Ahad, 27 Oktober 2013

Redha TakdirMu (Bab 39)




"LIDYA! Handphone mana?” Tiba-tiba Idham terjenguk di muka pintu bilik.
Aku benar-benar terkejut. Lidahku kelu, tidak tahu menjawab apa. Tubuhku mengeletar tiba-tiba.
“Mana handphone?” Ulang Idham sekali lagi, lalu menghampiriku. Kain pelikat yang dipakainya hampir terlondeh.  Dia masih menanti jawapan dariku. 
Aku mula rasa tertekan. “Mengapa abang sibuk sangat pasal handphone, Lidya?” Rasa diri terancam, aku menyoal Idham kembali. 
“Selalu Lidya letak atas meja bulat tu! Tapi  abang tengok tak ada. Lidya tinggal di pejabat ke?” Idham masih belum berpuas hati. 
Aku benar-benar rasa terperangkap. Jika aku katakan tertinggal, Idham pasti akan memarahi aku dan berleter sepanjang malam.  Jika aku tunjukkan handphone yang sedang aku sembunyikan di bawah bantal, Idham pasti akan bertanya hingga ke akar umbi dan menyiasat segalanya.      
“Adalah, dalam handbag!” Aku berbohong sambil mengharapkan Idham akan mempercayai pembohongan itu lalu menamatkan pertanyaannya.
“Mana handbag? Bawa ke sini!” Permintaan Idham benar-benar membuat darahku menyirap sehingga ke kepala.
“Kenapa dengan abang ni? Hal-hal kecil pun nak bising-bising sampai begitu! Semua nak semak, semua nak periksa!  Boringlah macam ni!!!” Aku mencapai handphone di bawah bantal lalu aku menghempaskannya di atas katil.Tidak pernah aku berkelakuan seburuk itu di hadapan Idham. Gara-gara geramkan Syamil yang menyepikan diri berhari-hari, aku dihinggapi penyakit panas baran.
“Nah! Ambillah handphone abang balik! Lidya tak nak pakai lagi!” Aku menangis tersedu-sedan. Kesedihanku tidak dapat dikawal lagi.
“Eh! Eh! Kenapa ni? Tiba-tiba jadi begini? Lidya sembunyikan telefon bawah bantal? Untuk apa? Eh! Lidya, apa yang Lidya sedang lakukan ni hah!” suara Idham mulai menengking. Dia teraba-raba memegang pintu cuba menghampiriku.
“Lidya jangan buat abang rasa curiga pada Lidya! Eh... kamu telefon siapa secara sembunyi-sembunyi ni, hah?” Tangan Idham mencengkam leherku. Dicubitnya kuat-kuat. 
Aku menepisnya sekuat hati.
“Telefon siapa? Cakap!!!” Idham bertempik. 
Aku sudah lama mengenali Idham. Masakan aku akan membocorkan rahsia cintaku bersama Syamil kepadanya.  Nescaya, silap hari bulan lelaki yang aku cintai itu akan dicincangnya lumat. Demi ALLAH, aku sungguh takut sekiranya Idham mengetahui perhubungan sulit itu. Aku akan dipaksanya berpisah dengan Syamil. Perpisahan itu, sesungguhnya maha menakutkan. Walau apa pun terjadi, aku tidak mahu kehilangan Syamil.
“Tak ada sesiapa.” Aku berbohong lagi untuk yang ke sekian kalinya semenjak lelaki bernama Syamil bertahta dihatiku.
“Jangan berbohong! Kalau tak ada sesiapa mengapa telefon tidak diletakkan di tempat selalunya? Mengapa disembunyikan di bawah bantal?” Idham mula menyerang aku dengan pertanyaan.  Jawapan yang bagaimana pun, aku akan tersepit. Kehilangan kata-kata untuk menjawab,  aku  menangis semahu-mahunya.
“Mentang-mentang abang dah begini, dah tak sihat, mata kabur, dah meraba-raba, Lidya buat sesuatu yang serong di belakang abang.” Idham mula serkap jarang. Pantas saja tangannya mencubit lenganku. Lelaki ini, tak pernah insaf dengan kesalahan yang dilakukannya terhadap seorang isteri.
“Abang tanya lagi pasal handphone, Lidya lari dari rumah! Lidya dah tak tahan lagi dah, abang kongkong Lidya macam orang tawanan!” Dalam sedu-sedan aku merintih-rintih, bercakap apa saja yang menjadi kesedihanku yang disebabkan oleh Idham. Sungguh fikiranku benar-benar rasa runsing dan terganggu. Lautan jiwaku bergelora umpama lautan di musim tengkujuh.
“Abang tak pernah peduli pada Lidya. Abang tak pernah tanya apakah yang diperlukan oleh seorang isteri? Abang biarkan Lidya tanpa kemesraan! Abang ingat Lidya apa? Lidya manusia juga! Bukan malaikat! Ada nafsu! Tapi abang tak pernah peduli itu semua! Yang abang tahu hanya marah! Marah!  Marah! Tangan laju! Lidya dah tak tahan lagi!”  Kesabaran yang tercalar, keberanian tiba-tiba muncul. Aku menyuarakan rasa tidak puas hatiku terhadap Idham.
Sorry! Sorry! Abang tak maksud nak marah Lidya! Abang cuma tanya. Salahkah abang tanya?” suara Idham mulai kendur
Aku terus teresak-esak seperti kanak-kanak berumur sepuluh tahun dan duduk bersila di atas katil.
“Abang minta maaf kerana dah menyusahkan Lidya!.”  Idham cuba memujuk aku.
Tangan yang dihulurkannya aku sambut supaya Idham tidak berkecil hati.  Akhirnya malam itu aku tertidur dengan tangisan yang belum reda.
   
MUSIBAH untuk setiap hamba-NYA tidak akan berkesudahan selagi hamba-NYA itu berkesanggupan untuk menahan sabar ke atas segala dugaan yang dilemparkan oleh ALLAH terhadap dirinya. Bermula dengan penganiayaan yang dilakukan oleh Wahid terhadapku, kemudiannya dengan layanan yang aku terima daripada Idham yang menjadi suamiku. Sesudah itu ALLAH menemukan aku pula dengan Syamil. Diciptanya cinta antara kami berdua, tatkala aku masih bergelar isteri dan Syamil seorang suami. 
Tidak cukup dengan itu, ALLAH mendugaku lagi. Idham  berada di dalam keadaan kesihatan yang membimbangkan.  Wangku pula habis kerana membantu Syamil. Lelaki itu pula bagaikan menjauhkan diri sewaktu aku di dalam kesusahan.  Kuatkanlah hati hamba-MU ini ya ALLAH. 
Pulang dari pejabat, aku singgah membeli juadah untuk minum petang di pasar Hari Rabu di pertengahan perjalanan aku balik ke rumah.  Seperti biasa kepulanganku disambut oleh Idham dimuka pintu.
“Lidya, dah mandi dan sembahyang asar nanti, tolong baca surat yang di atas almari tu, boleh?”  ujar Idham sambil memindahkan kuih muih yang aku beli dari dalam bungkusan plastik ke pinggan kaca.
“Tak apalah bang! Biar Lidya buat ni semua! Abang duduk saja!” Kesihan melihat Idham yang meraba-raba sewaktu memindahkan kuih muih itu, aku melarangnya.  Matanya yang kirinya menanti masa menjalani pembedahan mata, manakala mata kanannya pula sudah semakin kabur. Pendek kata, penglihatan Idham benar-benar terganggu.
Sambil menghenyakkan tubuhku ke sofa, aku membuka sampul surat yang dikatakan oleh Idham. Bagaikan dihempap oleh batu yang besarnya umpama gunung yang kelihatan dari belakang rumahku, urat-urat di dalam kepalaku tiba-tiba terasa tegang. Bahuku bagaikan terbeban oleh sesuatu yang amat berat. Air mata berjejeran daripada takungannya dan mengalir di pipiku tanpa dipinta.
“Apa ni bang? Macam mana ni?” Hal pembedahan mata belum selesai, datang lagi satu hal yang benar-benar menguji kekuatan hatiku. Kotak fikiranku semakin berserabut. “Dulu bila Lidya tanya, abang kata semuanya dah selesai!  Kalau dah selesai mengapa dapat surat daripada mahkamah ni? Abang ni… itulah, dulu waktu sihat, banyak duit, sombong dengan isteri! Sekarang ni macam mana? Siapa nak tanggung ini semua. Hati Lidya dah susah sekarang ni. Banyak masalah! Semua nak tanggung! Sekarang ni datang lagi satu bala!” Aku bersuara kuat dengan perasaan yang tertekan.
Idham, terdiam. Di wajahnya terlukis kesedihan dan kekesalan. Aku yang sedang duduk di sofa menangis teresak-esak. “Maafkan abang, Lidya! Sabar, ini ujian daripada TUHAN.  Esok abang cuba telefon kawan abang di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tu, bahagian perumahan, kalau dia boleh membantu!” Idham bersuara dengan amat perlahan.

Sekiranya tuan tidak melunaskan semua jumlah yang tertunggak ini dalam tempoh empat belas hari dari tarikh surat ini, rumah atau premis tuan akan dilelong.

Aku membaca tulisan yang tertera pada surat itu berulang kali. Kepalaku menjadi semakin berat. Urat-urat dikepalaku semakin banyak yang tersimpulnya dan berselirat.  Kotak fikirku seakan ingin meletup.  Ya ALLAH.  Kuatkanlah hatiku.



                                                                                        ~~ bersambung~~





Tiada ulasan: