia kewangan Idham yang
telah terbongkar itu langsung tidak aku tanyakan kepadanya. Sebaliknya,
fikirkanku tambah berserabut memikirkan yang kepelikkan fakta yang aku temui
itu. Ke mana perginya duit Idham yang hampir RM100 000 itu. Aku dapat mengagak
jumlah yang diperolehi dari caruman KWSP sewaktu tamat perkhidmatan dulu,
hampir sebanyak itu. Idham tidak pernah menghulurkan kepadaku walaupun RM100
bahkan setiap apa yang dibelikannya untuk keperluan diriku samada baju, kasut dan seumpamanya aku akan membayarnya kembali.
Jika tidak, Idham akan mengungkit berulangkali seolah aku seekor kucing kurap
yang hidup di atas belas ehsannya.
Fikir
punya fikir, aku tidak lena tidur dan akibatnya, migrane yang aku alami semakin
teruk. Namun, aku harus menyembunyikannya daripada pengetahuan Idham kerana
tidak mahu membimbangkannya.
Akhirnya
setelah gagal mendapat jawapan, aku memberanikan diri untuk bertanya kepada
Idham.
“Abang,
Lidya nak tanya sesuatu!” Aku memeluk Idham yang sedang duduk di atas kerusi
rotannya dari arah belakang. Dia hanya
berkain pelikat dan tidak berbaju. Aku bergerak beberapa tapak ke depan untuk
duduk di hujung lutut Idham. Aku
bergerak tanpa suara. Sengaja aku menguji penglihatan Idham. Idham menggawang-gawangkan
tangannya ke arah belakangnya cuba memegang tubuhku. Aku menggeleng melihat
situasi itu dan terasa pilu dengan apa yang ditanggung oleh Idham.
“Sinilah
bang...” Aku menggenggam tangan Idham
dan terus duduk di lantai dan kepalaku,aku letakkan di antara lututnya.
Sesekali aku menggosok-gosok peha Idham.
“Abang,
ansuran rumah ni macam mana? Lagi berapa tahun nak kena bayar?” Puas berfikir
soalan yang ingin ditanyakan, bibirku mengeluarkan persoalan mengenai rumah.
Sebenarnya fikiranku terbelit juga dengan persoalan itu. Seingatku Idham pernah
memberitahuku yang ansuran bulanan rumah telah diselesaikannya, namun
mengapakah setiap bulan dia mengeluarkan duit untuk tujuan itu?
“Tak
lama lagi! Setahun agaknya!” Idham masih cuba menyembunyikan sesuatu.
“Betul
ni?” Aku inginkan kepastian. Jika setahun, jumlah wang yang ada di dalam
simpanan Idham tentu tidak mencukupi. Itu pun mujur segala perbelanjaan rumah
tangga aku yang menanggungnya. Jika tidak, wang simpanannya tidak berbaki pun
barangkali.
“Entahlah
Lidya! Itulah yang membimbangkan abang.” Idham menjawab perlahan. “Semuanya
kesilapan abang!” ujar Idham lagi. Wajahnya keruh dan terpalit gambaran kecewa.
“Apa
masalahnya?” Aku cuba mengorek rahsia. Niatku untuk menanyakan tentang wang
simpanannya terbatal. Aku takut dimarahi.
“Rupa-rupanya
pejabat tempat abang kerja dulu tidak buat pemotongan untuk ansuran rumah ni,
berbelas tahun! Pening! Pening! Tunggakan berpuluh ribu ringgit. Bila dapat
duit KWSP, abang dah bayar separuh!” Panjang keluhan Idham. Segala masalahnya dirahsiakan daripadaku.
Baru kini hendak disuarakan.
“Dulu
abang kata tak ada masalah apa-apa! Abang ingat tak lagi abang pernah terima
surat peringatan. Tapi abang kata abang dah bayar semuanya dan suruh Lidya
abaikan surat tu...” Aku inginkan
penjelasan daripada Idham. Pantang akupada pembohongan walaupun sedikit.
“Abang
marah Lidya?” suaraku semakin perlahan, cuba menyembunyikannya dari pendengaran
Idham.
“Kata
dah bayar habis!” Aku seakan merungut dengan nada sesal.
“Sudah!
Jangan mengungkit! Abang tak sihat! Sekarang ini pun abang masih mampu bayar
lagi! Abang tahulah, itu tanggungjawab abang! Jangan nak menyibuk dan
memeningkan kepala abang! Lidya tahu tak… mata abang dah tak nampak ni! Semakin
hari semakin teruk! Jangan nak naikkan tekanan darah abang! Abang tak boleh!”
suara Idham tiba-tiba melengking. Aku
terdiam.Terbantut hasratku untuk bertanyakan hal kewangannya.
ASSALAMUALAIKUM, bang! Call Hani! Urgent!
SMS itu
aku hantarkan kepada Syamil. Dikala aku di dalam kebimbangan, permasalahan,
kesulitan dan kesedihan aku benar-benar berharap yang Syamil akan menyokong
jiwaku. Tambahan pada waktu itu aku terlalu rindukannya. Sudah beberapa hari dia menyepikan diri. Malangnya, setelah menunggu sekian lama untuk
hari itu dan menghantar SMS yang serupa berulangkali, Syamil tidak memberi
reaksi. Dengan perasaan hati yang
bergelodak oleh perasaan marah dan hampa aku cuba pula menghubunginya dengan
mendail nombor telefon bimbitnya.
Mengeletar
seluruh tubuhku apabila panggilan yang aku buat ke telefon bimbit Syamil tidak
mendapat jawapan. Kegeraman aku terhadap
Syamil kerana keengganannya melayan panggilan telefon dan pesanan ringkas
dariku semakin bersemarak.
Sialan
lelaki ini! Di waktu susah mencari aku,
di waktu aku susah, dia sedap-sedap dan berseronokan dengan isteri dia.Di
manakah segala janjinya dulu? Di manakah?
“Aahhhhh...” Tanpa dapat ditahan, jeritan kuat terbit dari
kerongkongku dan memecah kesunyian malam.
“Lidya!
Lidya mengapa ni? Mengucap!
Astaghfirullahalazim!” Idham merangkul
aku dan membawa ke dalam pelukannya.
Tiba-tiba aku menangis teresak-esak. Fikiranku benar-benar terganggu.
“Mengapa ni Lidya? Mengapa ni?” Dia menggosok-gosok ubun-ubunku dan mencium
dahiku bertalu-talu. Tidak pernah dia
begitu sebelum ini. Sumpah, itulah yang pertama kalinya semenjak perkahwinan
kami menginjak usia 11 tahun.
Tangisanku
masih belum berhenti. Namun, aku sudah terjaga dari tidurku yang diganggu mimpi
ngeri.
“Lidya,
maafkan abang kerana menyusahkan Lidya! Abang tahu, Lidya susah hati pasal
abang, sehingga terbawa-bawa di dalam tidur. Maafkan abang, maafkan abang.”
Pertama kali juga Idham bersuara selembut itu.
“Tak
apa, kalau tak cukup wang, kita tangguh dulu operation mata tu.” Idham
terus memujuk. Sangkanya aku menangis dan meracau disebabkan dirinya. Masakan
aku membongkarkan rahsia perhubunganku dengan Syamil, menceritakan padanya yang
aku telah meminjamkan wang kepada Syamil serta mengorbankan barang kemasku
untuk membantu lelaki itu. Sudah tentu, Idham akan terkejut dan
mungkin terkena serangan jantung, lalu…
“Bukan
bang! Bukan pasal tu... insya-ALLAH, ada duitnya! Lidya dah jual polisi insuran
Lidya. Uncle Sam kata dua tiga minggu lagi dapatlah ceknya.” Aku bersuara
perlahan dalam tangisan sambil mengesat air mata yang berada di pipi dengan
dada Idham yang tidak berbaju.
“Buat
apa Lidya jual? Habis tu... Cina tu kata dapat berapa?” Dalam kesuraman lampu, Idham memandang ke
arahku. Aku tidak pasti sama ada dia
dapat melihat aku atau pun tidak,
namun wajahnya menghala ke wajahku.
“RM 1800
lebih kurang! Cukuplah untuk pembedahan itu!”
Aku berhenti menangis.
“Sudahlah,
bang! Maafkan Lidya! Lidya nak tidur!” Aku mencapai bantal di sisi dan
mengalihkan tubuhku ke sisi Idham.
Idham
memetik punat di kaki lampu tidur yang berada di atas meja berhampirannya.
Suasana kamar tidur hanya bercahaya suram. “Lidya, jangan buat begini lagi!
Abang susah hati! Abang akan susah hati jika Lidya susah hati, Lidya saja dunia
abang.” Idham bersuara perlahan sambil mengenggam-genggam tanganku. Di dalam
kesuraman, air mataku semakin membuak. Ulu hatiku bagaikan dicucuk-cucuk
sembilu tajam dan yang meruncing. Mengapakah baru kini Idham menyuarakan isi
hatinya begitu, sedangkan cintaku terhadap Syamil sudah berada di kemuncak?
~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan