Khamis, 24 Oktober 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 28)


Kamal memarkirkan keretanya di hadapan Klinik Damai. Badannya yang terasa seram sejuk, sesekali membahang. Kepalanya juga terasa berat. Tekaknya mulai pedih dan gatal-gatal. Lantaran itu, mahu tidak mahu dia terpaksa melarikan dirinya seketika dari pejabat untuk bertemu doktor.
“Saya beri encik cuti sakit dua hari. Ubat batuk, demam, sakit tekak dan gatal kerongkong. Encik jangan tidur lewat, ya?” beritahu doktor yang merawatnya sebelum dia keluar dari bilik doktor.
Setelah menyelesaikan pembayaran bil dan mengambil ubat, Kamal pun melangkah dari premis itu menuju ke keretanya semula. Nampaknya, dia kena berehat di rumah. Dua tiga hari ini memang dia susah untuk melelapkan mata. Bahkan hatinya juga tidak tenteram. Fikirannya terus memikirkan tentang Sharina.
Sharina yang mula membisu mungkin berpunca daripadanya juga. Dia yang berdiam kerana sedang memikirkan kata-kata Hisham. Abang ipar yang menyebut tentang kesunyian yang terpaksa ditanggung oleh adiknya kerana dibiarkan bersendirian di rumah.
Kamal sudah sampai di hadapan rumah. Dia memasuki pagar yang terbuka secara automatik dan terus memarkirkan keretanya dengan senyap. Suasana rumahnya diselubungi keheningan. Kamal memasuki rumah tanpa meninggalkan kesan bunyi. Dia terjengkit-jengkit menaiki tangga menuju ke bilik tidur mereka.
Entah bagaimana terlintas pula di hatinya untuk mengintip isterinya itu. Daun pintu bilik yang secara kebetulan renggang memberinya peluang. Dia mula membongkokkan diri dan mengintai Sharina. Isterinya itu sedang memeluk bantal guling sambil bersandar di kepala katil. Dia kelihatan resah. Sekejap membaca novel dan sekejap kemudian menghumban novel ke atas tilam dan termenung semula.
Kamal melihat isterinya mengambil sesuatu di dalam laci lalu membentangkannya di atas tilam. Selepas itu, dia meniarap pula sambil mengangkat-angkat kakinya. Kamal dapat mendengar Sharina merungut-rungut sendirian seperti sedang bermain.
Kamal menolak daun pintu perlahan-lahan. Sharina yang sedang asyik bermain dam langsung tidak menyedari kehadiran suaminya di dalam bilik itu. Dia terus menggerak-gerakkan buah dam di atas papannya.
“Rin...” sapa Kamal dengan suara yang bergetar.
Sharina tersentak dan menoleh. Dia merenung Kamal dengan mata yang membesar. Dia benar-benar terkejut dengan kemunculan Kamal Papan dam disoroknya di bawah bantal serta-merta. Cepat-cepat dia bangun dan duduk di birai katil.
“Ya ALLAH, sayang kenapa main macam ni?” soal Kamal terus  memeluk Sharina yang berwajah muram. Tidak tergamak hatinya melihat Sharina begitu. Hanya TUHAN yang tahu.
“Rin rasa sunyi... bang. Rin tak tahu nak buat apa lagi,” adu Sharina.
Kamal mengucup kening isterinya. Kucupan itu sebagai tanda maaf yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
“Kerja rumah semua Rin dah buat... baca novel, baca Quran... semua Rin dah buat..” cerita Sharina lagi dengan linangan air mata. Dia rasa malu juga kerana ditangkap oleh suaminya sewaktu sedang bermain dam sendirian. Macam orang tidak siuman pula.
“Rin... abang minta maaf sebab pasungkan Rin dalam kesunyian di rumah ini.” Kamal menahan tangis dan terus memeluk isterinya itu. Lama mereka berpelukan tanpa berkata-kata.
“Sekarang, abang faham mengapa Rin minta keizinan abang untuk bekerja?” tanya Sharina dengan suara penuh mengharap.
Kamal mengangguk-anggukkan kepalanya. “Abang faham, sayang...” bisik Kamal sambil merapatkan wajahnya dengan wajah Sharina.
“Ya ALLAH, selama ini Rin main sorang-sorang macam ni?” tanya Kamal bersalah.
Sharina mengangguk.
Pengakuan Sharina menyebabkan Kamal berasa tegang. “Ya ALLAH...” keluhnya lalu merebahkan tubuh di atas tilam. Rasa sakit kepalanya semakin berbisa. ‘Kejamnya aku.’
Melihat Kamal berkeadaan begitu Sharina pula berasa bimbang. “Kenapa abang balik ni? Abang demam ke?” soal Sharina lembut lalu menyentuh dahi Kamal.
Kamal mengangguk-anggukkan kepalanya. “Abang dapat cuti sakit dua hari,” beritahunya kemudian terbatuk-batuk.
“Abang sakit kepala ke?” tanya Sharina sambil membelai-belai rambut Kamal.
Kamal mengangguk lagi lantas memindahkan kepala  ke atas ribaan isterinya. Jari-jemarinya Sharina menjalari dahi dan kepala Kamal dengan perlahan, penuh kasih sayang. Lama mereka membisu sambil melayan perasaan masing-masing.
“Sakit lagi tak?” tanya Sharina selepas hampir 10 minit dia memicit kepala suaminya itu.
“Dah lega sikit, sayang...” jawab Kamal perlahan sambil memejamkan matanya dengan perasaan senang. Kerinduannya terhadap belaian tangan isteri yang dirindui sejak dua tiga hari ini bagaikan terubat.
“Abang masih marah pada Rin?” bisik Sharina.
Kamal memegang tangan Sharina. Pergerakan jari-jemari Sharina di dahinya terhenti seketika.
“Abang merajuk dan marah-marah rindu,” ungkap Kamal lalu mencium telapak tangan isterinya itu.
“Apa yang abang merajuk dan marahkan? Abang tiba-tiba mendiamkan diri... Rin rasa terseksa, bang...” Air matanya jatuh di atas dahi Kamal.
“Dulu sewaktu kita mula bernikah, abang kata kalau ada masalah kita kongsi bersama,” sambung Sharina dengan suara bergetar.
Kamal rasa terpukul dengan kalimah yang baru diungkapkan oleh isterinya itu.
“Tapi abang yang sembunyikan segalanya daripada Rin. Rin terasa hati,” tangis Sharina. Pilu rasa hatinya apabila sikap Kamal tiba-tiba berubah.
“Sebenarnya, dua tiga hari lepas Hisham ada berjumpa dengan abang,” cerita Kamal.
Pergerakan jari-jari Sharina terhenti. Dia ingin mendengar cerita suaminya dengan teliti. Pasti Abang Hisham cuba memujuk Kamal supaya membenarkannya bekerja.
“Sekarang ni, baru abang faham kenapa Hisham minta abang beri peluang kepada Rin untuk bekerja walaupun abang mampu sediakan segala keperluan Rin,” kata Kamal.
“Kalau abang berada di tempat Rin, mahu abang jadi sasau,” katanya lagi. Hatinya berasa lapang semula setelah meluahkan isi hati kepada isterinya itu.
“Abang ingat Rin mengadu yang bukan-bukan kepada Sham. Abang pun terasa hati dan merajuk. Abang tak suka kalau Rin buruk-burukkan abang kepada sesiapa pun,” bicara Kamal terhenti seketika.
Sharina ketawa dan sempat mencubit dagu Kamal. “Rin pulak ingat abang dah berubah hati dah tak sayang pada Rin lagi... dah ada orang lain. Maklumlah, kat luar sana mesti abang bertemu dengan ramai perempuan.” Sharina cuba menduga hati suaminya.
 “Rin...” pintas Kamal lalu menatap mata Sharina yang bercahaya. Rasa kasih disulam dengan ketenangan menyebabkan perasaan cintanya semakin menghangat.
“Hati abang tak akan pernah berubah,” katanya perlahan dengan kasih sayang.

                              ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: