Rabu, 6 November 2013

Redha TakdirMu(Bab 42)




MALAM semakin larut. Idham duduk tersandar di kerusi rotan bulat itu. Aku tersandar di sofa.   Jarak kami tidak jauh, lebih kurang sehasta saja.  Perasaanku, hatiku berasa amat kecut. Menanti saat sahaja kakitangan Idham menyinggahi tubuhku.
“Abang tak sangka Lidya jadi begini!” Idham bersuara perlahan. 
Aku membisu. Tak ada apa yang hendak diperkatakan.  Sebaliknya air mataku terus mengalir dengan deras. “Sudah berapa lama kamu kenal dengan jantan keparat tu?” Idham mula menengking. 
Aku tersentak kerana terkejut.
“Jawab!!! Sejak bila kamu curang?” Idham mengulangi soalannya dengan versi yang lain pula.
“Hampir enam tahun, bang”  Aku berterus terang.
Idham menepuk-nepuk dahinya berulang kali. “Ya ALLAH! Ya ALLAH! Mengapa nasib aku jadi begini?” Idham bercakap sendiri dengan nada sesal dan sedih. 
Aku mencebik bibir.  Jika dia melayaniku dengan baik, tentu perkara ini tidak terjadi.
“Kamu curang! Api neraka tempatnya!” Idham bertempik kepadaku.
“Bukannya curang! Lidya hanya berkawan! Tak pernah buat apa-apa yang buruk pun!” Bibirku bergetar sewaktu menjawab.  Aku menjawab di dalam tangisan.
“Eh! Lidya, kamu tu isteri orang! Isteri aku. Kamu mempunyai perhubungan dengan seorang lelaki lain, di luar pengetahuan aku, laki kamu...itu kamu kata bukan curang! Bodoh!” Tangan Idham hinggap di pehaku. Daging pehaku dikutilnya dan dipulasnya kuat-kuat.  
Aku mengetap bibir menahan kesakitan. “Abang tu, selalu buat tak peduli kepada Lidya! Hari-hari asyik marah Lidya! Salah ke Lidya menumpang kasih kepada lelaki lain!” Aku menjawab dengan berani, dengan suara yang serak kerana telah menangis terlalu lama.
“Bodoh!” Tapak tangan Idham hinggap pula di kepalaku. 
Aku bangun dari sofa dan melarikan diri dari Idham beberapa tapak. “Apa yang terjadi kepada Lidya, abang yang salah! Abang mengabaikan diri Lidya! Sudahlah Lidya tidak pernah menikmati apa yang sepatutnya yang dinikmati oleh seorang isteri, abang marah Lidya hari-hari. Silap sikit abang pukul. Tangan abang laju sangat. Kalau abang tak suka kepada Lidya, ceraikan Lidya! Beri Lidya peluang untuk menikmati kebahagiaan!” Aku terus menjawab bagai berteh digoreng sambil air mata terus mengalir tidak henti.
“Lidya! Abang beri amaran pada Lidya! Putuskan perhubungan dengan lelaki itu, atau abang pergi tamatkan riwayatnya!” Idham bangun dan menghampiriku serta mencengkam leherku kuat-kuat. Putuskan hubungan dengan Syamil? Oh tidak.
“Tak boleh! Mana boleh putus!” Aku masih memberanikan diri untuk menjawab.
“Mengapa? Kamu dah ditidurinya?” Idham menuduh sesuatu yang jahat. Tergamak dia menuduh aku begitu.
“Eh! Jangan nak menuduh sembarangan! Minta maaflah, abang ingat Lidya apa? Macam perempuan-perempuan yang lain tu? Mudah nak serahkan tubuh badan pada orang Sorry!” Aku menggoyangkan bahu sambil tersedu-sedan.
“Habis tu... mengapa kamu sayang sangat pada jantan tu?  Ehhh! Kenapalah kamu buat perangai begini Lidya! Buat perkara salah, akhirnya ALLAH akan tunjukkan juga! Aku dah lama syak, tapi aku tak pernah bertanya kepada kamu! Jangan kamu ingat aku tak tahu! Aku tahu! Nombor telefon di bil telefon bimbit itu, ke mana kamu hendak sembunyikan?”  Bicara Idham terhenti seketika. 
Aku mendiamkan diri.
“Kamu telefon jantan itu berkali-kali dalam sehari! Bil telefon sampai tujuh lapan helai menunjukkan nombor dia sahaja! Eh! Kamu tak malu ke Lidya!” Lagi sekali tangan Idham hinggap di pehaku.
“Memang Lidya telefon selalu... tapi Lidya nak tuntut hutang!” Aku menceritakan sejujurnya.
“Kamu beri dia pinjam duit? Berapa banyak?” Idham serkap jarang lagi. 
Aku mengangguk.
“Berapa ribu hah?” Idham menengking aku. Jelas dia terlalu terkejut dengan pengakuanku itu.
“Jawab! Jika tidak aku pergi cari jantan itu dan pecahkan kepalanya!” Idham mengugut lagi.  
Aku benar-benar rasa takut. “Duit dan barang kemas,” aku menjawab dengan suara yang terketar.
“Oh! Patutlah aku tengok barang kemas kamu tak ada! Kamu beri pinjam kepada orang! Lidya, kamu tahu tak, memberi pinjam kepada sesiapa pun tanpa pengetahuan abang, berdosa!  Semua harta benda di rumah ini hak abang! Berapa banyak?”  Idham menengking dan terus mengasakku dengan pertanyaan.
“Semua yang Lidya ada, kecuali yang dileher dan cincin perkahwinan kita!” Aku berterus terang.
“Siapa nama boyfriend kamu tu?” Idham kembali mengutarakan persoalan demi persoalan.
Aku kini seolah berada di dalam sebuah mahkamah. Idham yang menjadi pendakwaranya. “Syamil!” Aku tidak menyembunyikan apa-apa lagi. 
“Apa kerjanya hah?” Idham terus menengking di malam buta itu.
Businessman...” Aku menjawab jujur tanpa berselindung.
Businessman kepala hotak kamu! Kalau businessman, takkan meminjam duit dan barang kemas kamu!” Idham mengendurkan suara.
“Bila kamu beri dia pinjam? Bila dia janji nak bayar?”  Idham terus menyoal.
“Dah lama... empat tahun lebih. Kali pertama, dia janji tiga hari. Kali kedua, dia janji dua minggu. Kali ketiga, dia janji dua bulan. Masa itu, Lidya pinjamkan semua barang kemas tu!”  Aku teresak dan rasa tertekan.
“Dia tak ada saudara mara ke? Tak ada isteri?” Idham bersuara lagi dengan nada kuat dan bercampur marah. “Ada isteri ke tak ada?” Tiba-tiba dia bertempik.
Aku terlompat kerana terlalu terkejut. “Ada, du... dua orang!”  Aku tergagap dan terketar.
“Bahlul! Mengapa kamu boleh jadi bodoh begini Lidya? Hey! Nanti kalau aku dah mampus, kalau kamu nak cari jantan nak buat laki kamu jangan nak cari yang macam ini... penyangak! Penipu!” Lagi sekali Idham mencubit pehaku bertalu-talu dengan perasaan yang amat geram dan marah.
“Anak?” Idham menjegilkan matanya kepadaku.
“Enam. Lima dari isteri pertama, seorang dari isteri ke dua.” Aku terketar. Bagaimanapun aku terus menjawab tanpa melindungi apa-apa?
“Lelaki berapa?”
“Tiga orang, Ariff, Azim dan Amri...” Aku menjawab bagaikan sebuah robot yang telah diprogramkan mindanya.
“Perempuan?”
“Dua dari isteri pertama, Siti Farhana dan Siti Farhani..satu dari isteri ke dua, Nur Amira.”
“Dia business apa? Ke  penipu?” Idham menyoal lagi.
“Dia ada siber kafé dan terlibat dalam bidang IT.”
“Macam mana kamu tahu dia ada siber kafé?” Idham terus mengorek rahsia perhubunganku dengan Syamil. 
Aku benar-benar rasa takut dan tertekan. Urat-urat di kepalaku terasa tegang. “Tak dia tak tipu. Abang Syamil pernah bawa Lidya ke pusat sibernya!” Aku menjawab dengan nada perlahan.    
“Bila? Bila kamu pergi ke kedainya?” Idham menjegilkan matanya kepadaku.
“Dulu! Waktu, Lidya beritahu abang Lidya ronda-ronda dengan bas ekspress ke Butterworth.”  Aku menjawab tertakut-takut.
“Oh! Kamu tipu abang? Kamu kata kamu jalan-jalan cari ketenangan! Tak guna! Jahat! Kenapa kamu jadi begini Lidya? Aku tatang kamu macam minyak yang penuh!!!” Idham bertempik lagi dengan nada sesal. 
Aku terkedu. Tak ada apa jawapan yang harus aku titipkan untuk mempertahankan diri kerana aku memahami perbuatanku salah.
“Kamu penipu! Dia penipu! Kamu telah kena tipu! Kalau dia tak tipu, dia dah bayar hutang kamu balik! Ini sampai sekarang ni, dia tak bayar, kamu jadi sasau begini? Kamu dah salah tempat menabur budi tahu tak? Mulai hari ini kamu mesti lupakan dia!” Idham menuding jari telunjuknya kepadaku. Dia bergerak setengah tapak apabila jari telunjuknya tidak sampai ke dahiku. Sebaik sahaja telunjuknya menyinggahi dahiku, dia terus menonyoh-nonyoh jarinya di situ dengan perasaan marah. 
Aku hanya membatu.
“Abang tak sangka Lidya jadi begini! Abang sangka Lidya seorang isteri yang sangat setia, taat kepada abang, mencintai abang seorang. Lidya layan abang dengan baik, suapkan abang makanan bila abang terlantar sakit, temankan abang di hospital,  sanggup tidur di bawah katil kerana nak jaga abang.Abang sangka Lidya lakukan semua itu kerana sayangkan abang. Rupanya ada jantan lain di hati Lidya. Ya ALLAH! Mengapa nasibku jadi begini?” Idham tiba-tiba merintih dan menangis. 
Aku berasa sebak mendengar rintihannya. “Abang yang salah! Selalu nak marah Lidya! Jika Lidya ada masalah nak cerita pada abang, abang tak pernah nak layan dengan baik! Semuanya abang kata mengarut! Abang tak pernah nak tackle hati Lidya! Sekarang ni dah terlambat!” Aku bersuara dengan perlahan dan tertahan-tahan. Perasaanku tambah tertekan.
“Bodoh! Jangan menyalahkan aku! Jangan melawan!  Kalau dah buat salah cepat minta maaf! Ini kamu degil! Keras kepala!” Tangan Idham mencengkam kepalaku.
“Sakitlah! Macam ini ke abang balas budi Lidya?” Aku menepis tangan Idham.
“Kamu jangan telefon dia lagi!” Idham menuding jari telunjuknya berkali-kali.
“Lidya nak kutip hutang!” Aku bersuara keras dan melawan.
 Kamu dah ceritakan kepada isterinya? Kalau tidak, beri sini alamat dan nombor telefon si isteri Syamil tu... kedua-duanya sekali, biar abang yang telefon!” Permintaan Idham benar-benar menakutkan aku.
“Lidya dah telefon, kedua-keduanya sekali! E-mail pun dah hantar banyak kali tetapi mereka buat don’t know! Itu yang buat jadi sedih!!!” Aku terus meraung-raung dan merepek yang bukan-bukan. Aku benar-benar rasa tertekan. Fikiranku tambah serabut apabila rahsiaku terbongkar dan diketahui oleh Idham. Dalam pada itu aku berasa lucu mengapakah aku terlalu menyintai Syamil sedangkan dia telah banyak melukakan hatiku?
Kesedihan dan kelucuanku bercampur aduk di dalam perasaan dan fikiranku. Aku tidak dapat mengawal segalanya lalu aku ketawa terbahak-bahak. Bila rasa sedih memuncak, aku meraung-raung seperti anak kecil. TUHAN, apakah yang telah terjadi kepada diriku ini?  Tubuhku rasa seram sejuk dan kebas-kebas berselang seli.
Lagi sekali, pernafasanku seolah dilalui oleh udara yang beracun. Aku ingin mati. Idham terus mendesakku sepaya memutuskan perhubungan dengan Syamil, sedangkan aku terlalu menyintainya. Dia sebahagian dari jiwaku.
“ALLAH... ambillah nyawaku... ambillah!!!” Dalam tangis dan ketawa, aku terus merepek sambil berbaring di atas sofa.  Tubuhku bagaikan di awangan. “Lidya tak boleh hidup tanpa Abang Syamil... tak boleh!” Dengan mata yang separuh terpejam aku terus meracau-racau. Wajahku telah basah dengan air mata.
“Abang ceraikan Lidya! Biar Lidya hidup bersama-samanya. Abang Syamil telah berjanji untuk berkahwin dengan Lidya tapi dia kahwin dengan Norshakila lepas itu. Bila dia susah, dia selalu cari Lidya... pinjam duit tapi bila Lidya susah, Lidya minta bayar hutang, dia asyik tipu...” Dengan mata yang terpejam, aku terus merepek sambil menangis tersedu-sedu. “Mereka tipu dan lukakan hati Lidya! Mengapa buat Lidya begini!” Aku terus merepek dengan mata yang separuh pejam.
“Lidya, mengucap. Subhan-ALLAH! Lailahaillallah.”  Idham meniup ubun-ubunku. Segalanya aku tidak peduli, yang aku inginkan ialah kematian. Mungkin dengan kematian akan menamatkan penderitaan yang aku alami di dunia ini. “Kalau Lidya terus merepek begini, sekarang ni juga abang pergi cari jantan tu dan pecahkan kepala dia!” suara Idham semakin jauh dari telingaku. Aku memejamkan mata rapat-rapat dan berharap ia akan begitu buat selamanya.



                                                               ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: