KEESOKKAN harinya, Idham menghubungi Syamil lagi. Dia
menceritakan isi perbualannya dengan Syamil kepada aku sebaik sahaja aku pulang
dari pejabat pada petang itu.
“Macam mana Lidya boleh
berkawan dengan orang begitu? Bercakap berdolak-dalik. Lidya tahu tak pada
mulanya dia tak mahu ganti balik semua barang-barang itu!” Idham ghairah
bercerita.
Perasaan hatiku berbaur
antara suka dan duka. Kasihannya Syamil. Aku memerhatikan Idham yang sedang
duduk di kerusi rotan. Dia sedang menanti maklum balas daripadaku.
“Dia memang begitu! Itu yang
buat Lidya geram. Kalau cakap betul-betul, ikut janji takkan timbul masalah
sebegini,” ujarku pula. Nampaknya Idham lebih terbuka fikirannya kini. Dia tidak memarahi aku pun sewaktu aku
bercerita tentang Syamil.
“Macam
mana pula dia boleh bersetuju nak ganti semua barang tu? Apa yang abang
cakapkan kepadanya?” Aku merenung Idham sambil tanganku membuka brooch
di tudung.
Idham sedang memicit-micit
dahinya. “Abang tanya dia balik, Syamil, katakanlah awak ada dua buah rumah.
Ada seorang kawan awak mengadu hal dengan awak yang dia tak ada rumah. Dia
orang susah. Awak rasa kesian dan nak tolong dia, awak pun bagilah kawan awak
pinjam rumah sebuah untuk dia tinggal. Kawan awak jual rumah itu. Awak rasa
marah tak? Lepas tu, awak minta rumah awak, dia nak beri duit. Jumlah duit itu
pula lebih rendah daripada nilai rumah awak sebenarnya. Awak akan bersetuju ke
Syamil?” Dia terus bercerita dengan intonasi yang berbagai.
Idham,
sebagai seorang lelaki yang berusia tentulah mudah baginya untuk memerangi
saraf Syamil. Pengalaman hidup Idham tentu lebih banyak daripada Syamil. Aku
dapat membayangkan bagaimana fikiran Syamil pada waktu itu. Jika dia tidak
merasa insaf dan sedar segala kesalahan dan penganiayaan yang dilakukannya
terhadapku, aku pun tidak tahu hendak melabelkannya digolongan manusia yang
bagaimana. Penipu? “Seterusnya?” Aku
tertarik dengan cerita Idham.
“Dia kata, kalau hendak
membeli emas, masa ini dia tak cukup duit. Dia minta tangguh sampai tahun depan!” Nada suara Idham
seakan marah. Aku cuma tersenyum mendengar
cerita Idham.
“Abang cakap dengan dia.
Syamil, bukankah awak ada dua orang isteri. Apa yang menjadi masalahnya?
Takkanlah isteri-isteri awak tak ada barang emas. Awak ambillah daripada mereka
dan timbang sehingga cukup jumlah yang awak pinjam daripada Lidya tu,
kemudiannya serahkan kepada kami!” Nada
suara Idham semakin kuat. Nampaknya dia bersungguh-sungguh bercerita kepada aku tentang Syamil.
Aku
tertawa kecil. Aku pasti Syamil akan berasa tersepit dengan pendapat Idham itu. Kalau isteri-isterinya sanggup
berkorban untuknya, tak perlulah aku melakukan semua itu. Tak perlulah Syamil
merengek-rengek dan merayu-rayu meminta pertolongan daripadaku.
“Ya? Dia jawab apa bila abang
cakap begitu?” Mataku bulat memandang Idham.
“Lidya nak tau dia jawab
apa?” Idham mengerling kepada aku yang sedang menggigit sebiji epal hijau.
Aku diam tidak menjawab.
“Eh! Barang-barang kemas
isteri saya, saya tak mahu kacau!” Idham mengajuk nada suara dan intonasi
Syamil. “Geramnya abang. Abang pun kata pada dia! Hah! Tahu pun awak tak mahu
usik barang-barang kemas bini-bini awak! Lidya tu isteri saya! Yang awak
meminjam wang dan barang-barang emas dia tu buat apa? Boleh tak saya pinjam
wang atau barang kemas isteri awak? Boleh?” Idham terus bercerita. Aku terus
ketawa dengan cerita itu.
“Tak menjawab Syamil!” Idham
terus bercerita yang dia terus menasihati Syamil.
“Dah isteri saya tolong awak,
awak lukakan hati dia, lepas tu awak toucher mental dia! Awak tipu
dia! Awak beri dia macam-macam alasan! She’s very sensitive. Dia tak boleh terima yang awak menipu dia tau tak?
Syamil, awak sedar tak yang awak dan isteri-isteri awak telah menganiayai
Lidya! Awak mempermainkan perasaan dia!
TUHAN akan makbulkan doa orang yang teraniaya!” Nampaknya hari itu, Syamil
telah terkena buku dengan ruasnya.
Mungkin Idham telah bercakap dengannya di telefon berjam-jam.
“Kalau dia kata dia nak bayar RM10, 000 pun,
abang beritahu dia Lidya tak mahu! Lidya mahu emas, seberat mana yang Lidya
pinjamkan kepadanya tak lebih atau kurang walaupun 1gm.”
“Abang jangan bersetuju
apa-apa selain daripada janji yang telah dibuatnya sebelum ini. Dia akan datang ke bandar dan bertemu kita di mana tempat
yang kita telah tetapkan.”
Saat-saat
pertemuan antara Idham dan Syamil adalah saat-saat yang paling mencemaskan
hatiku. Setelah kegagalannya berdolak dalik dengan Idham berkenaan dengan
hutangnya denganku, Syamil bersetuju untuk menggantikan segala barang emas yang
telah dijualnya. Norshakila telah memberikan wang kepadanya. Itu yang
diceritakan Syamil kepada Idham. Idham telah melarang keras aku menghubungi Syamil dalam waktu itu.
“Jangan hubungi dan jangan
jawab telefon jika dia menghubungi Lidya!” Itu amaran yang aku terima daripada
Idham.
“Sepatah perkataan sahaja
Lidya bercakap dengan dia dalam waktu ini dan selepas hal hutang ini selesai,
nahas! Abang pecahkan kepala dia.” Idham tiba-tiba mengurut-ngurut dadanya.
Amaran demi amaran aku terima daripada Idham menyebabkan fikiranku bersimpang
siur. Fikiranku benar-benar buntu.
Perasaan hatiku sewaktu
menanti detik pertemuan itu hanya TUHAN sahaja yang tahu. Perpisahan. Hanya itu
yang bermain di fikiranku. Sanggupkah aku kehilangannya? Usia perhubungan kami
sudah menjangkau enam tahun. Walaupun
dia membohongi aku berkali-kali, ada kualiti dirinya yang sememangnya tidak
boleh aku lupakan. Sikap penyayang dan
memahami yang pernah ditunjukkan kepadaku sewaktu dulu, tidak ada siapa pun
yang dapat mengatasinya.
“Lidya, tolong picit kepala
abang ni! Sakit sangat rasanya! Tekanan darah abang naik agaknya! Geram betul
abang pada budak itu!” Idham merebahkan dirinya di atas lantai. Aku
terkalut-kalut menghampiri Idham.
“Sudahlah, bang! Jangan fikir
soal dia lagi! Nanti kesihatan abang terganggu!” Aku memicit dahi Idham.
Terbenih rasa bersalah di sudut hatiku kerana telah menyeret Idham di dalam
permasalahanku dengan Syamil.
KEESOKAN
harinya, awal pagi lagi aku telah membawa Idham menemui doktor kerana bimbang
kesihatannya.
“Suami
puan tak boleh susah hati, risau. Ini semua akan mempengaruhi tekanan darahnya!
Nasib baik cepat bawa ke hospital, jika tidak tentu lebih bahaya! Apabila
tekanan darah terlalu tinggi, pesakit mungkin akan diserang stroke! Kemungkinan
akan lumpuh atau berlaku pendarahan di otak!
Boleh mengancam nyawa.” Itulah kata-kata yang keluar dari doktor yang
merawat Idham. Kebimbangan yang telah menghuni di hatiku semakin bertambah
dengan pernyataan itu.
“LIDYA!
Syamil call abang, dia kata dia tak jadi datang! Dia kata dia nak poskan
semua barang-barang emas itu!” Begitu
aduan Idham kepadaku, sehari sebelum janji temu itu. Segalanya telah aku jangka. Syamil mula menunjukkan sikap pengecutnya.
Jika melalui pos, bagaimana aku memastikan yang barang-barang itu boleh sampai
ke tanganku? Jika tidak sampai, Syamil akan mengatakan bahawa barang-barang itu
telah dikirimkan dan sudah hilang di jalanan. Dia akan lepas tangan. Sekali
lagi dia menunjukkan sikap tidak bertanggungjawabnya. Sekali lagi dia cuba
mempermainkan orang lain.
“Abang jangan bersetuju
apa-apa selain daripada janji yang telah dibuatnya sebelum ini. Dia akan datang
ke bandar dan bertemu kita di mana tempat yang kita telah tetapkan.” Begitu pesanku kepada Idham, supaya dia dapat
menyampaikannya kepada Syamil. Mengulangi kata-kata serta pesanan yang telah
aku buat sebelum ini.
DI HARI
pertemuan, Syamil membuat hal lagi. Dia enggan mengikut janji yang telah
ditetapkannya dengan Idham. Dia meminta aku dan Idham datang menemuinya di lebuh
raya. Pada fikiranku, Syamil akan terus memecut keretanya melarikan dirinya
sebaik sahaja menyerahkan barang yang dijanjikannya itu. Terselamatlah dia
daripada Idham dan aku yang pasti akan memarahinya. Mungkin dia menyangka Idham
akan membelasahnya. Itulah yang menyebabkan dia menukar rancangannya di
saat-saat akhir. Namun, setelah dinasihati oleh Idham, Syamil bersetuju juga
mengikut janji awalnya. Datang ke bandar
tempat tinggalku.
AKHIRNYA
seperti yang dijanjikan, Syamil berada di hadapanku. Dia berseluar jeans biru
lusuh di padankan dengan baju T kuning. Inginku berlari ke dalam dakapannya
untuk melepaskan segala kerinduan yang terlalu lama bertahta di hati. Baru kaki
ingin melangkah, Idham telah memegang lenganku.
Pandangan mataku tertumpah ke
wajah Syamil yang tenang dan selamba. Mengekorinya ialah tiga orang kanak-kanak
dan seorang wanita yang bibirnya muncung seperti ikan puyu. Siapakah wanita ini? Ina atau Norshakila. Beribu
persoalan timbul di fikiranku. Aku mengharapkan kedua-dua isterinya yang
datang. Bolehlah aku melihat rupa paras mereka. Wanita yang datang bersama
Syamil ini bertubuh kecil dan giginya agak jongang sedikit. Dia kelihatan jauh
lebih tua daripada Syamil, walaupun umur mereka sebaya. Silap hari bulan orang akan mengatakan Syamil sedang
berjalan dengan kakak atau mak ciknya.
Wanita itu kelihatan serba
salah dan bergundah rupanya.
Ketidakselesaan perasaannya pada waktu itu terpamir oleh wajahnya yang
masam. Maklumlah dapat peluang bertemu dengan kekasih suami! Untuk menjelaskan
hutang pula!. Mungkin laut hatinya
bergelora dengan perasaan yang berbagai.
“Waktu bertemu, jangan
bercakap dengan Syamil walaupun sepatah! Sepatah saja Lidya bersuara kepada
Syamil, abang pecahkan muka dia!” Amaran
daripada Idham sewaktu kami di rumah tadi terngiang-ngiang di
telinga. Betapa inginnya aku untuk menyalami dan mencium tangan Syamil
sebagaimana selalu. Namun, aku tidak berdaya. Di sisiku ada suami yang telah
diamanahkan oleh ALLAH kepadaku. Di sisi
Syamil, ada isterinya yang memandang kepadaku dengan jengkel. Bibir Syamil pun
kulihat seolah ingin berkata sesuatu, namun segalanya seolah terhalang.
“Abang! Itulah Abang Syamil.
Yang pakai baju T Kuning!” Aku berbisik
kepada Idham. Syamil pada waktu itu dalam jarak tujuh atau lapan langkah dari
kami.
“Abang janji, tolong jangan
apa-apakan dia! Abang cakaplah dengan dia elok-elok! Lembut-lembut! Abang
jagalah maruah dia di hadapan isteri dan anak-anaknya.” Aku berpesan kepada Idham dengan perlahan
sambil tangan kiriku memegang erat lengannya. Aku bimbang Idham akan rebah
pengsan kerana rasa cemburu dan marahnya tidak dapat dikawal.
“Assalamualaikum! Apa khabar?
Terima kasihlah kerana datang!” Idham bersuara agak kuat dan terus menghampiri
Syamil yang kelihatannya tertakut-takut.
Namun, tangan Idham
disambutnya juga. Idham bersalam dan mengenggam tangan Syamil dengan kuat.
Idham kelihatannya tenang dan dapat mengawal perasaannya.
“ Ya! Waalaikumussalam, Encik
Idham! Maaflah! Saya lambat sikit tadi.” Syamil bersuara lembut dan
tenang.
Aku hanya mampu memandangnya tanpa berkata
sesuatu. Bagaimanapun aku bersalaman dengan wanita yang mengekorinya walaupun
pada mulanya dia enggan menghulurkan tangan.
“Ini isteri saya yang nombor
satu Encik Idham!” Syamil memperkenalkan wanita yang sedang beriringan
dengannya.
Idham bersalam dengan wanita
itu dan mengusap kepala anak-anak Syamil. “Hari ini kita selesaikan segalanya
dengan baik! Jom kita pergi ke restoran di hujung sana!” Idham berbual dengan
Syamil dengan nada mesra.
Mereka melangkah bersama-sama. Ada sekali
Idham ketinggalan di belakang dan aku yang beriringan dengan Syamil. Ingin aku
bersuara kepadanya untuk memohon kemaafan di atas apa yang terjadi, tetapi
lidahku kelu. Lautan hatiku semakin sarat dengan air mata. Kerongkong terasa
berpasir. Tangkai hatiku bagai
disiat-siat.
Di dalam
restoran, Idham duduk di sisi kiriku. Aku
duduk terlalu rapat dengan dinding. Di sebelah kiri Idham, ialah isteri Syamil
dan Syamil duduk bertentangan dengan Idham. Aku seolah pesalah yang selalu
diperhatikan oleh ketiga mereka dan tidak boleh bersuara apa-apa.
Syamil menghulurkan bekas
yang berisi barang emas kepada Idham. Mereka menunjukkan barang-barang kemas
itu kepadaku satu per satu. Rantai leher, loket, subang dan rantai tangan itu
langsung tidak menarik minatku. Maklumlah itu semua bukannya barang
kepunyaanku. Barang-barang yang menjadi milikku mempunyai nostalgia manisnya
sendiri.
Barang-barang yang berada di
hadapanku kini, tidak ada nilai itu. Yang pastinya barang-barang itu hanya akan
menyimpan nostalgia luka untukku. Puas berperang dan bergaduh bertahun-tahun,
baru hari ini dikembalikan. Itu pun dengan campur tangan suamiku, Idham. Tanpa
campur tangan Idham, mentalku akan terus di dera dengan sikap lembu kenyang
mereka.
Selepas peristiwa hari ini,
aku akan tahu adakah mereka benar-benar ikhlas membayar hutang dan menggantikan
kembali semua barang-barang itu kerana tanggungjawab atau kerana takutkan Idham
dan mahu aku berpisah dengan Syamil. Aku terus memandang ke
langit membiru melalui tingkap kaca. Syamil, isterinya dan Idham terus
berbual-bual.
“Macam mana Lidya? Setuju ke
dengan semua barang-barang ini?” Idham menyoal sambil menolak longgokkan
barang-barang emas itu ke hadapanku.
“Okey! Lidya tidak kisah
dalam bentuk apa pun. Emas serbuk pun tak apa
asalkan semua janji ditunaikan,” suaraku tersekat-sekat. Fikiranku benar-benar
berserabut pada waktu itu. Perhubunganku dengan Syamil akan berhujung beberapa
ketika sahaja lagi. Pernafasanku juga seolahnya sudah tiba ke garis penamatnya.
“Lidya pergi ke kedai emas
dan timbangkan semua barang ini!” Idham
mengarahkan dengan suara yang tegas tetapi perlahan. Sememangnya kami telah
berjanji dari rumah. Walau satu gram pun berat barang-barang itu melebihi
daripada apa yang telah aku pinjamkan, kami akan membayar kembali mengikut
harga emas pada hari itu. Bahkan aku sendiri telah berniat untuk membayar
kesemua kembali jumlah perbezaan antara jumlah jualan yang telah diterima
Syamil dengan harga beliannya untuk mendapatkan kembali semua barang-barang
itu, tidak kisah berapa pun.
Aku telah mengeluarkan RM2000
untuk tujuan itu. Dengan perasaan yang
berat aku mengikut arahan Idham sambil menyimpan tangisan. Kesedihan
meronta-ronta ingin dilepaskan, tetapi aku bimbang Idham akan salah mengerti. Pesanan dari doktor seakan terngiang di
telingaku.
Tidak sampai lima minit aku
kembali ke restoran itu. Idham sedang bercakap-cakap dengan Syamil.
“Syamil, awak sudah
mempermainkan perasaan Lidya! You tocher
mentalnya sehingga dia kerap menjadi histeria dan terpaksa mendapat rawatan
psikiatri! Awak telah menganiayai dia! Awak tipu! Awak berdolak-dalik! She’s
very sensitive! Dia tak boleh terima semua ini! Awak tengok! Sampai dia
jadi begitu, kurus kering! Awak jangan ganggu dia lagi!” Itulah yang aku dengar
sebaik sahaja pinggulku labuhkan di kerusi.
Syamil hanya mendiamkan diri,
seolah nasihat dan percakapan Idham tidak memberi sebarang makna kepada
dirinya. Isterinya juga tidak berkata apa. Mereka hanya membaca sijil sakit
yang aku terima daripada doktor yang merawatku di jabatan psikiatri.
“Abang sudahlah tu.” Aku
berbisik kepada Idham, bimbang dia akan naik radang melihat sikap Syamil.
“Cukup tak timbangannya?”
Idham mengalihkan pandangannya kepadaku.
Aku mengangguk. “Seperti yang
diberitahulah bang! Terlebih 0.46gm!” Aku mengatakan yang benar.
“Kita bayar yang lebih itu,
mengikut harga emas hari ini!” Pantas
sahaja Idham mengemukakan cadangan.
Aku meraba ke dalam beg
tangan. RM2000.00 itu masih ada
tersimpan. Mengikut pada angka di bil yang dibawa oleh Syamil, perbezaan
antara jumlah yang telah diterima
sewaktu menjual barang emasku dulu dalam anggaran RM1300. Fikiranku menerawang entah ke mana. Sekiranya
aku serahkan wang sejumlah itu kepada Syamil pada waktu itu, Idham tentu akan
mengamuk.
“Inilah jumlahnya bang! Lidya
dah kira. Hanya RM 46.95. Abang bayar dia lebih! Beri dia RM100.” Aku
menghulurkan cebisan kertas yang permukaannya terdapat angka-angka dan
kira-kira yang telah aku buat. Sekiranya
aku berada di tempat Syamil, aku tidak akan menerima bayaran itu. Sanggupkah
aku menerima bayaran daripada seseorang yang telah berbudi denganku? Membantu
aku di waktu kesusahan. Di mana maruahku? Berapakah harga maruahku?
Malangnya, Syamil tidak
pernah memikirkan tentang harga maruahnya. Matanya selalu rakus apabila melihat
wang walaupun jumlahnya tidak seberapa. Pada hari itu, aku telah membeli maruah
Syamil dengan harga RM100. Idham, kadangkala menggelikan hatiku dengan
kecerewetannya. Syamil dipaksanya
membuat akuan penerimaan wang tersebut dalam bentuk bertulis. Akuan itu tidak
sahaja mengandungi tandatangan dan cap jari Syamil, tetapi isterinya juga
diarah menjadi saksi kepada peristiwa itu.
“Keluarkan al-Quran yang
abang suruh bawa tadi!” Idham mengalih
pandangan kepadaku sekali lagi.
Aku menurut seperti lembu dicucuk hidung. Paluan debaran di dadaku semakin kuat.
“Syamil! Pegang al-Quran ini
dan bersumpah yang awak takkan ganggu Lidya lagi selepas hari ini!” ujar Idham
sambil mencapai tangan Syamil.
Syamil dan aku saling
berenungan. Aku memberinya isyarat mata kepada Syamil supaya tidak mengucapkan
sumpah yang sedang dilakukan oleh Idham.
“Bersumpah Syamil! Awak telah
mempermainkan dia! Menganiayai dia! Selepas ini awak jangan hubungi dan ganggu
dia lagi!” Idham terus mendesak. Syamil kelihatan resah dan gelisah. Bibirnya
seakan terkunci.
“Sudahlah tu, bang! Kita selesaikan soal hutang saja! Dah selesai,
alhamdulillah!” Aku terpaksa mencelah untuk mengelakkan suasana menjadi
tegang.
Syamil bangun dari kerusi dan
ingin beredar daripada situ selepas bersalaman dengan Idham. Betapa sukarnya
aku untuk menghadapi saat itu. Seolah
memisahkan cahaya dari kegelapan malam.
“Abang tak mainkan Hani!”
Syamil sempat melontarkan kata-kata itu sewaktu lalu di sisiku. Matanya menatap
ke wajahku sekilas.
Oh! TUHAN, dapatkah aku memberi jawapan
sedangkan pada waktu itu Idham berada di hadapanku. Aku ingin bersuara, tetapi
tidak boleh berkata. Aku ingin berkata, tetapi tidak boleh bersuara. Terpandang aku kepada Ina yang sedang menuruni tangga
restoran itu, spontan aku teringat Norshakila. Sepantas itu juga timbul
keinginan di hatiku untuk bercakap dengannya pada waktu itu juga. Benarkah dia
tahu yang Syamil sedang bersamaku dan Idham pada waktu itu? Mungkin Syamil
telah membohongi aku dan Idham. Bukankah
dia selalu berbohong? Bukankah Norshakila yang tiba-tiba datang dalam hidupku
dengan cara yang amat biadap dan sombong?
“Abang Syamil! Hani nak cakap
dengan Shakila!” Aku berteriak pada Syamil yang sedang menuruni tangga.
Telatahku menimbulkan kemarahan Idham pada mulanya.
“Lidya nak cakap dengan
isterinya yang lagi satu!” Aku bersuara tertahan-tahan. Air mata semakin
memberat di tubir mataku.
“Syamil!” Idham memanggil
Syamil yang sudah menuruni sampai ke anak tangga yang kedua.
Syamil kembali semula ke arah
kami dan duduk di tempatnya tadi.
“Call, Norshakila!
Beri Lidya cakap dengan dia!” ujar Idham sebaik sahaja Syamil duduk di
hadapannya. Sekiranya dapat bercakap dengan perempuan itu, apa yang inginku
katakan ialah, aku tidak akan menganggu mereka berkenaan soal hutang, kerana
hutang itu Syamil telah selesaikan pada hari itu.
“Assalamualaikum, Kak
Shakila! Abang Syamil ada di sini bersama Hani! Kak Shakila, Hani takkan ganggu lagi…” Percakapanku terhenti di situ kerana
perasaanku berasa amat sebak. Yang ingin
aku katakan ialah “Hani takkan ganggu lagi Abang Syamil berkenaan dengan
hutang!” Kotak fikirku tiba-tiba menjadi bercelaru dan keliru. Aku menangis
tersedu-sedu, lantas telefon bimbit yang berada digenggamanku diambil oleh
Idham. Dia berbual dengan perempuan itu dengan panjang lebar. Perasaan hatiku
semakin mengelepar. Kotak fikirku hanya menjurus kepada perpisahan yang
akan terjadi. Perpisahan yang tidak aku
relakan, namun harus aku berdepan, demi kemanusiaan. Demi kesihatan Idham, demi
kebahagiaan Syamil.
“I setuju dengan kata-kata
you Shakila. Betullah tu, sepatutnya kita membanyakkan saudara seagama,
bukannya menambah musuh!” Itulah antara kata-kata yang aku dengar. Mungkin Norshakila telah berkata begitu
kepada Idham dan suamiku bersetuju
dengan kata-kata itu.
Mereka berbicara agak lama
juga, namun aku tidak peduli dan sedikit pun tidak rasa cemburu. Yang menjadi
tanda tanya di fikiranku pada waktu itu ialah, akan terleraikah segala cinta di
hati Syamil setelah mengembalikan emas dan hutangnya kepadaku? Apakah tujuan
Norshakila meminjamkan wang kepada Syamil untuk menjelaskan segala hutangku
sedangkan sebelum ini dia buat-buat tak tahu, walau berpucuk e-mail telahku
utuskan? Apakah harganya? Apakah tawarannya?
Sampai di rumah, barang kemas
yang telah dikembalikan oleh Syamil terus aku campakkan ke dalam bakul
sampah. Tergamakkah aku untuk memakai
segala barang itu sekiranya ia hanya menyimpan nostalgia luka? Di manakah
maruahku sekiranya aku sanggup menyalutkan segala barangan itu ke tubuhku? Bukan RM4000-RM5000 harga
maruahku. Apa yang aku lakukan hanyalah untuk memberi pengajaran kepada Syamil
tentang tanggungjawabnya dan memberi keinsafan kepada Norshakila yang bongkak
itu. Namun dapatkah keegoan manusia itu direbahkan dengan mudah?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan