SUNGGUH
aku tidak menyangka beban deritaku kian berat hari ke hari. Permasalahan yang aku alami kemana harus aku
adukan? Idham? Aku tidak mahu menyusahkan hatinya kerana ini akan memberi kesan
kepada tekanan darahnya. Aku bimbang
juga Idham akan mengalami sakit jantung. Kepada Syamil? Ah, lelaki ini semakin melukakan
hatiku dari hari ke hari. Walaupun tidak dengan kata-katanya, Syamil terus mengguriskan hatiku dengan
sikapnya. Dengan ibu? Sudah tentunya, emak akan memulang paku buah keras
kepadaku.
“Hah!
Kan aku dah beritahu dulu? Kau sikit pun tak mahu dengar? Sekarang ni apa yang
nak ditunggu lagi? Kamu pula jadi penanggung segala hutangnya! Nafkah untuk
kamu dia tak pernah bagi! Emak ni! Emak ni yang melahirkan kamu, langsung tak
dapat merasa apa-apa! Semua duit ringgit kamu Idham habiskan! Dia cukur kamu
sampai licin tahu tak?”
Itulah
tempelak yang aku terima daripada emak. Aku tidak menyalahkan emakku kerana
memarahi aku. Memang benar segala kata-katanya. Selepas bernikah dengan Idham,
aku langsung tidak berpeluang untuk menghulurkan wang kepada emak sama seperti
aku bujang dulu. Bahkan aku juga tidak berpeluang untuk mengunjunginya selalu.
“Kamu tak
payah membodohkan diri lagi Lidya! Kamu minta cerai dan tinggalkan dia! Itu
sahaja balasan bagi seorang yang sombong!
Dulu waktu sihat, duit banyak, bengking bukan main, asyik nak belasah
kamu! Bukannya emak tak tahu! Kamu saja
yang sembunyikan segalanya daripada emak!”
suara emak yang masih menyinga menembusi telingaku. Aku hanya membatu,
tidak tahu menjawab apa. Yang aku tahu pada waktu itu hanyalah menangis.
“Tak
apalah mak! Kalau mak tak ada duit untuk pinjamkan kepada Lidya, Lidya usahakan
cara lain.” Aku mengesat air mata yang meleleh dipipi.
“Kalau
kau duduk sorang, tak berlaki dah tentu senang lenang! Ni tidak, duit gaji
habis kamu serahkan kepada laki kamu! Duit simpanan kamu pun habis dia kebas!
Ni kamu kena bayar hutang dia pula! Tinggalkan saja! Biar rumahnya kena lelong!
Kenapa kamu nak susah-susah? Esok-esok kalau dia dah mati, anak-anak tiri kamu
tuntut segala hartanya kamu dapat apa?” suara emak agak kendur.
“Kamu
tua esok siapa nak bela? Siapa nak jaga? Anak pun tak ada? Itulah, emak kata,
pergi ke pejabat agama, tuntut fasakh...
kahwin lain! Mudah-mudahan kamu dapat zuriat! Insya-ALLAH adalah yang
menjaga kamu bila sakit pening di hari tua esok!” Leteran emak masih belum
reda. Kepalaku bertambah sakit dengan leteran emak.
“Minum kopi
tu! Duit tu... tengoklah nanti mak usahakan! Tapi mak tak boleh pinjamkan
banyak! Seribu dua bolehlah! Hah! Lidya, barang kemas kamu pergi mana? Kalau
mak tak dapat cari duit untuk tolong kamu, kamu gadaikanlah dulu barang kemas
kamu tu!” Emak menghulurkan cawan kopi ke hadapanku.
Cadangan
emak membuatkan fikiranku semakin buntu.
Barang kemas? Semuanya telah aku
pinjamkan kepada Syamil, kecuali rantai leher yang sedang aku pakai. “Barang
kemas Lidya mana ada lagi emak!” Aku menerangkan. Pantas tangan emak mengutil
lenganku.
“Lidya!
Mengapalah kamu jadi begini? Kamu bagi Idham gadai barang–barang kamu
juga!” Mendengar nada suara emak, jelas
dia sedang marah.
“Lidya
yang gadai emak! Bukan abang Idham!”
Menyembunyikan rahsia, aku terpaksa membohongi ibu yang melahirkanku.
Hatiku sebak kerana terkenangkan Syamil.
Inikah dugaan yang ALLAH timpakan untuk mengujiku? Aku membantu orang yang di dalam kesusahan
tanpa banyak persoalan, namun apabila aku di dalam kesusahan, Syamil, usahkan
membantu dengan rela, hendak membayar segala hutangku pun terlalu liat.
“Emak!
Tak usahlah mak bimbangkan sangat! Lidya bukan tak ada duit langsung! Ada.
Untuk makan minum, minyak kereta tiga empat hari ni cukuplah. Cuma Lidya kena berjimat! Tak boleh macam dulu. Minta maaflah kerana
menyusahkan emak.” Aku menahan esak. “Lidya nak balik mak! Tak boleh
lama-lama. Nanti Abang Idham
bimbang.” Aku menghantar cawan ke
singki.
“Ermm..yalah!
Bawa kereta elok-elok.” Emak bersalam denganku dan memasukkan sesuatu di dalam
genggamanku.
“Hisy...
apa ni mak! Tak payah! Duit Lidya ada sikit lagi! Lidya cuma nak pinjam untuk tampung sikit
tunggakan bayaran rumah tu! Untuk belanja harian ada lagi.” Aku mengembalikan
tiga keping not 50 kepada emak.
“Ambilll!
Jangan tolak! Mak tahu, mak yang melahirkan kamu! Ambil dan simpan untuk
kecemasan! Mak ada duit! Abang kamu, kak
long kamu selalu bagi kepada emak! Pencen arwah ayah kamu pun ada seratus dua!”
Emak memasukkan gumpalan wang itu ke dalam bag tanganku yang ternganga. Aku
terharu.
BIL telefon, bil telefon bimbit, bil eletrik, bil air, duit ansuran kereta,
ansuran rumah, jumlahnya hampir RM1800. Makan minum, belanja harian? Ah
segalanya memerlukan duit. Simpanan Idham yang lebih kurang RM 3000, harus aku
lupakan dan tidak akan menggunakannya. Banyak lagi ikhtiar yang boleh aku
lakukan.
Sebenarnya
aku malu untuk menagih hutang daripada Syamil.
Namun jika dibiarkan, alamat langsung tidak terlunaskan. Dia pun nampaknya seolah melupakannya. Tidak
pernah berkata sesuatu mengenainya atau memberi tanda-tanda untuk segera
menjelaskannya dengan rela.
Abang, jika tak keberatan,
bayar hutang Hani. Bayar wang
dulu, barang kemas tu kemudian pun tak apa. Harap abang faham situasi Hani.
Maaf kerana menyusahkan abang.
Begitulah
SMSku kepada Syamil. Berulang
kali, namun Syamil benar-benar mengecewakan. Aku terus berdoa kepada TUHAN
supaya menambahkan kesabaranku.
Telefon
di dalam beg tanganku berdering. Aku yang sedang memandu pulang, terpaksa
menghentikan kereta di tepi jalan.
“Helo Hani!
Nanti SMS nombor akaun sayang! Biar abang bank in saja.” Syamil
menghubungiku semula.
Alhamdulillah.
Aku tersenyum lega. Di hatiku berbunga harapan. Aku gembira kerana
Syamil akan menunaikan janjinya. “Helo bang! Laa... kan dulu Hani ada kirimkan
abang salinan buku akaun Hani! Abang tak simpan ya?” Aku bersuara lembut. Seingatanku, aku ada mengirimkan salinan buku
akaun, salinan kad pengenalan dan penyata gajiku kepada Syamil. Waktu itu dia
bercadang meminta bantuanku meminjamkan
wang untuknya melalui bank tempatan.
“Bila
Hani beri? Abang tak ingat.” Aku sudah menduga jawapan Syamil. Memang tidak
pernah menghargai apa-apa pun pemberianku kepadanya. Mungkin kasih sayang serta
cintaku kepadanya juga tidak ada nilai baginya. Sebab itu aku diperlakukan
sesuka hati tanpa memikirkan perasaanku.
“Kan
abang ada minta, Hani pos bersama salinan IC dan payslip, untuk buat loan
tu.” Aku cuba mengingatkannya.
“Oh ya.
Ada... ada... sorry, abang dah lupa. Tak tau simpan di mana.” Syamil ketawa kecil tanpa rasa bersalah.
“Tak apalah
bang! Nanti Hani SMS! Bila abang nak bank in?”
Sekadar ingin tahu, aku bertanya.
“Dapat
nombor akaun saja, terus abang bank in.” Begitulah janji Syamil.
Senyumanku bertambah lebar. Mungkinkah dia akan menunaikan janji atau beralasan
lagi. Hati kecilku sebenarnya rasa kurang yakin dengan janji yang ditaburkan
oleh Syamil.
“Okey,
terima kasih bang! Hani minta maaf!” Tak semena-mena tasik hatiku dijengah oleh
rasa sayu.
“Tak
apa! Okeylah, sayang... jaga diri
baik-baik tau! Drive elok-elok.” Syamil menamatkan
perbualan. Begitulah Syamil, kadangkala penuh dengan kasih sayang dan
pengertian.
TIDAK
tahu di mana silapnya, dua minggu selepas hari Syamil berjanji untuk memasukkan
wang ke dalam akaunku, aku masih belum menerima satu sen pun. Pada mulanya aku
boleh bersabar. Walaupun aku dalam kesempitan wang, sebenarnya aku tidak
mengharap sangat. Sekiranya benar-benar di saat kecemasan, memerlukan wang,
simpananku di Tabung Haji masih belum diusik. Jumlahnya mungkin hampir RM1000.
Menagih hutang, mungkin aku sekadar ingin menguji Syamil. Di manakah kesetiaannya sebagai seorang
kawan? Di manakah kasih sayangnya, cintanya sebagai seorang kekasih sewaktu aku
di dalam kesusahan?
Pada
suatu hari aku menghubungi Syamil, apabila dia pun semakin menyepikan diri.
“Helo,
bang! Nombor akaun Hani abang dah terima ke?”
Dengan penuh ketulusan aku mengemukakan persoalan.
“Dah! Dah!” Syamil
terkalut-kalut menjawab. Terdengar bunyi bising kenderaan di telingaku. Mungkin
Syamil di dalam kereta.
“Abang
dah bank in?” Aku pura-pura tidak mengetahui yang Syamil belum
memasukkan wang walau satu ringgit ke dalam akaunku. Setiap hari aku membuat semakan di
kaunter ATM, tapi aku hampa. Hatiku mula didatangi oleh perasaan marah dan
geram. Geram kerana orang yang aku kasihi tidak bertanggungjawab dengan
janjinya.
“Belum sayang! Sorry! Malam ni abang bank
in! Di sini senang! Ada cash deposit machine! Tengah malam pun boleh
buat!” Syamil bagaikan dapat membaca pertanyaan yang berlegar di fikiranku.
Janjinya terlalu menyakinkan. Tapi bolehkah aku meletakkan kepercayaan
kepadanya
“Okey! Bye, bang...” Aku menamatkan perbualan
kerana Syamil pun seolah sudah tidak berminat lagi untuk bercakap denganku
lama-lama. Maklumlah, bukankah aku kini sedang dilanda kesulitan.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi sebelum ke pejabat aku singgah dulu di
bandar untuk menyemak akaunku di mesin ATM. Jumlah yang akan dimasukkan oleh
Syamil bukanlah perkara penting bagiku, yang pentingnya dia menunaikan janji.
Itu saja. Aku menekan punat-punat di mesin itu dengan kasar apabila skrin di
monitor memaparkan baki wangku. Darahku
mendidih di pagi hari. Aku benar-benar geram. “Astaghfirullahalazim, kenapalah
dengan dia ni?” Aku meneruskan perjalanan ke
pejabat tempatku bertugas dengan perasaan yang bergelora. Marah, sedih atau geram, bersilih ganti
memenuhi ruang hatiku.
Sepanjang
perjalanan, sambil memandu, air mataku berjejeran membasahi pipi. Aku terlalu
sedih dengan sikap endah tidak endah yang ditunjukkan oleh Syamil. Tahulah aku,
diri ini hanya disayang sewaktu aku menghulurkan bantuan kepadanya. Apabila aku
pula yang meminta bantuan, dia menjauhkan diri. Inikah yang dikatakan cinta
seorang lelaki yang bernama Syamil? ‘Aku
akan terus mengujimu,’ begitulah bisik hati kecilku.
~ ~ bersambung~~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan