ALHAMDULILLAH dan syukur, akhirnya Idham selamat menjalani pembedahan mata mengikut jadual yang telah ditetapkan selepas pakar optometrik mengesahkan yang mata Idham harus melalui pembedahan, jika tidak dia akan menjadi buta. Aku lebih bersyukur kerana segala biayaan kos rawatannya, aku yang menanggungnya tanpa bantuan sesiapa. Hanya ALLAH saja memberi aku kekuatan untuk melalui semua itu.
Di kala Syamil terus dengan beribu alasannya untuk tidak membayar hutangku, aku terus berusaha dan berikhtiar untuk menambah sumber kewangan. Macam-macam kerja sambilan yang aku lakukan. Hari Sabtu, aku menjadi kerani sambilan di sebuah kilang. Dari 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Malamnya aku mengambil upah menjahit baju. Di samping itu juga, aku menjalankan perniagaan kosmetik secara direct selling. Aku juga mengadakan kelas tuisyen untuk beberapa orang anak jiran bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia serta mengadakan kelas belajar asas komputer di rumahku.
Kini aku harus bekerja keras untuk mengumpul wang bagi pembedahan matanya yang sebelah lagi. Jika tak ada apa-apa halangan, pembedahan itu mesti dilakukan lapan atau enam bulan selepas pembedahan yang pertama.
“HELO! Hani, suami macam mana? Dah okay ke? Dah operation?” Begitulah soalan yang terpacul dari bibir Syamil sewaktu menghubungiku beberapa hari selepas aku keluar dari hospital. Aku menemani Idham sepanjang waktu dia berada di hospital.
“Dah bang! Alhamdulillah! Terima kasih kerana sudi bertanya khabarnya.” Aku bersuara lembut. Sememangnya setiap kali aku menerima panggilan telefon daripada Syamil, perasaanku berasa sangat indah. Walaupun perbualan kami tidak lama aku berasa sangat bahagia walaupun kadangkala Syamil ada berkata sesuatu yang melukakan hatiku, namun aku tidak mengambil kisah. Jika dia melayaniku dengan baik, tidak melarikan diri, bertanyakan khabarku seminggu sekali pun sudah memadai. Tak payah membayar hutang pun tidak mengapa. Aku memang menghalalkan segalanya. Namun, Syamil selalu berbuat ragam. Sengaja membuat aku geram, lalu hutang-hutang itulah yang menjadi bahan ungkitanku untuk menyakitkan hatinya walaupun sebenarnya harta dan wang ringgit bukannya menjadi ukuran hatiku.
“Hani macam mana? Dah makan ke belum? Kesihatan Hani pun kena jaga juga. Badan Hani tu, jangan biarkan kurus sangat.” Syamil menasihatkanku.
Aku berasa sayu di hati. Di waktu dia menasihati, aku rasakan kasih sayang Syamil kepadaku melebihi tujuh lautan. “Yalah, bang! Terima kasih.” Aku menjawab dengan suara perlahan. Sebenarnya aku terlalu letih pada hari itu. Maklumlah, seminggu berada di hospital bersama orang sakit, tidurku pun tidak berapa lena. Namun, seingatanku panggilan telefon daripada Syamil tidak pernah aku abaikan. Aku sentiasa mempunyai masa untuknya. Jika Syamil mengganggapku sebagai kekasihnya, aku telah menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang kekasih sebaiknya. Meskipun aku memberikan komitmen yang paling maksima kepada Idham, namun aku masih ada peruntukkan waktu untuk Syamil.
“Suami garang, layan Hani macam apa, Hani masih nak buat baik juga,” suara Syamil seakan merungut. Sememangnya hanya pada Syamil saja aku berani menceritakan tentang apa yang telah dilakukan oleh Idham kepadaku. Maklumlah, perhubunganku dengan Syamil pada waktu itu pun bukannya baru, hampir enam tahun.
“Alah! Dia dah tua bang! Tak baik buat tak tentu hala pada orang tua!.” Nada suaraku rendah.
“Lagipun, menaburkan keburukan kepada orang yang berbuat buruk kepada kita kan, tak elok!” suaraku masih perlahan.
“Ke Hani yang terlalu cinta dan setia kepadanya?” Syamil cuba menduga perasaan hatiku pula. Aku rasa sedikit tertekan.
“Abang ni, tengok tu, cakap begitu kepada Hani pula! Nak Hani mati cepat ke?” Aku cuba bergurau dengan Syamil.
“Eh! Jangan mati lagi? Tunggu kita kahwin dulu!” ujar Syamil sambil ketawa.
“Macam beria-ia saja nak kahwin dengan Hani!” Aku mencebik bibir. Jika dia tidak membohongiku tentang Norshakila, mungkin telah lama aku memohon fasakh daripada Idham dan menjadi isterinya. Mungkin aku telah menjadi isteri Syamil. Norshakila itu. Entah mengapa aku terlalu bencikannya. Aku tidak pernah membenci sesiapa sebelum ini. Hanya Norshakila.
“Memang betul. Abang bukan nak main-main! Kalau Hani janda, esok juga kita boleh bernikah!” Syamil mengulangi kata-kata yang pernah diucapkannya dulu. Syamil, Syamil. Terlalu mudah membina harapan, membina impian. Terlalu mudah berkata-kata. Namun akhirnya, dia juga membungkusi hatiku dengan kehampaan dan kekecewaan. Dia juga melontarkan diriku di dalam lautan air mata dan derita. Hatiku dilukai berkali-kali. Terluka dan terluka. Entah, kadangkala aku tidak tahu dan puas aku berfikir untuk tujuan apa ALLAH menemukan aku dengan Syamil. Mengapa ALLAH menciptakan cintaku kepada lelaki itu? Hatiku telah dirobek-robek, dicarik-carik, namun aku terus dengan kesetiaan.
“Cakap bukan main! Kalau Hani janda, esok juga kita nikah! Yang nikah dengan Shakila tu kenapa? Abang janji dengan Hani, lepas tu abang nikah dengan orang lain. Abang fikir hati Hani apa? Hati ayam? Boleh beli di pasar dengan harga RM 4.60 sekilogram. Tak suka makan, campak aje dalam longkang.” Aku bersuara perlahan dalam tawa. Syamil ikut ketawa bersamaku.
“Tengok! Cakap dengan abang begitu! Okeylah sayang! Abang ada kerja ni, nak repair PC! Free nanti abang call Hani. Take care!” Syamil ingin menamatkan perbualan.
“Terima kasih, bang! Assalamualaikum.” Aku menyimpan telefon di dalam beg tangan. Hatiku berasa lega dengan panggilan telefon daripada Syamil. Bibirku menguntumkan senyuman bahagia.
RUPA-rupanya kebahagiaanku hanya seketika. Sebulan dua kemudian, Syamil kembali membuat ragam. Pembayaran hutang sering kali ditangguhkan dengan bermacam alasan. Aku benar-benar meradang apabila dia semakin melarikan diri.
“Mengapa dengan Lidya ni! Lain macam saja abang tengok! Sekejap pergi ke dapur, sekejap ke ruang tamu, sekejap terintai-intai di sebalik pintu tu. Ada apa yang tak kena ke?” Idham mula mengekoriku yang sedang kegelisahan. Telatah Idham membuatkan aku berasa amat takut.
“Tak ada apa.” Aku menjawab dengan suara yang bergetar.
“Lidya nak tidur, dah pukul 11 lebih ni!” Aku menyambung bicara dengan suara perlahan. Seterika yang masih panas itu aku gulungkan wayarnya dan kuletakkan di sudut meja dan rapat menghala ke dinding.
“Nak tidur, tidur saja! Jangan nak berangan perkara yang bukan-bukan! Ingat sikit, awak tu dah ada laki! Bukannya bujangan yang boleh main cinta sana-sini! Kalau abang dapat tahu Lidya ada melakukan perkara serong, siap!!!” Idham memberi amaran. Sungguh aku terkejut mendengar kata-kata Idham itu. Dadaku tambah berdebar.
Di kala Idham masih menonton televisen, aku kegelisahan di atas katil bersendirian. Hatiku bagai ditusuk-tusuk sembilu. Sekejap-sekejap aku bangun dan menyemak telefon bimbit yang kusorokkan dibawah bantal, jika Syamil ada membalas pesanan ringkasku. Tapi aku hampa. Sahlah, dia sedang berada di dalam pelukan perempuan itu, Noshakila. Aku faham sangat. Syamil tidak akan mengaktifkan telefon bimbitnya jika dia bersama isteri mudanya. Wah! Balik ke rumah isteri muda ada pula wangnya. Membayar hutangku, memberi seribu alasan pula.
Aku bangun pula, lalu memulakan operasi di komputer peribadiku. Idham telah berdengkur dengan kuat. Aku lalu mengirimkan e-mail kepada Syamil dan e-mail yang serupa kepada Norshakila. Meminta mereka segera menjelaskan hutangku. Aku harap mereka faham tanggungjawab sebagai orang yang berhutang.
Sebenarnya bukan banyak sangat pun. Emas itu jika di beli baru tidak sampai RM 4000 pun. Duit tunai yang dipinjam Syamil, tak sampai pun RM3000. Masalahnya, mereka tidak mahu membayar hutang. Sudahlah begitu, keegoan mereka terlalu tebal. Jika tidak mampu, berterus terang dan berunding denganku.
“Lidya, tadi tidur, kenapa main komputer pula ni?” Terdengar suara Idham yang parau berteriak dari arah ruang tamu.
“Main internet ke? Hah! Jangan tutup komputer tu dan tidur!” suara Idham bertambah kuat.
“Yalah bang! Dah siap ni! Nak tidurlah!” Aku menjawab perlahan.
Idham tidak bersuara lagi. Beberapa detik kemudian, terdengar kembali bunyi dengkur suamiku itu yang masih tergolek di hadapan televisen di ruang tamu.
Malam itu aku tidur dengan keresahan yang amat sangat. Rasa cemburu mula bertandang di hatiku. Di mataku bagaikan tertayang adegan-adegan mesra Syamil dan Norshakila. Hatiku bagai dirobek-robek.
“Hani... Abang Syamil kepunyaanku! Kau tidak akan dapat memilikinya. Sedarlah diri!” suara itu bagaikan bergema di telingaku. Terlalu menyakitkan hati.
“Aaa!!!” Tanpa dapat aku tahan, suara itu keluar dari kerongkongku. Tidak sanggup lagi aku melihat adegan asmara dan mendengar suara itu.
“Haaa!!!” Aku bangun dan duduk bersila di atas katil. Wajah Syamil dan Norshakila bertukar ganti di mataku. Mereka tersenyum mengejek dengan kepala yang bertanduk. Bercabang-cabang. “Tak guna!” Aku menjerit-jerit berulang kali.
“Lidya!! Mengapa ni? Mengigau, ya? Kan abang kata, sebelum tidur basuh kaki dulu!” Idham tiba-tiba muncul di bilik tidur sambil membawa bantal. Bantal-bantal itu diletakkannya di sisiku.
Aku menangis teresak-esak seperti kanak-kanak.
“Mengapa ni?” Idham cuba mengusap belakangku.
Aku menepis tangannya dan terjun dari katil terus menerpa ke arah telefon yang tergantung di dinding. Nombor telefon rumah Syamil aku dial dengan rakus.
“Lidya! Mengapa jadi begini? Nak telefon siapa ni? Dah pukul 1.00 pagi? Lidya!” Idham cuba merampas gagang telefon dari tanganku. Aku menepis tangannya.
“Jangan halang Lidya! Tolong! Lidya ada hal yang hendak diuruskan! Abang jangan campur.” Aku membeliakkan mata ke arah Idham. Suaraku berbisik keras. Sesungguhnya aku tidak pernah bersikap demikian. Idham ternyata tergamam dengan perlakuanku itu. Namun, aku tidak mempedulikannnya. Yang aku mahukan pada saat itu hanyalah Syamil.
Nada dial telefon ke rumah itu jelas di telingaku. Aku mendengar gagangnya diangkat, tetapi tiada suara yang menjawab. Aku menelefon ke telefon bimbit Syamil pula. Terdengar bunyi kenderaan dan suasana yang bising. Dia juga tidak mengatakan sepatah perkataan pun.
Aku mendail sekali lagi, sebaliknya telingaku mendengar pesanan yang menyakitkan hatiku. Nombor yang anda dial tidak dapat dihubungi. Bersemarak api kemarahan memenuhi urat saraf di otakku. Tanganku tiba-tiba berasa sejuk. Kakiku merasa kebas. Tubuhku mengeletar.
‘Jika dia tidak menjawab panggilanmu kali ini, kau pergi cari dan bunuhnya! Jantan tak guna!’ Suara itu berbisik pula di telingaku. ‘Dia tipu kau! Dia tipu kau! Mereka telah sakitkan hati kau!” Suara itu bergema di telinga dan meresap di fikiranku. Aku terus keresahan melayani perasaan aneh yang tiba-tiba datang menyelusuri pemikiranku. Akhir-akhir ini aku kerap diganggu oleh halusinasi itu.
“Lidya, mengapa ni? Sudahlah tu, jom kita tidur!” Idham masih cuba mengambil gagang telefon dari tanganku.
“Jangan ganggu!!! Pergi, jika abang nak tidur! Lidya nak telefon kawan Lidya! Lidya pantang kalau ditipu! Pantang! Lidya akan bunuh dia!” Aku terpekik-pekik kepada Idham. Tidak pernah aku berkelakuan seburuk itu terhadap Idham. Idham kelihatan tersentak kerana aku menjegilkan mata kepadanya.
Lagi sekali aku menghubungi rumah Syamil. Sekali gagang telefon di angkat, tetapi tiada suara yang aku dengar. Situasi ini benar-benar membuat aku hilang pertimbangan. Darahku seolah mengelegak sehingga ke kepala kerana perasaan marahku yang menyala-nyala.
“Helo! Mengapa tak jawab hah? Kalau dah angkat telefon, bersuara! Mengapa tak jawab? Takut? Nak lari, ya? Abang nak lari dari Hani! Nak lari? Lari dari hutang? Hutang bayar dulu!” Aku terpekik-pukau memarahi entah kepada siapa kerana tiada suara yang kudengar dari gagang telefon itu. Akhirnya telefon aku sentap dan kucampakkan di atas lantai dengan perasaan geram. Aku menghamburkan rasa marahku.
Kepalaku benar-benar rasa sakit selepas itu. Urat di pangkal leherku seakan mahu putus. Seluruh tubuhku mengeletar. Aku menghubungi telefon bimbit Syamil pula menggunakan telefon yang lain. Idham memang menyediakan banyak telefon di rumah. Aku benar-benar telah kehilangan akal pada waktu itu.
“Helo... Hani! Hani! Mengapa ni? Hani…” Syamil menjawab panggilanku dengan lembut. Lenyap segala rasa marahku apabila mendengar suara lelaki itu namun, aku tidak mampu berkata apa-apa lagi, sebaliknya menangis tersedu-sedan. Gagang telefon aku letakkan apabila melihat Idham cuba mengangkat gagang telefon yang disambungkannya di ruang tengah. Esakanku masih belum reda.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan