Puas ditekan-tekan butang loceng, namun pagarnya tetap
tidak terbuka. Mak Cik Mariah masuk kembali ke dalam kereta sambil
merungut-rungut macam lebah kehilangan sarang.
“Hisy, ke mana pulak Rin ni? Naik lenguh jari emak tekan loceng
tu. Ke dia tak bagi kita masuk!” teka Mak Cik Mariah dengan nada marah.
“Cuba kamu bunyikan hon pulak!
Bunyikan kuat-kuat. Manalah tahu kalau telinganya dah pekak pulak petang-petang
ni. Maklumlah duduk di rumah bergoyang kaki saja.Lama-lama boleh jadi bingai,
biul, telinga pun boleh jadi tuli,” leter Mak Cik Mariah berpanjangan.
Ainun tergelak-gelak mendengar
butir bicara emaknya yang agak lucu.
“Hah, ttupun Kamal balik, mak!”
beritahu Ainun sebaik melihat bayangan kereta adiknya melalui cermin sisi
keretanya. Ainun memberi laluan kepada
Kamal memasuki pagar rumah yang sudah terbuka.
“Hai, bila laki dia balik pandai
pulak nak bukak pagar...” rungut Ainun.
Apabila dilihatnya Kamal sudah
memarkirkan kereta ditempatnya, barulah dia menggerakkan kereta dan memarkirnya
di sebelah kereta Kamal.
“Assalamualaikum, mak. Dari mana
ni berpeluh-peluh? Kereta kak ngah tak ada air cond ke?” soal Kamal
sambil membukakan pintu kereta untuk emaknya.
Mak Cik Mariah segera turun dari kereta dan
menghulurkan tangan kepada Kamal.
“Emak ikut kak ngah kamu pergi
cari pasu bunga,” cerita Mak Cik Mariah sambil mengekori Kamal menuju ke pintu
rumah. Dia berasa ganjil pula pada petang itu. Biasanya Sharina menunggu
kepulangan Kamal di muka pintu.
“Masuklah emak, kak ngah... duduk
dulu ya? Saya nak pergi mandi dan salin baju sekejap,” beritahu Kamal lalu
cepat-cepat menuju ke biliknya.
Mak Cik Mariah dan Ainun segera
duduk di ruang tamu.
“Hai, Rin tak keluar-keluar
pulak,” rungut Mak Cik Mariah. Selalu menantunya tidak pernah bersikap begitu.
“Cuba kamu pergi tengok dia di dapur, Nun! Menantu apa macam tu? Emak mertua
datang pun buat tak tau...” tuduh Mak Cik Mariah pula. Sakit pula hatinya
kerana kehadirannya tidak dipedulikan.
“Emak tanyalah Kamal!” ujar Ainun
sambil menjuih-juihkan mulutnya.
Kamal muncul semula di ruang tamu
membawa minuman. Mak Cik Mariah menyoroti wajah Kamal yang sedang menyusun atur
cawan minuman di atas meja. Riak wajah Kamal tenang sahaja tidak menampakkan
resah walau sedikit pun. Kalau bergaduh dengan isterinya, pasti air mukanya
keruh kerana susah hati. Mak Cik Mariah terus meneka-neka sendiri.
“Silalah minum, emak, kak ngah...”
pelawa Kamal.
Ainun merenung emaknya dan
memberi isyarat mata menggesa emaknya bertanyakan tentang Sharina. Mak Cik
Mariah pula memberi isyarat supaya Ainun sahaja yang bertanya kepada Kamal.
“Kamal...” kata Ainun.
Getaran telefon bimbit Kamal di
atas meja mematikan pertanyaan Ainun. Kamal terus menjawab panggilan.
“Waalaikumussalam, sayang. Kat
mana ni?” soal Kamal. Dia mendengar dengan hati-hati sambil mengerutkan
keningnya.
“Ada accident di Bukit
Berapit? Jalan sesak teruk?” soal Kamal lagi seolah-olah berbisik.
Mak Cik Mariah dan Ainun terus
mencuri dengar perbualan Kamal. Mesti bini dia tu! Kalau dah bercakap
romantik-romantik begitu! Mereka menjuih bibir sesama sendiri. Dengki!
“Okey! Okey, sayang. Hati-hati
tau, Abang dah ada di rumah ni. Emak dan kak ngah pun ada,” beritahu Kamal
sebelum menamatkan perbualannya.
“Siapa telefon?” tanya Mak Cik
Mariah pura-pura tidak dapat meneka siapa pemanggilnya.
“Rin,” jawab Kamal sepatah sambil
memandang wajah emak dan kakaknya bersilih ganti.
“Dia pergi ke mana?” soal Ainun
pula. Tak pernah-pernahnya Kamal membenarkan isterinya keluar rumah
bersendirian. Mesti ada sesuatu yang tidak kena.
“Rin dah kerja di Taiping, emak,”
beritahu Kamal tenang
Mak Cik Mariah dan Ainun
ternganga. Perkhabaran ini amat mengejutkan mereka.
“Kerja di Taiping? Kenapa jauh
sangat? Dia berulang dengan bas ke?” soal Mak Cik Mariah bertubi-tubi.
Fikirannya mula menerawang ke sana dan ke sini.
“Alhamdulillah, mak! Rin dapat
tawaran kerja di sebuah bank. Dah sebulan dia kerja,” cerita Kamal dengan nada
perlahan. Meskipun berat untuk melepaskan isterinya bekerja, dia terpaksa
merelakannya.
“Habis tu, dia berulang pergi
kerja setiap hari dengan apa?” tanya Mak Cik Mariah teruja.
Kamal ketawa melihat keghairahan
emaknya bertanyakan tentang isterinya itu.
“Saya dah belikan Rin sebuah
kereta, mak! Kebetulan memang dia dah lama ada lesen memandu sejak sebelum
kahwin dengan saya,” cerita Kamal lagi.
Mendengarkan cerita Kamal itu
perasaan Mak Cik Mariah bagaikan terbakar.
“Hai... kamu ni asyik habiskan
duit untuk Rin! Janji dengan emak belum tertunai lagi,” bidas Mak Cik Mariah
tidak puas hati. Dia sudah nekad setiap sen duit anaknya yang mengalir kepada
Sharina akan dituntutnya kembali. Kalau Sharina sudah bekerja mudahlah dia
menjalankan rancangannya.
“Kamu ni benarkan dia kerja
jauh-jauh sangat tu, kamu percaya ke dengan kejujurannya? Dia tu cantik! Muda
sangat lagi! Sekali pandang macam anak dara. Kamu tak risau ke Kamal?” hasut
Mak Cik Mariah pula. Dia tahu Kamal kaki cemburu. Nampaknya, lorong untuk dia
menggoncangkan istana rumah tangga anaknya itu mula terbuka.
“Kalau ada lelaki-lelaki menggoda
dan memikat dia, sedikit pun kamu tak akan tahu,” kata Mak Cik Mariah terus
memainkan jarumnya. “Maklumlah seorang di Ipoh, seorang di Taiping,” kata Mak
Cik Mariah lagi.
“Insya-ALLAH, mak. Saya percaya
Rin pandai jaga dirinya dan ingat statusnya sebagai isteri,” jawab Kamal
bersahaja. Kejujuran, keikhlasan dan kepercayaan antara suami isteri merupakan
elemen yang sangat penting dalam sebuah rumah tangga.
“Kalau kak ngah... akak takkan lepaskan Rin tu
pergi bekerja di tempat yang jauh begitu. Mahu pula dia pergi. Mesti dia ada
niat lain,” tambah Ainun pula. Sengaja hendak menimbulkan rasa serba salah di
jiwa adiknya.
“Saya yang izinkan, kak
ngah,emak! Lagipun emak yang selalu sindir-sindir dia sebab tak bekerja, kan?
Bila dia bekerja emak timbulkan persoalan lain pulak,” balas Kamal dengan nada
lembut dan perlahan.
Tidak faham dia dengan sikap emak
dan kakaknya. Sengaja mencari peluang untuk menghasut dan menyangka buruk
kepada isterinya itu. Agaknya mereka sengaja hendak mengeruhkan perhubungan dia
dan isterinya.
Mak Cik Mariah dan Ainun merenung
sesama sendiri sambil mengangkat kening masing-masing. “Kalau terjadi sesuatu
yang tak elok esok, jangan kamu salahkan emak! Emak dah ingatkan kamu,” kata
Mak Cik Mariah lagimasih tidak mahu mengalah. “Tengoklah, sampai sekarang ni
pun tak balik-balik,” hasut Mak Cik Mariah lagi.
“Kan dia baru telefon saya
sebentar tadi, mak! Laluan di Bukit Berapit ada kemalangan,” jelas Kamal
membela isterinya.
“Alah... sengaja hendak mencari alasan.
Entah-entah pergi shopping dengan kawan-kawannya,” tukas Mak Cik Mariah.
Kamal menggeleng kepala. Malas
hendak melayan sangkaan buruk emaknya itu.
“Kau tak rasa cemburu ke Kamal?”
soal Mak Cik Mariah.
“Emak dan Kak ngah ni, tak
habis-habis sakit hati pada Rin,” balas Kamal. “Patutlah statistik perceraian
di kalangan orang Melayu Islam terutamanya semakin meningkat. Sebab nilah...
ada keluarga dan kaum kerabat yang suka kocak-kocakkan perhubungan antara
pasangan suami dan isteri,” sindir Kamal dengan panjang lebar.
Menyirap darah Mak Cik Mariah
mendengarnya.
~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan