Ahad, 10 November 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 34)


Tuhan yang telah menciptakan aku, maka Diayang menunjuki aku dan Dia yang memberi makan dan minum kepadaku dan apabila aku sakit, Dia yang menyembuhkan dan yang mematikan aku dan menghidupkan aku.
Dalam separa sedar, minda Kamal masih mengingati ayat-ayat al-Quran yang kerap dibacanya. Telinganya dapat menangkap bunyi dengungan yang pendek-pendek dari sebelah kiri dan kanannya walau suasana sekitarnya hening dan sepi daripada suara manusia.
Bibirnya ingin mengucapkan sesuatu, namun dia tiada upaya. Tubuhnya terasa sakit dan memberat. Kedua lengannya bagaikan terikat. Begitu juga dengan kedua-dua kakinya. Ada sesuatu yang melekat di atas permukaan hidungnya yang menyebabkan dia berasa tidak selesa.
“Assalamualaikum, bang! Abang kat mana ni? Baliklah...Rin rindu.”
Telinganya bagaikan mendengar bisikan manja suara itu. Mesej suara yang ditinggalkan oleh isteri kesayangan di dalam telefon bimbitnya. Mendengar suara itu, hati yang sedang merajuk segera terpujuk.
‘Rindu? Abang jugak rindu. Rin..’ Suara hatinya berbisik-bisik sedangkan matanya masih lagi terpejam. Terlalu lama rasanya dia tidak bertemu dengan isterinya itu. Terlalu lama rasanya dia tidak merasai pelukan hangat dan ciuman manjanya. Terlalu lama rasanya dia tidak mengucup dan membelai rambut serta tubuh isterinya yang lembut dan harum.
Entah bagaimana tiba-tiba perasaannya terbakar apabila mendengar perbualan isterinya di telefon yang seolah-olah memburuk-burukkannya lalu darah menyirap serta-merta. Kamal mencungap tak semena-mena.
Telinganya seakan mendengar pula bunyi hon treler yang bertempik. Silauan lampu treler yang menyinggahi retina matanya. Segala-galanya jelas dalam bayangan. Dia bagai ternampak tubuh isterinya yang terkulai sedang diangkat oleh orang-orang yang tidak dikenalinya. Namun, dia tidak mampu berbuat apa-apa pada waktu itu.
Kamal mula menggerak-gerakkan tubuhnya. Mula-mula perlahan setelah itu semakin kuat. Kamal mengerang kuat apabila dirasakan bibirnya seolah-olah melekat. Agak lama dia berusaha untuk membuka mulutnya. Bibirnya terasa kering dan pedih.
“Rin... Rinn...” bisiknya dengan suara yang tersekat di kerongkong. Dia cuba membangunkan tubuhnya dari atas tilam, tetapi tidak berdaya. Batinnya tidak rela melihat isterinya di dalam kesakitan. Namun, dia tidak mampu untuk bangun. Seluruh belakangnya terasa amat sakit. Sekujur tubuhnya terasa berat bagaikan batu.
“Encik Kamal! Encik Kamal!” Pipinya ditepuk beberapa kali.
Kamal berusaha membuka matanya perlahan-lahan, namun matanya bagai digam.
“Alhamdulillah! Patient dah sedar.” Terdengar kata-kata itu di telinganya. Katilnya mungkin didatangi oleh beberapa orang lagi kerana suara-suara yang kedengaran semakin berbeza.
“Encik Kamal, buka mata! Buka mata.” Pipinya terus ditepuk lembut berulang kali.
“Lailahaillallah,” bisiknya halus sambil mencelikkan matanya perlahan-lahan dan memejamnya semula kerana tidak tertahan dengan silauan cahaya yang terang-benderang. Sepasang tangan yang lembut menutup matanya dengan telapak tangan buat beberapa ketika untuk membiasakan mata Kamal dengan silauan cahaya. Tangan itu juga membuka alatan yang sedang memekup di hidungnya.
“Aduh! Kenapa dengan saya?” soal Kamal. Matanya mula meliar ke sana dan ke sini. Segalanya nampak asing. Seorang jururawat berdiri rapat di sisi katilnya.
“Encik kemalangan! Dah lima hari encik tak sedar,” beritahu jururawat dengan lembut.
“Kemalangan? Oh...” keluh Kamal lalu dia memejamkan matanya semula. Dia cuba mengingatkan kembali detik-detik itu. Tiba-tiba Kamal menangis teresak-esak.
‘Rinn...’ panggil suara hatinya yang semakin tidak berdaya. ‘Di mana Rin?’ raungnya. Kalau Sharina masih ada, pasti isterinya itu ada di situ. Fikirnya sendiri. Kalbu Kamal terus meruntun. Nafasnya seolah-olah terhenti. Dia takut memikirkan kemungkinan yang telah berlaku.
“Mana isteri saya?” tanya Kamal. Dia bernafas mencungap. Tanpa Sharina di sisi seolah-olah separuh jiwanya telah mati.
“Mana isteri saya?” tangis Kamal seperti kanak-kanak. Bibirnya bergetar. Hatinya meronta-ronta inginkan jawapan dan sepotong harapan.
“Isteri encik Kamal?” tanya jururawat kembali. Setelah itu Kamal mendengar jururawat bertanya sesama mereka. Akhirnya pertanyaan itu terbiar tanpa jawapan. Masing-masing meneruskan tugas sendiri.
‘Ya ALLAH! Ampunkanlah dosaku, Ya ALLAH. Aku boleh menerima segala takdir yang telah ENGKAU tetapkan kepadaku,’ tangis Kamal. Namun bolehkah dia menghadapi takdir yang memisahkan dia dengan isterinya?
“Encik Kamal!”
Kamal mencelikkan matanya sekali lagi. Seorang doktor lelaki muda berbangsa Sikh berada di sisinya.
“Encik Kamal tahu tak apa yang telah berlaku? Atau masih samar-samar?” tanya doktor itu.
Kamal menganggukkan kepalanya perlahan. Doktor menayang-nayang filem X-ray beberapa kali.
“Encik Kamal telah terlibat dalam satu kemalangan. Akibatnya, kaki sebelah kiri Encik Kamal patah teruk. Tapi, kami telah lakukan pembedahan,” beritahu doktor lagi.
Kamal terdiam. Bibirnya terkunci, tetapi batinnya meraung.
“Encik Kamal juga mengalami masalah pada tulang tunjang membawa ke pinggang...”
Suara doktor semakin perlahan di pendengaran Kamal. Doktor merenungnya dengan wajah sedih dan penuh simpati. Kamal rasa ingin meraung sekuat kuat.
“Encik Kamal sudah ada anak?” soal doktor lembut.
Sekali lagi Kamal menggeleng. Nafasnya bagaikan terhenti. Dia dapat meneka kata-kata yang akan diungkapkan oleh doktor seterusnya.
“Encik Kamal...” sambung doktor lagi lalu satu demi satu perkataan diungkapkannya.
Batin Kamal semakin meronta. Kehidupannya selepas ini seperti terowong yang gelap dan gelita. Segala impiannya telah musnah. Apatah lagi apabila memikirkan tentang isterinya, semangatnya tidak lagi gagah.
“Ya ALLAH, Ya TUHANKU... kuatkanlah hatiku untuk menghadapi segala ujian-MU ini,” rintih Kamal sambil menyembunyikan air mata.
Doktor meninggalkan Kamal untuk melawat pesakit-pesakit di katil yang lain. Suasana hening semakin meramas kepingan hati Kamal yang keresahan inginkan jawapan tentang Sharina. “Ya ALLAH...” keluhnya berkali-kali. Hujan di hatinya semakin lebat.
“Kamal!”
Terdengar satu lagi suara di sisinya. Kamal menoleh lemah. Hisham berada di sisi kirinya. Hisham menggenggam-genggam jari-jemarinya dengan perasaan sebak.
Kamal bersyukur kerana ALLAH telah mendengar bisikan hatinya. ALLAH telah mengirimkan seseorang untuk ditanyakan tentang nasib isterinya.
“Sham... Rin macam mana, Sham?” Tak sabar Kamal ingin mengetahui keadaan isterinya.
“Syukurlah... Rin selamat, tapi...” Kata-kata Hisham terhenti. Tidak tergamak dia menyampaikan berita yang bakal meluluhkan hati sahabat karibnya itu.
“Tapi apa?” pintas Kamal. Lautan perasaannya bergelora.
Bibir Hisham seakan terkunci. Tidak sanggup dia memberitahu Kamal musibah yang telah melanda adiknya.
“Sabarlah, Kamal! Semua ini ujian daripada ALLAH yang harus kau hadapi dengan sabar,” nasihat Hisham dengan suara sebak. Berat mata yang memandang, berat lagilah bahu yang memikul. Jika diri sendiri yang menghadapi ujian itu entah bagaimana pula penerimaannya.
“Segalanya sudah musnah, Sham. Musnah...” Bahunya bergetar-getar menahan tangisan. Derita yang bakal ditanggung, berpunca daripada keegoannya.
“Istighfar, Kamal. Jangan cepat berputus asa. Perkara dah nak berlaku,” nasihat Hisham.
“Bawa aku jumpa Rin. Tolonglah,” rayu Kamal seolah-olah terlupa yang dia telah hilang upaya.
Hisham merenung sedih. ‘Ya ALLAH... lontarkanlah rasa kesabaran di tasik hati adik iparku ini,’ bisik hati Hisham.
Pintu bilik tiba-tiba berkeriut. Kamal dan Hisham menoleh. Sharina datang ke bilik itu berkerusi roda dibantu oleh seorang pembantu hospital.
“Abang...” panggil Sharina dari jauh. Tak tertahan hatinya untuk memeluk suaminya itu. Hati Kamal yang sedari tadi seolah-olah dirobek, serta-merta bertaut kembali demi melihat wajah isterinya itu.
Sharina terus menyambar tangan Kamal sebaik sahaja pembantu hospital merapatkan kerusi roda ke katil yang menempatkan suaminya itu.
“Abang...” seru Sharina sambil menangis tertahan-tahan.
“Alhamdulillah.... kita selamat, bang.”
“Rin, abang minta maaf. Semuanya salah abang. Abang ikutkan perasaan marah dan rasa cemburu,” bisik Kamal sambil menangis perlahan.
“Abang keluar petang tu sebab nak cari air lai chi kang untuk Rin,” bisik Kamal lagi.
Mendengar kata-kata itu, hati Sharina bagaikan terobek hancur. Esakannya semakin kuat.
“Abang...”
Sharina kehilangan kata-kata. Suaranya tersendat pilu. Bagaikan ada sesuatu yang menyekat kerongkongnya.
“Abang syak Rin sedang mengandung. Cadangnya lepas makan malam, abang nak bawa Rin pergi klinik.” Perlahan suara Kamal mengungkapkan kata-kata itu.
“Tapi...” Ungkapan bibir Kamal terhenti. Entah macam mana dia terdengar perbualan Sharina dengan emaknya lalu dia naik angin.
Air mata Sharina semakin lebat menuruni pipi. Dia mengambil tangan Kamal dan mengusap-usapnya ke pipi dengan perasaan sedih yang tidak terungkapdengan kata-kata. Tidak terurai oleh air mata. “Abang...” bisik Sharina. Matanya yang basah dengan air mata menatap anak mata suaminya.
“Memang Rin dah mengandung. Rin baru pergi check di klinik,Taiping. Tapi, Rin tak sempat nak beritahu abang,” beritahu Sharina dalam tangisan. Dia memang tidak sabar-sabar lagi untuk memberitahu suaminya pada malam itu.
‘Alhamdulillah,’ bisik hati Kamal dengan segunung rasa kesyukuran. Hujung jari Sharina dikucupnya lama-lama.
“Tapi...” bicara Sharina terhenti sejenak. Dia menyembamkan mukanya di atas dada Kamal yang menelentang. Tidak sanggup rasanya untuk menyampaikan berita yang memilukan itu.
“Abang...” Sharina mengangkat mukanya lalu merenung wajah suaminya dengan perasaan luluh. Titisan air mata berjuraian di pipinya.
“Rin... Rin... keguguran lagi, bang,” beritahunya dengan perasaan yang remuk-redam.
Kata-kata itu bagaikan bedilan atom pada pendengaran Kamal. “Ya ALLAH,” rintih hati Kamal yang hancur bak dihentam oleh ribuan batu.

                                                           ~ ~ bersambung ~ ~

Tiada ulasan: