Rabu, 20 November 2013

Sana Menanti,Sini Merindu (Bab 39)


Ainun memarkirkan keretanya perlahan-lahan di tepi rumah. Setelah menarik brek tangan, dia pun membuka pintu dan cepat-cepat keluar dari kereta. Bola matanya terlontar kepada emaknya yang sedang terlentuk dan tidur lena dengan mulut yang ternganga.
Ainun tergelak sendiri.
“Mak, mak... dah sampai ke rumahlah,” kejutnya perlahan sambil menggoyang-goyangkan bahu emaknya. Emaknya masih berdengkur.
“Mak! Dah sampai ke rumah ni! Bangun,mak!” ulangnya lagi. Kali ini suaranya lebih kuat.
Mak Cik Mariah terkejut dan mencelikkan matanya. “Alah, kenapa tak kejutkan mak?” keluh Mak Cik Mariah sambil menguap. Penat benar rasa tubuh badannya.
“Dah pukul berapa ni?” tanya Mak Cik Mariah pula. Matanya sempat mendongak ke langit. Matahari sudah condong ke barat.
“Dekat pukul 5.00 petang dah ni, mak,” jawab Ainun sambil membuka but keretanya.
“Ya ALLAH, laparlah adik kamu! Kasihannya... cepat kita naik ke rumah,” ajak Mak Cik Mariah pula. Menyesal pula kerana menurut kata-kata Ainun tadi. Dari Ipoh hendak ke Kuala Kangsar. Apabila sampai ke Kuala Kangsar mengajak pula ke Taiping. Sudahnya perjalanan mereka yang pada mulanya hanya untuk mencari debu tayamum melarat sehingga ke Kuala Sepetang mencari ikan-ikan dan makanan laut lain yang masih segar.
Mentang-mentanglah baru menerima duit daripada emaknya, Ainun berbelanja sakan. Lupa pada niatnya untuk membantu masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh suaminya.
Mak Cik Mariah membuka kunci pintu sementara Ainun mengeluarkan barang-barang dari boot kereta dan menghulurkannya kepada emaknya satu per satu.
“Pergi tengok Kamal sekejap, mak nak terkencing,” suruh Mak Cik Mariah sebaik sahaja barang-barang yang dibeli telah dihantar ke dapur.
“Tunggulah sekejap, mak! Nun nak minum dulu! Haus betul,” jawab Ainun sambil membuka peti ais. Dia mencapai kotak air kacang soya lalu menuangkannya ke dalam gelas yang memang ada di atas meja makan.
“Tuangkan untuk mak, Nun! Mak pun haus jugak. Berjalan dengan kamu ni setitik air pun tak dapat. Mak dah haus dari tadi lagi,” jelas Mak Cik Mariah.
Ainun tersengih. “Alah, mak... minum kat rumah lagi bagus. Dah tentu terjamin kebersihannya,” dalih Ainun. Sayang pula hendak mengeluarkan wang untuk membelanja emaknya walaupun segelas air.
“Yalah tu! Emak pun tak faham dengan jalan fikiran kamu ni. Kadang-kadang kamu sendiri pun singggah makan di mana-mana kedai ikut suka sahaja,” balas Mak Cik Mariah.
“Kalau berjalan dengan emak, takkan nak bawa ke kedai tak menentu!” Ainun masih hendak menjawab.
Mak Cik Mariah tidak mengendahkannya lagi. Dia duduk seketika untuk melegakan lelahnya. Setelah menghirup seteguk air, dia pun segera ke bilik air.
Ainun naik menuju ke bilik adiknya. Daun pintu ditolak perlahan-lahan bimbang Kamal akan terkejut dan terjaga kalau dia sedang tidur.
“Makk!” jerit Ainun. Perasaannya cemas dan sukar untuk mempercayai apa yang dilihatnya.
“Kenapa ni, Nun?” soal Mak Cik Mariah yang meluru ke bilik itu apabila mendengar jeritan Ainun.
“Ya ALLAH!” ucap Mak Cik Mariah sebaik sahaja matanya menyinggah ke atas katil. Katil itu kosong. Jantungnya terasa hendak gugur di atas lantai. Matanya meliar ke sana dan ke sini.
“Apa nak buat sekarang ni, mak?” soal Ainun terkejut.
“Emak sedang berfikirlah ni! Kalau nak kata perompak masuk dalam rumah, pintu tadi elok berkuncinya, tapi...” Mak Cik Mariah kehilangan kata-kata.
“Takkan perompak nak ambil Kamal sekali mak! Dia tu dahlah tak boleh berjalan.J adi satu hal pula mereka nak mengangkatnya,” jawab Ainun.
“Mana kita tahu kalau ada orang berdendam dengan adik kamu ke?” kata Mak Cik Mariah sengaja hendak menimbulkan spekulasi. Otaknya ligat berpusing macam gasing.
“Emak jangan nak tuduh Zarif pulak emak!” bidas Ainun seolah berjauh hati.
Mak Cik Mariah merengus. “Aku tak kata pun!” balasnya.
“Mak! Baik mak pergi periksa barang-barang kemas mak! Entah-entah dah kena sapu!” pekik Ainun tiba-tiba.
Mak Cik Mariah meluru ke dapur terlebih dahulu. Di dalam almari pinggan mangkuk di dapur ada tersimpan barang yang lebih berharga.
“Alah, habis! Dah hilang! Dah kena sapu! Nun!” jerit Mak Cik Mariah pula.
“Apa yang hilang, mak?” tanya Ainun dari bilik Kamal.
“Kamu ada sorokkan dompet Kamal tak? Mak simpan dalam almari pinggan mangkuk ni,” terang Mak Cik Mariah sebaik sahaja Ainun sudah berdiri di sebelahnya.
“Tak ada, mak! Tadi sebelum kita pergi Ipoh, saya ada nampak dompetnya dalam almari tu,” jawab Ainun.
“Hancurlah harapan emak. Dalam dompet tu ada kad-kad bank Kamal. Sengaja emak hendak simpan biar susah sikit isterinya hendak berbelanja,” kata Mak Cik Mariah sambil terduduk. Dia pun menekan-nekan butang nombor di telefon bimbitnya.

Nama yang terpapar di skrin telefon bimbitnya menyebabkan Sharina resah. Dia yang sedang memandu berasa serba salah sama ada hendak menjawab panggilan itu ataupun tidak.
Berkali-kali telefonnya berdering. Mahu tak mahu terpaksalah dia menjawab juga walaupun sedang memandu di lebuh raya.
“Assalamualaikum, mak...” kata Sharina sebaik sahaja menekan butang hijau di telefonnya serta menekan ikon pembesar suara.
“Rin! Kamu kat mana sekarang ni?” soal Mak Cik Mariah kasar. Kalau menantunya itu yang melarikan Kamal, tahulah dia hendak mengajarnya.
“Rin kat highway, mak. Dalam perjalanan nak balik,” jawab Sharina hati-hati. Banyak kenderaan di lebuh raya pada waktu itu.
“Betul ke ni?” tanya Mak Cik Mariah kerana tidak mempercayai menantunya.
“Kenapa ni, mak?” soal Sharina pula. Matanya memerhati cermin pandang belakang kerana ingin mengubah laluannya ke lorong kiri.
“Kamu ada suruh sesiapa ambil Kamal tak?” tanya Mak Cik Mariah. Manalah tahu kalau-kalau menantunya itu berdendam dengannya dan sengaja mengambil Kamal sewaktu ketiadaan orang di rumah!
“Ambil Abang Kamal? Nak bawa ke mana? Kan Rin kerja,” jawab Sharina. “Lagipun Rin tak tahu pun Abang Kamal ada di rumah emak,” sambung Sharina lagi. 
Mak Cik Mariah yang mendengar jawapan itu menggaru-garu telinganya dan merengus. “Betul ni, Rin?” soalnya lagi seolah tidak percaya. Kalau bukan Sharina, siapa lagi yang melarikan Kamal?
“Kalau kamu tak ambil, macam mana dia boleh hilang? Kamu jangan nak bohong mak, Rin.” Tak pasal-pasal Sharina dimarahi.
“Betul, tak ada mak!” jawab Sharina tegas. Di fikirannya timbul pelbagai persoalan.
“Lagipun buat apa Rin buat begitu! Kalau Abang Kamal keluar dari wad pun, lebih baik duduk kat rumah kami. Rin kalau boleh nak suruh Abang Kamal duduk kat wad. Biar doktor dan nurse yang jaga dia sewaktu Rin pergi kerja. Rin tak nak keluarkan dia dari wad... tapi emak yang keluarkan Abang Kamal dari wad tanpa beritahu Rin,” jawab Sharina panjang lebar. Sakit hati kerana emak mertuanya bagai sengaja hendak memisahkan dia dengan Kamal.
“Sharina! Emak keluarkan Kamal dari wad itu sebab kosnya mahal,” sanggah Mak Cik Mariah. Membara hatinya mendengar jawapan Sharina yang berjela.
“Emak, Abang Kamal yang nak duduk di situ. Semua kosnya, nanti kami ikhtiarkanlah...” balas Sharina. Bukannya emak mertuanya tidak tahu keadaan kewangan anaknya. Bukannya hendak bersikap ujub, tetapi Kamal memang berkemampuan. Dia ada duit hendak membiayai kos rawatannya di hospital itu walaupun kena duduk di situ berminggu-minggu.
“Sharina! Jangan bantah cakap emak!” pintas Mak Cik Mariah. Telinganya semakin berdesing mendengar kata-kata Sharina. Nampaknya, Sharina sudah pandai melawan cakapnya!
“Bukannya Rin ban..”
“Sharinaaa!” tengking Mak Cik Mariah. “Jangan meningkah cakap aku!” Memang menjadi kepantangannya kalau segala percakapannya dibantah oleh anak menantu. “Jadi, memang betullah kamu atau abang kamu atau emak kamu tak curi Kamal dari rumah aku?” ulangnya lagi dengan suara yang merendah semula.
“Betul mak!” jawab Sharina hampir menangis.
“Emak balik-balik ke rumah, tengok dia dah tak ada,” beritahu Mak Cik Mariah. Suaranya meninggi sekali lagi.
Berderau darah Sharina mendengar kenyataan itu. “Mak kat mana sekarang sebenarnya?” soal Sharina dengan nada cemas.
“Kat rumah akulah!” jerkah Mak Cik Mariah.
“Rin terus balik ke sana, mak,” beritahu Sharina sebak. Kegundahan yang membanjiri hatinya semakin menyendat.
“Ya! Cepat-cepat balik ke sini! Emak tak tahu nak buat macam mana! Nak repot polis ke, apa ke! Mak rasa rumah ni dah dimasuki perompak,” adu Mak Cik Mariah pula.
“Duit yang kamu bagi pada emak pun dah habis lesap tak sempat emak nak bagi kepada kak ngah buat membantu Abang Zarif kamu,” bohong  Mak Cik Mariah lagi.
Hati Sharina semakin terdera apabila mendengarnya.
“Emak dah keluarkan semuanya sebab nak bagi kepada kak ngah kamu.” Sempat lagi lidah tuanya berdusta.
“Astaghfirullahalazim,” ucap Sharina sambil mengeluh.
“Sabarlah, emak. Dah tak ada rezeki mak nak buat macam mana. Rin dah cuba sedaya upaya untuk bantu emak, tetapi ALLAH tidak izinkan... nak buat macam mana,”sambungnya lagi. Dia terpaksa membuat pinjaman bank sebanyak RM100 ribu setelah didesak oleh emak mertuanya itu. Kata emak mertuanya wang itu untuk membantu perniagaan Zarif Afandi yang bermasalah.
“Terus balik ke sini! Mak tunggu kamu!” arah Mak Cik Mariah. Hatinya bagai digetu-getu mendengar nasihat menantunya itu.

“Yalah, mak...” kata Sharina lalu menekan pedal minyaknya dengan lebih keras lagi.

                                                              ~ ~bersambung~~

Tiada ulasan: