AKU berhati-hati memandu
kerana hujan lebat untuk pulang ke rumah. Jam di lengan sudah menunjukkan pukul
5.15 petang. Hatiku berbelah bahagi samada akan singgah di bank atau pun tidak.
Aku ingin menyemak status akaunku. Semalam kawan Idham ada menghubungi Idham
berhubung dengan permohonanku untuk mengeluarkan semua caruman KWSP. Menurut
kawan Idham, permohonan itu telah diluluskan dan wangnya akan dimasukkan ke
dalam akaunku pada minggu itu.
Jika benar, insya-ALLAH
selepas ini aku tidak akan mengalami masalah kewangan lagi. Jumlah wang yang
akan aku perolehi hampir RM50 000. Aku bekerja di syarikat swasta hampir 15
tahun sebelum menjadi penjawat awam. Jadi apabila statusku sebagai penjawat
awam telah disahkan untuk dimasukkan ke skim pencen, aku bolehlah mengeluarkan
semua caruman sewaktu bekerja swasta dulu.
Sampai di bandar hujan yang
turun masih belum berhenti. Aku
membatalkan niatku, lagipun aku telah tertinggal payung di rumah pagi tadi.
Bimbang simbahan air hujan akan mengganggu kesihatanku, aku meneruskan
pemanduan untuk pulang ke rumah.
“Abang! Lidya tak singgah
bank. Hujan lebat.” Aku memaklumkan kepada Idham sebaik sahaja masuk ke
rumah.
Idham seperti biasa menunggu
aku di muka pintu. “Tak apa! Tak payah rushing Duit dalam akaun abang
ada lagi kan?” ujar Idham sambil
mengekoriku ke dapur.
“Adalah dalam lima enam ratus
lagi bang! Duit Lidya dalam akaun Tabung Haji pun ada bang! Insya-ALLAH, duit
kita belum putus lagi bang! Syukurlah... kita cuma perlu berjimat cermat bang!
Tak boleh boros macam dulu-dulu.” Aku bersuara
perlahan.
“Ada si Syamil tu telefon?”
Idham menyoal sambil menghulurkan tuala kepadaku.
“Tak ada!” Aku menjawab
tenang. Sememangnya kebelakangan ini Syamil tidak menghubungiku. Mungkin takut
aku menuntut hutang.
“Lidya ada call
dia?” Idham bertanya lagi. Matanya
memandang ke arahku yang sedang menyalin pakaian.
Aku mengeleng. “Kalau call
pun bukannya dia nak jawab.” Aku
bersuara perlahan dan dengan nada kecewa dan geram. “Balik rumah bini muda
agaknya.” Aku menyambung bicara lagi sambil berjalan menuju ke dapur. Aku
menuang air ke dalam gelas dan terus minum.
“Di mana?” Idham terus
mengorek rahsia.
“Kota Bharu!” Aku menjawab sepatah.
“Kerja ke? Atau surirumah tangga.” Idham bagaikan seorang inspektor
polis pula. Bertanya itu dan ini.
“Kerja. Dengarnya ada jawatan
yang bagus juga di sebuah firma.” Aku
menjawab jujur sambil menghenyakkan pinggulku di sofa. Aku ingin berehat lima
atau sepuluh minit sebelum mandi.
“Kalau begitu, mengapa
biarkan suami berhutang dengan isteri orang? Tak ada rasa malu ke? Meminjam tu satu hal, menipu untuk
membayar tu satu hal! Manusia jenis apa mereka ni? Ini soal maruah!” Idham
bersuara kendur sambil menarik kerusi rotan bulat dan duduk di hadapanku.
“Biarlah dulu, bang! Lidya
dah berbincang dengan Syamil. Dia kata akan bayar ansur RM100 seminggu dan akan
selesaikan sebelum bulan Disember tahun ini.” Aku memberitahu Idham. Idham tidak menjawab. Dan syukur aku tidak
dimarahinya.
KEESOKAN
paginya, aku menyemak status akaun bank.
Syukurlah, Syamil telah menunaikan janjinya. Untuk pertama kalinya aku
tidak perlu mendesaknya berulang kali. Aku bersyukur dengan perubahan sikap
Syamil. Petang itu aku menghubungi Syamil dari rumah.
“Helo, bang? Terima kasih.
Sebab dah bayar hutang abang seperti yang dijanjikan.” Aku bersuara perlahan.
“Hmm...” Begitu jawapan Syamil.
Acuh tak acuh. Aku faham dengan perasaannya. Mungkin dia berasa marah kerana di
desak membayar hutang.
“Beginilah, bang. Kalau abang
berterusan membayar begini, tak berhenti. Tiap-tiap minggu masukkan ke akaun
Hani! Abang bayarlah 75 peratus daripada hutang abang itu. Tak apa... Hani tak
kisah! Tapi abang jangan mungkir janji dan main-mainkan Hani! Lepas tu baru
abang usahakan untuk cari balik barang kemas Hani tu!” Berterus terang dan dengan hati yang ikhlas
aku menyuarakan kata-kata itu kepada Syamil.
“Hmm... yalah!” Langsung
tidak menyatakan terima kasih di atas tawaran yang kuberikan, Syamil masih
bersikap acuh tak acuh.
~ ~ BERSAMBUNG ~ ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan