Hujan rintik-rintik menyambut kedatangannya sebaik sahaja
keretanya diparkir di ruang parkir di belakang bangunan pejabatnya. Sudah
beberapa hari Sharina memulakan tugasnya kembali. Kamal masih berada di wad di
Hospital Pantai Puteri, Ipoh.
Rutin kehidupannya kini berubah
secara total sejak kemalangan itu. Setiap malam, dia menunggu Kamal di wad dan
kembali ke rumah pada pukul 6.00 pagi untuk mandi dan bersiap sebelum memulakan
perjalanan ke tempat kerja di Taiping. Memanglah amat memenatkannya.
“Assalamualaikum, Rin.”
Suara emak mertuanya yang
menjengah ke gegendang telinga pada awal pagi membuat perasaannya rasa tidak
selesa.
“Waalaikumussalam, mak...” jawab
Sharina lembut.
“Mak ada di hospital ni. Baru
lepas lapkan Kamal,” beritahu emak mertuanya.
“Terima kasih, mak sebab tolong
jengukkan Abang Kamal,” balas Sharina berbasa-basi. “Jururawat tak lap abang
ke, mak?” soal Sharina perlahan. Telefon dilekapkan di telinga kuat-kuat dan
dikepit dengan sebelah bahunya.
“Dah! Tapi saja mak nak lapkan
sekali lagi,” beritahu Mak Cik Mariah.
Sharina berasa lega. “Terima
kasih, mak. Pagi tadi sebelum Rin balik ke rumah kalau nak lapkan abang pun
awal sangat lagi, sejuk...” beritahu Sharina.
“Urusan mak dah selesai?” tanya
emak mertuanya lagi.
Sharina mengeluh perlahan. Dia
sudah menjangka pertanyaan yang akan keluar daripada bibir emak mertuanya itu.
Hampir empat tahun menjadi menantu wanita itu, karakter emak mertuanya difahami
benar. Sekiranya hendakkan sesuatu, suka mendesak selagi tidak diperoleh apa
yang diingininya.
“Alhamdulillah, mak...” jawab
Sharina perlahan.
“Dah buat macam yang emak suruh?”
tanya emak mertuanya lagi.
“Dah emak,” jawab Sharina
ringkas.
“Minggu lepas Rin dah pindahkan
ke akaun mak,” beritahu Sharina jujur. “Rin dah beritahu pada emak, kan?” tanya
Sharina pula.
“Rin, ingat! Biar pecah di perut,
jangan pecah di mulut,” kata emak mertuanya memberi amaran.
“Yalah, mak.... Rin faham,” jawab
Sharina.
“Dengan kak ngah pun Rin jangan
beritahu,” pesan emak mertuanya lagi. “Ini rahsia antara kita berdua saja,”
sambungnya lagi terus memberi amaran. “Jangan sampai Kamal tahu...”
“Baik, mak...” janji Sharina.
Jika tidak mengingatkan yang ALLAH telah memerintahkan sekalian hamba-NYA untuk
melakukan kebaikan pasti kehendak emak mertuanya itu diabaikan begitu sahaja.
“Lagi satu Rin. Dengan emak dan
abang Rin pun, kamu jangan sesekali nak bercerita. Ingat tu!” Dia terus
menghentikan perbualan mereka tanpa pamitan atau ucapan salam. Apatah lagi
ucapan terima kasih.
Sharina menggeleng-gelengkan
kepalanya.
Terperanjat
Sharina sebaik sahaja masuk ke dalam bilik yang menempatkan Kamal, bilik itu
telah dihuni oleh pesakit lain.
“Encik Kamal dah keluar petang
tadi.”
Perkhabaran itu mengejutkan
Sharina. “Keluar? Siapa yang bawa dia keluar?” soal Sharina sambil mengerutkan
keningnya. Hospital persendirian itu dibayar khidmatnya, mustahil pesakitnya
dikeluarkan sesuka hati.
“Sebenarnya emak Encik Kamal yang
beria-ia hendak bawa Encik Kamal balik,” beritahu jururawat dengan perasaan
serba salah.
“Baiklah. Terima kasih!” balas
Sharina lalu beredar dari situ dengan perasaan hampa. Dia menelefon emak
mertuanya, namun tidak mendapat jawapan.
Sharina terpaksa pula memandu
menuju ke rumah emak mertuanya di Kampung Sungai Tapah. Sekali lagi hatinya
terhumban di lautan kecewa. Rumah emak mertuanya gelap- gelita sewaktu dia
sampai ke sana kira-kira 8.30 malam.
‘Ya ALLAH, kenapa mak buat macam
ni? Di mana nak cari Abang Kamal ni?’ soal hatinya yang mula diasak rasa sedih.
‘Agaknya emak balik ke rumah di
Kampung Manjoi... tapi Abang Kamal tak ada kunci rumah..’ Hati kecil Sharina
terus bermonolog sendiri. Di saat ini hanya kesabaran yang dapat mengampuhkan
hatinya.
Rembulan sudah menunjukkan
wajahnya sebaik sahaja kereta yang dipandu Sharina tiba di depan pintu pagar
rumahnya di Kampung Manjoi. Dia menyalakan lampu kereta ke tahap maksima untuk
menyuluh pagar yang tertutup rapat.Tangannya segera mengambil alat kawalan jauh
sambil menekan punatnya.
“Kenapa tak boleh buka pula pagar
ini?” rungut Sharina. Dia mencuba berulang kali, namun kecewa. Mahu tak mahu,
dia terpaksa turun dari kereta yang dipandunya untuk memeriksa pagar jika ada
sesuatu yang menyekat pergerakannya.
Sharina terjelepok di hadapan
pagar rumahnya sambil merintih sendiri. Pagar rumahnya sudah dirantai!
Baru dia memasuki keretanya
semula sebuah Pajero berhenti di belakang keretanya. Sharina keluar semula lalu
menerpa kepada abangnya yang baru keluar dari kenderaannya.
“Assalamualaikum,” sapa Hisham.
“Rin, Kamal dah balik ke rumah ke?” soalnya sebelum sempat Sharina menjawab
salamnya.
Mendengar pertanyaan Hisham itu,
Sharina terus menangis kuat.
Hisham tersentak. Dia bercekak
pinggang seketika.
“Apa yang dah berlaku, Rin?” soal
Hisham.
“Abang, Rin tak tahu Abang Kamal
pergi mana,” jawab Sharina.
“Kamal ke mana pulak?” soal
Hisham sambil merapati Sharina yang tersedu-sedan.
“Balik dari ofis, Rin terus
berkejar ke hospital, tapi orang hospital beritahu Abang Kamal dah balik! Rin
berkejar pulak ke rumah emak mertua Rin, tapi rumah kosong aje! Rin balik ke
rumah ni, tapi...” kata-kata Sharina disambung dengan tangisannya.
Hisham menggaru kepalanya yang
tidak gatal.
“Rin nak masuk ke dalam rumah pun
tak boleh! Abang tengoklah pagar tu dah kena rantai..” adu Sharina dengan
perasaan sesal.
“Subhanallah.
Astaghfirullahalazim. Sabar, Rin... Rin dah telefon mak mertua Rin?”
Sharina mengangguk laju.
“Tak ada jawapan?” soal Hisham
lagi.
Sharina menggeleng seolah-olah
kehilangan kata-kata.
“Dah hampir 11.00 malam, Rin. Jom
kita balik rumah di Gopeng dulu. Rin dah makan ke belum?” soal Hisham lagi.
Belas hati melihat adiknya itu tidak berhenti dilanda musibah.
“Rin, janganlah menangis lagi!
Air mata Rin itu akan melemahkan hati Rin. Rin mesti kuat dan tabah hati untuk
mengharungi hari-hari mendatang ini! Kamal tu perlukan sokongan Rin,” nasihat
Hisham sambil memeluk bahu adiknya.
“Rin dah letih, abang. Letih
sangat. Rin bimbangkan Abang Kamal juga,” rengek Sharina sambil memeluk
abangnya.
“Rin... perjalanan hidup Rin
masih terlalu jauh dan panjang. Sekarang ini, Rin harus berdikari untuk jaga
diri Rin sendiri dan diri Kamal. Kamal dah hilang keupayaan, Rin...” nasihat
Hisham lagi.
Lontaran kata-kata Hisham itu
membuatkan perasaan Sharina bertambah sebak.
“Semakin Rin melangkah menuju
kedewasaan, semakin banyak cabaran yang mendatang. Sekarang ni, Rin kena
berdepan dengan segalanya. Kamal yang sakit dan hilang upaya, emak mertua Rin,
kakak ipar Rin, tugas-tugas di pejabat! Segalanya akan menjadi rumit kalau Rin
tidak mampu menghadapinya dengan kebijaksanaan dan kekuatan dalaman.”
“Abang... Rin faham, tapi
segalanya mendatang dalam waktu yang sama. Rin rasa tak berdaya, bang...” Hati
yang segagah gunung pun akan berderai jika dihempas dengan gelombang ujian yang
bergelora.
“Begitulah kehidupan, Rin. Rin
harus bersedia untuk berjuang! Demi cinta Rin kepada Kamal. Demi cinta Kamal
kepada Rin. Demi rumah tangga Rin,” nasihat Hisham penuh makna yang tersirat.
Dia tahu emak mertua adiknya sedang mengambil kesempatan di atas diri Kamal
yang sudah hilang keupayaan itu.
“Apa juga yang terjadi, Rin
terimalah dengan sabar ya? Setelah itu serahkan segalanya kepada ALLAH. ALLAH
lebih mengetahui apa yang baik untuk Rin dan Kamal.Insya-ALLAH... DIA sentiasa
berserta dengan orang-orang yang sabar,” pujuk Hisham lagi.
‘Demi cintaku kepada Abang Kamal,
aku rela lakukan apa sahaja untuk kebahagiaan dan kegembiraannya. Walaupun dia
cacat dan tidak sempurna.
“Insya-ALLAH, bang... Rin akan
ikut segala nasihat abang. Rin sayang Abang Kamal, bang... Sayang sangat,”
jawab Sharina dengan linangan air mata.
“Okey, abang tahu!” jawab Hisham
sambil mengesat air mata Sharina dengan ibu jarinya. “Jom,cepat kita bergerak!
Jangan risau tentang Kamal. Dia mesti berada dengan emaknya. Tahulah emaknya
nak menjaga dia,” kata Hisham sebelum memasuki keretanya semula. Sharina
terdiam.
“Rin ikut kereta abang ya? Kita
singgah di mana-mana restoran. Perut abang pun dah lapar, belum makan sejak
tengah hari tadi.” Hisham bersuara kuat
dari keretanya. Pajeronya bergerak perlahan-lahan diekori oleh kereta Honda
Accord yang dipandu oleh Sharina. Dua beradik itu membelah kegelapan malam yang
semakin melabuhkan tirai hitamnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan