Tepat pukul 6.45 petang, kereta yang dipandu Sharina
memasuki pekarangan rumahnya. Nafas yang dihela agak cepat. Jantungnya berdetak
laju. Hari ini, dia memecut deras kerana telah kelewatan bertolak dari Taiping.
Loya dan rasa mual yang berterusan memaksa dia singgah di klinik.
Perasaan bersalah dan berdosa
seolah-olah telah memburunya. Seribu kesalan pula yang hadir di ruang hatinya
kerana keluar makan dengan kawan-kawan tadi.
Dalam keadaan tergesa-gesa
telefon bimbit pula tertinggal di pejabat. Telefon yang telah disimpan di dalam
laci meja tidak lagi aktif kerana dia tidak mahu emak mertuanya terus
menelefonnya berkali-kali.
Hancur luluh hatinya sebaik
sahaja membaca pesanan ringkas suaminya. Sharina rasa hendak menangis. Apatah
lagi apabila melihat panggilan yang telah dibuat oleh Kamal sebanyak 35 kali.
Hatinya semakin diamuk resah. Apabila dia menghubungi telefon bimbit suaminya
semula, Kamal pula tidak menjawab. Dia hanya mendengar pesanan suara. Di dalam
hatinya dia sudah dapat meneka. Suaminya pasti sedang merajuk.
Tempat parkir kereta Kamal yang
kosong semakin menyesakkan perasaannya. Dia menuju ke pintu, membuka kunci dan
masuk ke dalam rumah. Sharina terus menuju ke dapur mencari segelas air untuk
membasahkan tekaknya yang sedang dahaga.
“Ya ALLAH, apa yang aku dah buat
hari ni?” Lauk-pauk yang sama dimakan di restoran tadi terhidang di atas meja
tanpa berusik sedikit pun. Semuanya masih panas. Sharina tahu Kamal ada balik
ke rumah selepas waktu pejabat petang tadi, memanaskan lauk-pauk itu dan keluar
rumah semula.
Masak asam pedas, sayur lemak
keladi dan paru goreng. Semua makanan yang begitu diingini oleh tekaknya dua,
tiga hari ini. Terkecur pula air liurnya apabila teringatkan air lai chi kang
yang enak diminum sewaktu cuara panas. Semalam, dia ada memberitahu Kamal yang
dia teringin sangat minum air lai chi kang. Entah mengapa.
Sharina meraba perutnya dan
mengusap-usap perlahan. Bibirnya mengukir senyuman bahagia dan rasa tidak sabar
untuk menyampaikan berita yang diberitahu oleh doktor tadi. Harap-harap
suaminya sudah bersedia untuk menerima kehadiran buah cinta mereka!
Sharina menuju ke bilik untuk mandi dan
menyalin pakaian. Sekali lagi dia mengeluh. Kamal ada balik ke rumah dan keluar
semula kerana baju kemeja dan seluar yang dipakainya untuk ke pejabat pagi tadi
sudah ada di dalam bakul pakaian kotor. Sebelum ini, Kamal tidak pernah
bersikap begitu. Kamal akan menunggu kepulangannya dengan penuh kerinduan.
“Assalamualaikum, bang. Abang kat
mana ni? Baliklah! Rin rindu...”
Begitulah mesej pesanan suara
yang ditinggalkan pada telefon bimbit Kamal setelah berpuluh kali panggilan
yang dibuat tidak dijawab oleh suaminya itu. Sehingga masuk waktu isyak. Kamal
masih belum pulang. Hatinya digenggam risau.
“Ya
ALLAH, tolonglah hamba-MU ini. Bukakan pintu hati suamiku, lembutkanlah
hatinya, sejukkanlah jiwanya jika aku telah melakukan kesalahan kepadanya.
Sungguh, aku tidak ada upaya untuk membawanya balik ke rumah tanpa bantuan-MU
Ya ALLAH,” rintih Sharina lagi.
Telefon talian tetap meraung
sebaik sahaja Sharina selesai solatnya. Dia menerpa gagang telefon. Sharina
mengharapkan panggilan daripada suaminya agar keresahan yang sedang mencengkam
seluruh pelosok hatinya bisa terlerai. Namun apabila suara pemanggil menjengah
gegendang telinganya bukan suara suaminya. Serta-merta dia mengukir senyuman.
“Assalamualaikum, mak,” sapanya
dengan suara serak.
“Waalaikumussalam Rin,” jawab Mak
Leha dengan suara riang. “Kenapa Rin lama tak balik? Mak dah rindu,” beritahu Mak
Leha dengan suara perlahan.
“Dah hampir dua bulan emak tak
tengok wajah Rin,” beritahu Mak Leha dengan perasaan rindu. Sharina terdiam. Rasa bersalah
menyelusuri hatinya. Kesibukannya telah menyebabkan dia mengabaikan hati emak
yang telah melahirkannya. Dia rasa berdosa.
“Mak, Rin minta ampun, minta maaf
mak! Sekarang ni Rin sibuk sangat,” jelas Sharina lembut dan sebak.
“Rin baliklah pada hari Sabtu ni.
Kan hari Sabtu, Rin tak kerja,” pujuk Mak Leha.
“Bukan Rin tak mahu balik ke
kampung, mak! Tapi Abang Kamal tu kuat cemburu. Rin tak boleh buat keputusan
sendiri. Kena berunding dengan dia dulu, emak,” beritahu Sharina.
Dia tidak menduga Kamal sudah
balik ke rumah dan berada di belakangnya serta mendengar perbualan itu. Kamal
yang sengaja menunggu di belakang isterinya itu terus menyentap tangan Sharina
sebaik sahaja gagang telefon diletakkan. Sebuah penampar hinggap di pipi
Sharina.
“Abang!” Sharina terus menangis
kerana tidak menyangka Kamal menamparnya. Dia mengusap pipinya yang terasa
perit.
“Oh! Ini kerja Rin? Di belakang
abang, Rin mengumpat abang pada emak!” marah Kamal.
Sharina terpempan. Kalau Kamal
sedang berleter, dia memang tidak pernah menjawab walau sepatah pun. Apatah
lagi kalau Kamal sedang marah.
“Macam-macam perkara buruk yang
Rin lakukan di belakang abang!” tuduh Kamal lagi. Perasaan marahnya sejak
tengah hari tadi belum lagi dilampiaskan.
“Berapa kali abang nak beritahu
jangan mengumpat! Jangan mengumpat!” marah Kamal lagi sambil menjeling geram.
“Berapa kali abang dah pesan jangan layan lelaki lain! Jangan keluar dengan
mereka walaupun beramai-ramai. Abang tak suka!” tegas Kamal sambil merengus.
“Tak suka tahu tak?!” ulang Kamal
lagi.
“Kenapa dengan abang ni? Apa
salah Rin?” soal Sharina apabila Kamal menuduhnya bukan-bukan.
“Eh! Pergi siap kain baju Rin!”
arah Kamal sambil kakinya menendang punggung Sharina.
Sharina hilang imbangan badannya lalu jatuh
mengiring. Dia benar-benar terkejut dengan tindakan Kamal itu. Suaminya itu
tidak pernah bersikap seperti itu sebelum ini. Entah syaitan mana yang telah
merasuknya. Sharina terus kecut perut. Terlerai hasrat hatinya untuk
menyampaikan berita gembira kepada suaminya itu. Berita tentang kehamilannya.
Kandungannya yang sudah berusia tujuh minggu.
“Pergi siap cepat!” tengking Kamal sambil mengacu-acu tapak kakinya ke
muka Sharina yang baru hendak bangun.
“Kenapa dengan abang ni?
Tiba-tiba naik hantu?” soal Sharina
sambil bangun dan menjauhkan dirinya daripada Kamal.
“Pergi siap cepat!” tengking
Kamal lagi. Sekali lagi kakinya hinggap ke tubuh Sharina apabila Sharina masih
berdegil.
Sharina terus terguling dan
menangis ketakutan.
“Oh, abang lupa... Rin nak balik
ke rumah emak, kan? Tak payah bawa satu apa pun dari rumah ini! Jom!” Kamal
mengheret Sharina ke kereta walaupun Sharina enggan menurut. Heretan Kamal
semakin kuat.
“Ya ALLAH! Kenapa dengan abang
ni? Bang... istighfar bang,” nasihat Sharina dengan seribu sesalan. Dia syak
yang suaminya itu telah ternampak dia di restoran asam pedas tengah hari tadi, lalu suaminya merajuk dan enggan menjawab panggilan
telefonnya.
“Tolong, bang... Jangan
marah-marah macam ni,” rayu Sharina.
“Kalau Rin bersalah, Rin minta
maaf. Rin minta ampun, bang.” Tangisannya bermula kembali. Namun air matanya bagaikan
tidak ada harga pada suami yang tiba-tiba panas baran diratah cemburu.
Kamal tidak mengendahkannya.
Setelah menolak tubuh Sharina dengan kasar ke tempat duduk sebelah pemandu, dia
menghempaskan dirinya di tempat duduk pemandu dan merengus. Enjin kereta terus
dihidupkan.
Tanpa melengahkan masa lagi,
Kamal terus memandu laju untuk menghantar Sharina balik ke rumah orang tuanya.
Kadangkala kereta tersengguk-sengguk dan tersentak-sentak apabila Kamal menukar
gear dengan deras.
Sharina mendiamkan diri kerana
ketakutan. Kamal memandu dengan laju. Memotong kenderaan lain mengikut perasaan
marahnya.
“Abang... jangan! Jangan potong
lagi! Tak sempat! Treler kat depan tu!” jerit Sharina kuat sambil menutup muka
dengan kedua telapak tangannya. Dia takut untuk menghadapi kemungkinan yang
akan berlaku.
“Arghhh... diam!” tengking Kamal.
Dia terus menekan pedal minyak. Jangkaannya kali ini benar-benar
tersilap.Treler yang juga dipandu laju daripada arah bertentangan membunyikan
hon dan memberi isyarat lampu kepada Kamal berkali-kali.
“Jaga Rin!” jerit Kamal sambil
menggerakkan stereng ke kiri dan cuba melindungkan tubuh Sharina dengan
tubuhnya. Keretanya yang dipandu laju sudah hilang kawalan dan melanggar
kenderaan lain di hadapannya. Sharina yang ketakutan terus menjerit-jerit
menyebut nama ALLAH.
“Rin!
Allahuakhbar!” jerit Kamal sekali
lagi apabila keretanya berpusing dan bergolek ke bawah bukit

Tiada ulasan:
Catat Ulasan