Khamis, 14 November 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 35)


Hujan yang turun bagaikan mutiara membasahi bumi yang ketandusan. Bayu yang berpuput lembut memberi kesan nyaman kepada Mak Cik Mariah dan anak menantunya yang sedang berbual-bual tentang kemalangan yang menimpa Kamal dan Sharina. Sudah lama peristiwa itu berlaku, namun Mak Cik Mariah dan Ainun tidak jemu-jemu bercerita perkara yang sama.
Senyuman sinis menyenget di bibir Zarif Afandi apabila mendengar berita yang disampaikan oleh emak mertua dan isterinya. ‘Kamal mungkin akan lumpuh sepanjang hayatnya akibat kemalangan yang dialaminya.’ Tidak untuk bersimpati terhadap musibah yang melanda adik iparnya itu, Zarif Afandi merasakan kemalangan yang nyaris meragut nyawa Kamal itu mungkin membawa tuah kepadanya.
“Dah nasib dia, mak... nak buat macam mana! Yang paling saya kasihankan sekarang ni, isterinya. Rin tu muda sangat lagi. Tak pasal-pasal kena menjaga suami yang hilang upaya,” kata Zarif Afandi. Dia berpura-pura meredupkan wajahnya seolah-olah bersimpati sedangkan hatinya bersorak gembira.
“Kalau sehari dua, mampulah Rin menjaganya. Kalau dah sepanjang hidup, saya rasa budak tu tak sanggup, mak! Entah-entah seminggu dua lagi, dia angkat kaki!” sampuk Ainun.Matanya merenung titis hujan yang jatuhnya sudah jarang-jarang.
“Kalau dia angkat kaki pun elok jugak! Entah-entah dia yang menyebabkan kemalangan tu. Entah-entah dia mendesak Kamal ajak ke mana-mana waktu malam-malam tu!” tuduh Mak Cik Mariah. Bibirnya selalu berasa senang dan seronok mengungkapkan kata-kata yang memenuhi tuntutan rasa meluatnya terhadap menantunya itu. Tambahan sehingga ke saat itu, Sharina belum melunaskan janjinya. Entah-entah harapannya hancur musnah. RM100 ribu. Jumlah itu yang diminta daripada menantunya itu. Dengan cara apa Sharina memperolehnya, dia tidak peduli. Dia tahu, Kamal ada banyak duit. Cuma dia tidak pasti sama ada Sharina berani atau tidak untuk meminta duit daripada Kamal sebanyak itu.
“Ya tak ya, mak! Nun pun rasa macam tu sebab Kamal tu jarang-jarang nak keluar pada waktu malam. Tambahan sekarang ni, dia sedang sibuk. Mestilah badan penat. Sepatutnya selesai waktu pejabat dia berehat saja di rumah tapi Rin ajak dia keluar pula,” sambung Ainun lagi. Perbualan dengan emaknya sentiasa saja menarik jika topik perbualan mereka ialah Sharina dan Kamal.
“Nun, jomlah kita balik! Dah lama sangat kita di rumah emak ni! Budak-budak tinggal di rumah nanti bercekau,” ajak Zarif Afandi yang mulai bosan mendengar perbualan dua beranak itu. Hairan juga dia mengapa emak mertua dan isterinya itu begitu anti dengan Sharina.
“Eh, awak ni. Kalau awak rasa bosan hendak menemani saya di rumah ini, awak pergilah ke mana-mana dulu. Nanti awak datang ambil saya balik!” jerkah Ainun.
“Nah, ambil ni!” Ainun menghulurkan kunci kereta kepada suaminya itu.
Zarif Afandi terkulat-kulat kerana ditengking oleh isterinya itu. Sejak kewangannya semakin mencekik, isterinya selalu bertempik dengannya.
“Okey, abang nak pergi ke bandarlah! Nun berbual dengan emak puas-puas.” Zarif Afandi menyambut huluran kunci itu. Dia tersenyum senang. Di dalam fikirannya terus memutar mencari buah akal yang bakal disajikan di hadapan birasnya yang sedang dilanda nestapa. Tumpuan hatinya kini ialah untuk menemui Sharina dan menemani birasnya itu yang pasti sedang terumbang-ambing hatinya.
“Jangan balik lambat sangat,” pesan Ainun kepada Zarif Afandi yang mula menggerakkan keretanya.
Mak Cik Mariah pun sempat menjengukkan kepalanya melalui tingkap dapur yang ternganga melihat menantunya.
“Laki kamu sekarang ni tak ada kerjalah ya, Nun! Asyik ke hulu ke hilir saja,” kata Mak Cik Mariah seraya menjeling ke wajah Ainun.
Ainun pura-pura tidak mendengar. “Mak, duit yang saya nak tu, bila boleh dapat?” soal Ainun pula.
Giliran Mak Cik Mariah pula memekakkan telinga.
“Mak!” panggil Ainun.
“Nantilah dulu! Kamu ingat emak ada tanam pokok duit ke? Bila-bila masa aje boleh goncang-goncangkan pokoknya biar duit-duit tu jatuh berguguran untuk kau kutip!” sindir Mak Cik Mariah.
“Tapi emak, saya nakkan kepastian! Duitnya ada ke tak ada?” soal Ainun dengan wajah teruja.
“Adalah!” jawab Mak Cik Mariah sambil menekan suaranya.
Ainun senyum meleret. ‘Selamatlah wang simpanan aku!’ desis hatinya.

Dari jauh, Zarif Afandi sudah terpandang Sharina yang baru keluar dari sebuah bilik. Ulas bibirnya serta-merta melebar. Zarif Afandi berlari-lari anak mengejar Sharina yang kelihatan hendak menuju ke kantin hospital.
“Rin... Rin...” katanya lalu menarik lengan birasnya itu dari belakang.
Langkah Sharina terhenti lalu dia segera menoleh. Berderau darahnya apabila melihat Zarif Afandi berdiri di belakangnya sambil tersengih-sengih dan mencungap.
“Abang Zarif!” sapa Sharina perlahan lalu menjauhkan tubuhnya daripada birasnya itu. Mata Sharina mengitari sekeliling mencari wajah emak mertua dan kakak iparnya. Namun, nampaknya lelaki itu datang bersendirian.
“Emak dan kak ngah mana?” tanyanya lembut.
“Abang datang seorang aje,” jawab Zarif Afandi sambil tersenyum mesra. Dia merapati Sharina semula.
“Kalau abang nak tengok Abang Kamal, dia ada dalam bilik tu,” beritahu Sharina sambil menuding ibu jari menunjukkan bilik yang menempatkan suaminya.
“Rin nak pergi ke mana?” tanya Zarif Afandi sambil meratah wajah birasnya itu yang sentiasa manis dan menawan meskipun hatinya sedang dikepung kesedihan.
“Rin nak pergi kantin,” beritahu Sharina sambil bergerak setapak. Kehadiran birasnya itu menyebabkan dia berasa tidak selesa. Tambahan kebelakangan ini kerap sangat Zarif Afandi menghantar mesej ringkas buatnya.
“Rin... abang ucapkan takziah di atas kemalangan yang telah menimpa Rin dan Kamal. Abang minta maaf sebab baru hari ini berkesempatan menjenguk Rin,” kata Zarif Afandi dengan suara bergetar. Spontan dia mengambil tangan Sharina dan menggosok-gosok telapak tangan birasnya itu.
Sharina segera menyentap tangannya dan merenung tajam. Perasaannya terbakar. Namun, dia cuba bersabar.
“Maaf, Rin... abang dah rasa Rin ni macam adik abang...” jelas Zarif Afandi pura-pura. Bibirnya memahat senyuman mesra.
Sharina cuba menenangkan dirinya. Pesanan Kamal supaya dia berhati-hati sewaktu berdepan dengan birasnya itu masih terikat kukuh di sanubari.
“Jomlah, Abang Zarif! Kita masuk bilik tengok abang Kamal! Lepas ni, baru Rin pergi makan,” pelawa Sharina alu mengubah haluannya dan berundur ke lorong yang akan membawanya ke bilik Kamal. Sangkanya Zarif Afandi ikhlas untuk melawat Kamal.
“Tak apa, Rin. Biarlah Kamal tu berehat. Abang datang ke sini memang nak cari Rin,” kata Zarif Afandi. Sekali lagi wajah Sharina direnung dan ulas bibir wanita itu menjadi habuan matanya agak lama.
Sharina yang pada hari itu memakai seluar panjang longgar berwarna putih sedondon dengan blaus lengan panjang, bertudung putih bagaikan seorang bidadari di hadapan matanya.
“Bila dah dapat jumpa Rin rasa lega hati abang ni. Nasib baikla Rin tak cedera sehingga menyebabkan wajah atau tubuh badan Rin berparut,” sambung Zarif Afandi lagi dengan nada menggatal.
Sharina tidak memberi respons di atas kata-kata itu.
“Kamal macam mana selepas kemalangan tu? Abang dengar dia mungkin akan hilang kesempurnaan... tak boleh berjalan lagi,” kata Zarif Afandi berpura-pura sedih. “Yang lain-lain pun pasti tidak mampu juga...” Ungkapan Zarif Afandi penuh maksud tersirat.
Mendengar kata-kata itu Sharina terdiam seketika. Dia mengejipkan matanya beberapa kali cuba menahan air mata yang mungkin akan gugur ke pipi.
“Alhamdulillah, bang. Insya-ALLAH... Rin boleh hadapinya. Abang Kamal pun begitu. Kami terima segala ujian yang telah ditentukan oleh ALLAH dengan redha. Segalanya sudah ditakdirkan,” jawab Sharina perlahan.
“Betul ke ni, Rin? Abang tak begitu yakinlah Rin sanggup menahan kesabaran begitu lama jika Kamal di dalam keadaan begitu sehingga hujung hayatnya. Rin ni masih muda lagi,” kata Zarif Afandi mula menggatal sekali lagi.
Sharina menjeling tajam sambil menyabarkan hatinya. Jika tidak memikirkan yang lelaki sedang berbual dengannya itu birasnya, mahu sahaja dia mengungkapkan kata-kata yang berbisa.
“Insya-ALLAH, bang. ALLAH itu Maha Pengasih dan Penyayang,” sindir Sharina perlahan.
Zarif Afandi cuba memaniskan kembali air mukanya sebaik mendengar kalimah-kalimah yang dilafazkan oleh birasnya itu.
“Abang nak balik dululah. Senang hati abang dapat bertemu dengan Rin hari ini,” beritahu Zarif Afandi sambil melunakkan suaranya. Dia menatap mata Sharina yang mempesonakan.
Sharina mengangguk dengan perasaan lega.
“Kalau sayang perlukan apa-apa bantuan, telefon abang, ya? Jangan segan-segan,” kata Zarif Afandi mula memancing hati birasnya itu.

Sharina tidak memberi respons. Dia ragu-ragu dengan kejujuran lelaki itu. Sudah dua kali dia terkena dengan perangai tidak sopan suami kakak iparnya itu. Namun dia harus memendamkan segalanya untuk mengelakkan keributan di dalam keluarga.



                                                           ~ ~ bersambung ~ ~
                                                                 

Tiada ulasan: