Ahad, 17 November 2013

Redha TakdirMU(Bab 46)



DISEMBER menjelma. Bulan yang aku tunggu-tunggu sudah pun tiba. Aku menanti dari sehari ke sehari, Syamil menunaikan janjinya. Aku menunggu dengan penuh sabar. Kesabaranku semakin kuat kerana kini ekonomiku sudah stabil dan kembali kukuh. Sebenarnya jika Syamil pandai mengambil hatiku, segala hutangnya kepadaku sama ada wang atau barang kemas, aku boleh melupuskannya dengan rela hati.
Kasih sayangku kepada Syamil lebih teguh daripada Gunung Kinabalu. Cintaku kepadanya lebih dalam daripada tujuh lautan yang ada di muka bumi ini. Segalanya tidak pernah berubah. Tidak pernah pudar. Kasihku tetap begitu.  Alangkah indahnya percintaanku sekiranya Syamil juga begitu. Aku ingin Syamil mengasihiku bukan kerana wang ringgit yang telah aku pinjamkan. Aku dambakan kasih suci, sayang yang murni dan cinta yang tulus darinya.
Aku terus menjalankan strategi untuk menguji Syamil.  Segala jawapan yang akan kuterima daripadanya akan menelanjangkan hati Syamil, nilai dan jenis cintanya kepadaku.

Hai, abang! Abang di mana ni?

Aku memulakan mukadimah untuk melancarkan perang SMS dengan Syamil.

Abang ada di kedai, repair komputer, banyak yang rosak.

Jawapan daripada Syamil menyebabkan aku tersenyum lebar. Aku telah faham isyaratnya. Banyak komputer rosak, bermakna kuranglah pendapatannya pada bulan itu. Nampak gayanya janjinya denganku akan lebur lagi untuk sekian kalinya. Hutang tidak akan dibayar walaupun aku menangis mengeluarkan air mata darah.

Lama abang tak hubungi Hani. Hani ingat abang balik ke Kota Bharu.

 Abang tak ada mood.  Malas nak balik ke sana.

Begitulah jawapan daripada lelaki itu. Ringkas dan selamba.

Macam mana perhubungan abang dengan Shakila sekarang ni

Kadangkala aku rindu juga untuk bertanya khabar Norshakila. Perempuan yang tiba-tiba muncul antara  perhubungan aku dan Syamil serta melukakan hatiku dengan e-mailnya yang biadap.

Dahlah. Abang malas nak fikirkan tentangnya lagi.  Lupakan saja.

Lagi sekali Syamil memberi jawapan yang selamba. Apa yang dimaksudkannya? Mungkinkah mereka telah bercerai?  Di hatiku penuh dengan tanda tanya. Perceraian itu mungkin akan memekarkan kembali kasih kami.

Abang dan Norshakila sudah bercerai?

Pesanan ringkas itu aku kirimkan untuk mendapatkan kepastian daripada Syamil.

Kalau benar abang sudah bercerai dengan Shakila, scan surat cerai itu kepada Hani.

Jika benarlah Syamil dapat membuktikan yang dia sudah bercerai dengan Norshakila, tidak tergamak aku menuntut hutang daripadanya. Namun aku perlukan bukti, kerana Syamil kerap sangat membohongiku. Rasa percayaku kepadanya sudah pun tercalar kian lama. Syamil membiarkan pesanan ringkasku itu tanpa jawapan. Aku terus meneka di dalam kesamaran.  Mungkin benar mereka telah bercerai. Bukankah dulu Syamil selalu menceritakan yang dia telah melakukan kesilapan kerana menikahi Norshakila? Norshakila yang cemburu buta. Norshakila yang tidak menghormatinya sebagai seorang suami.
Aku juga tidak tahu mengapa hati ini terlalu membenci wanita itu. Padaku biarlah aku yang mencarikan wanita buat Syamil jika dia ingin menikah lagi. Aku rela. Meskipun aku terlalu kasih kepadanya. Mungkin kerana Norshakila terlalu menyakiti hatiku dengan e-mailnya. Jika dia tidak campur tangan di dalam perhubungan antara aku dan Syamil, tentu masalah tidak meruncing begini. Dia mencemburui aku. Aku juga tidak tahu mengapa terlalu benci dan mencemburuinya.  Jadi sekiranya benar mereka telah bercerai, baguslah. 
Untuk beberapa hari fikiranku berasa lapang. Aku langsung tidak ada rasa minat untuk menagih hutang daripada Syamil. 
Entah mengapa, selepas seminggu Syamil menghantar SMS yang menyatakan yang dia tidak mahu memikirkan tentang isteri keduanya itu dan ingin melupakannya, aku terpanggil untuk menghubungi wanita itu di tempat kerjanya.  Kebetulan aku ada menyimpan nombornya ketika dia menghubungiku dari pejabatnya. Sewaktu itu aku berada di pejabat.
“Boleh bercakap dengan Puan Norshakila?” Tanpa rasa ragu dan takut, aku terus menyuarakan keinginanku sebaik sahaja gagang telefon diangkat.
“Shakila dah bertukar.”
“Bertukar ke mana?” Aku menyoal lagi.
“Dekat dengan suami dialah!”
Kepalaku bagaikan di penggal oleh kapak tajam. Lunaknya suara wanita yang menjawab itu, namun menyiat-nyiat hatiku.  Urat-urat di otakku seolah berpintal-pintal dengan tegang.   Telingaku tiba-tiba terasa bengang. Pangkal leherku terasa sakit. Jangan-jangan, aku diserang tekanan darah tinggi dengan perkhabaran itu.
“Suami dia yang mana?” Aku menyoal. Sangkaku, selepas bercerai perempuan itu telah menikahi lelaki lain.
“Suami yang di Kedahlah! Dia nak duduk dekat dengan suami dia!” Lagi sekali kenyataan wanita itu merobek hatiku.
“Di Kedah? Bukankah mereka dah bercerai!” Aku bersuara perlahan. Menggigil tanganku. Dadaku berdegup kencang.  Sialan! Lelaki keparat itu lagi sekali membohongi aku. Pilunya rasa hatiku, tanpa aku sedari air mataku menitis di pipi. Gigiku berlaga-laga atas dan bawah kerana aku menahan perasaan sebak dan kecewa. Kecewa kerana Syamil tidak berkata benar denganku. Soalanku yang berterus terang dibiarkan tanpa penjelasan.
“Tak lah! Dia tak bercerai pun. Dah dua bulan dia pindah sana.”
Jawapan itu semakin membuat dadaku berdegup kencang.  Rasa marahku mulai bergelora. Aku terasa dipermainkan oleh Syamil. Lantas tanpa dipinta aku menangis teresak-esak.  Hibanya rasa hatiku.
Dengan jejari yang menggigil dan pipi yang dibanjiri air mata aku menekan punat-punat di telefon bimbitku. Mujurlah pada waktu itu aku berada di dalam surau, di pejabat.

Sampai hati abang tipu Hani? Hari itu bila Hani tanyakan tentang Shakila. Abang kata, ‘Dahlah abang malas nak fikirkan tentangnya lagi, lupakan saja.’ Hani ingat abang dah berpisah.  Rupanya dia dah pindah duduk dekat dengan abang!

Aku mengirim pesanan ringkas kepada Syamil dengan air mata yang berlinangan.

Mana Hani tau ni?

Berapa kali abang mahu melukakan hati Hani. Tindakan abang telah mendera perasaan dan mental Hani. Abang dan Shakila telah membuatkan Hani jadi merana dan sengsara.

Aku benar-benar geram dengan perilaku mereka. Apabila Syamil melukakan hatiku, aku mula teringatkan hutangnya yang masih belum selesai.

Hutang Hani, segera jelaskan.  Lepas ini, Hani tidak akan hubungi abang lagi. Tahulah Hani, abang hanya sayangi Hani sewaktu abang berada di dalam kesusahan. Sewaktu abang senang, hati abang berpaling arah kepada Shakila. Abang dan Shakila telah membuat Hani mengalami tekanan jiwa dengan melambat-lambatkan pembayaran hutang itu.

Fikiranku benar-benar rasa terganggu. Aku terus menghantar SMS kepada Syamil dan merepek yang bukan-bukan.

Jangan sampai Hani pergi cari abang dan tamatkan riwayat Hani di depan abang dan Shakila. Biar puas hati abang.  Puas hati Shakila.

Berkali-kali aku mengirimkan pesanan ringkas yang menunjukkan ketidaktenteraman jiwaku. Syamil langsung tidak mengendahkannya. Syamil menyeksa aku dengan sikapnya macam lembu kenyang itu. Otakku seolah ingin berkecai kerana memikirkan kekecewaan, penganiayaan yang aku terima sebagai ganjaran kepada segala pengorbananku untuk dirinya dan keluarganya.

JIWAKU kembali tidak tenteram dengan perkhabaran terbaru itu. Berapa kalikah Syamil ingin membohongi diri ini? Sudah acap kali. Fikiranku mengimbasi kembali segala pembohongan yang dilakukannya. Yang paling melukakan, di hari aku mengambil borang untuk memohon fasakh daripada Idham, Norshakila menghubungi telefon bimbitku dan bersuara seperti keldai memarahi aku. Sedangkan sebelum itu, Syamil bermatian menafikan kewujudan wanita yang pernah mengutusi e-mail kepadaku dan mengakui sebagai isteri keduanya itu. Kini peristiwa itu seolah berulang.
“Lidya, kenapa ni? Ke hulu ke hilir, mundar mandir di dalam rumah ni kenapa?” Idham menegurku. Mungkin dia perasan dengan tingkah lakuku seperti kucing kehilangan anak. Sudah dua tiga hari aku memendamkan keresahan di jiwa.  Keresahan yang terpintal dengan rasa kecewa yang maha menyakitkan semakin merimbun setiap saat. Hatiku pada waktu itu benar-benar sarat dengan belantara duka yang tidak boleh ditembusi oleh sesiapa pun juga.
“Tak ada apa.” jawabku. Kaki tanganku mulai rasa kebas-kebas. Dadaku berdegup kencang. Aku bernafas tercungap-cungap. Rasa marahku terhadap Syamil dan Norshakila tiba-tiba memuncak. Jika keduanya ada di hadapanku, akanku rodok hatinya dengan pisau. Biar mereka rasakan betapa sakitnya hati dan perasaan yang dipermainkan, dilukai, dianiayai dan dikoyak rabakkan. 
“ Kenapa ni? Jangan nak tipu abang! Abang dah tua! Abang tau, mesti Hani ada sorokkan sesuatu daripada abang!”  Persoalan daripada Idham aku rasakan terlalu menekan perasaanku.
“Tak faham ke? Lidya kata tak ada apa, tak ada apalah!”  Aku menjerit dengan suara yang keras. Tiba-tiba aku menangis meraung-raung. Hatiku terlalu sakit dengan perbuatan Syamil.  Cintaku bukan sahaja dilukai, malahan dikoyak rabak dengan amat kejam. Rasa pedih dan perit akibat kelukaan itu berdenyut-denyut sehingga ke hujung jejariku. Aku meramas-ramas jari-jariku sendiri.
“Siapa ganggu fikiran Lidya ni? Dia dah selesaikan hutangnya ke belum?” Beberapa bulan berdiam diri, Idham kembali mengungkit soal hutang Syamil.
“Belum! Dia tipu Lidya! Dia kata dia dah berpisah dengan Shakila, rupa-rupanya perempuan tu dah pindah duduk dekat dengan dia! Lidya dah hantar e-mail berkali-kali minta selesaikan hutang, tapi mereka tak balas! Lidya telefon,dia tak mahu jawab!” Aku menangis tersedu-sedu sambil duduk di atas sofa. 
“Lidya! Sekarang Lidya cakap dengan abang!  Lidya nak selesaikan masalah ini sendiri ke atau abang yang pergi cari dia dan selesaikan masalah ini?”  Idham bersuara agak kuat. “Abang tak suka sesiapa pun buat tak tentu kepada isteri abang! Mereka toucher mental Lidya! Sampai Lidya jadi begini! Abang cari dan ajar mereka cukup-cukup! Jangan buat main!”   Suara Idham lebih kuat dari tadi.
Aku berterusan menangis seperti kanak-kanak.  Meraung-raung. 
“Abang pergi pecahkan kepala si keparat tu kalau Lidya terus berkeadaan begini!” Jari tangan Idham memintal cuping telingaku.
“Abang tu cakap saja! Abang dah tahu orang buat aniayai pada isteri abang, abang biarkan saja! Baik abang selesaikan sebelum Lidya pergi bunuh dia!” Entah mengapa tiba-tiba saja ayat yang mencabar kewibawaan Idham terungkap dari bibirku.
“Lidya! Abang beri Lidya tempoh sehingga hujung tahun.  Suruh Syamil selesaikan segala hutangnya walaupun satu sen…tapi ingat! Lidya jangan selalu sangat berhubung dengan dia! Kalau Lidya asyik desak dia, mestilah dia lari! Abang dah faham sangat dengan perangai orang macam ini! Minta elok-elok! Beritahu dia, abang mahu dia kembalikan segalanya dengan cara yang terbaik, tanpa rasa marah, permusuhan.Lepas tu Lidya jangan nak berhubung dengannya lagi. Putus terus!!!”  Amaran daripada Idham terlalu keras.
Dengan sedu-sedan yang masih tersisa, aku mengangguk tanda menyetujui permintaan Idham walau hati rasa kosong tak semena-mena. Siapalah aku tanpa Syamil? Alangkah sakitnya bila berada di dalam keadaan yang terluka, tetapi orang melukakan itu dirindui pula.
“Ikutkan hati abang, tak payahlah tuntut balik semua hutang itu, biarkan saja. Biarkan ALLAH yang beri balasan kepadanya kerana aniayai orang. Dah di tolong, buat orang macam ini!” Idham merungut perlahan.
“Sebelum hujung tahun, bang? Hari ini dah 20 Disember!  Kalau dia tak boleh macam mana?” Aku memandang wajah Idham. Bimbangnya aku jika Idham melakukan sesuatu yang buruk terhadap Syamil.
“Itu bukan masalah abang! Suka hati dia! Nak minta bini dia ke? Nak pinjam dari orang ke? Nak pergi merompak ke? Faktanya, before end off this year, semua mesti selesai!” Idham bersuara tegas.  Jelas dia juga sudah bosan dengan sikap Syamil. 
Aku terus menangis tersedu-sedu. Bimbangkan keselamatan Syamil. Risaukan kesihatan Idham.
“Lidya! Sudah! Jangan nak menangis lagi! Beri semua maklumat si Syamil tu kepada abang! Jangan nak lindungi dan sorokkan apa-apa! Nahas!” Idham sekali lagi memberi amaran. “Dua-dua nahas nanti! Baik kamu, baik dia!” Dia bersuara lebih keras.
Aku terketar-ketar mengikut perintah Idham. Dengan jari yang gementar, aku menulis semua nombor yang menjadi milik Syamil. Daripada nombor telefon bimbit, nombor telefon rumah, nombor akaun, nombor telefon Norshakila dan segala apa yang aku tahu tentang Syamil dan keluarganya. Bisnes kad milik Syamil yang memaparkan alamat siber kafenya turut berada di genggaman Idham.
“Abang! Abang janji dengan Lidya, jangan apa-apakan Abang Syamil! Tolong bang!  Lidya sayang pada dia!”  Tanpa rasa takut aku berterus terang dengan Idham dengan air mata berlinangan.
“Sayang? Kurang ajar! Eh, Lidya! Kamu cakap lagi sekali, aku pergi cari dia malam ini juga! Aku hancurkan mukanya!  Dia dah buat aniaya pada kamu! Tipu harta benda dan wang ringgit kamu! Kamu tergamak mengaku sayang pada jantan itu di hadapan aku!” Idham benar-benar marah. Aku ketakutan.  Bodohnya aku menyirami minyak ke arah api yang sedang marak. Nasib baik aku tidak ditempeleng oleh Idham.
“Kamu ingat Lidya, sewaktu Syamil akan memulangkan segala barang kemas kamu yang telah dipinjamkannya, abang mesti ada bersama. Abang tidak benarkan kamu bertemu dengannya secara berdua-duaan!” Idham memberi amaran lagi. “Abang akan buat laporan polis terlebih dulu... sebelum abang berjumpa dengannya!” suaranya bersahaja. 
Aku tersentak. Aku semakin gelisah dan resah.  Otakku ligat berputar memikirkan cara yang terbaik untuk menyelamatkan kedua–dua pihak.

AKU menanti hari esok dengan perasaan yang tidak sabar.  Dalam waktu tiga hari  ini, aku telah memujuk Syamil supaya datang menemuiku di daerahku. Sementara menunggu hari yang dijanjikan aku terpaksa membenamkan rasa marahku dengan sikapnya yang telah membohongi serta mempermainkan hati serta perasaanku. 
Esok, aku akan membuat perhitungan terakhir dengan Syamil. Selama setahun ini, dia mempermainkan hatiku dalam soal hutang dan menyakiti serta mengoyak-ngoyakkan perasaanku. Aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana jarak kami yang jauh. Syamil telah mendera perasaanku dan mencampakkan diriku dalam lautan duka sengsara yang teramat azab aku rasakan. Lepas satu perkara ke satu perkara yang dilakukannya. 
Aku meraba-raba sebilah pisau belati yang panjangnya lebih kurang lima inci di dalam bag tanganku. Pisau itu telah beberapa kali aku asah dan menyembunyikannya dari pengetahuan Idham. Belati itu telah aku balut dengan tuala tangan berwarna biru. Kali ini aku benar-benar nekad. Apa pun yang akan terjadi, aku sanggup menghadapinya. Pantang aku dipermainkan serta dibohongi.
“Hani, kita nak jumpa di mana nanti?” Begitulah  kata  Syamil dua hari yang lalu.
Aku menghubunginya, untuk memastikan yang dia benar-benar akan menunaikan janjinya. “Dekat resort yang Hani beritahu kelmarin. Resort tu dekat dengan sungai.” Aku bersuara perlahan. Aku memejamkan mata.
 Di dalam fikiranku sarat dengan rancangan. Di mataku seakan terbayang bagaimana keadaan Syamil sewaktu aku mengacukan pisau belati itu dipinggangnya sewaktu kami berada di tepi sungai itu.  Jika dia terus dengan sikapnya endah tidak endah kepada perasaanku, aku akan membenamkan pisau itu dipinggangnya dan tubuhnya akan aku terajang ke dalam sungai yang sememangnya sedang mengalir deras, keruh serta dalam airnya. 
Astaghfirullahalazim. Ya ALLAH, sampai begitu sekali fikiran jahatku. Tidak mungkin aku melakukan perkara keji itu kepada lelaki yang aku cintai. Walaupun kini aku benar-benar berada di dalam persimpangan, rasa marah, kecewa dan cinta, tergamakkah aku untuk melakukan semua itu. 
“Helo! Hani, mengapa tiba-tiba diam ni?” suara Syamil di hujung telefon mengejutkan aku. Aku kembali ke alam nyata.
“Sorry! Sorry! Hani terkhayal pula.”  Pantas aku menjawab dan menyambung bicara. “Abang call Hani bila abang dah sampai. Tunggu di stesen bas, Hani datang dan abang follow kereta Hani untuk ke resort itu,” ujarku lagi berhati-hati. Aku merancang sebaiknya.
“Pukul berapa?” Syamil menyoal lagi seolah terlupa dengan segala janji yang telah dipadukan denganku beberapa hari dulu.
“Lepas pukul 12.30 tengah hari. Bukankah Hani telah beritahu abang. Hari itu Hani akan menduduki peperiksaan kakitangan awam. Selesai exam baru kita boleh jumpa! Dapat jumpa satu jam pun jadilah!” Aku masih berlembut dan cuba memujuk hati Syamil. Syamil tentu akan menolak jika aku berkeras dengannya.
“Yalah, apa pun nanti abang akan hubungi Hani.  Insya-ALLAH kita akan berjumpa.” Kedengaran suara Syamil bercakap separuh hati.
“Abang bawa barang-barang itu semua! Selepas ini segalanya akan selesai dan kita akan berpisah.” Bibirku bergetar sewaktu menyuarakan kata-kata itu.
Syamil tidak menjawab satu patah perkataan pun sebaliknya menamatkan perhubungan telefon. Mungkin dia rasa tertekan dengan permintaanku.

SEDANG aku menggosok pakaian untuk aku pakai keesokan harinya, aku mendengar isyarat mesej dari telefon bimbit yang aku simpan di dalam beg tangan. Mesej daripada Syamil menjenguk ke skrin telefon bimbitku pada pukul 11.30 malam.

Hani maafkan abang. Esok abang tidak dapat datang seperti yang dijanjikan. Esok hari pertama persekolahan.  Abang perlu menguruskan anak-anak ke sekolah. Insya-ALLAH, lain kali kita jumpa.

Aku kecewa apabila membaca mesej itu. Lagi sekali Syamil menghampakan harapanku. Malam itu, aku menangis tersedu-sedu. Mengapa baru malam ini dia membatalkan janji temu itu? Bukankah perjanjian itu sudah dibuat beberapa hari yang lalu? Mustahil dia tidak teringat tentang urusan persekolahan anak-anak sewaktu memadu janji denganku? Mengapa saat ini baru teringat dan janji untuk bertemu denganku dipinggirkannya? Masakan menguruskan hal yuran anak-anak sampai satu hari?

DI DALAM dewan peperiksaan, aku hilang semangat.  Segala apa yang aku baca bertabur entah ke mana. Ternyata kosentrasiku menjurus kepada Syamil.  Lagi dua tiga hari, tahun baru akan bermula. Aku bimbang Idham akan mengambil tindakan. Jiwaku benar-benar rasa tidak tenang. Rasa bimbang dan sedih berbaur sepanjang masa.
Selesai sahaja menduduki peperiksaan aku terus pulang ke rumah dengan wajah yang selamba. 
“Macam mana? Boleh jawab?” Idham menyoal aku sebaik sahaja aku muncul di dapur. Dia sedang menyusun pinggan mangkuk ke raknya.
“Boleh! Insya-ALLAH...” Aku menjawab perlahan, menyembunyikan keresahan dan kekecewaan yang sedang berakar di jiwa.
Petang itu, sewaktu Idham sibuk dengan bunga-bunganya di belakang rumah kami, aku mengambil telefon bimbit dan bercadang SMS Syamil. Aku mendendami Syamil kerana memungkiri janjinya dan mula menyakitkan hatinya mengenai soal hutang. Aku mula menghantar SMS yang berulang–ulang mengenai tuntutanku itu untuk mengujinya.
Sebenarnya aku tidak mahu lagi semua itu. Aku sudah terlalu letih dengan alasannya. Tambahan pula pada waktu itu situasi kewanganku sudah pulih. Aku boleh membeli barang emas yang baru lebih daripada berat emas yang telah aku pinjamkan kepada Syamil, jika aku mahu. Namun, aku bukanlah jenis wanita yang sebegitu. Wang yang ada harus diguna berhati-hati. Yang aku mahukan ialah Syamil mengatakan begini,

Hani, abang sayangkan Hani. Abang boleh mencari seberapa banyak wang dan segunung emas, tetapi abang tidak mahu kehilangan Hani. Hani lebih bernilai daripada emas dan wang.

Tetapi dia tidak mahu berkata demikian. Ternyata Syamil sangat ego dan pandai membelit dalam kata-katanya. Pada mulanya dia menyetujui untuk mengembalikan emas yang kupinjamkan. Dari dulu lagi dia telah berjanji begitu.  Mungkin kerana pada waktu itu dia tidak mempunyai wang yang cukup, lalu dia memutarkan segala janjinya.

Abang akan bayar ikut harga yang abang jual, bukan mengikut harga emas sekarang.

Yang menyakitkan hatiku, Syamil berbohong mengenai jumlah wang yang diperolehinya. Jika benarlah dia seorang businessman, masakan dengan aku pun dia terlalu berkira.  Jumlah yang disebutkan kepada aku kurang 300 ringgit daripada apa yang telah disebutkannya kepada aku sewaktu menjual barang kemasku itu empat tahun yang lalu. Tergamaknya dia  dia membohongi orang yang membantunya sewaktu dia dalam kesulitan. 

Jika benar, abang tunjukkanlah resit. Aku terus menguji Syamil untuk mengetahui apa pula helahnya untuk membohongi aku.

Buat apa resit! Dalam e-mail kan ada? Begitulah jawapan Syamil. 

Hai, bukankah abang sudah delete semua e-mail abang dalam e-mail Hani.

Untuk menguji Syamil, aku pura-pura berkeras dan tetap mahukan jumlah wang mengikut harga emas semasa.
Soalnya barang itu barang lama.

Begitulah bunyi  pesanan ringkas daripada Syamil.  Sedikit pun dia tidak mahu rugi dalam soal wang walaupun kepada orang yang telah berkorban untuknya. Alangkah sakitnya hatiku membaca pesanan ringkas demi pesanan ringkas daripada Syamil. Pesanan ringkas itu seolah bermaksud aku sengaja memerangkap Syamil. Memberinya barang lama dan meminta barang yang baru. Kekerasan hati Syamil menyebabkan hatiku juga menjadi keras. Aku terus mengujinya.

Barang lama pun, ia dah berjasa kepada abang! Masih ada nilai! Waktu abang jual dapat juga beribu. Hani tidak peduli.  Abang ganti juga dengan barang emas seberat mana yang Hani pinjamkan kepada abang. Takkanlah beri pinjam kambing, abang nak gantikan dengan beruk.

Alangkah sakitnya hatiku. Syamil membalas pesanan ringkasku seperti ini. 

Apalah fikiran Hani sempit sangat! Berfikir macam budak-budak tadika.

Keasyikanku berperang pesanan ringkas dengan Syamil, menyebabkan aku tidak sedar kehadiran Idham di hadapanku.
“Lidya SMS siapa?” Teguran Idham menyentakkan aku.
“Abang Syamil!” Aku menjawab jujur.
“SMS apa?” ujar Idham lagi sambil melirikku dengan ekor matanya. Dengan dada berdebar aku pun menceritakan kepada Idham.
“Lidya ada simpan semua pesanan ringkas yang Lidya terima daripada dia?” Idham seolah menguji aku. 
“Ada juga! Yang penting-penting semua Lidya simpan!”  Sekali lagi aku menjawab sejujurnya.
Idham diam. Dia pergi ke singki dan membasuh tangannya. “Bacakan! Semuanya sekali! Jangan sorokkan apa-apa daripada abang!” Dia mencapai kerusi kayu bulat dan duduk berdepan denganku. 
Aku berasa gugup tiba-tiba. Enggan mengikut arahan Idham, mungkin telefon bimbitku akan menerima padah.  Habislah segala ucapan manis dan indah daripada Syamil yang telahku simpan bertahun. “Nak baca semua ke bang?”  Menutupi kegelisahan yang semakin mekar di jiwa aku bertanya bodoh.
“Baca!” Idham menengking.
Aku yang ketakutan terus membaca pesanan ringkas daripada Syamil mengenai alasannya untuk membayar hutang satu per satu. Pesanan ringkasnya yang menyentuh soal hati dan perasaan kami, semuanya aku sembunyikan dan tidak membacanya. 
“Lidya! Telefon Syamil sekarang juga! Abang hendak bercakap dengannya!” arah Idham dengan nada tegas. 
Aku benar-benar tersentak.  Ketakutan memalu jiwaku. 
Idham bangun dari kerusi dan menuju ke meja. Di situ aku telah menyediakan segelas air sejak dari tadi.
“Sekarang?” Aku terkulat-kulat memandang Idham yang sedang meneguk air dari gelas.
“Ya. Sekarang juga!.”  Idham bertegas. 
Aku tahu apa akibatnya jika aku membantah atau menghalang kehendak Idham, lalu dengan jari yang terketar aku menekan nombor telefon bimbit Syamil dan menyerahkan gagang telefon kepada Idham. 


Tiada ulasan: