KEPALAKU benar-benar sakit.
Hatiku juga rasa begitu. Kegeramanku terhadap Syamil semakin melebar. Rasa marah
seolah telah membakar seluruh jiwaku. Syamil mungkir janji lagi. Baru dua
minggu membayar hutang, Syamil membuat hal lagi. Syamil tidak menjawab
panggilan telefon daripadaku lagi.
Untuk mengelakkan diri
daripada bercakap kasar dengan Syamil melalui telefon bimbit, aku menghantar
e-mail kepadanya untuk yang ke sekian kalinya. (Bagaimana aku memarahinya
melalui telefon bimbit, panggilan daripadaku pun sudah tidak dipedulikannya
lagi.) Sudah semestinya e-mail yang sama juga kukirimkan kepada Norshakila. Isteri
keduanya.
Bukankah dia telah mengakui
yang dirinya seorang isteri yang sangat pandai menjaga suami. Lagipun bukankah
dia seorang yang berjawatan tinggi di dalam sebuah firma. Memegang jawatan besar dengan kelayakan
ijazah yang bergulung, gajinya sudah tentu besar. Mustahil seorang bekas
graduan dari universiti ternama di utara Malaysia tidak faham tentang
tanggungjawab seorang isteri terhadap maruah suami?
Seperti biasa, Syamil dan
isterinya akan bersikap seperti lembu kenyang. Tidak ada sepatah perkataan
walaupun satu suku kata, bagi menjawab e-mail daripadaku. Mereka menghukum aku
dengan sikap menyepikan diri dan pura-pura tidak mengerti. Aku seolah menjadi
seekor anjing gila yang menyalak bukit. Tekakku sakit kerana menyalak, tetapi
bukit tidak runtuh.
Call Hani sekarang.
Lagi sekali pesanan ringkas
aku hantarkan kepada lelaki itu. Aku kecewa lagi. Panggilanku tidak mahu
dijawab. Diminta menghubungiku pun tidak sanggup membuat panggilan. ‘Agaknya
dah habis prepaid.’ Aku berbisik di dalam hati. Itu pun salah satu tabiat Syamil juga.
‘Atau dia nak kena jerit
sebagaimana aku menjerit kepada isterinya yang tua kelmarin.’ Aku terkenang
kembali bagaimana aku memarahi Ina sewaktu menyemak status akaunku di bank.
Syamil membohongiku berkali-kali lantas kesabaranku terkoyak waktu itu juga.
Ina yang menjadi mangsanya. Kesian perempuan itu. Tubuh badanku mulai
mengeletar kerana menahan marah. Tanganku
rasa kebas dan sejuk. Urat-urat dikepalaku terasa tegang.
Aku mengambil kunci kereta di
dalam beg tangan lalu keluar daripada
pejabat menuju ke medan letak kereta yang berhampiran. Sebaik sahaja pinggul
kuhenyakkan di tempat duduk pemandu, aku menghidupkan enjin dan hawa
dingin. Semua skrin tingkap aku
rapatkan. Dengan rasa marah yang teramat, aku mendail sekali lagi ke nombor
019xxxxxxx.
“Helo...” Terdengar suara
Syamil menjawab. Suaranya parau dan kasar serta tegang. Tidak lagi mesra
seperti dulu.
Tanpa menunggu sesaat aku
terus menyembur lelaki itu dengan suara yang kuat dan tanpa berhenti. Aku
menjerit sekuat hati di dalam kereta kerana aku pasti tidak ada sesiapa pun
yang akan mendengar jeritanku itu.
“Helo! Mengapa abang tak
jawab panggilan telefon daripada Hani? Abang dah janji nak bayar hutang
tiap-tiap minggu, kenapa abang tak masukkan ke akaun? Mengapa abang tipu! Hani
tak suka orang menipu! Tak suka! Lepas tu abang tak jawab call Hani!
Abang nak lari, ya? Berhutang pandai! Membayar macam-macam alasan. Abang jangan nak mainkan Hani!. Hani tak suka.”
“Siapa yang lari? Yang Hani
pergi telefon sana-sini tu buat apa? Orang yang berhutang, orang tahulah bila
nak bayar!” Syamil menjawab dengan nada marah juga. Dia turut menengking aku.
Aku benar-benar meradang.
“Eh!Orang dah kata sebelum
bulan 12. Tunggu sajalah. Tak payah nak call-call selalu! Orang bosanlah tau tak!”
Lagi sekali Syamil cuba meningkah percakapanku. Alangkah kasarnya lelaki
itu denganku kini. Mungkin cintanya sudah semakin pudar, atau mungkin juga dia
sudah terlalu benci.
“Sekarang ni dah bulan
berapa? Oktober, kan? Bukankah bulan Oktober tu sebelum bulan 12? Bercakap biar
terang, jelas dan lengkap! Okey, kalau abang kata begitu tak apalah. Hani akan tunggu bulan 12 yang abang katakan
itu. Lagipun esok dah masuk bulan Ramadan. Bulan puasa nanti Hani malas lagi
nak hubungi abang berkenaan dengan hutang. Hani pun tak suka nak cakap-cakap
kasar dengan abang. Tapi abang tu,
berjanji jangan mungkiri!”
“Hmm...” Dan Syamil
mengulangi sikap acuh tak acuhnya di atas segala kebaikan yang dihulurkan
kepadanya. Dasar lelaki yang tidak tahu menghargai orang lain.
SEBAGAIMANA
yang dijanjikan, hari-hari di bulan ramadan aku langsung tidak menyentuh soal
hutang dengan lelaki itu sewaktu berhubung dengannya. Tidak menyentuh soal
hutang, aku dilayani dengan baik. Meskipun tidak semesra dan sekerap dulu, aku
berpuas hati walaupun hanya dapat mendengar suara untuk sepatah perkataan
daripada bibir Syamil.
Rezeki di bulan Ramadhan yang
penuh dengan keberkatan. Permohonan untuk mengeluarkan kesemua wang caruman
KWSP telah diluluskan dan wangnya telah dikreditkan ke dalam akaunku.
Alhamdulillah. Angka menunjukkan jumlah RM50 000 tertera di buku akaunku.
“Alhamdulillah! Insya-ALLAH,
kita tak ada masalah kewangan lagi bang!” kataku pada Idham. Terasa lapang
fikiranku. Tenang jiwaku kembali.
“Ye ke? Baguslah kalau
begitu! Hati-hatilah. Jangan belanja boros macam abang dulu.” Idham
menasihatiku.
“Alhamdulillah... insya-ALLAH
tak ada masalah lagi kalau abang kena buat pembedahan mata lagi sebelah.” Aku
tersenyum lebar. Sememangnya, Idham dijadualkan akan menjalani pembedahan mata
kanannya dalam waktu empat bulan lagi.
~ ~bersambung~ ~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan