Khamis, 14 November 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 36)


Mak Cik Mariah merenung Sharina di hadapannya. Menantunya berwajah tenang. Sudah 10 hari Sharina menunggu Kamal di wad. Kesabaran Sharina menghadapi situasi yang menyedihkan hati mana-mana wanita itu dikaguminya juga, namun perasaannya tidak akan terpujuk. Tambahan pula apabila  melihat Kamal berada di dalam keadaan begitu. Tidak boleh bangun. Tidak boleh lagi berjalan. Hilang kesempurnaan sebagai seorang manusia. Sebagai seorang lelaki.
“Rin cuti berapa hari lagi?” tanyanya tegang.
Sharina melarik senyuman tipis. “Cuti sakit Rin lagi dua hari, emak,” jawab Sharina perlahan. Mereka berbalas renungan. Bibir emak mertuanya bagaikan ingin berkata sesuatu dengannya. Sharina berasa resah.
“Rin kerja nanti siapa yang nak tunggu Kamal?” soal Mak Cik Mariah.
Sharina terdiam seketika. Fikirannya terasa galau. Dugaan yang mendatang di dalam kehidupannya bagaikan ombak besar tsunami yang menghancurkan segalanya jika dia tidak cukup kuat dan tabah.
“Rinlah, mak. Rin kan isteri Abang Kamal.”
Mak Cik Mariah tersenyum mengejek.
“Nak jaga macam mana? Kamu bukan ke nak bekerja? Kamal tu kena ada orang menunggunya 24 jam. Kamu dah lupa ke yang Kamal tu dah hilang upaya? Kencing beraknya mesti ada seseorang yang uruskan,” leter Mak Cik Mariah.
“Nasib baik kamu cedera sikit aje dan nasib baik juga kandungan kamu tu gugur, Rin...” sambung Mak Cik Mariah tanpa rasa simpati. Jika boleh. dia tidak mahu Kamal dan Sharina mempunyai anak pun.
“Mak pun tak suka Kamal ada keturunan dengan kamu,” beritahu Mak Cik Mariah selamba.
Tersentak Sharina mendengar kata-kata emak mertuanya. Tidak faham dia mengapa emak mertua membencinya begitu sekali.
“Emak, abang Rin dah carikan orang untuk jaga Abang Kamal sewaktu Rin keluar bekerja,” terang Sharina dengan suara serak. Walau apa pun terjadi, dia tetap akan menjalankan tanggungjawab terhadap suaminya itu.
“Habis tu takkan nak suruh orang tu duduk dengan Kamal di rumah sedangkan Kamal tak boleh bangun, tak boleh berjalan. Nanti tak pasal-pasal barang-barang dalam rumah kena curi! Orang sekarang ni bukannya boleh dipercayai,” sanggah emak mertuanya.
Sharina diam tidak menjawab. Dia sudah faham sangat dengan sikap emak mertuanya yang tidak boleh dibantah-bantah percakapannya. Mereka membisu beberapa ketika. Masing-masing melayani perasaan sendiri.
“Hal yang emak ceritakan dulu, kamu dah uruskan?” soal Mak Cik Mariah. Suaranya serta-merta menjadi lunak.
Sharina tersentak. Entah apalah yang meracuni fikiran emak mertuanya itu. Pada saat dia dilanda musibah pun masih mahu menuntut perkara yang bukan-bukan. 
“Duit yang emak nak tu,” jelas Mak cik Mariah lagi.
Sharina menggelengkan kepalanya dengan perasaan tertekan dan membuku.
“Mana sempat nak uruskan emak!Hari yang  emak beritahu pada Rin, malam tu kami accident,” jelasnya dengan perlahan seolah berbisik. Hatinya berbelah bagi.
“Hari ini biar mak tunggu Kamal di wad. Rin pergi uruskan hal itu, ya?” pujuk Mak Cik Mariah.
Perasaan Sharina terumbang-ambing mendengar permintaan emak mertuanya. Dia berat hati untuk membuat pinjaman bank bagi memenuhi permintaan emak mertuanya itu. RM100 ribu bukan jumlah yang sedikit. Dia bimbang akibat berhutang, tidurnya akan terganggu. Baginya lebih baik tidur tanpa makan terlebih dahulu daripada bangun esok pagi dengan banyak hutang.
“Kamu pergi hari ini juga!” desak emak mertuanya dengan wajah tanpa emosi.
Sharina menghela nafas perlahan dengan rasa serba salah. “Takkan Rin nak tinggalkan abang? Nanti dia cari Rin, Rin tak ada ,abang sedih pulak,” dalih Sharina. Memang sepanjang masa dia berada di sisi Kamal sejak dia dibenarkan keluar dari wad. Sharina hanya berada di wad enam hari sahaja. Kakinya yang terseliuh pun sudah sembuh.
“Ya ALLAH, esok-esok bila kamu dah mula kerja, dia kena tinggal jugak,” balas Mak Cik Mariah. Hatinya cepat menjadi geram jika ada sesiapa yang membantah percakapannya.
“Biar aku jaga dia! Aku yang mengandung dan beranakkan dia,” sambung Mak Cik Mariah lagi seolah-olah cuba mengingatkan menantunya yang dia berhak mutlak terhadap diri Kamal.
“Yalah, mak... Rin pergi hari ini. Tapi Rin kena beritahu abang dulu, ya?” ujar Sharina. Secara kebetulan doktor pun sudah keluar dari bilik yang menempatkan suaminya itu.
“Tak... tak payah! Jangan beritahu dia. Nanti dia tanya macam-macam. Kalau dia tahu mesti dia tak bagi!” halang Mak Cik Mariah sambil menarik tangan menantunya itu.
“Tapi, mak...” Sharina bersuara sebak. Belum pernah lagi dia ke mana-mana tanpa bersalam dan mencium tangan suaminya terlebih dahulu. Pergi ke mana-mana tanpa keizinan suami, setiap langkahnya akan dilaknat oleh ALLAH. Sesungguhnya,  dia berasa gementar mengingatkan janji ALLAH itu.
“Sharina! Jangan bantah cakap emak!” tegas Mak Cik Mariah.
Langkah kaki Sharina terhenti. Perasaannya semakin terhimpit. “Baik, mak... Rin pergi sekarang.” Getaran suaranya diiringi dengan linangan air mata. Sharina terus melangkah menuju ke medan parkir kereta. Demi kebahagiaan hati emak mertuanya, dia sanggup berkorban. Walaupun dia tahu sebanyak mana pun pengorbanan yang bakal dilakukannya, dia tetap bukan menantu pilihan. Sambil melangkah, Sharina terus bertawakal kepada ALLAH.

Sebaik sahaja turun dari kereta Hisham, Mak Leha berjalan perlahan-lahan menuju ke wad yang menempatkan menantunya. Hati Mak Leha bagai disiat-siat apabila mengenangkan nasib anak menantunya. Kemalangan ngeri yang nyaris meragut nyawa mereka. Mujurlah ALLAH masih memberi kesempatan untuk mereka menikmati hidup untuk meneruskan ibadah. Walaupun kini menantunya sudah hilang kesempurnaan, Kamal tetap disayangi. Dia telah menasihat Sharina supaya redha menerima rencana ALLAH.
“Jagalah Kamal sehingga ke akhir hayatnya. Sayangi dia sebagaimana Rin menyayangi Kamal sewaktu dia sihat.” Begitulah nasihatnya.
“Mak, biar Sham bawakan beg tu.”
Akhirnya, Hisham berjaya juga mengekori emaknya setelah tertinggal jauh di belakang. Pintu bilik yang menempatkan Kamal ditolak dari luar.
Kamal hanya merenung mereka. Sehingga hari itu, dia hanya mampu terlantar dan terlentang di atas katilnya. Kecederaan di tulang belakang menyebabkan pergerakannya terbatas. Doktor menasihatkan supaya dia tidak kerap menggerak-gerakkan tubuhnya untuk tidak menambah cedera tulang belakangnya itu.
“Assalamualaikum, Kamal...” ucap Hisham sambil tersenyum manis. Dia cuba mencari wajah adiknya, namun tidak kelihatan.
“Waalaikumussalam,” jawab Kamal. Dia terus merenung ke muka pintu mengharapkan kemunculan isterinya, namun kehampaan juga yang bertamu di kalbu.
“Belum makan tengah hari, kan?” tanya Hisham.
Kamal tersenyum pahit. ‘Hendak makan dan minum pun perlu disuap orang,’ bisik hati Kamal sedih.
“Emak ada bawa bubur nasi! Eloklah makan sekarang, masih panas lagi,” pintas Mak Leha. Dia merenung wajah menantunya dengan perasaan walang.
“Rin tak datang ke, mak?” soal Kamal setelah lama bersabar menunggu kehadiran isterinya di sisi.
Mak Leha dan Hisham tercengang sesama sendiri.
“Rin? Bu... bukan dia ada di sini?” soal Mak Leha pula. Sama seperti Hisham, dia juga menyangka Sharina pergi ke bilik air.
Kamal menggeleng perlahan sewaktu Hisham membetulkan kedudukan bantal yang mengalas kepalanya. Kedudukan kepalanya harus lebih tinggi jika hendak makan.
“Pagi tadi, emak saya beritau Rin balik ke rumah emak,” jelas Kamal. Dia masih ingat lagi emaknya beria-ia memberitahu Sharina balik ke Gopeng.
“Agaknya dia balik ke Kampung Manjoi dan tertidur,” kata Hisham cuba menghapuskan kerisauan yang bertakhta di hati adik iparnya itu. Alasan yang diberikan oleh Hisham termakan juga oleh Kamal. Hisham cuba menghubungi telefon adiknya, namun panggilannya tidak dijawab.
“Makan dulu, Kamal... biar aku suapkan! Jangan bimbangkan Rin. Sekejap lagi aku dan emak pergi ke rumah kau,” pujuk Hisham sambil menghalakan sudu yang mengandungi bubur nasi ke tepi bibir Kamal.
Mereka berbual perlahan sambil melayani Kamal makan. Walaupun tiada berselera kerana ketiadaan Sharina, Kamal terpaksa juga menelan.
“Terima kasih, Sham...” ucap Kamal sebaik menghabiskan semangkuk kecil bubur nasi. Berlinangan air matanya menerima budi Hisham pada waktu itu. Hisham memang sahabatnya yang paling baik, ujur. Memang benarlah seperti kata-kata Umar al-Khattab, carilah sahabat yang jujur. Dengan demikian akan terpelihara daripada bahaya dan dialah tempat kembali ketika datang bencana.
“Sudah menjadi tanggungjawab aku. Waktu ni, kau yang menerima musibah, mana tahu suatu hari nanti ALLAH menguji aku dengan dugaan yang dahsyat dan besar, ada tangan-tangan lain pula yang berkorban untuk aku,” jawab Hisham perlahan sambil menyuakan gelas ke bibir adik iparnya itu.
Mereka berbual beberapa ketika lagi walaupun Hisham dapat melihat sinar resah pada mata Kamal. Hisham tahu,Kamal sedang mengenangi Sharina. Namun dia pura-pura tidak mengerti. Ketiadaan Sharina di sisi Kamal pada waktu itu turut menjadi tanda tanya di benaknya.
“Aku balik dulu, Kamal,” beritahu Hisham sambil menjeling jam yang melingkari lengannya.
“Aku pergi tengok Rin. Kalau Rin ada aku tumpangkan emak di rumah kau sekejap sementara aku balik ke pejabat,” terangnya lagi.
“Petang nanti, aku singgah ke sini sekali lagi,” kata Hisham dengan nada tenang.
Kamal hanya mampu mengangguk. Hisham mengeluarkan sesuatu dari beg yang disandangnya lalu menghulurkan kepada Kamal.
“Nah! Ini dompet kau. Pihak polis serahkan kepada aku pada hari kemalangan. Aku terlupa nak bagi balik,” beritahu Hisham sebelum beredar.
Kamal menyambutnya lalu menyimpan di bawah bantal.
“Mak balik dulu, Kamal. Kamal bersabarlah banyak-banyak, ya...” pesan Mak Leha sambil mencium pipi menantunya itu.
Kamal terharu dengan layanan abang ipar dan emak mertuanya itu yang begitu tulus dan ikhlas melayaninya.
“Terima kasih, emak! Sham...” ucap Kamal sambil mengiringi pemergian mereka dengan pandangan mata.
Sebaik sahaja emak mertua dan abang iparnya sampai di muka pintu, emaknya pula tiba dengan kak ngah. Kamal sempat melihat mereka bersalaman dan berbual-bual seketika.
“Lama emak mertua dan abang ipar kau di sini tadi, Kamal?” tanya Mak Cik Mariah sebaik sahaja duduk di  atas bangku di sisi katil Kamal.
Ainun pun mencari sebuah kerusi lagi untuk melabuhkan pinggulnya yang semakin melebar itu.
“Lama jugak, mak...” jawab Kamal ringkas. Setelah itu matanya terkebil-kebil melihat siling. Suasana menyepi beberapa ketika.
“Emak beritahu saya, Rin balik ke Gopeng! Tapi, tadi emak mertua saya kata, Rin tak ada balik ke sana pun,” kata Kamal setelah lama berdiam diri.
“Tak balik ke sana?” tanya Mak Cik Mariah pura-pura terkejut. Dia merenung ke wajah Ainun untuk mencari ilham.
“Tak tahulah pulak emak! Tadi dia beritahu emak begitu. Itulah yang emak beritahu kepada Kamal,” bohong Mak Cik Mariah.
Kamal mengerutkan keningnya.
“Agaknya dia rasa bosan tunggu Kamal berhari-hari, dia pergilah ke mana-mana untuk mencari ketenangan di hati,” sampuk Ainun.
Kata-kata itu semakin menyakitkan hati Kamal. Sharina mulai bosan padanya?
“Betul tu, Kamal. Dulu Kamal sihat... dia sayanglah. Seminit pun tak mahu berenggang! Sekarang ni, Kamal dah cacat, dah terlentang, dia cari-carilah peluang untuk terbang ke sana dan ke sini! Dia tu muda lagi! Cantik pulak tu!” sambung Mak Cik Mariah tanpa ada perasaan belas kasihan kepada orang lain walaupun pada anak sendiri.
Pintu bilik yang terkuak menyebabkan Mak Cik Mariah dan Ainun tersentak. Mereka serentak menoleh. Sharina sedang melangkah masuk ke bilik itu dengan langkah longlai, namun mengukirkan senyuman manis buat tatapan suami yang dikasihinya.
“Abang...” kata Sharina sambil mencium pipi Kamal sebaik sahaja sampai di sisi katil.
Kamal tersenyum lega. Kegelapan di hatinya bagaikan disinari cahaya apabila menerima belaian isterinya itu.
“Sayang pergi ke mana?” tanyanya perlahan.
Sharina merenung wajah emak mertuanya sebelum menjawab. Mak Cik Mariah mengetapkan bibirnya memberi isyarat.
“Rin pergi Taiping, bang... ada urusan sikit.” Perlahan suara Sharina. Hatinya mula diasak resah.
“Beritahulah pada abang, tadi..” kata Kamal dengan suara melirih. Terasa pula hatinya bila ditinggal-tinggalkan begitu. Mentang-mentanglah diri sudah tidak sempurna.
“Rin dah beritahu emak tadi,” kata Sharina sambil memandang ke wajah emak mertuanya sekali lagi. Emak mertuanya menjegilkan mata. Kamal sempat merenung ke wajah emaknya yang sedang menjegil isterinya.
“Oh ya, Kamal... emak terlupa pulak! Maklumlah, asyik fikirkan tentang Kamal,” dalih Mak Cik Mariah dengan suara bergetar menahan geram.
“Rin selesaikan urusan apa?” soal Kamal lagi ingin tahu. Mesti perkara yang diuruskan oleh isterinya itu sangat penting sehingga Sharina sanggup meninggalkannya dan pergi tanpa meminta keizinannya.
“Uruskan hal emak abang!” Spontan Sharina menjawab.
Berdesing telinga Mak Cik Mariah mendengarnya. Wah, nampaknya menantunya ini sudah memungkiri janji!
“Eh, Rin... kan emak suruh kau pergi cari ubat Kamal.Urusan kaulah, apa pula urusan emak?!” tempelak Mak Cik Mariah dengan perasaan marah. Dia merenung Sharina tajam seolah-olah memberi amaran.
“Hah! Dah selesai urusan tu? Dapat ke? Atau tabib Cina tu tak ada bekalan ubatnya?” tukas Mak Cik Mariah dengan pandangan penuh makna.
“Ya, mak! Dalam tempoh seminggu,” jawab Sharina. Dalam keserabutan fikirannya mujur dia dapat menangkap maksud kata-kata emak mertuanya itu.
“Sayang... tolong lapkan badan abang,” kata Kamal untuk mengelakkan emaknya daripada terus bercakap yang melukakan hati  isterinya.
Ainun memberi isyarat mata kepada emaknya untuk mengajak emaknya balik.
“Rin pun dah ada ni, mak ingat biarlah emak balik dulu. Esok mak datang lagi,” beritahu Mak Cik Mariah sambil bangun dari kerusinya. Tiba-tiba matanya terpandang pada dompet yang sedikit terjulur dari bawah bantal Kamal.
“Dompet ni mak bawa balik, Kamal. Biar mak simpan. Lagipun bahaya dalam wad ni takut hilang nanti,” katanya terus mengambil dompet itu dan menyimpannya di dalam beg tangan.
“Dompet saya tu biar Rin yang simpan, mak.”
Mak Cik Mariah tidak mempedulikannya. “Biar mak yang simpan! Kamal dah tak percaya pada emak yang dah mengandung dan melahirkan Kamal ke?” tanya Mak Cik Mariah sambil menjeling Sharina. Tajam jelingannya.

Tiada ulasan: