Selasa, 5 November 2013

Sana Menanti,Sini Merindu(Bab 31)


Mak Cik Mariah mendengar cerita Ainun dengan perasaan berbaur. Wajah Ainun yang mendung ditatapnya. Sukar juga dia hendak mempercayai cerita anaknya itu. Selama ini, hidup anaknya itu diselubungi kemewahan.
“Emak nak membantu pun emak tak ada duit,” beritahu Mak Cik Mariah.
Mendengar kata-kata emaknya itu, mendung di wajah Ainun semakin ketara. Jika gagal memujuk emaknya untuk membantu Zarif Afandi, terpaksalah dia mengeluarkan wang simpanannya. Rugi! desis hatinya pula.
“Nun takkan tak ada wang simpanan langsung?” soal Mak Cik Mariah. Cawan yang sudah diisinya dengan kopi O dihulurkannya kepada Ainun.
“Mana ada, mak...” bohong Ainun. Wang simpanan yang ada tidak boleh diusik. Wang itu akan dibelanjakan sewaktu dia pergi melancong ke luar negara. Dia sudah bercadang untuk melawat negara Jepun. Teringin benar dia hendak bergambar berlatarbelakangkan Gunung Fuji dan pokok-pokok sakura yang berbunga lebat.
“Kalau macam tu, susahlah laki kamu! Buat pinjaman bank tak boleh ke?” tanya Mak Cik Mariah.
Ainun menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Buat pinjaman bank, Abang Zarif nak bayar dengan apa, mak? Sekarang ni, Abang Zarif susah dapat projek,” jelas Ainun.
Mak Cik Mariah memicit-micit kepalanya cuba mencari akal. Kalau meminta bantuan daripada Kamal, mesti Kamal juga tidak boleh menolong.
“Hutang yang ada pun dah beratus ribu,” terang Ainun.
Terjojol mata Mak Cik Mariah mendengarnya. “Berapa ribu yang Zarif nak tu?” soal Mak Cik Mariah pula. Dia mula mencongak-congak duit Kamal yang sudah mengalir kepada Sharina.
Mendengar pertanyaan emaknya itu, Ainun mula mengukir senyuman. Pertanyaan emaknya itu berbau harapan.
“Buat permulaan ni, dapat seratus ribu pun memadai, mak,” jawab Ainun.
“Kalau berhutang dengan orang, Zarif nak bayar dengan apa? Sekarang ni, dia tak ada pendapatan, kan?” tanya Mak Cik Mariah inginkan penjelasan.
“Bukanlah tak ada pendapatan langsung, tetapi sejak kami balik duduk di Ipoh ni, projek yang abang dapat semuanya kecil. Pendapatan pun kecillah juga,” terang Ainun.
“Habis tu yang kau tanya duit emak tu, kau nak pinjam ke atau nak mintak aje?” soal Mak Cik Mariah lagi. Bila memikirkan tentang wang ringgit, kerap sangat hatinya menjadi keliru dan terasa sayang kalau wang simpanannya menyusut.
“Anak-beranak, mak... Takkan emak tergamak nak berkira dengan Nun,” tukas Ainun.
“Amboi! Memberi aku satu sen pun tak pernah, tiba-tiba nak meminta beratus ribu,” sindir Mak Cik Mariah.
“Alah, mak. Kalau emak tak ada duit, emak tolonglah mintak daripada Kamal,” cadang Ainun. “Bukan ke Kamal baru dapat duit pampasan tanah yang diambil kerajaan untuk buat lebuh raya tu,” pujuk Ainun. Setahunya, Kamal baru beberapa bulan yang lalu menerima habuan daripada kerajaan. Dengarnya dalam ratusan ribu juga.
“Eeii, tak nak aku! Kalau dengan adik kau tu, dengan perangai tangkai jeringnya tu, kau ingat dia nak bagi ke?” sanggah Mak Cik Mariah.
Ainun terkejut dengan tuduhan emaknya terhadap Kamal. “Bila pulak yang Kamal jadi tangkai jering? Saya tengok, dia tak lokek pun dengan emak,” tukas Ainun.
“Lokeklah! Janji nak buatkan emak dapur dan beli gelang tangan, sampai hari ini tak dapat lagi.” Akhirnya terburai juga rahsia yang sedang disimpannya kepada Ainun selama ini.
Ainun tergelak kecil. Dia terus merapati emaknya. “Kalau Kamal belikan emak gelang, lebih seutas, saya nak sepasang ya, mak” pujuknya.
“Hmm... dulu-dulu waktu dia bujang, bolehlah nak belikan emak itu, ini! Sekarang ini asyik beli untuk bini dia ajelah,” tukas Mak Cik Mariah. Rasa cemburu kepada menantunya mula menderu.
“Minum kopi tu,  Nun! Tak usah risau, nanti emak dapatkan kamu duit tu,” kata Mak Cik Mariah tiba-tiba.
Ainun terperanjat. Dia mengukir senyuman di bibirnya yang sedikit terjuih.

Deringan telefon bimbitnya mengejutkan Sharina yang sedang sibuk dengan urusan pelanggannya. Mahu tak mahu, dia terus menjawab panggilan itu. Nama yang terpapar di skrin telefon bimbitnya menimbulkan rasa resah di hatinya.
“Helo. Assalamualaikum, mak...” sapa Sharina lembut. Walaupun sedar yang dirinya tidak begitu disenangi oleh emak mertuanya, Sharina tetap melayannya dengan sopan.
“Waalaikumussalam...” jawab Mak Cik Mariah dengan nada tegang dan serak suaranya.
“Kamal ada di rumah?” soal emak mertuanya lagi.
“Mak, Abang Kamal di pejabatlah, mak,” beritahu Sharina dengan lembut sambil ketawa kecil.
“Oh ya! Mak terlupa,” balas Mak Cik Mariah berpura-pura. Dia terdiam seketika untuk mengumpulkan kata-kata.
“Kalau emak nak bercakap dengan abang lebih baik mak telefon dia. Baru Rin teringat, tadi abang beritahu Rin dia ada kerja di Kuala Kangsar,” beritahu Sharina lembut. Perasaannya bertambah resah kerana bergayut di telefon pada waktu bertugas.
“Dia berjumpa dengan buah hati dia tu, Rin...” usik Mak Cik Mariah cuba menduga. Jika kedua-duanya ada perasaan cemburu bertambah senanglah dia hendak melaga-lagakan mereka agar cepat meletup.
“Insya-ALLAH... abang memang ke Kuala Kangsar atas urusan kerja dia, mak.” balas Sharina dengan suara yang perlahan. Belum pernah sekali dia mencurigai kejujuran suaminya itu.
“Alah... kau percaya sangatlah cakap orang lelaki ni! Kamal tu dengan wajah tampannya sesuai dengan jawatannya pulak,tak ada perempuan yang tak tergila-gilakan dia, Rin!” hasut Mak Cik Mariah cuba membina keresahan di hati menantunya yang lurus bendul.
“Entah-entah keliling perempuan sedang memikat hatinya,” sambung Mak Cik Mariah lagi sengaja hendak mencetuskan percikan rasa cemburu di hati menantunya.
“Mak... Minta maaf ya, Rin kena beritahu mak, sekarang ni Rin di tempat kerja,” beritahu Sharina berhati-hati. Dia bimbang hati emak mertuanya akan terluka.
“Habis tu kalau di tempat kerja, kamu tak boleh berbual dengan emak?” Pertanyaan Mak Cik Mariah itu sengaja ingin menyakitkan hati Sharina.
“Bukan begitu, emak! Nanti bos Rin tengok, dia ingat Rin tak tumpukan perhatian kepada tugas pulak,” dalih Sharina mula  rimas.
“Rin sedang buat urusan akaun, mak. Kena fokus supaya tidak tersilap atau tercuai,” jelas Sharina.
“Itulah, elok-elok duduk di rumah, kamu gatal nak bekerja! Macam Kamal tak mampu nak sara kamu pulak!” sanggah Mak Cik Mariah.
Kata-kata yang terungkap di bibirnya kali ini lebih menyakitkan hati Sharina. Air matanya mula bergenang.
‘Dulu Rin duduk-duduk di rumah, emak menyindir-nyindir Rin. Sekarang ni, bila Rin dah bekerja, emak mengata Rin gatal pulak,’ bisik hati Sharina sambil dia mengeluh kuat. Begitulah nasib menjadi menantu yang tidak disayangi emak mertua. Serba tak kena jadinya!
“Apa yang engkau keluhkan, Rin? Kamu tak suka nak berbual dengan emak ya?” soal Mak Cik Mariah.
“Taklah emak! Emak, emak suami Rin... sama macam emak Rin jugak,” jawab Sharina dengan perasaan yang tulus.
Mak Cik Mariah tersenyum lebar mendengar kata-kata itu. Fikirannya pun mula bercambah dan mereka bermacam-macam perkara.
“Betul ke Rin?” duganya pula.
“Insya-ALLAH mak,” jawab Sharina lagi sambil bernafas perlahan. Dia mencapai minyak angin di dalam laci mejanya lalu membuka penutupnya. Botol minyak angin dihalakan ke lubang hidungnya. Entah mengapa tiba-tiba sahaja tekaknya berasa loya dan hendak muntah.
“Rin, mak ada hal nak cakap ni! Tapi, Rin jangan beritahu Kamal ya. Kalau betul Rin sayangkan emak dan Kamal.”
“Ceritalah, mak,” Jjawab Sharina sambil merenung jam yang melingkari lengannya.
Sharina mendengar dengan teliti kata-kata emak mertuanya. Permintaan emak mertuanya yang sukar untuk dipenuhi. Fikirannya mulai galau sebaik sahaja perbualan mereka tamat. Sharina memicit butang di tengah telefon bimbitnya untuk menamatkan operasi. Telefon disimpan ke dalam laci meja. Dia terus melayan pelanggan yang datang sehingga masuk waktu makan tengah hari.
“Rin! Jomlah...” ajak rakan sepejabat mengejutkan Sharina yang sedang memasukkan not RM50 kedalam mesin untuk menghitungnya.
“Nak makan tengah hari di Kamunting, ya? Aku tak naklah,” jawab Sharina sambil tersenyum. Tekaknya berasa loya dan mual. Dia rasa tidak selesa untuk makan di luar bimbang termuntah.
“Jomlah... Sejak kerja di sini langsung tak pernah makan tengah hari dengan kita orang. Tak sudi ke nak berkawan dengan kami?”
Kata-kata temannya yang seakan-akan berjauh hati itu meluluhkan perasaannya. Sharina melemparkan senyumannya. Namun Kamal sudah berpesan jangan keluar dengan teman-teman sepejabat jika bukan urusan kerja.
“Bukan begitu...” balasnya sambil tersengih.
“Kalau begitu, jomlah!” desak mereka lagi.
“Okey! Tunggu aku tiga minit!” katanya lagi. Akhirnya, dia mengalah.

Restoran Asam Pedas, Kamunting sudah sesak dengan pelanggan. Maklumlah telah tiba waktu makan tengah hari. Ramai orang ingin menikmati juadah masakan kampungnya yang selalu istimewa.
Sudah beberapa kali Kamal menelefon Sharina, namun tiada jawapan. Hatinya kecewa. Cadangnya ingin mengajak isterinya makan tengah hari bersama dengannya di restoran yang terkenal di Kemunting itu. Secara kebetulan, dia berada di Taiping kerana ada urusan. Sharina pula bekerja di sebuah bank di daerah itu. Perjalanan dari tempat kerja Sharina ke restoran itu mengambil masa tidak sampai 15 minit jika jalan tidak sesak.

Sayang... Abang lapar sangat ni. Jom lunch dengan abang. Abang tunggu di Restoran Asam Pedas, Kamunting.

Agak lama juga Kamal menunggu balasan mesej daripada isterinya, namun hampa.
“Ke mana pula Rin ni? Panggilan telefon tidak dijawab.Sms pun tiada balasan. Sibuk sangat ke? Tapi waktu ini dah waktu rehat tengah hari.”
Kamal berbicara sendiri sambil memasuki ruang parkir di sebelah kiri Restoran Asam Pedas itu. Nasib baik ada lagi satu ruang kosong untuknya. Dia turun dari kereta dan cuba menghubungi Sharina sekali lagi sambil berjalan masuk ke dalam restoran.
Hampir 10 minit Kamal mendail telefon bimbit isterinya itu, namun tiada mendapat jawapan. Perasaan hampa mula memagari hatinya yang sejak kebelakangan ini mula rasa terabai kerana keletihan isterinya itu.
“Mak cik, tolong bungkuskan saya masak asam pedas tu.” Akhirnya, Kamal membuat keputusan untuk membeli lauk-pauk yang menjadi kegemaran isterinya untuk dibawa balik. Selepas membayar, Kamal tergesa-gesa menuju ke keretanya semula. Dia cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan bercadang untuk ke bank tempat Sharina bekerja. Panggilan telefonnya yang tidak berjawab menyebabkan fikirannya tidak tentu hala. Hatinya jadi tidak keruan. Dia bimbangkan isterinya itu.
Kamal cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjinnya. Sudah ada kereta yang menunggu untuk memasuki ke ruang parkir yang akan dikosongkannya.
“Pin!” Bunyi hon yang halus dan lembut menjengah ke telinga Kamal. Pemandu kereta yang ingin memasuki ruang parkir mengangkat tangan kepadanya. Kamal membalasnya sambil tersenyum. Bola matanya singgah ke dalam kereta yang dibawa oleh pemuda itu. Ada lima orang di dalamnya termasuk pemandu. Pandangan sekilasnya mendapati di dalam kereta itu ada dua orang lelaki dan tiga wanita yang asyik berborak.
Hatinya seolah tertarik untuk terus memerhati kereta itu dari jauh melalui cermin pandang belakangnya. Penumpang-penumpang kereta tadi sudah turun dari kereta dan sedang berjalan masuk ke dalam restoran. Darah Kamal tiba-tiba berderau. Perasaannya terbakar. Salah seorang daripada mereka memakai baju kurung moden yang begitu dikenali coraknya. Baju yang dibelinya di sebuah butik di Kuala Lumpur sewaktu dia dan isterinya pergi melawat ke ibu negara itu.

Perasaan cemburu mula membekam di hatinya. Terlintas di hatinya untuk mengundur semula, namun hasrat itu dibatalkan. Akhirnya, pedal minyak terus ditekan dan keretanya meluru laju menuju haluan yang akan membawanya ke Lebuhraya Utara Selatan menuju ke Ipoh, sedang perut mulai berdendang.


                                         ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: