Bayu malam berpuput lembut dan mendinginkan suasana malam
yang semakin menyepi di sekitar surau. Namun kesepian itu tergugat apabila
suara jemaah surau mula bersatu mengalunkan ayat-ayat suci.
“Yasin....”
Bergema suara yang memulakan
bacaan surah Yasin pada malam itu. Hujan renyai mulai menitis membasahi bumbung
surau. Bacaan Yasin berkumandang memecah keheningan malam.
Mak Leha turut bersama
jiran-jirannya yang lain mengimarahkan majlis ilmu itu. Selepas menghubungi
anak kesayangannya sebaik selesai solat isyak tadi, dia terus menuju ke surau.
Hisham pada waktu itu masih belum sampai ke rumah. Kata Hisham, malam itu
mungkin dia balik lewat kerana ada tugas di luar daerah.
Selesai sahaja membaca surah yang
mengandungi 83 ayat itu, ada seorang jemaah lelaki menunjukkan isyarat tangan
kepada Mak Leha
meminta dia turun ke bawah surau.
“Ada apa hal?” tanya Mak
Leha sambil mengangkat wajahnya dan
merenung jirannya itu.
“Hisham! Sham anak Cik Leha
datang menurut Cik Leha,” beritahu jirannya dengan suara kuat untuk mengatasi
bunyi bising yang mula kedengaran di dalam surau.
Mak Leha pun
segera turun ke bawah. Hisham sudah menunggunya di kaki tangga surau. Hisham
yang masih dalam pakaian kerjanya seperti pagi tadi. Baju kemeja lengan panjang
berwarna kuning air dan berseluar hitam.
“Ada apa, Sham? Sham tak bawa
kunci rumah ke, nak?” tanya Mak Leha lembut sambil menghulurkan tangannya kepada anak
bujangnya itu. Hisham menyambut tangan itu dan mencium tangan emaknya
lama-lama. Mak Leha terkejut dengan perlakuan anaknya itu. Hatinya mula
diasak keresahan.
“Kenapa ni, Sham?” soal Mak
Leha apabila Hisham melepaskan
tangannya semula dan berdiri tegak kembali.
“Mak, jom kita balik,” kata
Hisham dengan suara bergetar. Dia menatap wajah emaknya dengan perasaan serba
salah.
“Majlis belum selesai lagi,”
jawab Mak Leha. Dia
kebingungan dengan telatah anaknya pada malam itu.
“Nanti emak ambil kunci rumah!
Sham balik dulu! Makanan untuk malam ini semua mak dah hidangkan atas meja
makan. Nanti Sham makan ya?” kata Mak Leha dengan suara lembut.
“Mak, pergi ambil beg mak! Kita
kena balik sekarang juga! Kita kena pergi hospital,” beritahu Hisham dengan
perasaan sebak dan pilu. Sukar untuknya berterus terang dengan emak. Dia
bimbang emaknya tidak sanggup menerima kenyataan yang amat pahit itu.
“Pergi hospital?” soal Mak
Leha dengan perasaan yang semakin
keliru. Matanya bulat merenung Hisham. Siapa yang sakit? Dia mula kebingungan.
“Nak tengok siapa kat hospital?
Siapa yang sakit?” Wajah Hisham terus ditatapi.
“Mak... mak sabar ya! Ingat ALLAH
banyak-banyak! Setiap perkara yang terjadi sudah ditetapkan oleh-NYA,” beritahu
Hisham dengan suara pilu. Mendengar kata-kata Hisham itu, perasaan Mak
Leha sebak mendadak. Bibirnya pula
yang terketar-ketar.
“Sham... apa yang telah berlaku
nak?” tanya Mak Leha hampir menangis. Dia tidak mampu untuk meneka apa-apa.
Jika Hisham ingin membawa perkabaran tentang Sharina, dia baru sahaja bercakap dengan anak
kesayangannya itu kira-kira dua jam yang
lalu. Sharina sihat walafiat.
“Mak... kereta yang dipandu Kamal
accident dengan treler,” beritahu Hisham terus memeluk emaknya sambil
menangis. Hatinya bimbang bukan kepalang. Tidak sanggup dia merasai kehilangan
walau siapa pun di antara mereka. Baik Sharina atau pun Kamal.
Bagaikan disambar petir hati Mak
Leha mendengar perkhabaran itu.
Hancur dan luluh serta bersepai. Dadanya berombak kencang.
“Apa? Ka... Ka... Kamal accident?”
Lidah Mak Leha
terketar-ketar.
“Rr... Rin?” tanya Mak
Leha dengan suara kuat. Pada saat itu
rohnya seolah-olah sedang meronta-ronta ingin keluar dari jasadnya. Tasik air
mata Mak Leha mula rebak.
“Rin ada sekali, mak,” jawab
Hisham. Itulah berita yang diperoleh dari polis yang menghubungi telefon
bimbitnya kira-kira 20 minit yang lalu. Sewaktu itu, dia baru sampai ke
pekarangan rumahnya.
“Anak aku!” raung Mak
Leha tiba-tiba sambil melangut ke
langit yang menghitam. Nafasnya tiba-tiba terasa sesak.
“Kita doakan saja, mak,” jawab
Hisham sambil mengambil sapu tangan dari kocek seluarnya untuk mengesat matanya
dan sebelah tangannya terus memeluk tubuh emaknya.
“Rin anak akuu!” raung Mak
Leha meleret-leret. Langit yang hitam
telah menyelubungi sekepal hatinya. Tubuhnya tiba-tiba menjadi lemah-longlai.
Hujan renyai semakin lebat sewaktu Pajero Hisham bergerak meninggalkan kawasan
surau.
~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan