Khamis, 31 Oktober 2013

Redha Takdirmu (Bab 40-sambungan)






TEPAT 10.00 pagi, aku menghubungi telefon bimbit Syamil.  Tiada jawapan.  Berulang-ulang kali, namun kekecewaanku yang semakin merimbun. ‘Ya ALLAH, sabarkanlah hamba-MU ini.’ Gagal menghubunginya melalui telefon, aku mengirimkan SMS.
Mengapa abang tipu Hani.  

Lama aku menunggu reaksi daripada lelaki itu. Sejam kemudian barulah aku menerima mesej daripada Syamil.

Abang tak sempat. 
Begitulah jawapannya. Mudahnya dia berkata dan memberi alasan melalui SMS.

Abang kata nak bayar hutang Hani, nak bank-in, tiap hari Hani pergi semak akaun, tapi abang sampai hati tipu Hani.

Dengan perasaan sebak dan sesal aku meluahkan ketidakpuasan hatiku kepada lelaki itu melalui pesanan ringkas.

Hari Isnin nanti abang masukkan.  Sayang sabar ya.

Begitulah Syamil, terus memberi alasan. Sejak hari dia meminta nombor akaunku, kononnya untuk menyelesaikan segala hutangnya, sehingga dua bulan, dia terus mencipta beribu alasan. Isnin kata Selasa, Selasa kata Jumaat, Jumaat kata minggu depan. Pagi kata  malam nanti, esok, tengah hari nanti, abang tak sempat pergi bank dan bermacam-macam alasan lagi yang menyebabkan aku menjadi terlalu marah. Kepalaku bagaikan akan pecah kerana terlalu marah dan geram, namun kemarahan itu tidak dapat aku luahkan kepadanya. Panggilan telefon dariku selalu dibiarkannya tanpa jawapan.
“Helo, bang! Kenapa abang tak bank in wang Hani lagi? Kan abang dah janji! Abang ni tak baik buat Hani macam ni tau! Abang asyik janji, janji saja. Abang tunaikanlah. Dulu waktu abang susah, minta bantuan daripada Hani, Hani terus bagi saja, tak payah abang tunggu lama pun...” Aku menyuarakan rasa tidak puas hatiku kepada Syamil, sebaik saja dia menjawab panggilanku pada hari itu.
“Amboi, tengok tu... mengungkit! Sabarlah. Dah cukup jumlahnya nanti, abang bank inlah!” Begitulah jawapannya.  Alasan terbaru pula yang dicipta.
“Bukan Hani nak ungkit, tapi sekarang Hani dalam kesusahan. Yang Hani minta pun, hak Hani. Sebelum ni, Hani tak pernah tanya pun soal hutang ni. Hani diam saja, dah bertahun, tapi bila Hani diam, abang sedikit pun tak ada usaha untuk selesaikannya. Bila Hani minta dan desak macam ni…abang marah, jauhkan diri dari Hani! Kalau abang tak mampu nak bayar semua sekali, bayar ansuran pun tak apa,” suaraku tersendat pilu. Sungguh pun begitu, aku masih mahu bertolak ansur. Masih ada budi bicara.
“Ala... tengok tu, dah merajuk! Sensitif betul Hani sekarang ni. Cepat sangat tersentuhnya! Yalah, malam ni abang masukkan. Pagi esok Hani pergi semak akaun!”  Begitulah janji Syamil. Esok? Baiklah, jika dikatakannya begitu, esok aku akan memastikan yang dia benar-benar menunaikan janjinya.
Aku tidak berhasrat untuk menyemak akaun pada pagi hari berikutnya seperti yang diminta oleh Syamil, sebaliknya aku bercadang untuk menyemaknya sewaktu balik dari pejabat petang nanti. Sebaik saja jam di dinding pejabat menunjukkan 5.00 petang, aku tergesa-gesa menuju ke kereta. Rasa tidak sabar untuk menyemak akaun. Bukanlah aku kemaruk sangat kepada wang yang dikatakan itu, tetapi aku ingin tahu adakah Syamil menepati janjinya atau terus dengan sikapnya yang tidak boleh dipercayai itu? Tidak boleh dipercayai, tetapi lelaki itulah yang aku cintai separuh mati. 
Sampai di bank, aku terus memasukkan kad ATM ke lubang yang tersedia di mesin dengan rakus. Zush… bagaikan sebilah sembilu yang sedang menghiris hatiku. Sialan! Tak guna punya manusia! Jaga kau! Main-mainkan aku, ya!
Aku keluar dari bank dengan perasaan yang berbaur.  Kepalaku rasa sakit. Luka di hatiku semakin parah.  Kekecewaanku semakin menggunung. Aku menghenyakkan tubuhku di tempat duduk pemandu di dalam kereta. Dengan tangan yang mengeletar, aku menghidupkan enjin kereta dan membuka penghawa dingin. Aku memerhatikan skrin tingkap keretaku dan memastikannya tertutup rapat. Depan belakang, kiri dan kanan. Sebentar lagi aku akan membuat perhitungan dengan Syamil. Oh! Dia cuba mempermain-mainkan aku.  Menganiayai aku.
Pada mulanya aku menghubungi telefon bimbit lelaki itu, berpuluh-puluh kali. Tetapi tidak berjaya. Aku mengirimkan SMS pula. Peliknya SMSku boleh dikirimkan tanpa halangan.  Ini menunjukkan yang Syamil sengaja tidak menjawab panggilan dariku. Dapatkah aku berpuas hati jika tidak dapat bercakap sendiri dengan Syamil? Tidak!
Aku menghubungi nombor telefon rumah Syamil pulak.  Pada waktu itu aku langsung tidak rasa takut apa-apa. Aku tidak peduli siapa yang akan menjawab sama ada Syamil atau isterinya. 
“Helo!” Panggilan telefonku dijawab oleh seseorang. Suara Syamil. Oh! Dia ada di rumah. Begitulah bisik hatiku. Belum sempat aku menjawab apa-apa, dia telah meletakkan gagang telefon.
Aku menghubungi nombor telefon rumah itu sekali lagi.
“Helo!” Garau suara perempuan pula yang menjawabnya.
“Helo! Assalamualaikum! Encik Syamil ada?”
“Awak siapa?” suara perempuan itu menjerit dengan cara yang kurang ajar.
Pantang aku jika dilayani dengan biadap.  Sudahlah tidak menjawab ucapan salam yang kuberi. Dia ingat aku siapa? Dia siapa? “Lidyahani!” Aku menjawab tegas, tanpa rasa takut.  Mengapa aku perlu takut? Syamil yang berhutang denganku. Sekarang waktunya aku ingin melihat bagaimana caranya aku dilayani oleh mereka yang telah menerima budiku.
“Awak nak apa?” Lagi sekali dia bersuara garang seolah aku tiada jasa pada keluarga mereka.
“Saya nak bercakap dengan Encik Syamil!” Aku masih mengawal kemarahan.
“Dia tak ada!!!” Lagi sekali perempuan itu menjerit seperti tarzan. Selepas itu, gagang telefon dihempasnya kuat. Wah!  Perempuan ini cuba bermain kasar denganku. Sudahlah begitu, cuba membohongi aku pula. Bukankah sebentar tadi Syamil ada menjawab telefon? Walau hanya satu perkataan, suara lelaki itu amat kukenali. Bukankah kami telah berhubungan hampir lima tahun? Berputus asa, bukanlah sikapku. Aku mendail semula nombor rumah itu.  Sebaik sahaja gagangnya diangkat dan aku mendengar suara perempuan itu berkata helo, aku pun tidak menunggu walau sesaat.
“Helo! Suruh Abang Syamil bayar hutang dia! Bila lagi nak selesai ni! Nanti. Nanti! Tunggu! Tunggu! Hari ini kata esok, esok kata lusa, lusa kata minggu depan! Hari Isnin kata Selasa, Selasa kata Rabu! Malam kata pagi, pagi kata petang! Berbulan-bulan. Asyik beri alasan! Ni apa ni! Hah! Tak malu ke you orang semua! Dah berhutang tak mahu bayar balik! Boleh lena tidur ke, suami isteri? Cakap dengan Abang Syamil, suruh dia selesaikan hutangnya 100 peratus esok juga! Jangan nak main-mainkan saya! Jangan sampai saya bertindak gila!” Padan muka! Sebenarnya jika dia melayani panggilan telefonku dengan baik, aku tidak akan berubah sikap seperti itu. Sememangnya aku tidak pernah berkata kasar dan mengangkat suara kepada sesiapa pun, namun gara-gara sikap Syamil suami isteri, aku menjadi begitu.
Jika Syamil tidak ada duit untuk membayar hutangku, berterus terang dan pohonlah kemaafan dengan kata yang baik-baik. Aku akan faham dan tidak berasa marah. Ini sebaliknya, dia menabur janji berkali-kali dan memungkiri janji itu. Sudahlah begitu, dia seolah cuba melarikan dirinya. Panggilan telefonku tidak dijawab berhari-hari. Hati manalah boleh bersabar? Aku terasa dipermainkan.  Aku terasa dianiayai.

PAGI-pagi, sebaik saja telefon bimbitku, aku aktifkan, ada mesej daripada Syamil.


Abang dah bank in sayang! RM 500 saja. Nanti Hani pergi semak di bank ya! Sorry lambat! Take care. I love you!


                                                                                ........bersambung.......

Tiada ulasan: