Kokokan ayam jantan yang sedang bertenggek di atas tunggul
pokok langsat di belakang rumah menyakitkan telinga Mak Cik Mariah. Dia
mengambil sebiji tempurung lalu memenggal ayam jantan yang belum berhenti
menganga. Riuh-rendah bunyi suara ayam yang bercempera melarikan diri. Setelah
itu ayam jantan terus senyap.
“Hah, tahu pun diam! Nak berkokok
pergilah ke tempat lain!” rungutnya lalu masuk semula ke dalam rumah. Kokokan
ayam tidak lagi kedengaran.
Ainun yang duduk di meja makan
ketawa mengekek mendengar emaknya bercakap dengan ayam jantan.
“Mana dia mak?” tanya Ainun
sebaik sahaja tubuh emaknya tercegat di sisinya. Sudah berminit-minit dia
menunggu barang yang hendak diberikan kepadanya.
Mak Cik Mariah mengambil sampul
surat besar dari dalam gobok bersebelahan dengan peti ais.
“Nah! Itu aja yang ada,” kata Mak
Cik Mariah kuat.
Ainun tersenyum lebar sebaik
sahaja menerima bungkusan sampul surat besar daripada emaknya. Dia pun
menunggingkan sampul surat itu di atas meja sehingga memuntahkan isinya. Lima
ikat not RM50 tergolek di atas meja.
‘Satu ikat ada lima ribu. Lima
ikat...” Ainun mencongak beberapa kali. Maklumlah, pada zaman persekolahan
dulu, dia memang lemah di dalam subjek Matematik.
“Hisy! Lemah betul otak kau ni,
Nun! Nak kira duit banyak itu pun terkebil-kebil sampai naik putih bijik mata
kau!” ejek Mak Cik Mariah.
“25 ribulah, bengap betul! Sebab
itulah cita-cita nak jadi akauntan tak menjadi! Cuba tengok adik kamu tu! Waktu
bersekolah otaknya bergeliga. Dari umur tiga tahun dah bercita-cita hendak jadi
engineer, akhirnya tercapai jugak,” sambung Mak Cik Mariah lagi.
“Alah... jadi engineer pun
dah tak ada maknanya lagi, mak kalau dah tergedang atas katil tu!” sindir Ainun
pula. Sekali lagi dia mengira duit di atas meja.
“25 ribu mana cukup mak! Mak kata
nak bagi saya seratus ribu! Kalau macam ni, susahlah saya dan Abang Zarif,
mak...” kata Ainun dengan wajah tidak puas hati.
“Bila masanya emak berjanji
dengan kamu nak bagi seratus ribu?Banyak cantik! Dah emak bagi tu bukannya tahu
nak ucapkan terima kasih!” bidas Mak Cik Mariah.
“Alah, takkanlah dapat-dapat aje
terus nak ucap terima kasih! Kalau makan nasi pun kena suap dulu ke mulut lepas
tu kunyah... bukannya terus telan,” jawab Ainun sengaja hendak mengapi-apikan
emaknya.
“Kalau bab memutar-belit
percakapan emak, memang kamu pandai, Nun!” balas Mak Cik Mariah.
Dua beranak ini jika bertemu
kalau tidak bertekak tidak sah pertemuan mereka itu.
“Habis tu, siapa cikgu besarnya,
mak?” tukas Ainun pula sambil melambakkan tawanya.
Mencerlung mata Mak Cik Mariah.
Dia rasa tersindir.
“Emak dapat duit dari mana ni?
Emak minta dengan Kamal ke?” tanya Ainun bersungguh-sungguh.
“Emak keluarkan duit simpanan
emaklah! Nanti kamu kena bayar balik! Bagi emak RM50 ribu,” jawab Mak Cik
Mariah bersahaja.
“Amboi, mak... mengalahkan
Ahlong!” perli Ainun.
“Kalau tak nak, bagi sini duit
tu! Biar emak simpan dalam bank balik!” ugut Mak Cik Mariah dan berpura-pura
ingin mengambil sampul surat besar itu semula.
“Alah, mak ni. Nun nak bergurau
pun tak boleh.”
“Mak... kalau bisnes Abang Zarif
sudah pulih esok-esok, usahkan RM50 ribu, kalau emak nak minta lima juta pun
boleh, mak!” sambung Ainun lagi.
“Kau tu, bercakap bukan main
lagi! Berjanji pun bukan main. Mengalahkan menteri. Nak bagi emak lima ringgit
pun susah... ini kan pulak lima juta!” sanggah Mak Cik Mariah dengan nada
geram.
“Mak!” Terdengar suara Kamal
melaung dari dalam biliknya.
“Kamal nak apa, nak?” tanya Mak
Cik Mariah sebaik masuk ke bilik Kamal.
“Mak, tolong ambilkan saya
telefon mak?” pinta Kamal. Sejak semalam, dia tidak dapat mendengar suara
isterinya. Hati yang sedang dikepung duka semakin tidak bermaya rasanya.
“Kamal nak telefon siapa? Kalau
nak telefon Rin, dia dah pesan kepada emak, dia tak mahu Kamal ganggu dia
sewaktu dia bekerja,” beritahu Mak Cik Mariah sengaja mengada-adakan cerita.
Kamal terdiam cuba mencari akal.
Dia sudah lama mengenali emaknya. Mustahillah Sharina berubah sedrastik itu.
Yang dia tahu, Sharina kini mesti sedang menangis dan merinduinya. Kamal
percaya dan yakin sangat yang emaknya tidak memberitahu isterinya itu yang dia
telah dikeluarkan dari hospital. Jika tidak, mustahil Sharina tidak balik ke rumah
emaknya. Mesti emaknya sengaja tidak menjawab panggilan telefon daripada
isterinya juga.
“Allah, mak... takkan saya nak ganggu Rin sewaktu dia sedang
kerja! Saya nak telefon ke pejabat, mak. Ada beberapa perkara yang mesti saya
uruskan. Mak tolong tarik telefon talian tetap tu dan letakkan ke dalam bilik
ini,” kata Kamal dengan suara lembut.
“Lagipun saya nak hubungi
syarikat insuran, mak...” beritahu Kamal lagi.
Mendengar perkataan insurans,
terbuntang mata Mak Cik Mariah. Dia terus mencongak-congak. Banyak ke pampasan
yang boleh diperoleh oleh anaknya? Berapa ratus ribu? Mungkin suku juta,
mungkin setengah juta! Banyaknya! Semakin mewahlah bininya!’ Hati Mak Cik
Mariah membisik.
“Insurans? Kamal nak telefon
syarikat insurans? Nak buat tuntutan kemalangan tu ya?” tanya Mak Cik Mariah
bertalu.
Kamal mengangguk-anggukkan
kepalanya.
“Banyak ke yang Kamal boleh dapat
nanti?” tanyanya tidak sabar.
“Adalah sikit, mak.
Insya-ALLAH... ada rezeki saya nanti adalah untuk emak,” jawab Kamal lembut.
“Yalah.Mak pindahkan telefon tu ke bilik ini
sekarang juga,” jawab Mak Cik Mariah tanpa bertangguh.
Tidak sampai lima minit, telefon
sudah pun diletakkan berhampiran Kamal.
“Mak, saya nak minta tolong lagi
satu perkara, boleh tak?” tanya Kamal perlahan sambil menatap wajah emaknya.
Dia masih mencari akal supaya emak dan kak
ngahnya boleh meninggalkan dia bersendirian di bilik itu.
“Nak apa lagi? Kalau Kamal nak
makan, kak ngah tengah masak. Dah siap nanti, boleh emak suapkan,” beritahu Mak
Cik Mariah.
Kamal pun memberitahu perkara
yang diinginkannya.
“Nak solat? Dah tergedang begitu
nak solat apa? Kamal tu dah uzur dan tak ada kemampuan, tak apa kalau tak solat
pun,” jawab Mak Cik Mariah.
“Tak ada paksaan di dalam urusan
agama ni. Allah pun tahu keadaan
Kamal yang tak berdaya,” sambungnya lagi.
“Kaki yang patah tu masih
berbalut. Simennya pun belum dibuka lagi.” Mak Cik Mariah memberi alasan.
Sebenarnya, dia berat hati untuk
meninggalkan rumah jika tidak ada keperluan yang sangat penting. Jika keluar
pun hatinya tidak tenteram. Asyik teringatkan rumah. Asyik teringatkan wang
ringgit dan emas berlian yang tersorok di dalam almari. Kamal pula meminta
dibelikan debu tayamum untuknya.
“Mak, selagi nyawa tak sampai di
halkum, solat masih menjadi kewajipan, mak. Saya solat ikut keupayaan saya,”
jelas Kamal lagi dengan suara tenang.
“Yalah, mak pergi sekarang,” akui
Mak Cik Mariah.
Kamal terus
mengambil telefon yang diletakkan oleh emaknya tadi dan membawa ke atas
dadanya. Dia mendail nombor telefon dengan rakus. Perasaannya lega apabila
panggilannya segera dijawab.
“Assalamualaikum, Rin..” sapanya
sebaik sahaja mendengar suara isterinya.
“Abang...” Tangisan Sharina
kedengaran di telinga Kamal. “Abang pergi ke mana?” soal Sharina terus
menangis.
“Syhhh... jangan menangis,
sayang. Abang ada di rumah emak ni,” beritahu Kamal.
“Kenapa mak tak beritahu Rin nak
bawa abang keluar dari hospital?” tanya Sharina. “Puas Rin telefon emak, tapi
tak ada jawapan. Rin cari abang macam orang gila...” ceritanya pula.
Kamal tidak menjawab. Hatinya
berasa sebak. Dia membiarkan Sharina meluahkan isi hatinya. Dia faham perasaan
isterinya pada saat itu.
“Rin... abang minta maaf! Abang
tak berdaya, sayang! Mak kata, dia dah beritahu Rin. Abang nak telefon Rin pun
tak boleh sebab telefon bimbit abang kak ngah ambil. Dia kata nak caskan
bateri. Nak minta pihak hospital telefonkan, mak beritahu semua hal dia dah
bereskan. Dengan Rin pun dia dah beritahu,” cerita Kamal.
Giliran Sharina pula terdiam.
Situasi yang berlaku seolah-olah disengajakan oleh emak mertua dan kak ngahnya.
Entah apa tujuan mereka, Sharina tidak mahu meneka.
“Abang, Rin minta maaf sebab terpaksa tidur di
rumah emak di Gopeng,” cerita Sharina. Mahu tidak mahu Sharina terpaksa
bercerita tentang episod yang dilaluinya semalam.
“Sayang... kita berhenti di sini dulu. Rin pun
sedang kerja. Kerja elok-elok. Balik nanti bawa kereta berhati-hati,” pesan
Kamal. Dia terpaksa memendekkan perbualan dengan isterinya itu kerana perlu
menguruskan beberapa perkara lagi.
“Assalamualaikum, sayang...” ucap
Kamal.
“Waalaikumussalam. I Love you,”
jawab Sharina. Hatinya berasa lapang. Nafasnya dihela perlahan dan
dilepaskannya kembali.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan