Khamis, 7 November 2013

Redha Takdirmu (Bab 43)



HARI-hari yang aku lalui selepas sahaja perhubung-an cintaku terbongkar oleh Idham adalah hari-hari yang meresahkan. Perhubunganku dengan Syamil juga menjadi semakin genting. Kekerapanku mendesaknya untuk segera menjelaskan hutang mungkin juga telah membuatkan Syamil marah, geram dan membenci diri ini. 
Aku semakin keliru dengan hati dan perasaanku. Rasa cinta dan sayangku terhadap Syamil, memang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa juga. Aku juga tahu, Syamil juga menyayangi diri ini tetapi dia juga tersepit dengan situasinya sendiri. Aku isteri orang. Dia sudah memiliki dua orang isteri. Kami sememangnya ingin dan mempunyai impian untuk menyatukan cinta itu.
Aku percaya kepada impian hati Syamil. Namun, dapatkah impian itu tercapai jika Idham enggan melepaskan aku.  Walau seorang lelaki boleh memiliki empat orang isteri, namun seorang wanita hanya boleh memiliki seorang suami,
Dan kini, Idham ingin percintaan itu segera diputuskan.  Aku harus akur kerana aku isterinya. Idham adalah amanah ALLAH kepada diriku. Aku juga tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepada Syamil sekiranya aku enggan menuruti kehendak Idham. Aku juga tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepada Idham kerana enggan menurut kehendaknya sebagai seorang suami. Idham yang sedang menghadapi masalah kesihatan. Penyakit empat serangkai itu. Diabetes, tekanan darah tinggi, jantung dan buah pinggang. 
Aku tidak mahu diriku dipersalahkan jika terjadi sesuatu yang buruk terhadap lelaki itu. Keluarganya yang besar.  Anak-anaknya. Walaupun Idham sudah menganggap dia tidak mempunyai anak lagi kerana berkecil hati dengan mereka. Aduh! Bingungnya aku memikirkan segala yang sedang melanda diriku.
“Hisy... Ke mana perginya Abang Syamil ni? Tak mahu angkat telefon! Janji nak bank in duit tiap-tiap minggu, baru seminggu bank inkan, dah mula buat perangai!” Aku merengus-rengus sambil menyimpan telefon bimbit di dalam beg tanganku.
Hari itu berlalu dengan hatiku dipenuhi oleh rasa kecewa kerana tidak dapat bercakap dengan Syamil. Aku menghubunginya berkali-kali, namun tidak ada jawapan.  Rasa marah mula berakar di jiwaku.
Sekembalinya aku dari pejabat, Idham terus menyoalku sebaik sahaja dilihatnya aku kelihatan muram.
“Lidya telefon  si penyangak itu ke?” Aku mengangguk kerana telah memahami gelaran ‘penyangak’ itu ditujukan kepada siapa.
“Hah! Jangan! Jangan nak telefon dia selalu! Abang tak suka Lidya selalu telefon dan tanya hal hutang kepadanya! Dia lelaki! Abang pun lelaki! Abang tahu sangat perangai lelaki ni, semakin didesak semakin melarikan diri. Lama-lama satu sen pun dia tak kembalikan!” Idham cuba menasihati. Aku membisu tidak menjawab apa-apa. Bolehkah aku memberitahu kepada Idham bahawa sebenarnya aku sedang merindui Syamil.  Menuntut hutang itu hanya alasanku sahaja.

MALAMNYA aku cuba menghubungi Syamil sekali lagi.  Gagal mendengar suara aku mengirimkan SMS. 

Abang, Hani ada perkara nak bincang dengan abang. Hani on line.  Kita chat ya! Lima minit saja.

Sambil mengarang aku terus menunggu jawapan SMS dari Syamil dengan sabar.  Jam sudah menunjukkan 11.15 malam. 

Abang malas nak on line! Abang di rumah ni! Abang nak tengok bola! Sorry...

Begitulah jawapan daripada Syamil. Sedikit pun tidak memikirkan perasaanku yang terguris. Dulu sewaktu aku ada sedikit sebanyak wang ringgit dan menjadi tempatnya mengadu hal, berchatting denganku menjadi satu kemestian kepadanya pada setiap malam.

Wah! Abang sudah berubah ya! Maklumlah, Hani sekarang sedang dilanda masalah! Dah papa kedana! Dulu  setiap malam nak chatting dengan Hani! Abang pentingkan bola ke, Hani?

Sengaja aku membariskan ayat itu kepada Syamil.  Sebenarnya aku faham dengan minat Syamil. Menonton perlawanan bola sepak di televisyen. Tambahan pada malam itu perlawanan siaran langsung peringkat akhir antara negeri Kedah dan Pahang untuk merebut piala Liga Malaysia. Syamil penyokong kuat negeri Kedah. Mesej pesanan ringkas itu hanya ingin mengujinya. Sudah semestinya, Syamil tidak akan mengaktifkan telefon bimbitnya selepas menerima SMS dariku itu. Berkali-kali aku menghubunginya, namun gagal.  Aku meneruskan kerja-kerjaku di komputer peribadi.
11.50 malam terdengar isyarat mesej dari telefon bimbitku.

Abang dah on line. 

Aku pun terus menjengah ke laman Yahoo Mesengger tempat kami selalu bertemu kebelakangan ini. Aku terasa sebak sebaik sahaja melihat nickname Syamil. Tentunya dia sedang menunggu kehadiranku di laman itu.
Perbualanku dengan Syamil pada malam itu tamat pada pukul 2.30 pagi. Sungguh aku tidak tahu apakah perasaanku sewaktu berchatting dengannya. ‘Shakila isteri abang yang sah.’ Kata-kata itu cukup mengguris hatiku. Aku, seolah melukut di tepi gantang di hati Syamil.  Tetapi dulu, bukankah dia yang hadir di dalam hati ini. Meminta untuk dicintai dan dikasihi? Inikah balasan apabila seluruh cinta dan kasih sayang serta kerinduan aku lambakkan di jiwanya? Aku tidak dapat menahan tangisanku di malam itu. 
Tahukah Syamil bahawa tidak lama lagi aku akan pergi jauh darinya. Demi rasa kemanusiaanku terhadap Idham, Ina dan Nor Shakila aku terpaksa melupakan perasaanku. Permintaaan cintaku yang inginkan Syamil pada setiap saat. Berpisah dengan penuh rasa cinta mungkin amat menyakitkan. Biarlah kesakitan itu aku sendiri yang menanggungnya. Berpisah kerana kebencian, itu amat melegakan. Mungkin itulah hadiah untukku berikan kepada Syamil. Membenciku dan berpisah. Tidak ada kenangan indah yang akan diingatinya.  Biarlah dia menumpukan perhatian dan mencurahkan segala kasih sayangnya kepada isteri-isteri dan anak-anaknya. Aku  tetap begini. 
Di hening malam ini, biarkan angin mengirimkan rindu kepadamu. Dengarkanlah bicara hatiku di dalam dirimu, saksikanlah senyuman di dalam jiwamu, rasailah tangisan di dalam kalbu. Renunglah ke dalam dirimu, akan bertemu dengan diriku mengalir bersama aliran darahmu. Tiada duka yang menanti, tiada kecewa yang menunggu, jika kesucian hatimu terpintal bersama keikhlasan hatiku. Begitu keluhan hatiku, melayani kemelut rindu yang semakin rakus.
Selesai menamatkan operasi komputer peribadiku aku merebahkan diri di sisi Idham yang sedang berdengkur. “ Hmm... dah habis mengarang?” soalnya perlahan. Dia terjaga sebaik saja kepalaku mengenai lengannya.
“Dah! Tapi ceritanya belum selesai lagi!” Tangan Idham mengusap-ngusap pipiku. Usapan tangannya terhenti di pelupuk mataku yang basah dengan air mata. “Menangis kenapa?” suara Idham agak kuat. 
“Sedih dengan karangan Lidya tadi!” Suaraku semakin perlahan kerana menahan tangisan. Aku membohongi Idham. 
“Hisy! Sendiri yang karang, buat cerita sedih! Sendiri pula yang menangis! Dah, tidur! Dah pukul berapa ni?” Idham menarik tubuhku rapat kepadanya.  Aku diam.
“Tidur dan jangan ingat apa-apa atau sesiapa!” Idham kadangkala firasatnya amat peka. 

Aku memejamkan mata sambil mengenangi tulisan-tulisan di dada komputer sewaktu berchatting dengan Syamil tadi. Entah sampai bila percintaan kami. Di hadapanku, kerikil semakin tajam, jurang juga semakin dalam. Aku sanggup melalui segalanya kerana cintaku kepada Syamil benar-benar teguh, tetapi sanggupkah lelaki itu?  


                                                                              ~ ~ BERSAMBUNG~ ~

Tiada ulasan: