Khamis, 31 Oktober 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 30)




Sekembalinya ke rumah pada tengah hari itu, Zarif Afandi terus termenung. Fikirannya bertambah kusut dan buntu untuk mencari jalan penyelesaian.
“Saya tengok abang macam kucing nak beranak aje dua tiga hari ni, apa hal?” Ainun yang masuk ke dalam bilik hairan melihat suaminya yang asyik gelisah.
Zarif Afandi tidak menjawab. Dia hanya mengeluh.
“Kenapa mengeluh pulak ni?” soal Ainun tegang. Kebelakangan ini suaminya nampak sugul.
“Abang nak balik ke Johor,” jawab Zarif Afandi.
Bulat mata Ainun merenung suaminya. Segera dia merapati Zarif Afandi.
“Ulang sekali lagi, bang! Takut saya tersalah dengar,” ajunya. Setelah itu, dia mencapai bakul yang terisi kain baju yang belum berlipat.
“Abang kata, abang nak balik ke Johor semula,” ulang Zarif Afandi.
“Awak dah gila ke? Atau kena sampuk? Nak cari apa kat sana? Rumah yang ada di Johor kita dah jual! Nanti kita nak duduk di mana?” soal Ainun bertubi-tubi.
Zarif Afandi menjeling kepada isterinya.
“Rumah tu awak yang suruh saya jual! Awak kata jauh sangat. Kalau bagi orang sewa pun susah nak uruskan!” bidas Zarif Afandi.
“Duduk di Ipoh ni, apa masalahnya?” soal Ainun pula.
“Banyak masalah saya kat sini, Nun. Awak mana tahu apa-apa. Yang awak tahu... duit, duit, duit! Masalah saya mencari duit untuk memenuhi kehendak awak tu, pernah awak ambil tahu?”
Bunga-bunga pertengkaran mulai tercetus di antara mereka.
“Yang awak pun tak tahu nak berdikari macam Sharina isteri Kamal tu! Awak suka hendak membuang masa, duit ringgit sahaja.” Zarif Afandi mula merepek.
“Hai, bang... timbulkan pasal Sharina pula apa hal? Kerap sangat abang memuji dia!” perli Ainun.
“Saya bagi contoh! Takkan itupun tak boleh fikir. Saya tengah banyak masalah sekarang ni. Bukannya awak nak sejukkan hati saya,” marah Zarif Afandi.
“Okey... apa masalah abang sebenarnya?” tanya Ainun. Nada suaranya cuba direndahkan.
“Abang rasa susah nak hidup kat Ipoh ni. Duit simpanan pun dah nak habis. Hutang pula keliling pinggang,” terang Zarif Afandi sambil menjeling isterinya.
“Awak carilah projek,” kata Ainun dengan nada kasar. Dia bangun sambil membawa kain-kain yang telah dilipatnya ke almari pakaian. Daun pintu almari kayu itu dibukanya dengan kasar.
“Nun ingat abang tak berusaha ke? Dah berapa lama kita tak dapat projek? Semua ini sebab adik awaklah! Tengoklah selepas dua kali dia tolak kerja-kerja yang syarikat kita buat di kompleks sukan MBI dulu, abang dah susah nak dapat tawaran lagi. Prestasi syarikat dah merudum.” Zarif Afandi cuba menudingkesalahan kepada orang lain pula.
“Kalau ada pun projek kecil-kecil. Kos pun tak besar  antara 10 hingga 20 ribu, mana nak cukup,” sambung Zarif Afandi lagi dengan perasaan tidak puas hati. Dulu, dia selalu memperoleh projek yang besar-besar. Besar projek yang dia dapat, besar jugalah laba yang diperoleh.
 “Ni semua Kamal punya pasal,” tuduh Zarif Afandi. “Dia yang dah tutup periuk nasi kita!” Ikutkan rasa geram mahu sahaja dia berjumpa dengan adik iparnya itu dan melampiaskan rasa marahnya.
“Kenapa abang nak salahkan Kamal pulak? Kamal tu jalankan tugas dia,” sambung Ainun lagi. Walaupun ada ketika sikap Kamal tidak menyenangkan hatinya, dia tidak suka juga kalau ada sesiapa cuba memburuk-burukkan darah dagingnya.Hatinya terasa sakit juga.
“Tengok tu! Menangkan adik dia pulak! Sepatutnya, Nun sokong abang. Ini, abang ceritakan masalah abang, sikit pun Nun tak endah. Abang dalam kesusahan, kesulitan, sikit pun Nun tak mahu faham,” sambung Zarif Afandi lagi. Giliran dia  pula meleteri Ainun.
“Sepatutnya seorang isteri kena bantu suami. Tapi Nun tak mahu,” leter Zarif Afandi perlahan.
“Abang tu pun kaki berhutang! Hutang sana hutang sini! Janji tak ditepati. Inilah padahnya. Rezeki jadi tak berkat!” Sindiran Ainun semakin tajam. Dia menjeling  tajam.
“Awak pun sama. Suka berbelanja, boros! Shopping sana. Shopping sini. Nak melancong ke sana nak melancong ke sini. Hati awak tu besar sangat.” Fikirannya bertambah runsing apabila memikirkan jumlah hutangnya dengan bank tempatan hampir setengah juta.
“Silap-silap hari bulan abang jual rumah ni! Boleh dapat dalam 300 ribu ni... Lepas tu, kita cari rumah yang sederhana atau duduk kat rumah emak awak di Kampung Sungai Tapah tu, lagi jimat. Duit yang kita dapat, separuh boleh bayar hutang pada bank,” cadang Zarif Afandi. Setelah itu, dia mengeluh. Jika dijual rumah pun masalahnya tidak mungkin akan selesai.
“Hah! Kalau buat begitu, lagilah malu!” jerkah Ainun. Dia bercekak pinggang menghadapi Zarif Afandi yang berwajah kusut. Fikirannya juga jadi berserabut.
“Kalau macam tu awak tolonglah bagi buah fikiran. Jangan asyik hendak berleter dan marah-marah!” Zarif Afandi bosan dengan sikap Ainun yang mementingkan diri sendiri. Sewaktu duit penuh poket, pandai isterinya itu merayu meminta itu dan ini. Apabila poket menipis, mulalah dia bertempik.
Getaran telefon bimbit di dalam kocek seluar membebaskan rasa geramnya kepada Ainun seketika. Zarif Afandi membaca pesanan ringkas yang diterima.

Janji temu kita untuk makan malam tu macam mana?

“Kenapa saya pulak nak pening kepala selesaikan masalah awak?” balas Ainun. Dia merenung Zarif Afandi yang sedang menekan-nekan butang pada telefon bimbit.
“Tak guna jadi isteri saya kalau awak berfikiran begitu!” tempelak Zarif Afandi. Dia mencapai baju dan seluar yang tersangkut berhampiran almari.
“Saya tak kira, awak mesti tolong saya. Saya perlukan seratus ribu dalam masa dua minggu ni. Kalau tak, saya akan cari orang untuk beli rumah ini...” ugut Zarif Afandi.  Dia pun sudah siap menyalin pakaian.


Tiada ulasan: